SEREMBAN, 18 Mei (Hrkh) - PAS memandang serius pendedahan kandungan Laporan Suruhanjaya Diraja berhubung Klip Video VK Lingam oleh media massa, baru baru ini, kata Ketua Penerangannya, Mahfuz Omar.
"Seperti yang dimaklumi umum bahawa Yang di-Pertuan Agong atau Majlis Raja-raja mahu pun Kabinet belum membuat keputusan sama ada mahu mendedahkan atau tidak laporan ini kepada umum.
"Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri sebelum ini memberitahu kerajaan akan mengkaji sama ia perlu didedahkan atau sebaliknya. Tetapi, yang menjadi persoalan bagaimana hasil siasatan tersebut boleh didedahkan lebih awal oleh media massa," ujar Mahfuz yang juga ahli Parlimen Pokok Sena dalam satu kenyataannya hari ini.
Umum mengetahui bahawa salah satu akhbar yang melaporkan adalah antara akhbar yang dimiliki oleh Umno dan kumpulan tertentu dalam Umno yang dikatakan menguasai media ini, kata Mahfuz. "Sebelum ini, Tun Dr Mahathir Mohamad pernah membangkitkan tentang perlantikan seorang kroni Perdana Menteri sebagai ketua pengarang kumpulan akhbar ini.
"Dan baru baru ini, beberapa akhbar utama dalam kumpulan akhbar tersebut telah membuat pendedahan terhadap laporan siasatan diraja ini dengan mendakwa dua kroni Dr Mahathir, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor dan Tan Sri Vincent Tan sebagai terlibat teradap usaha mempengaruhi perlantikan hakim," dakwanya.
PAS melihat pendedahan ini sebagai mewakili satu agenda politik dalaman Umno dengan mengalihkan hasil kajian untuk memulihkan sistem kehakiman kepada agenda untuk memulihkan masalah dalamn Umno, dakwanya.
"Kita tidak pasti sama ada laporan ini bertujuan 'mengenakan' Dr Mahathir atau ditujukan kepada Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak yang dikatakan calon proksi Dr Mahathir, tetapi yang pasti ia adalah agenda untuk memerkukuhkan pengaruh pihak tertentu dalam Umno.
"Pada hari ini walau apa pun yang dilaporkan oleh media, hakikat wujudnya persaingan pengaruh dalam Umno amat ketara. Kini ada di kalangan mereka cuba mengalihkan isu siasatan pita video ini untuk kepentingan politik Umno,"ujarnya.
PAS mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pihak tertentu ang cuba menggunakan media bagi membangkitkan isu yang sebenarnya masih menjadi 'rahsia negara', katanya.
"Adakah ini satu pedekatan politik BN ketika mereka sedang tersepit antara kemaraan Pakatan Rakyat dengan pergolakan dalaman Umno/BN.
"Isu Lingam ini sama sekali tidak mempunyai kaitan dengan masalah Umno, melainkan untuk membersihkan institusi kehakiman semata-sama.
"Jadi mengapa ada usaha dari tangan-tangan ghaib untuk mempergunakan media bagi menjerat pihak tertentu dalam usaha memperkukuhkan pengaruh masing-masing dalam Umno," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan