Selasa, 1 April 2008

Menepati janji kunci raih kepercayaan, sokongan rakyat



Oleh Ibrahim Abdullah

PEMIMPIN selalu diperhatikan rakyat mengenai kredibilitinya. Pemimpin menurut pandangan masyarakat dinilai melalui janji yang pernah diikrarkannya. Oleh itu, jika janji ditepati maka keyakinan rakyat terhadap kredibilitinya makin bertambah, jika sebaliknya akan menerima padah.

Persoalan janji sering dinilai kerana pemimpin selalu membuat janji kepada rakyat menjelang pilihan raya. Janji yang tidak realistik, berpijak di bumi nyata, adalah satu bentuk penipuan kerana mengaburi mata rakyat untuk membangunkan istana pasir.

Berbeza dengan kepemimpinan Nabi Ismail, janji ditempatkan pada skala keutamaannya. Al-Quran menjelaskan kepemimpinan Nabi Ismail patut diteladani khususnya dalam menepati janji yang menjadi sebahagian kehidupan baginda.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan ceritakanlah (wahai Muhammad) kisah Ismail di dalam al-Quran. Sesungguhnya ia adalah seorang yang benar janjinya, dan dia adalah seorang rasul dan nabi." - (Surah Maryam, ayat 54)

Menurut Imam al-Qurtubi, walaupun menepati janji juga diperlihatkan oleh nabi yang lain tetapi sifat itu paling menonjol pada Nabi Ismail hingga baginda dipandang mulia serta dihormati kerana sentiasa menepati janji.

Hamka mengutip pendapat Ibnu Juraij ketika mentafsirkan ayat itu bahawa Nabi Ismail tidak pernah berjanji yang tidak ditepatinya, baik janjinya kepada Allah seperti nazar mahupun janjinya sesama manusia.

Adapun janjinya kepada Allah, ialah tabah dan sabar waktu menghadapi penyembelihan (korban) dirinya, dan ternyata Nabi Ismail memang menepati janjinya. Sifat itu memang sudah ada pada diri Nabi Ismail ketika usianya masih kanak-kanak.

Natijah daripada sifatnya itu, Allah memasukkan Nabi Ismail dalam kelompok orang yang diredai-Nya, iaitu orang yang memiliki wawasan luas dan pandangan jauh serta juga memiliki hati nurani yang bersih.

Implikasi ini menggambarkan bahawa pemimpin yang menepati janji akan mudah mengajak rakyat untuk mentaati perintah, sekali pun perintah itu agak rumit atau sulit untuk dilaksanakan. Sebaliknya, pemimpin yang suka mengingkari janji tidak akan diyakini rakyat dan merasai mereka dikhianati.

Dalam konteks kepemimpinan sekarang, sifat alpa dan cuai atas sungutan serta kekecewaan rakyat, menyebabkan rakyat membuat pilihan mereka menyebabkan pemimpin terus dihantui rasa bersalah kerana banyak janji tidak ditunaikan.

Sementara masyarakat mengalami trauma dan berasa muak akibat pemimpin yang tidak menepati janji dan tidak menghiraukan keluhan rakyat jelata. Akibatnya, rakyat hilang kepercayaan dan pemimpin menjadi semakin jauh daripada mereka.

Sewajarnya pemimpin tidak terjebak dengan keinginan untuk menjadi pemimpin saja sebaliknya perlu mempertimbangkan segala hal berkaitan masa depan rakyat yang akan dipimpinnya dengan mengutamakan semangat kolektif ummah.

Jawatan dan jabatan kepemimpinan adalah tanggungjawab berat yang tidak semua orang dapat menjalankan dengan baik. Ibnu Muqaffa' menyatakan, "Kepemimpinan itu ibarat menunggang singa, apabila tidak pandai menunggangnya, penunggang itulah yang akan diterkam tunggangannya."

Dalam catatan sejarah Islam, gerakan politik yang dilancarkan oleh pihak Muawiyah bin Abu Sufyan untuk mengambil alih kepemimpinan Ali bin Abu Talib menjadi malapetaka bagi kemanusiaan dengan berpecah persatuan dan kesatuan umat Islam dalam sistem dinasti pada ketika itu.

Justeru, banyak perkara perlu diberi perhatian sewajarnya untuk menjadi seorang pemimpin yang bukan saja disukai, malah perintah mereka sentiasa dilaksanakan dengan baik. Perkara yang perlu dijaga pemimpin antaranya:

· Pemimpin, tidak boleh menghalalkan segala cara dan tindakannya hanya untuk kepentingan sendiri kerana pemilihan mereka atas keyakinan rakyat untuk memberi perkhidmatan membangunkan serta memajukan kehidupan rakyat pimpinannya.

· Pemimpin tidak boleh mengorbankan kepentingan orang lain dan hendaklah mengutamakan kepentingan rakyat.

· Pemimpin perlu menghindari fitnah atau melakukan perkara yang bertentangan hukum syarak.

Pemilihan pemimpin adalah berdasarkan kepada keyakinan rakyat dengan kemampuan serta kredibiliti mereka dan oleh itu apabila terpilih hendaklah pemimpin berkenaan menunaikan apa yang diharapkan rakyat daripada kepemimpinan mereka.


Tiada ulasan:

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude