Salam buat semua pembaca budiman. Saya kira dalam masa 2-3 hari ini, isu kegagalan Protes akan terus dibincangkan oleh media massa dan para bloggers. Tidak seperti Himpunan Bersih pada Februari 2008 yang lalu, Protes kali ini kelihatan gagal untuk menarik sebahagian besar masyarakat untuk turun memprotes kenaikan harga minyak dan kos kehidupan yang semakin meningkat.
Dicemari insiden penyanyi kumpulan underground yang cuba melondehkan seluar di depan khalayak(walaupun beliau menyatakan ada unsur sabotaj dan terlampau makhsyuk dengan lagu yang didendangkan), sebagai rakyat Malaysia dan individu Muslim, sukar kita menerima hiburan seumpama ini.
Boikot oleh Unit Amal PAS seramai 700 orang membuktikan PAS sebagai sebuah parti yang berteraskan Islam tidak akan berkompromi dengan hal sebegini. Biarpun Hishamduddin Rais sebagai Pengarah Persembahan, mengaku bertanggungjawab, tetapi ia ibarat akibat nila setitik, rosak susu sebelanga. Insiden ini dijadikan modal oleh pemerintah untuk menafikan keupayaan penganjur Protes dalam mengendalikan perhimpunan secara profesional dan teratur.
Bagi saya, pengalaman bersama dengan kumpulan sosialis yang diterajui Hishamuddin Rais yang berpusat di Bangsar, menyedarkan saya bahawa walaupun namanya Islam, tetapi jauh dari penghayatan agama. Benar mereka sangat menentang rasuah, kronisme dan juga penyelewengan dalam pentadbiran negara, tetapi pada waktu yang sama ada di antara mereka yang mengabaikan solat, seks bebas dan dicandukan dengan hiburan underground.
Iktibar dari Protes 678, sebagai ahli Pakatan Rakyat, pimpinan PAS dan ahli PAS sewajarnya berpegang teguh dengan prinsip mereka di samping bertolak ansur dalam perkara yang selama mana tidak bercanggah dengan syarak. Masih ada ruang dan peluang untuk berdakwah dengan ahli Pakatan Rakyat yang lain seperti PKR dan DAP.
Benar, matlamat dan tujuan PR sama-tetapi ahli PR perlu menghormati prinsip ahli PR yang lain. Saya tetap yakin, Islam adalah agama yang terbaik. Insya allah jika kena cara dan strateginya, tidak mustahil PAS mampu mengetuai Pakatan Rakyat di sebalik isu samar kebenaran liwat yang menimpa Anwar Ibrahim, yang masih sukar diramal strategi dan pendekatan politiknya.
Marliah kita berdoa, agar Pakatan Rakyat terus teguh. Jangan hanya kerana tersilap langkah dan tidak berfikir bijak, akhirnya Pakatan Rakyat jadi rapuh dan lalu roboh !
7 Julai 2008, 4 Rejab 1429 Hijrah
Malaysia Timur, 6.50 petang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan