TANJONG KARANG 13 April – Tindakan kerajaan Selangor meluluskan projek ternakan babi moden bernilai RM100 juta di Kampung Tumbuk terus menerima bantahan daripada masyarakat Islam seluruh negeri Selangor.
Terbaru membabitkan hampir 300 belia, wakil pertubuhan dan persatuan sekitar Parlimen Tanjong Karang yang mengambil keputusan sebulat suara menentang langkah kerajaan Selangor melaksanakan ternakan babi secara besar-besaran seperti yang diumumkan.
Naib Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia, Datuk Noh Omar mengetuai kumpulan belia tersebut dalam perhimpunan Taklimat Isu-Isu Semasa di Dewan Datuk Hormat Tanjong Karang di sini hari ini.
Antara wakil yang menghadiri perhimpunan itu ialah Pertubuhan Gerakan Belia 4B Malaysia, Persatuan Kelab Belia Malaysia (MAYC), Majlis Belia Daerah Kuala Selangor dan Pergerakan Pemuda UMNO.
Menurut Noh, projek ternakan babi dengan peruntukan RM100 juta dan keinginan kerajaan Selangor mahu menjadikan projek itu sebagai contoh sememangnya tidak wajar kerana ia terletak di kawasan majoriti penduduk Melayu dan Islam.
Katanya, isu sensitif ini perlu diberikan perhatian kerana rata-rata rakyat di Selangor sudah tentunya tidak mahu negeri ini dijadikan ladang ternakan babi contoh sebaliknya mahukan projek itu hanya untuk kegunaan sendiri penduduk setempat.
Sehubungan ini, Noh yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi mencadangkan supaya projek ini dilaksanakan ditempat lain seperti di Pulau Ketam atau tempat yang sesuai.
“Bantahan orang ramai khususnya penduduk setempat adalah wajar kerana ia melibatkan kawasan tempat tinggal mereka dan sepatutnya kerajaan negeri melaksanakannya di kawasan terpencil seperti di Pulau Ketam,” katanya.
Kerajaan Selangor perlu sensitif bantahan penduduk
PASIR PUTEH 13 April – Kerajaan campuran Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas negeri Selangor sepatutnya lebih sensitif terhadap bantahan penduduk Sepang yang enggan menerima projek ternakan babi yang membabitkan pelaburan RM100 juta.
Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Senator A. Kohilan Pillay berkata, dalam keadaan sekarang kerajaan negeri sepatutnya mencari lokasi lain yang lebih sesuai.
“Ini penting untuk menenangkan hati penduduk yang terbabit,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke kilang memproses kenaf di Kampung Air Tawar di sini hari ini.
Turut hadir Penolong Pegawai Lembaga Tembakau Negara (LTN) Kelantan, Nik Mahadi Nik Mohd. Noor.
Beliau berkata demikian ketika mengulas keengganan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tunduk kepada desakan supaya menghentikan atau memindahkan lokasi projek ternakan babi itu.
Isu ladang berkenaan hangat diperkatakan selepas anggota Exco kerajaan negeri Selangor, Teresa Kok mengesahkan kerajaan negeri telah meluluskan projek itu.
Sehubungan itu, Kohilan berkata, jika projek itu hendak diteruskan juga ia mesti mengambil kira cadangan asal yang dirangka oleh bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo.
Katanya, ia antara lain mengecilkan saiz dan bilangan ternakan supaya tidak melebihi 250,000 ekor untuk keperluan rakyat Selangor dan bukan untuk tujuan eksport.
“Selain itu teknik pembelaannya juga mesti dijaga dengan baik, menggunakan teknik moden supaya sisa buangannya tidak memberi kesan buruk kepada alam sekitar dan penduduk di kawasan terbabit.
“Ladang ternakan yang ada sekarang sudah banyak menyusahkan penduduk di sekitarnya terutama masyarakat Melayu apabila sisa seperti buangan najis ternakan itu tidak diselia dengan sempurna,” katanya.
Ulasan : Pandangan peribadi saya, Kerajaan Pakatan Rakyat yang memerintah Selangor perlu membuat kaji selidik dahulu sebelum mengumumkan projek ternakan babi ini yang ternyata merupakan isu sensitif. Kita sedar walaupun ia dimanipulasi oleh pihak tertentu, tetapi Kerajaan Selangor perlu bijak dalam menghadapi situasi ini. Jangan biarkan kemarahan rakyat menghukum anda!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan