Jumaat, 13 Ogos 2010

Perginya seorang ulama hebat-Almarhum Ustaz Sonhadji Mohamad




(Gambar kredit kepada www.rudyherman.com)


1) Benarlah janji Allah, setiap yang hidup pasti merasai mati.

2) Namun apa yang lebih mengesankan jiwa kita, apabila mereka yang bergelar alim ulama, seorang demi seorang meninggalkan kita.

3) Yang saya maksudkan ialah Almarhum Ustaz Sonhadji Mohamad yang kembali ke rahmatullah pada pagi semalam. Di dalam hati saya, hanya satu yang terlintas-mulianya Almarhum yang dijemput Allah pada hari kedua Ramadhan.

4) Saya yakin ramai dari kita pernah membaca kitab tafsir beliau yang terkenal iaitu Tafsir al-Qur'an di Radio yang mengandungi tafsir 30 Juzu' al-Qur'an.

5) Meskipun tidak pernah bersua dengan Almarhum, namun saya meyakini betapa Almarhum di antara ulama yang disegani di rantau Nusantara ini.

6) Seingat saya, penyelia saya di Universiti Malaya, Prof Dato' Dr Zulkifli Yusof membuat kajian tentang metodologi kitab tafsir Almarhum sebagai tajuk tesis PhD beliau.

7) Ternyata, Allah lebih menyayangi Almarhum yang sudah berusia lebih 80 tahun. Dalam hal ini, meningatkan saya bagaimana pesanan Nabi SAW, bahawa Allah akan mencabut nyawa orang yang berilmu di kalangan kamu. Maka, yang tinggal adalah mereka yang jahil dan diangkat menjadi pemimpin. Apabila memberi fatwa atau keputusan, bukan sekadar mereka sesat, bahkan mereka juga menyesatkan orang lain.

8) Moga Allah mencucuri rahmat ke atas ruh Almarhum dan segala jasa budinya diiktiraf sebagai amal soleh. Al-Fatihah.



13 Ogos 2010, 3 Ramadhan 1431 Hijrah

8.25 pagi, Malaysia Timur

Khamis, 12 Ogos 2010

Ahlan wa Sahlan wa Marhaban Ya Ramadhan Kareem



1) Selamat berpuasa pada semua pengunjung blog ini. Nampaknya benarlah dikatakan Ramadhan bulan berkat dan bulan melimpah ruahnya rezeki.

2) Saya bersyukur kepada Allah kerana pengunjung blog ini bertambah sekali ganda dari bulan biasa, dan saya yakin ianya kerana artikel yang berkaitan dengan Ramadhan yang terdapat di dalam blog ini yang telah saya post berdasarkan tulisan Ustaz Azhar Yahya dalam Risalah Mimbar Ulama. Walaupun telah hampir 3 tahun, namun saya yakin ianya masih relevan buat mereka yang mencari artikel yang sesuai di bulan Ramadhan ini.

3) Alhamdulillah, sehingga saat ini kita masih diberikan peluang untuk Allah bertemu Ramadhan yang mulia pada tahun ini. Esok lusa belum tentu kita masih hidup, justeru segala masa yang terluang diisi sebaik mungkin dengan amal ibadah. Dan saya pernah menyatakan alangkah baiknya, sekiranya Allah menjemput kita pulang kepadaNya ketika saat kita tekun beribadah.

4) Sesungguhnya tiada bulan lain sehebat Ramadhan. Bahkan Nabi SAW pernah menegaskan, sekiranya umatku tahu betapa besarnya kelebihan Ramadhan, pasti mereka akan mengharapkan sebelas bulan yang lain juga seumpama bulan Ramadhan.

5) Akhir zaman ini, iman kita tidak sehebat para sahabat dan tab'in. Apabila Ramadhan menjelang tiba, mereka sangat bergembira kerana ibarat bertemu kekasih yang sekian lama dirindui. Dan perginya Ramadhan ditangisi mereka. Namun, ada di antara kita yang mengeluh bila Ramadhan tiba,seolah-olah inilah bulan yang menyusahkan kita. Jalan sesak luar biasa lantaran ramai yang pulang awal kerana mengunjungi bazar Ramadhan, bulan di mana produktiviti menurun kerana alasan letih dan penat berpuasa. Bahkan yang lebih malang, ada yang memikirkan apa alasan yang relevan untuk membolehkannya tidak berpuasa.

6) Ingatlah ancaman Nabi SAW-bahawa mereka yang sengaja meninggalkan puasa dan menqadha'nya kembali, nescaya tidak menyamai puasa yang ditinggalkan itu. Selain itu, fenomena biasa di bulan Ramadhan ini adalah bazar Ramadhan. Saya berpesan kepada diri saya dan pengunjung semua, janganlah mata kita lebih besar dari perut, Benar, syaitan telah dirantai namun nafsu masih lepas bebas dan akan mendorong kita melakukan pembaziran yang tidak sepatutnya.

7) Moga Ramadhan kali ini terbaik buat kita dan andaikata ia yang terakhir, moga Allah menerima segala amalan kita di dalam Ramadhan yang mulia ini. Amin.



12 Ogos 2010, 2 Ramadhan 1431 Hijrah

8.19 pagi, Malaysia Timur

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude