TERAS mengesa agar sidang khas Parlimen diadakan untuk membincangkan kesan kenaikan harga minyak yang telah diumumkan serta sedang berkuatkuasa sejak kelmarin.
TERAS berpendapat adalah penting untuk isu ini tidak meletuskan keadaan yang tidak terkawal dan menjejaskan keselamatan Negara apabila kemarahan rakyat tidak dapat dibendung.
Kemarahan rakyat yang sepatutnya dapat dijangka oleh pihak kerajaan tidak boleh dibiarkan kerana isu ini memberi kesan yang sangat besar kepada golongan yang berpendapatan rendah.
Kami berpendapat pihak kerajaan kurang bijak memutuskan kenaikan yang besar ini sedangkan kerajaan sendiri tahu benar implikasi yang akan berlaku.
Membentangkan dan berbincang dengan semangat menjaga kepentingan nasional sepatutnya diadakan di Parlimen agar suatu permuafakatan antara semua ahli parlimen dari pelbagai parti dapat dibuat.
Soalnya kenapa keputusan ini dianggap boleh diurus oleh kerajaan jika berlaku kemarahan rakyat dengan hanya memberi pengumuman bahawa kerajaan akan memberi subsidi yang lain untuk merengankan bebanan rakyat. Kerajaan tidak boleh bersikap ambil mudah seoalah-olah rakyat akhirnya akan terima keputusan ini tanpa bantahan dengan mengandaikan rakyat tidak berkuasa berbuat apa-apa.
Kami percaya jika kerajaan mengambil sikap telus dan jujur menerangkan siatuasi sebenar serta dapat menunjukkan langkah yang lebih akomodatif terhadap krtitikan pembangkang bagi memberi penjelasan yang benar dan tepat , keadaan tegang seperti yang berlaku sekarang dapat dielakkan.
TERAS berpendapat sememangnya ada asas bila rakyat ingin melahirkan rasa tidak puas hati terhadap situasi yang mereka hadapi terutama bila pihak kerajaan tidak mahu mendengar rintihan dan keresahan rakyat. Keadaan akan menjadi lebih rumit apabila persoalan ketidaktelusan , kepincangan mengguna wang Petronas tidak dijelaskan secara terbuka dan jujur oleh kerajaan.
TERAS mendesak agar sidang khas Parlimen diadakan secepat mungkin supaya keadaan yang sebenarnya dapat dibahas dengan lebih rasional agar keadaan kacau bilai awam dapat dielakkan. Ahli Parlimen boleh dengan itu mencapai kesepakatan untuk menjelaskan kepada rakyat bagaimana Negara perlu menghadapi situasi yang meruncing ini.
Mohd Azmi Abdul Hamid
TERAS Pengupayaan Melayu
Teras Pengupayaan Melayu (Teras) dalam satu kenyataannya hari ini berkata, rakyat berhak melahirkan rasa tidak senang dengan kenaikan harga barang akibat keputusan kerajaan menaikkan harga minyak.
Begitupun Teras juga mengesa rakyat turut bertanggung jawab untuk memastikan keperluan generasi mendatang tidak digadaikan hanya kerana kita mahu semuanya murah pada waktu kini, kata Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid.
Teras mengambil perhatian berat bahawa dengan gaya kepenggunaan yang tidak terkawal oleh rakyat, kedudukan sumber alam yang masih ada sekarang akhirnya akan kehabisan untuk generasi mendatang.
"Sementara kita memperjuangkan agar kerajaan lebih bertanggung jawab untuk memastikan kenaikan kos dapat dikawal supaya golongan berpendapatan rendah tidak menjadi mangsa.
"Kita juga harus turut bertanggung jawab supaya kita tidak menghabiskan sumber kini hanya kerana kita mahu memuaskan kehendak kita sekarang dengan rakus," ujar Mohd Azmi.
Lantaran itu rakyat juga perlu mengambil sikap yang lebih realistik, katanya.
Sumber seperti minyak, air, tanah, hutan dan kehidupan laut perlu diguna dengan berhemat, ujarnya.
"Jika tidak, seluruh sumber kita akan terjejas akibat kerakusan kita sekarang.
"Krisis kenaikan harga minyak sekarang mahu tidak mahu akan memaksa kita menilai semula semua tabiat kita yang membazir dan melaksanakan kepenggunaan yang melampau," katanya.
Kritik pembaziran oleh kerajaan
Teras sememangnya mengkritik kerajaan yang tidak berhati-hati dalam membelanjakan wang untuk projek-projek membazir.
Akan tetapi tabiat sebahagian rakyat yang terlalu bernafsu ketika membeli juga tidak akan membantu menyelesaikan masalah, ujarnya.
"Kami dengan itu menyeru agar ketika kita berhadapan dengan krisis global dan nasional ini, kita semestinya bertindak supaya segala perangai kepenggunaan yang membazir perlu berubah," katanya.
Langkah perubahan
Teras seterusnya menyenaraikan bebarapa perubahan yang perlu berlaku di kalangan rakyat seperti berikut:
1.Utamakan hanya keperluan yang asas dalam kehidupan seharian. Ertinya jangan membeli kecuali jika ia benar-benar perlu. Alih gaya hidup agar mengelakkan membeli hanya kerana mengikut tren dan terpengaruh dengan iklan.
2.Kita harus melakukan langkah penjimatan dalam semua penggunaan air, eletrik, dan segala kerja harian yang menggunakan sumber alam. Belajar mendapatkan tip bagaimana melakukan penjimatan bukan sahaja ketika keadaan sempit tetapi membudayakan tabiat berjimat pada setiap masa.
3. Elakkan perbelanjaan yang tidak perlu malah memudhratkan kesihatan seperti merokok , minum kopi dan makan daging yang berlebihan.
4.Sederhanakan perbelanjaan dalam semua acara sosial seperti kenduri dan majlis-majlis jamuan.
5.Menggunakan pengangkutan awam dalam keadaan tertentu.
Teras percaya banyak lagi perkara praktikal yang boleh dilakukan oleh masyarakat untuk menghadapi fenomena global yang menekan negara kita, katanya.
Hidup mewah pemimpin perlu diubah
Teras semmemangnya kesal dengan kedaan di mana banyak lagi kepincangan perbelanjaan kerajaan yang sepatutnya diperbetulkan terutama cara hidup mewah pemimpin-pemimpin negara.
"Ini patut dikritik, Teras menuntut agar tindakan semua pegawai dan pemimpin kerajaan mengurangkan perbelanjaan dalam semua aspek pengurusan dilakukan tanpa kecuali.
"Pokoknya semua pihak harus bersatu dalam ketika yang sangat mencabar ini dan berusaha mengurangkan kesensaraan rakyat terutama di kalangan mereka yang miskin dan berpendapatan rendah. Dengan cara itu kita harus mengerakkan perubahan," kata Mohd Azmi.
Lihat http://temanteras.wordpress.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan