1) Setelah hampir seminggu-kebanyakan post dalam blog ini berkisar tentang politik tanahair. Maka, ada baiknya hari ini, yang kebetulan cuti Good Friday di Sarawak, untuk merehatkan minda seketika.
2) Hari ini, kabinet rakyat impian Najib dan dipuji oleh Mahathir, telah mengangkat sumpah. Mereka akan dinilai setiap 6 bulan berdasarkan KPI(Key Performance Index). Jika gagal menunjukkan prestasi terbaik, maka segala masalah akan dirungkaikan-itu janji Najib.
3) Bila saya mengenang balik sepanjang hari ini, hari Jumaat yang penuh keberkatan-terasa damai dan tenang bila bercuti pada hari ini. Tidak perlu tergesa-gesa ke masjid, dan kemudiannya bergegas kembali ke pejabat. Teringat kenangan di Kelantan, dapat mendengar kuliah MB Kelantan pada pagi Jumaat.
4) Sebab itu, ada anjuran agar cuti hujung minggu di seluruh negara diseragamkan. Dan hari Jumaat-adalah hari terbaik. Benar firman Allah menyatakan-selepas solat Jumaat, bertebaranlah di muka bumi untuk mencari rezeki, tetapi tidak bermaksud kita tidak boleh cuti. Sebaliknya selepas Jumaat, diisi dengan amal dan kerja yang berfaedah.
5) Di hujung minggu ini, masih ada program yang perlu dipantau. Mudah-mudahan, ia berjalan lancar. Alhamdulillah, bila berhadapan dengan golongan remaja dan belia, menjadi suatu kesukaan saya. Kerana merekalah generasi pewaris dan pada merekalah kita berkongsi ilmu, pengalaman dan mendidik mereka semampu mungkin. Pesan Nabi SAW " Manusia itu seumpama 100 ekor unta. Hampir-hampir sahaja tiada yang layak untuk ditunggangi". Nasihat Ustaz Yahya Othman-murabbi yang saya kagumi dalam jamaah - untuk mendidik dan mentarbiyyah seorang insan bukan mudah. Dan melahirkan insan berkualiti, memerlukan proses berterusan, tanpa mengenal putus asa.
6) Berada di Bumi Kenyalang hampir 2 tahun lebih, saya cuba menyahut cabaran Ustaz Hasrizal Jamil(saifulislam.com), agar dibuat satu rumusan dan kajian kaedah bersiasah di Malaysia Timur. Melihat keputusan di Batang Ai, baru-baru ini- saya yakin, menjelang pilihanraya DUN pada 2010 atau 2011, akan berlaku perubahan. Syaratnya, penerangan dan pendekatan yang berhikmah-mengajak mereka menghayati Islam yang syumul, dalam seluruh aspek kehidupan.
7) Akhir kalam, moga di hari mulia ini, minda kita tenang seketika, sebelum meneruskan perjuangan di hari-hari mendatang.
10 April 2009, 14 Rabi'ul Akhir 1430 Hijrah,
4.27 petang, Malaysia Timur
Tiada ulasan:
Catat Ulasan