Semalam di 13 lokasi di seluruh negara- antaranya Petaling Jaya, Bangi, Shah Alam, Klang, Johor, Kuching, Pulau Pinang, Ipoh, Melaka dan Seremban, hampir 4,000-5,000 ahli MTUC (Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia) telah mengadakan piket dengan 2 tuntutan utama mereka iaitu gaji minimum RM 900 dan COLA(Elaun Sara Hidup) sebanyak RM 300 khusus untuk pekerja sektor swasta.
Bagi penjawat awam, lafaz syukur sepatutnya diungkapkan setelah menerima kenaikan gaji. Namun begitu, renung-renunglah bagi rakan-rakan yang bekerja di sektor swasta. Dengan majoriti masih mendapat gaji sekitar RM 300-RM400 sebulan, maka sepatutnya CEUPACS juga mendesak kerajaan agar menetapkan gaji minimum dan COLA untuk pekerja sektor swasta. Janganlah oleh kerana, tuntutan kita telah dipenuhi, maka nasib rakan-rakan yang masih keperitan kerana gaji yang kecil, maka kita buat-buat tak pandang!
Kepada pihak kerajaan, pertimbangkanlah perkara ini dengan sebaiknya. Saya bersetuju dengan kenyataan Presiden MTUC yang menyatakan mereka tidak berpuas hati kerana pihak kerjaan hanya memberikan komen di dalam media massa tentang memorandum mereka! Sebab itu, apabila TPM membuat kenyataan MTUC jangan berpiket lagi, bagi saya ahli MTUC tentu akan lebih memberontak! Kenapa CEUPACS boleh berunding dengan baik, tetapi tidak dengan MTUC? Apakah berlaku double standard?
Memang PM pernah menyatakan pihak kerajaan tidak boleh campur tangan dalam penentuan gaji oleh sektor swasta, tetapi sebagai pihak yang mempunyai kuasa-perkara ini boleh diatasi dengan mencari mekanisme yang terbaik untuk mengelakkan rakyat teramai yang menetap di bandar-bandar besar, dari terus menderita akibat pendapatan yang kecil dan tak sebanding dengan kos hidup yang tinggi!
Kepada pihak MTUC dan ahli-ahli bersabarlah. Insya Allah, kita mendoakan agar hasrat anda semua tercapai. Sebab itu, pentingnya kerajaan yang mengutamakan kebajikan rakyat dipilih berbanding yang hanya mengenyangkan kroni masing-masing sahaja! Imbaulah sejarah pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz yang hanya 2 tahun memerintah negara, tetapi tidak ada seorang pun di zamannya yang layak menerima zakat, kerana agihan pendapatan kekayaan yang sama adil. Firman Allah " Sekiranya penduduk sesebuah qaryah, beriman dan bertaqwa kepada Allah, nescaya akan Kami bukakan ke atas mereka keberkatan dari langit dan bumi..."
27 Jun 2007, 12 Jamadil Akhir 1428,
4.06 petang, Malaysia Timur
Tiada ulasan:
Catat Ulasan