Isnin, 12 Mei 2008

Selamat Hari Ibu


Saya tidak pasti mengapa kita menetapkan hanya pada 11 Mei merupakan sambutan Hari Ibu.
Sedangkan sebagai anak dan mengikut pandangan Islam, setiap hari adalah hari ibu dan hari bapa. Ini kerana kita disuruh untuk mendoakan kebaikan ibu dan bapa kita setiap hari, setelah selesai melaksanakan solat.

Alhamdulillah saya bersyukur dengan segala apa yang saya miliki pada hari ini. Dengan keluarga yang bahagia, isteri yang menyayangi, anak yang pintar, adik-beradik yang memahami serta sedikit harta yang ada dalam kadar sederhana, saya meyakini ianya hasil berkat doa ibu dan ayah yang saya kasihi.

Walaupun berada jauh dari mata mereka, tetapi saya merasakan ibu dan ayah tetap dekat di hati. Dengan jarak yang jauh hampir beribu kilometer dan dipisahkan oleh Laut China Selatan, saya yakin bukan jarak yang menjadi ukuran, tetapi bagaimana ingatan terhadap orang tua yang paling penting. Apa guna duduk serumah, tetapi tidak bersama dan banyak masalah, tanpa menafikan ada mereka yang bahagia duduk bersama orang tua dan berusaha menjaga orang tua mereka dengan penuh kasih sayang.

Ye, the power of love sebagaimana kata-kata Ustaz Hasrizal Jamil cukup menyedarkan saya. Tanpa ibu dan bapa, kita tidak mungkin lahir ke dunia. Tanpa kasih sayang mereka juga, tidak mungkin kita menjadi seorang manusia. Saya teringat kata pepatah Arab, "Bukanlah dinamakan seorang anak yatim itu bila kematian ayah atau ibunya, tetapi cukup apabila ibu atau ayahnya mengabaikannya" .

Justeru, selagi kita masih mempunyai 2 orang tua, kasihilah mereka sebagaimana mereka mengasihi kita. Seorang ibu tidak mungkin dapat melelapkan mata, dalam memikirkan apa yang akan dimakan oleh anaknya yang berada di perantauan. Tetapi si anak biasanya, tidak ingat kepada ibu, lantaran sibuk dengan tugasan dan keluarga sendiri.

Saya berdoa kepada Allah agar kedua orang tua saya diredhaiNya sepanjang masa, dimurahkan rezeki dan dikurniakan kesihatan untuk beramal ibadah. Terima kasih buat ibuku yang sentiasa mendoakan kebahagiaan dan kejayaan anakmu ini. Dan terima kasih juga buat ayahku yang banyak berkorban dalam memastikan aku mendapat pendidikan yang sempurna.

Buat makluman pembaca budiman juga, 7 Mei yang lepas juga genap umur saya 28 tahun. Dan kalau mengikut bulan Islam, umur saya akan menjangkau 29 tahun pada bulan Rejab 1429 H nanti. Moga di kala usia yang masih muda ini, saya terus diberikan kekuatan untuk terus berdakwah dalam segala ruang dan peluang yang ada. Terima kasih Ya Allah, meletakkan aku di Bumi Kenyalang ini, agar dapat kukutip mutiara ilmu dan selaut pengalaman dalam berdakwah, sebelum aku diberi kesempatan untuk berpindah semula ke Semenanjung.

12.21 tengahari, Malaysia Timur

12 Mei 2008

Tiada ulasan:

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude