KEJATUHAN negeri Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah selain pengekalan Kelantan di bawah Pakatan Rakyat pada saya bukanlah satu perkara yang mengejutkan.
Isyarat daripada rakyat pelbagai kaum sudah jelas dihantar kepada kepimpinan dan elit pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN).
Jika UMNO sebagai tonggak Melayu dan Islam dilihat telah hilang sinarnya untuk menggalas tugas berkenaan, maka pilihan bagi pengundi Melayu ialah Pas.
Jika UMNO sebagai pejuang dan pemberi keadilan pada kaum-kaum lain menerusi jaminan hak yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan, maka kini kemampuan untuk melaksanakan misi berkenaan dilihat terpikul di bahu PKR dan DAP.
Isunya Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) memperlihatkan tiga dimensi penting, sebagai angkubah yang bakal mencorakkan landskap politik negara masa hadapan. Pertama batasan politik dan faham perkauman sudah makin menipis.
Kedua, kematangan rakyat dalam bentuk menukar kerajaan semakin terserlah, dan ketiga keraguan bahawa pakatan rakyat tidak berkemampuan mentadbir negeri sudah dengan sendirinya dipadamkan.
Isu utamanya juga apakah politik pembangunan yang direncanakan sebagai menu yang dihidangkan berulang kali kepada rakyat sejak lima dekad yang lampau sudah tidak signifikan lagi sebagai tarikan meraih undi?
Persoalan lainnya, apakah propaganda media tradisi sudah gagal meyakinkan rakyat akan kebenaran perjuangan parti pemerintah sehingga menjadi backlash kepada usaha promosi, kempen dan propaganda itu sendiri?
Dari satu aspek nampak jelas. Apa yang dipentingkan adalah naluri hidup beragama, persekitaran hidup yang selamat, hak berbudaya, beragama, menjalankan ritual bahasa dan aktiviti sosial masing-masing.
Apa yang dikehendaki rakyat ialah suasana hidup yang kondusif, ketelusan dalam menjalankan dasar negara, prinsip keadilan dan kesaksamaan dengan bantuan diberikan kepada yang berhak.
Rakyat mahukan persamaan taraf dan layanan setara dari segi undang-undang. Rakyat melihat dan mahukan birokrasi yang cekap serta tidak rasuah. Pengundi dan rakyat berkehendakkan pemimpin yang amanah, tidak seleweng dan tidak bongkak.
Rakyat makin jemu dengan pendekatan Yes Man dan ungkapan ‘Baik’ atau ‘Ok Datuk Seri’. Rakyat mahukan naluri dan isi hati mereka didengari. Kesusahan mereka dikongsi dan keperitan hidup akibat kenaikan kos sara penghidupan diutamakan oleh pimpinan.
Rakyat sudah bosan dan muak dengan janji kosong Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen. Rakyat makin curiga dengan kemewahan hidup pemimpin yang berkereta mewah dan besar, isteri banyak, skandal bersama artis dan rumah bagaikan istana.
Rakyat tidak meminta banyak, hanya mahukan hak sivil serta hak dalam sebuah negara demokratik dipenuhi oleh pimpinan yang diberi amanah dan mandat oleh mereka. Rakyat Malaysia tidak cerewet sebenarnya, mudah dibentuk, taat dan patuh.
Rakyat Malaysia perlukan pimpinan yang punyai sifat Sidiq, Amanah, Tablig dan Fatonah. Pemimpin yang energetik, bekerja kuat dan boleh diyakini melindungi negara ini sama ada dari gugatan anasir dalaman mahupun luaran.
Namun, apabila hasrat dan kehendak umum mereka tidak dipenuhi, kebijaksanaan mereka diperlekehkan, rungutan tidak didengari dan pandangan mereka diabaikan maka sindrom tsunami politik sepertimana manifestasi PRU12 pun menjelma.
Justeru, baik BN mahupun Pakatan Rakyat yang menguasai lima negeri, maka menu dan pendekatan yang bakal dilaksanakan sepanjang empat atau lima tahun akan datang bakal menjadi penentu kelangsungan sokongan rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.
– SOBRI SUDIN,
Felo Unit Politik dan Ekonomi,
Yayasan Sumber Maklumat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan