Oleh ABDUL RAHIM ANUAR
ISLAM menyediakan kaedah penyelesaian terbaik apabila timbul sesuatu krisis. Dalam perkembangan semasa, negara berdepan dengan krisis harga dan bekalan dalam industri padi dan beras.
Selain penubuhan Majlis Harga Negara, kerajaan menerusi Jawatankuasa Kabinet Membendung Inflasi pada dasarnya telah bersetuju mewujudkan stok penimbal beras bagi menangani krisis bekalan beras.
Dari segi produk makanan, tahap sara diri komoditi makanan yang tidak mencukupi pada hari ini ialah beras (72 peratus), sayur-sayuran (74 peratus), perikanan (91 peratus), daging lembu (23 peratus), daging kambing (8 peratus), dan susu (5 peratus).
Bekalan yang tidak mencukupi itu akan diimport. Pada tahun 2005, import beras adalah hampir RM700 juta, susu dan krim (RM1.1 bilion), gandum (RM1.1 bilion), jagung (RM1.4 bilion), dan gula daripada bit (RM1.1 bilion).
Ringkasnya negara adalah pengimport bersih makanan. Jika berlaku krisis dalam negara pembekal, sudah pasti boleh mengakibatkan krisis inflasi dan bekalan barang makanan.
Tahap komoditi makanan yang melebihi daripada mencukupi ialah buah-buahan (117 peratus), daging ayam itik (121 peratus), telur (113 peratus) dan daging khinzir (107 peratus).
Skim stok penimbal makanan ialah istilah ekonomi yang menjadi penampan kepada jurang permintaan dan bekalan komoditi makanan.
Skim itu juga dapat menstabilkan harga komoditi makanan di pasaran. Jika berlaku kekurangan bekalan di pasaran, kerajaan akan mengeluarkan simpanan bekalan itu dan menjualnya untuk menstabilkan harga barang itu. Apabila berlaku lebihan pengeluaran, kerajaan akan membeli komoditi itu dan disimpan untuk memenuhi permintaan masa depan.
Krisis timbul apabila tidak ada bekalan yang mencukupi untuk menampung lebihan permintaan di pasaran. Ini yang berlaku sekarang ini kerana tahap import ke atas komoditi makanan adalah tinggi dan dicerminkan pula oleh ketidakcukupan tahap sara diri.
Idea stok penimbal makanan sebenar telah wujud pada zaman Nabi Yusof (a.s) berikutan krisis bekalan makanan di Mesir. Unjuran krisis itu berpunca daripada mimpi Firaun Mesir yang melihat tujuh ekor lembu gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus-kurus.
Mimpi Firaun telah ditafsir oleh Nabi Yusof a.s seperti mana yang disebut dalam al-Quran (Surah Yusof: 47-49: "Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu tuai biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya; kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan. Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun kemarau yang besar, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya; kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih). Kemudian akan datang pula sesudah itu tahun yang padanya orang ramai beroleh rahmat hujan, dan padanya mereka dapat memerah (hasil anggur, zaitun dan sebagainya)."
Dalam masa tujuh tahun pertama Nabi Yusuf a.s menjalankan pemerintahan di Mesir, sebagai Menteri Kewangan dalam konteks jawatan pada hari ini, rakyat Mesir hidup tenteram, aman dan sejahtera. Bekalan makanan mencukupi untuk semua. Nabi Yusof (a.s) juga tidak lupa peringatan yang terkandung dalam mimpi Firaun Mesir, lalu mempersiapkan gudang bagi penyimpanan makanan untuk musim kemarau yang bakal tiba. Maka, tempoh kemarau telah dilalui tanpa sebarang kesukaran. Dalam konteks semasa, dasar stok penimbal makanan telah dilaksanakan oleh Nabi Yusof (a.s) dan Islam.
Krisis bekalan beras yang merupakan fenomena jangka pendek memerlukan penyelesaian jangka panjang. Sehubungan itu, kerajaan telah merangka strategi jangka panjang untuk meningkatkan hasil makanan itu juga telah dirangka. Dalam tempoh empat tahun ini, kerajaan menyasarkan peningkatan pengeluaran beras daripada 72 peratus kepada 90 peratus dengan meningkatkan bantuan infrastruktur, menyediakan kemudahan bekalan air, sistem saliran dan perparitan.
Rancangan jangka panjang itu memerlukan lebih daripada RM1 bilion dan dijangkakan para petani terbabit akan menerima bantuan dalam masa terdekat.
Ulasan : Segala langkah untuk berjimat cermat dan tidak membazir perlu dilaksanakan. Negara boleh huru hara jika rakyat 'lapar'
Tiada ulasan:
Catat Ulasan