Isnin, 2 Julai 2007

Disertasi Ilmiah 6

Pendekatan Syaltut Dalam Menggali Esensi al Quran.

Tafsir al Quran al Karim oleh Mahmud Syaltut.

Terjemahan : Al Ustaz Hussein Bahreisj

1.0 Muqaddimah

Semenjak zaman tabien al Quran telah ditafsirkan dan penafsiran mereka telah sampai kepada kita pada hari ini dalam pelbagai wajah dan pendekatan. Aktiviti penafsiran rancak sebelum abad kesepuluh dan semakin menurun selepas abad tersebut. Walaubagaimanapun kebanyakan penafsiran yang dibuat merupakan penafsiran biasa yang meliputi keseluruhan surah dan ayat samada dengan menggunakan penafsiran bi al Ma'thur ataupun bi al Ra'yi.

Pada pertengahan abad ke 20, seorang rektor daripada Universiti al Azhar iaitu Syeikh Mahmud Syaltut telah menggunakan ilmu dan kemahiran yang ada pada beliau dengan menafsirkan al Quran mengikut caranya yang tersendiri yang akan dibincangkan. Penafsiran beliau telah menarik minat dua orang penterjemah dari rumpun Melayu untuk menafsirkan tafsir beliau ke dalam Bahasa Indonesia dan diberi nama "Pendekatan Syaltut Dalam Menggali Esensi al Quran". Tajuk tersebut telah menarik minat penulis untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang tafsir ini.

2.0 Pengenalan kepada Tokoh

2.1 Biodata pengarang

Pengarang asal kitab tafsir ini ialah Syeikh Mahmud Syaltut yang merupakan salah seorang rektor Universiti al Azhar dan juga ulama yang terkemuka dan gigih memperjuangkan cita-cita pembaharuan dalam pemikiran Islam umumnya dan pembaikan al Azhar pada khususnya[1]. Beliau memegang jawatan sebagai rektor mulai tahun 1958 sehingga beliau meninggal dunia pada tahun 1963. Beliau juga turut tersenarai sebagai pemberi fatwa al Quran.

Syeikh Mahmud Syaltut dilahirkan di kawasan Buhairah, Mesir pada tahun 1893 M bersamaan tahun 1311 H dan wafat di Cairo pada tahun 1963 M iaitu bersamaan tahun 1384 H[2].

Beliau telah menunjukkan kecerdasan dalam bidang pendidikan dan mula menghafal al Quran ketika berusia 13 tahun dan berjaya menamatkan pelajarannya dengan cemerlang dalam bidang agama ketika berusia 25 tahun. Seterusnya beliau giat mengajar di Institusi Pengajian Tinggi di Mesir serta aktif memberikan ceramah di samping sibuk menulis karya-karya ilmiah dalam pelbagai bentuk[3].

Beliau pernah mewakili al Azhar menghadiri kongres Antarabangsa di Belanda dalam membincangkan pelbagai perundangan dalam kajian perbandingan dan berjaya membawa syariat Islam sebagai syariat yang berdiri sendiri serta sesuai dilaksanakan pada bila masa dan di mana sahaja[4].

Selain itu, beliau turut tersenarai sebagai seorang yang ahli dalam bidang perundangan Islam mengikut mazhab Hanafi. Beliau mula menyandang sebagai rector di Universiti al Azhar ketika dalam pemerintahan Jamal Abdul Nasir[5].

Banyak usaha beliau dalam memajukan al Azhar dan jasa-jasa beliau dicurahkan untuk kemajuan Islam. Beliau sebagai ulama yang berpandangan jauh dan luas berjaya menjelaskan kepada umat Islam mengenai ajaran-ajaran yang patut dijadikan akidah atau sebagai kebenaran yang tidak dapat digugat. Beliau sering mengingatkan umat Islam supaya berpegang dengan ajaran yang terkandung dalam al Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W[6].

Karya-karya yang terkenal

  1. Islam: Akidah dan Syariah
  2. Fiqh al Quran dan Sunnah
  3. Perbandingan Mazhab
  4. Fatwa-Fatwa
  5. Bimbingan Islam
  6. Tafsir al Quran al Karim.

2.2 Biodata Penterjemah

Karya Syeikh Mahmud Syaltut telah diterjemahkan oleh dua orang ulama dari Indonesia yang terdiri daripada al Ustaz Hussein Bahreisj sebagai pelopor dan diteruskan oleh Drs. Herry Noer Ali[7].

Penulis lebih berminat untuk memperkenalkan penterjemah yang pertama iaitu al Ustaz Hussein Bahreisj ataupun ejaan namanya juga ditulis dengan Hossein[8] memandangkan kepada ketokohan beliau dalam bidang agama melalui karya-karya ilmiah yang banyak dihasilkan olehnya[9].

Al Ustaz merupakan seorang tokoh ulama yang lahir daripada Indonesia dan tinggal di Bandung[10]. Beliau meninggal dunia sekitar tahun 1989 M[11].

Beliau banyak menghasilkan buku[12] seperti

  1. Senjata Mukmin
  2. Kehidupan di Akhirat
  3. Islam dan Salat
  4. Percakapan Bahasa Arab sehari-hari
  5. Kumpulan Kisah Orang Terkenal
  6. Dari Tepi Sejarah Islam
  7. Hari Kehancuran Semesta
  8. Shalat dan Dzikir
  9. Kamus Intisari Islam
  10. Perjuangan 35 Sahabat-Sahabat Rasulullah
  11. Kamus Popular Arab-Indonesia
  12. Himpunan Hadits Shahih Bukhari
  13. Terjemahan Surah Yasin
  14. Munajat ( Doa dan Dzikir)
  15. Himpunan Pengetahuan Islam ( 450 masalah Agama Islam)
  16. Percakapan Dasar Bahasa Arab
  17. Seratus Satu Mutiara Doa dan Dzikir
  18. Pedoman Fiqh Islam
  19. Tuntutan Islam( Akidah dan Syariah)

Beliau juga turut menulis artikel di dalam surat khabar dan majalah.

Walaubagaimanapun penulis hanya menjumpai sebahagian kecil sahaja karya-karya beliau iaitu sebanyak lapan buah. Kebanyakan karya beliau penulis dapati merupakan naskhah nipis yang hanya mengandungi antara 50- 150 muka surat. Terdapat juga bukunya yang setebal 240 muka surat[13]. Cetakan pula didapati cetakan yang agak lama iaitu tahun 1976,1978,1981,1982,1987. Dan cetakan terakhir karya tafsir terjemahan Mahmud Syaltut tahun 1989. Karya-karya beliau juga sudah tiada lagi di pasaran[14], melainkan tafsir ini iaitu naskhah terakhir yang masih tersimpan di Pustaka Indonesia, Jalan TAR.

Hasil daripada penilitian pada tulisan-tulisan beliau, penulis boleh membuat kesimpulan bahawa al Ustaz merupakan seorang yang pakar berbahasa Arab selain memahami Bahasa Inggeris. Banyak rujukan beliau dibuat daripada buku-buku Arab di samping buku-buku Inggeris. Beliau turut menulis kamus dan percakapan Bahasa Arab yang mudah dan dasar. Karya-karya beliau lebih banyak melibatkan soal-soal akhlak dan berkemungkinan besar beliau juga turut mengamalkan dan mendokong ajaran Tasawwuf mengikut tasawwuf yang diamalkan oleh al Imam al Ghazali[15].

Beliau juga ahli dalam bidang astronomi merujuk kepada tulisan beliau mengenai "Kehancuran Alam Semesta" yang memuatkan beberapa fakta berkenaan planet, angkasa lepas dan berkaitan bintang dan galaxy. Pengetahuan beliau dalam bidang sejarah juga tidak dapat dinafikan dengan merujuk kepada tulisan beliau " Dari Tepi Sejarah Islam".

Beliau menjadikan dua buah kitab hadis yang sahih oleh Bukhari dan Muslim sebagai panduan beliau apabila beliau berjaya menghasilkan karyanya "Himpunan Hadis-hadis Sahih Bukhari dan Muslim". Selain menterjemahkan kitab tafsir yang sedang dibincangkan, al Ustaz juga menterjemahkan Surah Yasin.

3.0 Pengenalan Kitab

Kitab tafsir al Quran al Karim merupakan karya yang dihasilkan oleh ulama mutaakhir iaitu Syeikh Mahmud Syaltut dari Mesir. Karya asal tafsir ini hanya terdiri daripada 1 jilid yang merangkumi juz 1 hingga 10. Seterusnya pengarang tidak sempat menamatkan tulisannya kerana pengarang telah dijemput mengadap Ilahi.

Dua orang ulama dari Indonesia telah menggunakan faedah yang telah dilakukan oleh pengarang asal kitab dengan menterjemahkan ke dalam Bahasa Indonesia yang mudah difahami. Karya terjemahan "Pendekatan Syaltut dalam Menggali Esensi al Quran" dimuatkan ke dalam empat buah jilid dalam bentuk buku yang mudah dibawa.

Keempat-empat jilid diterbitkan oleh Penerbit CV Diponegoro, Bandung, dan dicetak oleh Penerbitan Ayu, Bandung, dengan kulit luar berwarna hijau tua yang diperbuat daripada plastik. Pada bahagian depan kulit dicatatkan pengarang dan judul asal kitab pada sebelah atas iaitu Mahmud Syaltut تفسير القرأن الكريم diikuti dengan Tafsir al Quranul Karim dalam tulisan rumi. Seterusnya judul terjemahan iaitu Pendekatan Syaltut Dalam Menggali Esensi al Quran, jilid dan penerbit, CV Diponegoro diletakkan pada bahagian bawah. Manakala pada bahagian tepi kulit dicatatkan nama pengarang dan judul asal kitab beserta nombor jilid dan nama penerbit.

Jilid kedua, ketiga dan keempat berbeza daripada jilid pertama dari segi penterjemah kitab. Iaitu dalam jilid pertama terdiri daripada dua orang penterjemah iaitu al Ustaz Hussein Bahreisj dan Drs. Herry Noer Ali, sedangkan dalam jilid yang lain hanya diterjemahkan oleh Drs. Herry Noer Ali. Tahun cetakan juga berbeza di mana pada jilid yang pertama diterbitkan pada tahun 1989 manakala jilid yang lain pada tahun 1990.

Jilid pertama terdiri daripada surah al Fatihah yang mengandungi lapan tajuk, al Baqarah 20 tajuk dan surah Ali 'Imran 22 tajuk mulai halaman pertama hingga halaman ke 307. Jilid kedua terdiri daripada surah al Nisa' yang mengandungi 56 tajuk dan surah al Maidah, 26 tajuk mulai halaman 313 hingga halaman 618. Jilid ketiga merangkumi surah al An'am yang mengandungi 38 tajuk dan surah al A'raf, 52 tajuk mulai halaman 623 hingga halaman 909. Dan jilid keempat pula terdiri daripada surah al Anfal yeng membincangkan 55 tajuk dan surah al Taubah , 51 tajuk, mulai halaman 915 hingga halaman 1157. jumlah keseluruhan tajuk ialah 318 tajuk.

3.1 Metodologi Penafsiran

Pendekatan Syaltut Dalam menggali Esensi al Quran

  1. Metodologi yang digunakan oleh al Ustaz Hussein dalam menterjemahkan kitab tafsir ini menggunakan kaedah huruf rumi dalam Bahasa Indonesia yang agak mudah difahami.

  1. Sesuai dengan tajuk yang diberikan oleh penterjemah iaitu “Pendekatan Syaltut dalam Menggali Esensi al Quran” penafsiran ini dapat dilihat melalui susunan tafsirnya yang memfokuskan kepada tajuk-tajuk penting yang terkandung di dalam surah-surah al Quran.

  1. Pengarang masih menggunakan susunan surah mengikut mushaf Uthmani iaitu daripada surah al Fatihah sehingga ke surah al Nas, tetapi dalam setiap topik yang menjadi tajuk utama ataupun yang dianggap penting kepada pengarang telah dibincangkan dengan panjang lebar beserta dalil-dalil yang dibawa berkaitan dengan tajuk tersebut. Di sini pengarang tidak menafsirkan menurut susunan setiap ayat sebaliknya hanya menurut susunan surah.

4. Setiap topik perbincangan dinomborkan mengikut turutan angka roman yang dimulai dengan nombor satu sehingga seterusnya diikuti dengan tajuk perbincangan penting dengan huruf besar pada pangkalnya dan dihitamkan tulisan tersebut.

Contoh: 15 Pokok-pokok Agama dari Allah[16]

  1. Sekiranya terdapat sub-sub topik, dinomborkan dengan bilangan a,b,c dan seterusnya dan juga menggunakan huruf besar pada pangkalnya diikuti dengan menghitamkan tulisan tersebut.

Contoh : 2. Hal Basmallah

    1. Pendapat yang Dipilih Tentang Basmallah[17]

  1. Selepas setiap tajuk utama diberikan, dimasukkan huraian dan disertakan ayat-ayat al Quran yang berkaitan topik tersebut. Dalam menyebut ayat-ayat al Quran, pengarang tidak menggunakan istilah yang sama. Tetapi ayat tersebut dapat dikenalpasti kerana diletakkan di bawah tajuk perbincangan selepas dua noktah bertindih.

Contoh: Allah berfirman:, diungkapkan dalam surat ini:, dan pelbagai lagi kalimah lain.

  1. Ayat terjemahannya pula dicondongkan dan terletak agak ke tengah sedikit di bawah ayat-ayat al Quran.

Contoh:

Tidak ada paksaan dalam ugama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur).

  1. Sekiranya ayat al Quran dan juga terjemahnya belum habis, dimasukkan tanda titik samada tiga atau empat seperti …/….

9. Begitu juga sekiranya ayat tersebut tidak dimulakan dengan permulaan ayat dimasukkan tanda tiga titik seperti di atas, sebelum ayat yang ditulis.

10. Nama surah dinyatakan selepas ayat al Quran dengan tulisan jawi di dalam dua kurungan. Nama surah kadang-kadang dipisahkan daripada bilangan ayat dengan dua noktah bertindih dan kadang-kadang tanpa noktah bertindih.

Contoh: ( ال عمران :62 ) [18] dan( سبأ 1-2) [19]

  1. Begitu juga selepas ayat terjemahnya dimasukkan nama surah dan bilangan ayat di sebelah kanan dengan menggunakan tulisan roman dan turut disertakan bilangan surah tersebut.

Contoh : ( Q.S. 60 al Mumtahinah : 1)

  1. Sekiranya dalam setiap perbahasan terdapat perkataan yang kurang difahami penterjemah meletakkan sebagai footnote. Dalam situasi ini, hanya jilid yang pertama iaitu yang diterjemah oleh Ustaz Hussein Bahreisj menggunakan bilangan roman iaitu 1,2,3[20], sedangkan dalam jilid-jilid 2,3,dan 4 menggunakan tanda bintang seperti *,**[21]. Walaupun begitu, bilangan footnote amat sedikit.

  1. Kitab ini selain menafsirkan mengikut tajuk-tajuk perbincangan, turut menafsirkan al Quran dengan al Quran dan al Hadis. Meskipun begitu hadis yang dibawa tidak dinyatakan dengan lengkap dari aspek sanad dan takhrijnya, hanya dimasukkan kalimah ( al hadis). Hadis juga dapat dikenalpasti terjemahannya yang ditulis menyondong.

  1. Pada setiap awal surah pengarang lebih menitik beratkan soal penamaan setiap surah dan faktor disenaraikan dengan surah Makkiyah dan Madaniyyah. Pengarang juga tidak lupa mengemukakan bukti-bukti bagi mengukuhkan hujjahnya. Sebab-sebab surah tersebut dinamakan juga diberi huraian panjang lebar dengan kisah berkaitan sebagai panduan. Contohnya dalam menamakan surah al Baqarah mengenai kejadian penyembelihan Sapi Betina pada zaman Nabi Musa dan dinamakan dengan surah Ali ‘Imran[22].

  1. Bagi ayat-ayat muqatta’ah, pengarang lebih senang meninggalkan tanpa penafsiran walaupun disebut juga kebiasaan yang ditafsirkan oleh sebahagian pentafsir yang lain. Selepas itu beliau akan menghuraikan faktor kenapa surah tersebut dimulai dengan huruf Muqatta’ah di samping surah-surah lain yang berkaitan. Beliau turut menyenaraikan dalil-dalil dan pendapat daripada ulama lain tentang permasalahan ini. Hujah yang diambil oleh beliau untuk tidak menafsirkan huruf Muqatta’ah ialah Allah sebagai Pemilik Rahsia[23].

Contoh: huruf-huruf Muqatta'ah hanya satu huruf seperti ص, ق, ن, dua huruf seperti طه, يس, حم, dan tiga huruf dan lebih seperti الم , المص, المر, كهيعص , حم عسق[24]

  1. Pada setiap jilid, penulis dapati hanya terdapat dua buah surah yang dibincangkan melainkan pada jilid yang pertama terdiri daripada tiga buah surah.

  1. Pada setiap halaman terakhir jilid, ditamatkan perbincangan dengan akhir setiap surah dan diteruskan dengan surah yang baru pada jilid yang seterusnya, melainkan pada jilid yang terakhir iaitu jilid keempat dimasukkan kata-kata penutup oleh pengarang kitab iaitu Syeikh Mahmud Syaltut dengan didatangkan doa yang diajarkan oleh Rasulullah beserta maksudnya dan diakhiri dengan tarikh kitab tafsir ini siap ditulis iaitu pada bulan Rejab 1379H bersamaan bulan Januari tahun 1960 M dan perkataan TAMAT.

3.2 Contoh Penafsiran Surah al Taubah[25]

  1. Kandungan Surat-Surat Sebelumnya

Pengarang menerangkan mengenai surah-surah sebelum surah al Taubah yang terdiri daripada al Fatihah dan sebab tersenarai sebagai surah Makkiyah dan dinamakan Ummul Kitab. Kemudian surah-surah lain al Baqarah, Ali 'Imran, al Nisa' dan al Maidah yang kesemuanya adalah surah-surah Madaniyyah yang membincangkan permasalahan di balik hijrah kaum Muslimin ke Madinah. Mereka mempunyai kesatuan, syiar-syiar khusus di dalam aqidah dan ibadah. Dari sini secara umum surah-surah Madaniyyah menerangkan hokum-hukum yang telah dipilih Allah bagi kaum Muslimin, tentang peribadatan dan muamalah mereka. Hakikat perbezaan dengan ahli kitab, kerasulan Muhammad dan halal dan haram berbagai makanan.

Seterusnya perbahasan mengenai surah al An'am dan al A'raf yang merupakan dua surah Makkiyah yang terpanjang. Pengarang mengemukakan dalil dari ayat 72 dan 73 surah al Anfal tentang kepimpinana yang berdasarkan keimanan.

Kemudian, pengarang meneruskan dengan tajuk kedua mengenai Surat al Taubah[26] iaitu merupakan ayat Madaniyyah. Dimulai ayat pertama hingga ayat ketiga puluh tujuh berkenaan pelanggaran perjanjian oleh orang Musyrikdan sebab-sebab pelanggaran.

4.0 Kesimpulan

  1. Kitab tafsir ini sesuai dijadikan silibus untuk mengajar di institusi-institusi serta tempat-tempat awam memandangkan topik perbincangannya yang amat menarik untuk diketahui.

  1. Kitab ini mempamerkan sesuatu yang amat berlainan daripada kitab-kitab tafsir yang lain yang hanya memfokuskan pada setiap ayat.

  1. Pengarang banyak mengupas persoalan-persoalan dan perbincangan dengan merujuk kepada keseluruhan ayat yang berkaitan dengan setiap tajuk yang dipilihnya.

  1. Banyak uslub al Quran yang mendapat perhatian pengarang seperti dalam membincangkan persoalan kalimah yang dimulakan dengan kalimah “yas alunaka[27]”, huruf-huruf Muqatta’ah, kalimah al Birr[28] yang menjadi punca dan titik tolak ayat-ayat perintah dari Allah dan sebagainya.

  1. Pengarang kitab lebih senang membicarakan permasalahan yang jarang-jarang dibahaskan oleh pentafsir lain.

  1. Sesuai dengan jawatan yang dipegang oleh Ssyeikh Mahmud Syaltut sebagai rektor di universiti, beliau mengambil pendekatan dengan menghuraikan dan menafsirkan topic-topik penting yang terkandung di dalam al Quran. Walaupun kitabnya tidak selesai ditulis iaitu hanya terdiri daripada 10 juzu’, tetapi perbincangan yang dibawa telah merangkumi keseluruhan al Quran.

  1. Sekiranya pengkaji yang ingin meneliti dari ayat-ke ayat, tafsir ini tidak sesuai dirujuk kerana ayat-ayat yang tidak teratur dan adakalanya tidak langsung disebut di bawah sesuatu surah tersebut.



[1] Prof Dr H. Harun Nasation, ( 1992), Ensiklopedia Islam Indonesia, IAIN Syarif Hidayatullah. Jakarta: Penerbit Djambatan, hal: 591-592

[2] ibid

[3] ibid

[4] ibid

[5] Amaluddin Darus, ( 1980), Komentar terhadap beberapa tulisan Syeikh Mahmud Syaltut. Kuala Lumpur: Penerbitan Pustaka Abad, hal: 4

[6] op cit, Prof. Dr H. Harun Nasation (1992),

[7] Syaltut, Mahmud ( 1989), Tafsir al Quran al Karim. Pendekatan Syaltut dalam menggali Esensi al Quran terj. Hossein Bahreisj, Bandung: Penerbit CV. Diponegoro, hal: 5

[8] Hossein Bahreisj( 1978), Dari Tepi Sejarah Islam. Surabaya: terbitan PT. Bina Ilmu. Dan buku terjemahan yang sedang dibincangkan. Manakala dalam buku-buku yang lain namanya mengikut ejaan Hussein.

[9] penulis tidak menjumpai maklumat khas mengenai beliau. Maklumat yang diberikan dibuat melalui pemerhatian penulis terhadap karya-karya beliau.

[10] Kebanyakan karya beliau diterbitkan di Bandung, Indonesia.

[11] Tafsir Mahmud Syaltut hanya sempat diterjemah oleh beliau pada jilid yang pertama iaitu cetakan tahun 1989 M bertarikh 30 Mac 1989 M.

[12] seperti yang dinyatakan di halaman terakhir bukunya yang berjudul " Tuntutan Islam"

[13] Hussein Bahreisj (t.t), Tuntutan Islam (Akidah dan Syariah). Surabaya: Terbitan al Ikhlas, setebal 242 halaman dan buku 450 Masalah Agama Islam (1987), terbitan, Kuala Lumpur: Penerbitan Pustaka Antara setebal 243 halaman.

[14] melalui survey yang dijalankan di pustaka-pustaka buku yang terdapat di Jalan TAR

[15] berdasarkan ulasan beliau dalam bukunya "Ajaran-ajaran Akhlak Imam Ghazali (1981), terbitan al Ikhlas.

[16] Op cit , Syaltut, Mahmud ( 1989), Hal: 142 jil : 1

[17] ibid, hal: 42, jilid: 1

[18] ibid, hal : 190, jil: 1

[19] ibid, hal: 53, jil: 1

[20] ibid, hal: 180, jil: 1

[21] ibid, hal: 552, jil: 2

[22] ibid, hal 83: jil 1 Surat al Baqarah tajuk 1. Alasan Diberi Nama Surat al Baqarah, hal :177, jil: 1 tajuk 1. Sebab Dinamai Ali ‘Imran,

[23] ibid, hal 112 jil:1 tajuk 9 Allah Pemilik Rahsia

[24] ibid, hal : 109, hal: 1

[25] ibid, hal: 1029, jil: 4

[26] ibid, hal: 1031, jil: 4

[27] ibid, hal : 959, jil: 4, tajuk 18. Lafadh “Yas-alunaka” di Dalam al Quran

[28] hal : 159, jil: 1, tajuk 19. Kata “ al Birr” dalam al Quran

Tiada ulasan:

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude