MEMORANDUM RAKYAT
Kadar inflasi dijangka melebihi 5 peratus berikutan kenaikan harga bahan api yang diumumkan oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 4 Jun 2008. Menurut Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, jumlah peningkatan ini adalah melebihi 4.2 peratus daripada anggaran awal yang ditetapkan iaitu pada 2.5 peratus bagi keseluruhan tahun ini.
Kami selaku rakyat berasa tertipu kerana sebelum ini, Kerajaan BN melalui Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, sewaktu melancarkan manifesto Pilihanraya BN, pada 25 Februari 2008 telah menjanjikan bahawa minyak tidak akan naik pada tahun ini (2008).
Selepas kemenangan tipis BN pada pilihanraya umum, 8 Mac lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad pada 3 Jun 2008 telah membayangkan harga minyak petrol dan diesel akan naik mulai Ogos 2008 apabila sistem subsidi diberi penstrukturan semula.
Namun, sebaik sahaja tamat mesyuarat mingguan Kabinet pada 4 Jun 2008, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan bahawa Harga petrol naik sebanyak 78 sen, iaitu dari RM1.92 sebelumnya kepada RM2.70 dan diesel pula naik kepada RM2.58, iaitu naik RM1 berbanding harga sebelumnya sebanyak RM1.58 seliter.
Tidak cukup dengan itu, Kerajaan BN juga mengumumkan kenaikkan kadar tarif elektrik mulai 1 Julai 2008, iaitu antara 18% -26%. Berita tersebut bertentangan dengan kehendak rakyat yang sebelum ini begitu percaya dengan manifesto BN iaitu “Selamat, Aman, Makmur”.
Maka, atas segala penipuan, sikap yang tidak beramanah dan ketidakprihatinan yang ditunjukkan, kami rakyat Malaysia bersatu hati membantah tindakan menaikkan harga Minyak dan Elektrik, sekaligus menuntut agar:
1. Kerajaan BN menurunkan semula harga minyak pada harga asal memandangkan Kerajaan masih lagi mampu menikmati cukai dari keuntungan Petronas yang meningkat saban tahun. Mengikut penyata kewangan Petronas pada tahun 2007, Kerajaan mendapat RM48.3 bilion dalam bentuk cukai, dividen dan royalti daripadanya.
2. Kerajaan BN juga wajar menghadkan penjualan minyak kepada warganegara asing di sempadan negara. Keputusan menarik semula larangan penjualan minyak dalam kawasan 50km dari sempadan adalah tidak strategik kerana negara kita kini hanya mempunyai rizab minyak sebanyak 3 billion tong jika dibandingkan dengan 28,294,120 penduduk yang ada. Secara keseluruhannya rizab untuk kegunaan setiap individu hanyalah 106 tong dengan nilai tidak kurang dari RM 40,000. Dengan pembatalan larang penjualan kepada rakyat negara asing maka 28,294,120 rakyat negara ini terpaksa berkongsi rizab minyak berkenaan dan jumlah perkapita mungkin kurang dari 106 tong pada masa ini.
1. Kerajaan BN perlu menstrukturkan semula perbelanjaan semua projek-projek mega seperti WPI (RM200 billion), NCER (RM117 billion), ECER (RM112 bilion), SDC (115 Billion), SCORE (RM 334 billion). Pembaziran sebanyak RM10.996 juta bagi majlis pelancaran NCER pada tahun 2007 wajar dipandang serius kerana ianya melibat suatu jumlah yang besar dan sebahagian besarnya di tampung oleh hasil cukai yang dikutip dari Petronas.
2. Kerajaan BN juga harus bertanggungjawab menyelesaikan isu pembelian pesawat tempur Sukhoi SU-30MK sebanyak RM3.2 billion, pembelian kapal selam Scorpene RM530 juta, pembatalan Jambatan Indah sebanyak RM237 juta, penganjuran Monsoon Cup di Terengganu yang memakan ratusan juta ringgit, dan skandal Port Klang Free Zone (PKFZ) yang memakan belanja RM4.681 bilion. Ke semua kerugian di atas perbelanjaan yang melampau ini wajar ditanggung oleh semua anggota pimpinan BN dan bukannya keseluruhannya rakyat melalui kenaikkan harga minyak.
3. Kerajaan BN harus mempercepatkan pemerolehan sumber tenaga alternatif bagi keperluan rakyat dengan meningkatkan pelaburan strategik untuk manfaat jangka panjang tanpa dibebani oleh unsur-unsur rasuah dan juga penyalahgunaan sumber. Dalam masa yang sama Kerajaan BN perlulah menguasai kepentingan dalam industri elektrik dan sumber tenaga negara agar kawalan harga dapat di lakukan sesuai dengan kemampuan dan keperluan rakyat.
4. Kerajaan BN juga perlulah bertanggungjawab di atas kerugian yang di alami oleh pengusaha pengangkutan awam dan juga pengendali kenderaan penghantaran serta industri yang dipengaruhi oleh kenaikkan harga minyak dan elektrik ini.
5. Kerajaan BN perlulah memastikan harga barangan pengguna berada pada paras sedia ada dan tidak naik secara mendadak berikutan dari pengumuman harga baru minyak.
6. Kerajaan BN disarankan mengambil alih pengurusan atau memansuhkan tol-tol diseluruh negara agar ianya tidak membebankan rakyat hingga menyebabkan hasil cukai Petronas dibazirkan untuk menampung kos operasi berganda oleh konsensi sedia ada.
7. Kerajaan BN juga di minta untuk memastikan kadar gaji minimum RM 900 dikuatkuasakan dalam semua sektor bagi memastikan rakyat dapat menyara kehidupan mereka sesuai dengan perkembangan ekonomi semasa.
8. Kerajaan BN dituntut untuk membuat permohonan maaf secara terbuka kepada rakyat dan tidak menghalang sebarang bentuk bantahan dan protes yang dilakukan oleh rakyat secara aman.
9. Kerajaan BN juga perlulah memecat Menteri-menteri dan Timbalan yang yang terlibat dengan skandal penyalahgunaan dan pembaziran dana negara hingga menyebabkan beban hutang negara meningkat dan membebankan rakyat.
Sekian pandangan dan tuntutan kami.
“Ke Arah Negara Bersih dan Berkebajikan”
Ulasan : Kita menggesa agar pemerintah mengambil serius tuntutan ini yang dilaksanakan oleh Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan !
Tiada ulasan:
Catat Ulasan