Saya pernah dijemput untuk memberikan pandangan dalam suatu program di bawah tajuk Hiburan ; Madu atau Racun?, suatu ketika dahulu. Saya memulakan perbincangan dengan mengatakan bahawa, manusia adalah hamba Allah dan makhluk yang cukup istimewa. Manusia tidak seperti malaikat, yang sentiasa tetap imannya dan tidak mempunyai nafsu. Manusia juga tidak seumpama iblis dan syaitan yang senantiasa menyeru ke arah kejahatan dan kemaksiatan.
Tetapi, manusia boleh sahaja menjadi seumpama malaikat, bahkan lebih tinggi darjatnya dari malaikat, apabila mempunyai taqwa yang hebat kepada Allah sebagaimana Nabi saw. Pada waktu yang sama, manusia juga boleh menjadi lebih hina dan keji, berbanding syaitan dan iblis akibat kedurhakaan yang melampau kepada Allah seperti Firaun.
Manusia dibekalkan oleh Allah, bukan sahaja dengan pancaindera yang lengkap seperti mata, telinga, lidah, mulut, tangan dan kaki tetapi yang paling penting manusia dikurniakan oleh Allah aqal dan hati. Aqal yang menentukan baik buruk suatu perkara, perlu dipandu oleh wahyu agar hidupnya menepati tuntutan syariat. Sebab itu, aqal sahaja tidak memadai, tanpa bimbingan para Rasul dan Nabi melalui wahyu. Banyak umat terdahulu seperti kaum Ad, Thamud dan lain-lain binasa, akibat mengutamakan aqal berbanding wahyu.
Di dalam diri manusia juga letaknya hati yang bertindak sebagai penentu keputusan sesuatu amal yang hendak dibuat. Sebab itu Nabi saw bersabda ” Ketahuilah bahawa di dalam badan ada seketul daging, apabila baik daging itu, maka baiklah seluruh anggota, apabila rosak daging itu, maka rosaklah seluruh anggota. Ketahuilah, sesungguhnya itulah hati”. (Hadith riwayat Imam Muslim).
Manusia dibekalkan juga oleh Allah dengan perasaan. Sebab itu, ada masa kita menangis, ada masa kita ketawa dan ada masa kita tertekan. Kita tidak seperti malaikat yang sepanjang masa taat kepada Allah kerana imannya tetap, tetapi iman kita ada pasang surutnya. Buktinya Ramadhan yang lepas. Hebat sekali manusia beribadah, tetapi sebaik sahaja Syawal datang menjengah, amalan yang kita lakukan pada bulan Ramadhan yang lepas, tidak mampu bertahan. Alasannya, kita raya sebulan, banyak open-house sampai anjuran puasa sunat 6 hari di bulan Syawal pun dicuaikan!
Saya teruskan perbincangan dengan mengatakan bahawa hadith Nabi saw ada menyatakan” Allah itu indah dan Allah itu sukakan keindahan”. Maka, secara automatik kita sebagai hamba Allah pun, ada nilai menyukai sesuatu yang cantik dan menghiburkan hati. Hiburan menurut Kamus Dewan suatu perlakuan yang apabila dilakukan dapat menenangkan jiwa dan menyukakan hati. Ia termasuk apabila kita melihat pemandangan alam, ketenangan suasana di kampung atau mungkin dengan mendengar muzik dan menonton filem.
Pernah Nabi saw mengungkapkan bahawa, hiburan sebenar bagi diri bagida ada pada 3 perkara iaitu solat, air yang mengalir dan tumbuh-tumbuhan yang hijau. Cuba kita bandingkan diri kita dengan Nabi saw. Ternyata, jauh bezanya. Solat kita tidak khusyuk, pandangan mata seakan tidak tertarik dengan keindahan air yang mengalir dan jiwa kita tidak tenang apabila melihat pemandangan yang menghijau. Lalu, kita mencari ketenangan dengan muzik dan filem yang sebenarnya boleh merosakkan jiwa dan hati. Maksud saya, muzik dan filem yang tidak terisi di dalamnya kandungan yang bermanfaat, bahkan lagho, kandungan yang tidak mengajak untuk mengingati Allah bahkan lalai, kandungan yang tidak membangkitkan semangat untuk mempertahankan kedaulatan agama,negara dan bangsa bahkan menceritakan soal putus cinta dalam bentuk rayuan yang mendayu-dayu.
Saya tegaskan manusia fitrahnya inginkan hiburan. Sebab itu, Nabi saw tidak memberikan tazkirah sepanjang masa kepada sahabat. Ada masa mereka bermesra dan bergurau senda. Kita akan menjadi seorang yang kaku tanpa hiburan yang mendidik jiwa. Persoalannya hiburan yang bagaimana perlu kita pilih? Saya tertarik dengan lirik nasyid Raihan yang menyebut ”Berhibur tiada salahnya, hanya apabila salah memilihnya, menyebabkan kita rasa bersalah”. Saya tidak katakan hiburan mendidik jiwa hanya pada lagu yang berbentuk nasyid. Ada lagu-lagu pop yang bertemakan ketuhanan, kasih sayang dan penghormatan kepada ibu bapa di kalangan penyanyi biasa juga boleh dijadikan iktibar. Lagu Ayah Ibu nyanyian arwah Sudirman dan Bila Diri Disayangi oleh U.Ks, antara contohnya. Filem dan cereka yang padat dengan pengisian yang mendidik seperti Lion of The Desert ; Umar Mukhtar, Mahatma Ghandi, The Shawshank Redemption, Bukit Kepong, dan Children of Heaven(Iran) boleh ditonton dengan keluarga untuk manfaat bersama. Kalau kita menjadi ketua keluarga, ceritakan kepada anak-anak tentang iktibar dari sinposis cerita tersebut.
Masalahnya hari ini, bukan lagu dan filem seumpama ini yang menjadi pilihan generasi muda dan dewasa. Hiburan yang ringan tanpa mesej yang jelas dan lagu-lagu yang bertemakan cinta dan putus kasih menjadi pilihan. Terbaru, lagu Lelaki Ini nyanyian Anuar Zain dan Beautiful Girl oleh Sean Kingston menjadi kegilaan remaja dan dewasa Kadangakala ada lirik yang boleh merosakkan aqidah seperti sebuah lagu dangdut nyanyian Iwan dan Amelina suatu ketika dahulu yang menyebut ”Andainya matahari terbit dari Barat, takkan goyah cintaku kepadamu”. Bukankah apabila matahari terbit dari Barat menandakan kiamat? Di saat itu, tiada cinta yng lebih berharga selain cinta Allah!
Tambahan pula, program realiti TV yang semakin banyak telah menyuburkan hedonisme. Rancangan seperti Akademi Fantasia, Malaysian Idol, Gangstarz, One in a Million adalah contohnya. Fakta yang tertera dalam Utusan Malysia semalam menyatakan, berbillion ringgit dihabiskan untuk SMS bagi rancangan-rancangan seumpama ini! Golongan remaja dan dewasa dibentuk pemikiran mereka supaya, dengan hanya bernyanyi boleh menjadi kaya tanpa perlu belajar di peringkat tertinggi. Kalau inilah trendnya, kita bimbang generasi pelapis yang akan mewarisi negara tidak lagi serius berfikir, berbincang dan cakna dengan apa yang berlaku dalam negara.
Malam kelmarin, saya menonton beberapa rancangan dalam saluran TV3. Antaranya Jelatang, Kisah Kaisara, Iris dan Airmata Maria. Ternyata, hari Selasa malam Rabu adalah hari yang ditunggu-tunggu oleh peminat yang menggemari rancangan ini. Ini tidak termasuk lagi drama Anak Pontianak yang mencecah rating hampir 3.3 juta yang juga disiarkan di TV3 pada malam Jumaat. Sepanjang pemerhatian saya ada beberapa perkara yang ingin saya kongsikan bersama :
1) Jelatang berkisar tentang sumbang mahram yang berlaku antara ayah tiri dan anak tirinya. Alima, isteri kepada Razlan yang dianiaya perasaan dan haknya mendapatkan kaunseling dari seorang kaunselor. Kaunselor yang dipegang wataknya oleh Safura hebat mengatakan semua masalah yang berlaku ada himah dan kita kena mengingati Allah. Ternyata, apa yang diucap berbeza dengan pengamalan(tidak menutup aurat).
2) Kisah Kaisara mengisahkan kumpulan pelajar sekolah yang sedang mencari identiti diri, cinta dan kasih sayang. Tidak keterlaluan jika saya katakan, penonjolan pergaulan bebas di antara pelajar lelaki dan perempuan nampak ketara dalam drama ini.
3) Iris pula menceritakan kisah cinta Danish(Rosyam Nor) dan Iris (Rita Rudani). Berpegangan tangan dan adengan romantis membuatkan kita bertanya adakah pasangan masing-masing tidak cemburu? Rosyam Nor sudah beristeri, apa perlu melakonkan watak seumpama itu(dia juga digelar hero tua!). Yang lebih pentinh. Ia nyata bercanggah dengan ajaran agama(dari sudut bersentuhan lelaki dan perempuan yang ajnabi!)
4) Airmata Maria arahan Datuk Yusof Haslam seperti biasa jalan ceritanya seperti Sembilu Kasih dan Janji Diana. Putus cinta, khianat, dengki dan dendam menjadi tema utama sepanjang jalan cerita.
5) Melodi pula bagi saya rancangan hiburan yang tidak bertamadun. Membongkarkan kisah-kisah panas dan sensasi artis. Sebab itu, saya katakan pemikiran generasi muda hari dibentuk dengan program-program seumpama ini yang kurang nilai intelektualnya!
Kesimpulan, saya menyeru kepada artis yang terlibat dalam dunia hiburan. Jaga pergaulan dan batas syariat. Tidak salah berlakon, tetapi jika sudah sampai mempersenda hukum agama(bersentuhan lelaki dan perempuan ajnabi dan tidak menutup aurat), maka di mana lagi nilai keberkatan rezeki yang anda cari. Saya bukan anti-hiburan, tetapi hiburan yang tidak mendidik jiwa seumpama inilah yang perlu kita tentang. Contohilah jejak langkah artis yang bagi saya sudah kembali ke pangkal jalan seperti Ustaz Akhil Hayy Rawa(ex-solo Driyadh), Azmil Ali(hero Ali Setan), NoorKumalasari (heroin Adik Manja), Amir(ex-solo Pearl), Ogy (heroin Ali Setan-Cuma perlu jaga adab-adab sebagai muslimah walau sudah bertudung), Wilma (gadis seksi dalam Kekasih Awal dan Akhir), Wardina(pelakon dalam Spanar Jaya), Mel(ex-solo Wings). Dan khabarnya yang terbaru Amy Search, selepas kembali dari umrah yang dipimpin oleh Dr Badrul Amin. Buat artis semua, kembalilah ke jalan yang diredhai Allah! Hiburan boleh menjadi madu jika kena caranya, tetapi ibarat racun yang membunuh bagi yang salah memilihnya!
8 November 2007, 27 Syawal 1428,
7.30 pagi, Malaysia Timur.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan