Selasa, 27 Mei 2008

Umno pupus tahun 2013 jika Abdullah masih PM - Sanusi Junid


Eksklusif | KUALA LUMPUR, 26 Mei (Hrkh) - Bekas Naib Presiden Umno, Tan Sri Sanusi Junid mendakwa bahawa Umno bakal pupus dan lenyap pada tahun 2013 sekiranya tampuk pemerintahan negara masih dipegang oleh Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau menegaskan, kerana alasan itulah juga yang menyebabkan, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed bertindak keluar daripada Umno.

"Tun Mahatir tidak mahu lihat Umno ini hapus. Kalau macam sekarang, habis pilihan raya kita tengok macam mana perlantikan menterinya, kita lihat bahasa-bahasa yang digunakan dan komentar-komentar mereka.

"Jika ianya berlanjutan, pada tahun 2013, Umno akan pupus," katanya kepada Harakah dalam wawancara eksklusif dengan beliau di kediamannya dekat sini petang semalam.

Di tanya alasan beliau yang turut mengisyhtiharkan diri keluar parti, Sanusi berkata, tidak ada faedahnya beliau terus dalam Umno, jika tidak ada menampakkan sebarang perubahan bahkan beliau tidak sanggup berada dalam parti yang mencaci bekas pemimpinnya seperti Tun Mahathir.

"Kalau dia (Mahathir) tunggu dalam Umno dan tunggu sehingga 2013, maka dia adalah sebahagian daripada kemusnahan Umno dan dia adalah sebahagian daripada pemimpin yang tak mampu pertahankan Umno," kata Sanusi yang pernah memegang jawatan sebagai Menteri Pertanian dan Menteri Besar Kedah.

Beliau menegaskan, lebih baik pihak lain yang menggalas tugas sebagai Perdana Menteri berbanding Abdullah kerana individu tersebut masih belum ada kepentingan keluarga dan peribadi.

Katanya, sudah terbukti dalil-dalil yang menunjukkan dasar kepimpinan Abdullah begitu lemah sehingga situasi terkini orang mula mempersoalkan Raja-raja Melayu dan Dasar Ekonomi Baru.

"Waktu Tun lantik itu sebab nampak dia baik, bersih. Itu tak salah Tun Mahahtir. Rakyat juga percaya dia 'Mr Clean' sehingga 2004, kita menang rekod kemenangan manakala pada 2008 kita pegang rekod kekalahan pula.

"Masa menang 2004, dia kata faktor dia sahaja tetapi bila kalah 2008, dia kata bukan salah dia seorang. Kenapa dia tak mengaku pula?" kata Sanusi.

Ulasan : Nampaknya tekanan ke atas Pak Lah bukan dari Mahathir seorang tetapi juga penyokongnya. Saya yakin jika krisis dalaman UMNO ini tidak ditangani dengan bijak, UMNO akan pupus lebih awal dari 2013.


Isnin, 26 Mei 2008

Bangunkan P. Pisang - Bagi menjamin status kedaulatan pulau milik Malaysia


PONTIAN 25 Mei – Kerajaan perlu segera merangka program untuk membangunkan Pulau Pisang bagi menjamin status kedaulatan negara ke atas pulau tersebut berkekalan, selain memberi manfaat kepada masyarakat setempat.

Pada masa yang sama, Kerajaan Malaysia turut diminta mengkaji untuk mengambil alih pengurusan rumah api di pulau itu daripada Singapura.

Ahli Parlimen Pontian, Ahmad Maslan berkata, langkah itu penting kerana pulau tersebut mempunyai persamaan dari segi sejarah dengan Batu Putih.

Katanya, jika ia dibiarkan tanpa sebarang pembangunan sama ada oleh Kerajaan Persekutuan atau negeri, ia dibimbangi boleh membawa kepada satu lagi tuntutan bertindih.

“Ini kerana Pulau Pisang kini menempatkan rumah api yang diuruskan oleh pemerintah Singapura seperti mana yang mereka jalankan ke atas Batu Putih sejak sekian lama,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas merasmikan Mesyuarat Agung Perkumpulan Wanita (WI) Johor, di sini, semalam.

Oleh itu katanya, Kerajaan Pusat atau negeri perlu merangka pembangunan di Pulau Pisang sebagai mengambil iktibar daripada keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) terhadap Batu Putih yang kini menjadi milik republik itu.

“Cukuplah Singapura mempunyai hak ke atas Batu Putih dan menyerahkan sepenuhnya operasi rumah api di Pulau Pisang kepada Kerajaan Malaysia,” tegasnya.

Menurut beliau, Pulau Pisang yang mengandungi empat buah pulau kecil dengan keluasan 178.4 hektar jauh lebih besar daripada Batu Putih yang saiznya hanya 0.1 hektar.

“Mengambil pengalaman pahit orang Johor apabila Batu Putih menjadi milik mutlak Singapura, Pulau Pisang tidak sewajarnya menerima nasib yang sama apabila berlaku tuntutan pada suatu masa nanti.

“Justeru Kerajaan Pusat dan negeri perlu mencari jalan untuk membangunkannya supaya tiada lagi sebarang dakwaan mengenai pemilikannya pada masa depan,” katanya.

Tambah Ahmad, sebagai pulau yang terletak di kawasan Parlimen Pontian, banyak perkara yang boleh dilakukan supaya pulau tersebut ‘diaktifkan’ dan tidak hanya berfungsi sebagai rumah api seperti sekarang.

“Antaranya ialah pembinaan jeti yang dimiliki sepenuhnya oleh Malaysia bagi memudahkan pelawat mendarat pada waktu surut serta bekalan elektrik dan air bersih,” ujarnya.

Sekarang ini hanya terdapat satu jeti di pulau itu yang dikendalikan oleh pihak Singapura untuk tujuan pengurusan rumah api tersebut.

Selain itu kata Ahmad, Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ) boleh mencadangkan Pulau Pisang sebagai Taman Negara seperti Taman Negara Tanjung Piai dan Taman Negara Pulau Kukup.

Katanya, Pulau Pisang juga sesuai dijadikan tapak perkhemahan dengan syarat kemudahan awam seperti surau, tandas, bilik air dan sebagainya disediakan terlebih dahulu.

“Sebagai Ahli Parlimen, saya amat pedih apabila keputusan ICJ mengenai Batu Putih banyak mengkhususkan kepada pemilikan rumah api.

“Bagi mengelakkan perkara seperti itu tidak berulang lagi, Pulau Pisang sewajarnya tidak dibiarkan tanpa ada satu program pembangunan yang menguntungkan Malaysia dan negeri Johor,” jelasnya.

Tambahnya, beliau juga telah melawat Pulau Pisang baru-baru ini dan sebelum itu, Pegawai Daerah Pontian, Mislan Karmani pernah melawat pulau tersebut bersama-sama ketua-ketua jabatan peringkat daerah.

Katanya, segala aspek pembangunan yang dicadang akan dikaji supaya mesra alam dan kepada nelayan yang berteduh daripada cuaca buruk dan sebagainya.

Jelas beliau, Pulau Pisang juga boleh dijadikan destinasi pelancongan bagi Pontian dengan adanya aktiviti serta kegiatan yang ditawarkan kepada orang ramai.

“Tetapi yang penting ialah soal pemilikannya kepada Malaysia dan negeri Johor, walaupun rumah api itu diuruskan oleh Singapura disebabkan faktor sejarah lampau,” jelas Ahmad.

Ulasan : Diharapkan saranan ini tidak dipandang sepi oleh pemerintah. Pertahankan kedaulatan Pulau Pisang.


Tarik balik subsidi minyak golongan berkemampuan

KUALA LUMPUR 25 Mei – Kerajaan dicadangkan menarik balik subsidi minyak daripada golongan berkemampuan agar peruntukan itu dapat digunakan sepenuhnya untuk memberi subsidi kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

Pakar ekonomi, Tan Sri Ramon Navaratnam berkata, ia adalah antara mekanisme yang boleh dilaksanakan bagi menangani kesan kenaikan harga minyak dunia yang semakin meruncing sekarang.

Dengan cara itu, katanya, golongan berpendapatan sederhana dan rendah tidak akan terjejas akibat situasi tersebut.

“Kerajaan tidak boleh berterusan memberi subsidi kepada semua golongan kerana ini akan menyebabkan negara menerima kesan ekonomi yang teruk,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai skim subsidi baru yang akan diumumkan oleh kerajaan dalam masa terdekat ini sebagai usaha menangani kesan kenaikan melambung harga minyak di pasaran dunia sekarang.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, skim baru itu akan tetap mengambil kira kepentingan rakyat terutama golongan miskin dan berpendapatan rendah.

Ia ekoran harga minyak mentah dunia yang terus meningkat mencecah paras ketinggian baru melebihi AS$135 (RM432) setong semalam, berikutan kebimbangan terhadap kekurangan bekalan dan peningkatan permintaan global.

Ramon berkata, cara tersebut juga akan dapat mengatasi ‘kebocoran’ dalam pemberian subsidi harga minyak negara yang juga perlu ditangani segera oleh kerajaan.

“Subsidi yang tinggi di Malaysia menyebabkan penyeludupan minyak berleluasa dan akhirnya negara yang menerima kesan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Institut Tadbir Urus Korporat Malaysia (MICG), Datuk Seri Megat Najmuddin Megat Khas berkata, kerajaan perlu mewujudkan satu skim yang benar-benar kukuh dalam pemberian subsidi kepada pengguna.

Katanya, antara yang boleh dilaksanakan ialah dengan menggunakan maklumat pendapatan pengguna bagi menentukan mereka layak atau tidak untuk membeli minyak pada harga subsidi.

“Kelayakan subsidi kepada pengguna boleh ditentukan dengan mengenal pasti pendapatannya. Jika dia mampu, maka tidak perlu subsidi tetapi bagi yang kurang berkemampuan, mereka layak mendapat harga subsidi,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga harus mencari mekanisme terbaik bagi mengatasi ‘kebocoran’ dalam hal pemberian subsidi minyak memandangkan harga bahan itu di negara ini lebih murah berbanding negara jiran yang lain.

Katanya, subsidi secara berterusan akan meningkatkan ruang untuk kegiatan penyeludupan kerana wujudnya peluang menjual minyak subsidi pada harga yang tinggi di negara-negara jiran.

Ulasan : Saya bersetuju dengan cadangan ini. Rakyat yang berpendapatan rendah amat terkesan dengan kenaikan harga minyak.

KEDAULATAN PULAU BATU PUTIH:Kerangka Minda Di sebalik Tuntutannya


Ruhanie Ahmad

Sejarah membuktikan Pulau Batu Putih – biar hanya sebesar padang bola - adalah milik Kesultanan Johor. Pulau ini adalah warisan bangsa Melayu di bumi Malaysia yang berdaulat dan merdeka.

Malangnya, pada 23 Mei 2008, kedaulatan pulau ini telah dengan rasminya dirampas daripada Malaysia dan diserahkan kepada Singapura berasaskan pelbagai fakta bukan sejarah.

Fakta-fakta inilah yang telah dihurai, dikupas, dipertikai dan diwarnakan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengikut citarasa segelintir kuasa neoimperialis tertentu yang berkepentingan terhadap kegunaan strategik pulau berkenaan di bawah Singapura.

Ini bermakna, kedaulatan Malaysia ke atas Pulau Batu Putih tidak akan tergadai jika fakta bukan sejarah tidak dijadikan asas utama tuntutan Singapura.

Ini bermakna, Singapura yang disifatkan sebagai sahabat Malaysia, jelas tidak menghormati fakta sejarah bila ia menuntut kedaulatan pulau tersebut.

Ini bermakna, ketulenan persahabatan Singapura terhadap Malaysia adalah sesuatu yang perlu sentiasa dikaji dan sentiasa dicurigai.

Ini juga bermakna, fakta sejarah tidak boleh dijadikan jaminan tunggal untuk Malaysia mempertahankan kedaulatan mana-mana wilayahnya yang berhampiran Singapura di hari muka.

Daripada hujah di atas, Singapura seolah-olah menuntut kedaulatan Pulau Batu Putih berasaskan kerangka minda bahawa mana sahaja wilayah jiran tetangganya yang difikirkan strategik kepada survivalnya, boleh dituntut dan dijadikan miliknya, asalkan wujud undang-undang dan ruang perundangan yang boleh diheret hingga ke ICJ.

Kerangka minda seperti ini adalah manifestasi betapa rakus dan betapa terdesaknya pulau kecil ini untuk menguasai ruang dan bumi yang lebih besar dan luas di luar lingkungan kedaulatannya bagi menampung penduduknya yang dipercayai berkembang hingga 10 juta orang di hari mendatang.

Insaflah. Republik pulau ini adalah sekutu Israel dan Amerika Syarikat (AS) di Asia Tenggara. Lantas, mustahilkah jika Pulau Batu Putih suatu hari kelak ditukar menjadi satu kompleks ketenteraan yang canggih dan moden demi memenuhi kepentingan strategik dan kepentingan geopolitik sekutu-sekutunya di abad ke-21 di rantau ASEAN?

Kita mesti sentiasa tegas dan waspada. Kita juga mesti berani bersuara bahawa walau keputusan ICJ memang muktamad, ini tidak bermakna kita mesti merelakannya atau mesti tunduk kepada Singapura.

Hakikatnya, di bumi Malaysia kini masih terdapat pelbagai lagi kepentingan strategik Singapura, termasuklah beberapa loji takungan air di Johor.

Siapa boleh menjangka suatu hari nati, atas asas undang-undang, lokasi ini juga mungkin diheret ke ICJ supaya kedaulatannya diserahkan kepada Singapura?

Pertanyaan ini memang keterlaluan. Tetapi, tindakan Singapura menuntut kedaulatan Pulau Batu Putih juga adalah sesuatu yang mustahil jika republik itu benar-benar tulen dalam merangka, memelihara dan menghargai persahabatannya dengan kita.

Jadi, tidakkah sikap “hati kering” negara itu perlu sentiasa dicurigai dan dicemburui sepanjang hayat? Atau, mestikah kita perlu adakan majlis jamuan makan durian dan golf bilateral pada setiap tahun dengan Singapura?

Perlukah ada lagi pembesar kita mengelirukan rakyat jelata dengan menyifatkan keputusan ICJ kononnya “kemenangan bersama” kepada Malaysia dan Singapura?

Perlukah Perdana Menteri kita meluahkan retorika diplomasi kononnya yang “menang pun tak menang semua” dan yang “kalah pun tak kalah semua” kerana “itulah keadilannya” dan “keadilan itu mestilah diakui’’?

Kenyataan seperti di atas hanya mencerminkan kedangkalan segelintir pembesar kita dalam mentafsirkan perkembangan geopolitik serantau dan global dalam konteks survival negara-bangsa di hari muka.

Kenapa tidak ramai pembesar kita yang berani bersuara seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menegur Singapura “supaya tidak angkuh dengan keputusan ICJ” itu.

Oleh itu, dalam kita kesedihan, wajarlah kita yakin bahawa Allah SWT memberikan kita kekalahan ini untuk menguji sejauh manakah kebijaksanaan kita mentafsirkan hikmah di sebalik kehilangan kedaulatan ke atas Pulau Batu Putih.

Allah SWT juga memberikan kekalahan ini untuk menduga kepintaran kita menyedari dan menginsafi wilayah mana lagikah yang boleh dirampas kedaulatannya daripada kita oleh pihak asing di hari muka.

Dengan keinsafan seperti ini, pembesar kita perlu cerdas berfikir dan pantas bertindak. Seluruh kepentingan strategik Singapura di Johor perlu dikaji semula supaya tidak memungkinkan “pisang berbuah dua kali” dalam konteks kedaulatan negara.

Kajilah keseluruhannya secara teliti, tegas dan profesional. Auditlah keseluruhannya untuk memastikan tiada cacat celanya. Demi agama, bangsa dan negara, jangan kita beri muka kepada mana-mana pihak yang amat licik untuk bermuka-muka!

Sesudah itu, pastikanlah bahawa seluruh pemimpin kita adalah kelompok yang faham, sensitif, pintar dan mampu mentafsir kerangka minda Singapura terhadap Malaysia supaya kefahaman itu membolehkan kita sentiasa menentingkan kedaulatan negara dan maruh bangsa bila berurusan dengan republik berkenaan di hari muka.

Ulasan : Memang sedih bilamana kedaulatan Pulau Batu Putih diserahkan kepada Singapura. Dan sebagaimana kata penulis, Singapura pastinya mempunyai misi tersendiri di sebalik tuntutannya ke atas pulau ini. Pemerintah perlu berusaha mengelakkan kejadian seumpama ini berulang.

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude