
1) Selamat berpuasa pada semua pengunjung blog ini. Nampaknya benarlah dikatakan Ramadhan bulan berkat dan bulan melimpah ruahnya rezeki.
2) Saya bersyukur kepada Allah kerana pengunjung blog ini bertambah sekali ganda dari bulan biasa, dan saya yakin ianya kerana artikel yang berkaitan dengan Ramadhan yang terdapat di dalam blog ini yang telah saya post berdasarkan tulisan Ustaz Azhar Yahya dalam Risalah Mimbar Ulama. Walaupun telah hampir 3 tahun, namun saya yakin ianya masih relevan buat mereka yang mencari artikel yang sesuai di bulan Ramadhan ini.
3) Alhamdulillah, sehingga saat ini kita masih diberikan peluang untuk Allah bertemu Ramadhan yang mulia pada tahun ini. Esok lusa belum tentu kita masih hidup, justeru segala masa yang terluang diisi sebaik mungkin dengan amal ibadah. Dan saya pernah menyatakan alangkah baiknya, sekiranya Allah menjemput kita pulang kepadaNya ketika saat kita tekun beribadah.
4) Sesungguhnya tiada bulan lain sehebat Ramadhan. Bahkan Nabi SAW pernah menegaskan, sekiranya umatku tahu betapa besarnya kelebihan Ramadhan, pasti mereka akan mengharapkan sebelas bulan yang lain juga seumpama bulan Ramadhan.
5) Akhir zaman ini, iman kita tidak sehebat para sahabat dan tab'in. Apabila Ramadhan menjelang tiba, mereka sangat bergembira kerana ibarat bertemu kekasih yang sekian lama dirindui. Dan perginya Ramadhan ditangisi mereka. Namun, ada di antara kita yang mengeluh bila Ramadhan tiba,seolah-olah inilah bulan yang menyusahkan kita. Jalan sesak luar biasa lantaran ramai yang pulang awal kerana mengunjungi bazar Ramadhan, bulan di mana produktiviti menurun kerana alasan letih dan penat berpuasa. Bahkan yang lebih malang, ada yang memikirkan apa alasan yang relevan untuk membolehkannya tidak berpuasa.
6) Ingatlah ancaman Nabi SAW-bahawa mereka yang sengaja meninggalkan puasa dan menqadha'nya kembali, nescaya tidak menyamai puasa yang ditinggalkan itu. Selain itu, fenomena biasa di bulan Ramadhan ini adalah bazar Ramadhan. Saya berpesan kepada diri saya dan pengunjung semua, janganlah mata kita lebih besar dari perut, Benar, syaitan telah dirantai namun nafsu masih lepas bebas dan akan mendorong kita melakukan pembaziran yang tidak sepatutnya.
7) Moga Ramadhan kali ini terbaik buat kita dan andaikata ia yang terakhir, moga Allah menerima segala amalan kita di dalam Ramadhan yang mulia ini. Amin.
12 Ogos 2010, 2 Ramadhan 1431 Hijrah
8.19 pagi, Malaysia Timur
Tiada ulasan:
Catat Ulasan