"Seseorang mualaf harus mempunyai hak untuk kembali kepada agama asalnya tanpa sebarang halangan perundangan," kata presiden majlis itu Datuk A Vaithilingam.
"Bagaimanapun, jika seseorang itu masih mempunyai keluarga Islam, penukaran kepada agama asalnya tidak boleh disalahgunakan untuk mengelak daripada tanggungan Muslimnya."
Ong juga mencadangkan saudara baru diberikan satu tempoh masa tertentu untuk memaklumkan penukaran agama itu bagi memastikan keadilan kepada ahli keluarganya dan menghindari perbalahan di kemudian hari.
Vaithilingam menambah, seseorang yang menukar agama tidak patut mencetuskan kesengsaraan kepada ahli keluarganya yang berbeza agama.
"Pandangan yang disuarakan oleh presiden MCA patut dikongsi bersama oleh seluruh rakyat Malaysia yang boleh berfikir dengan baik daripada semua agama," katanya lagi.
"Penukaran agama kepada Islam tidak patut digunakan sewenang- wenanganya untuk mengelakkan tanggungjawab kepada keluarga (asal yang bukan Islam)."
Majlis itu juga mendesak kerajaan negeri dan persekutuan memperbaiki lompong-lompong dalam perundangan supaya rakyat bebas mengamalkan agama pilihan masing-masing dan sekali gus mengekalkan keharmonian hidup berkeluarga.
Cadangan presiden MCA itu dibuat ekoran pengumuman perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi beberapa minggu lalu bahawa kerajaan berhasrat memperkenalkan peraturan mewajibkan seseorang yang ingin memeluk Islam memaklumkan kepada keluarga mereka mengenai status agamanya.
Kerajaan mengambil langkah itu bertujuan mengelak masalah sewaktu saudara baru itu meninggal dunia.
Vaithillingam turut berkata, seseorang daripada keluarga bukan Islam tidak patut dinafikan hak pewarisan harta disebabkan tindakannya memeluk Islam.
Orang Islam dan bukan Islam daripada keluarga yang sama patut berkongsi supaya tidak ada pihak yang tidak mendapat faedah, tambahnya.
"Kita harus berwaspada, bahawa membuat garis ketetapan (masa) harta si mati berdasarkan tarikh pertukaran agama bukanlah cara terbaik untuk mencapai keputusan yang sama rata untuk semua," katanya lagi.
NGO Islam sambut baik keputusan tidak perlu beritahu keluarga jika peluk Islam
KUALA LUMPUR, 30 April (Hrkh) - Pelbagai pihak menyambut baik keputusan Persidangan Penyelarasan Undang-undang Syarak/Sivil ke-18 yang sebulat suara berpendapat tidak perlu bagi seseorang yang ingin memeluk Islam memaklumkan hasratnya itu kepada keluarga terlebih dahulu.
Pegawai dakwah di Islamic Information and Services Foundation (IIS), Shah Kirit Kokulal Govindji menganggap keputusan tersebut juga bertepatan dengan syarak. Katanya jika dilihat sejarah pada zaman Rasulullah s.a.w, beberapa orang sahabat baginda memeluk Islam secara sembunyi tanpa memaklumkan kepada keluarga masing-masing kerana dikhuatiri berlaku sebarang ancaman.
Jelasnya, tindakan merahsiakan pengislaman tersebut bukan kerana 'Islam agama yang perlu dirahsiakan' tetapi dibimbangi berlaku pelbagai ancaman termasuk boleh mencederakan fizikal dan mendera emosi saudara baru itu.
Tambahnya sekiranya dijadikan suatu peraturan, sudah tentu ramai individu yang berhasarat ingin memeluk Islam akan membatalkan hasrat mereka. Malah katanya, peraturan tersebut juga mungkin melanggari hak kemanusiaan seseorang individu dalam melaksanakan hasrat murni mereka untuk memeluk Islam.
"Islam sesuatu yang indah dan apabila kita memeluk Islam, naluri dan perasaan kita semestinya ingin berkongsi kegembiraan dan keindahan tersebut bersama orang yang kita sayang. Malangnya keadaan tidak mengizinkan kerana keluarga sukar untuk menerima berita tersebut sehingga berlaku pergaduhan," katanya.
Selain itu katanya, kesukaran untuk menerima hakikat pengislaman juga menyebabkan timbul ancaman untuk membunuh diri di kalangan ahli keluarga itu sendiri.
Jelas Shahkirit, berdasarkan pengalamannya sewaktu ingin memeluk Islam suatu ketika dahulu, hampir lapan tahun beliau menghadapi tekanan setelah keluarganya memperolehi gambaran beliau akan memeluk Islam.
"Selain berlaku pergaduhan, ahli keluarga saya juga mengugut untuk membunuh diri sekiranya saya memeluk Islam. Mereka juga mengugut saya yang harus bertanggung jawab di atas tindakan mereka itu. Segala kesalahan memang diletakkan kepada saya.
"Walaupun menerima pelbagai ancaman, semangat saya tetap kuat dan saya sudah tidak dapat tangguh lagi untuk memeluk Islam," katanya yang merahsiakan keislamannya selama enam bulan daripada pengetahuan keluarganya.
Sementara itu katanya, beliau juga menyokong tindakan seseorang saudara baru itu sekiranya ingin memberitahu ahli keluarga tentang pengislaman mereka.
Bagaimanapun katanya, ia terpulang kepada individu tersebut kerana individu tersebut lebih mengetahui reaksi yang akan diterima daripada keluarga mereka.
Dalam pada itu, Angkatan Belia Islam (Abim) berpandapat berdasarkan pengalaman pertubuhan tersebut bersama beberapa NGO lain yang mengendalikan urusan dan bantuan kepada saudara baru, secara realiti dan praktikalnya peraturan seumpama itu boleh menimbulkan banyak masalah kepada mereka.
Menurut Setiausaha Agung Abim melalui kenyataannya kepada Harakahdaily, ada di kalangan keluarga baru itu memerlukan masa untuk memaklumkan kepada keluarga mereka termasuk faktor psikologi, keselamatan dan keharmonian keluarga itu sendiri.
Sehubungan itu katanya, beberapa langkah penambah baikan perlu dibuat khususnya melibatkan prosedur pendaftaran dan kaedah mengendali serta membantu saudara baru.
Jelasnya, penambahbaikan akan lebih berkesan sekiranya diikuti dengan pandangan dan pengalaman NGO Islam yang terlibat secara langsung membantu mereka yang baru memeluk Islam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan