Isnin, 14 April 2008

Hormati hak saudara baru

KUALA LUMPUR 13 April – Jawatankuasa Gabungan Badan Bukan Kerajaan Islam (Accin) mahu hak orang yang memeluk agama Islam dihormati dengan membiarkan mereka menentukan sendiri masa yang sesuai untuk memaklumkan perkara tersebut kepada ahli keluarga masing-masing.

Pengerusinya, Sabariah Abdullah berkata, langkah kerajaan untuk memperkenalkan peraturan baru mewajibkan mereka yang ingin memeluk agama Islam mengisytiharkan perkara itu secara terbuka boleh dianggap sebagai melanggar hak asasi individu terbabit.

“Sebagai saudara baru, mereka perlukan masa untuk memaklumkan kepada keluarga kerana banyak perkara yang perlu dilalui seperti mempelajari agama baru selain terpaksa berhadapan dengan keluarga yang mungkin tidak dapat menerima keputusan mereka itu.

“Oleh itu, kami berharap agar kerajaan dapat membuat kajian terperinci mengenai peraturan ini kerana berdasarkan maklum balas yang diterima perkara ini telah merunsingkan kira-kira 95 peratus saudara baru,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas langkah kerajaan untuk memperkenalkan satu peraturan baru mewajibkan mereka yang ingin memeluk agama Islam mengisytiharkan perkara itu secara terbuka bagi mengelak masalah di kemudian hari.

Accin diwakili 16 pertubuhan bukan kerajaan termasuk Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) dan Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam Malaysia (Darus Syifa’).

Sabariah berkata, kerajaan sepatutnya berbincang terlebih dahulu dengan persatuan-persatuan berkaitan seperti Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) dan Persatuan India Muslim agar tidak timbul sebarang kekeliruan mengenainya.

Jelasnya, saudara-saudara baru bimbang, jika terpaksa mengisytiharkan perkara itu secara terbuka, mereka bakal berhadapan dengan pelbagai masalah seperti keluarga tidak boleh menerima sehingga sanggup memutuskan hubungan kekeluargaan.

“Selain itu, ada juga kes keluarga akan mengugut untuk membunuh saudara baru itu atau membunuh diri mereka sendiri selain enggan berhubung dengan mereka lagi,’’ ujarnya.


Peraturan boleh rencatkan usaha dakwah-MACMA

KUALA LUMPUR 11 April - Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) hari ini membantah langkah kerajaan memperkenalkan satu peraturan mewajibkan mereka yang mahu memeluk Islam mengisytiharkan perkara itu secara terbuka.

Naib Presidennya, Mohd. Ridhuan Tee Abdullah berkata, Macma berpendapat langkah kerajaan itu tidak akan menyelesaikan masalah, sebaliknya ia hanya akan membantutkan usaha dakwah untuk menarik minat lebih ramai orang bukan Islam menganut Islam.

Beliau berkata, banyak pihak tidak sedar bahawa bebanan serta tekanan menjadi saudara baru terutama di peringkat awal adalah amat hebat kerana kebanyakan keluarga tidak merestui mereka menganut Islam.

''Dugaan dan cabaran yang kami terima tidak sehebat mereka yang telah menganut Islam sejak dilahirkan. Macma sendiri pernah menerima aduan yang mana hidup saudara-saudara baru tertekan selepas memberitahu status keislaman mereka pada keluarga masing-masing.

''Ini merupakan satu keadaan yang amat malang dan yang lebih malang lagi ada antaranya keluar dari Islam dan menganut agama asal. Keluarga mereka sanggup buat apa sahaja asalkan anak mereka itu kembali murtad,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas keputusan kerajaan memperkenalkan satu peraturan baru mewajibkan mereka yang ingin memeluk agama Islam mengisytiharkan perkara itu secara terbuka bagi mengelak masalah di kemudian hari.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, tindakan memeluk Islam yang dibuat secara senyap-senyap seperti diamalkan sebelum ini, mengundang banyak masalah sehingga menyebabkan berlaku ketegangan kaum.

Mohd. Ridhuan berkata, beliau sendiri terpaksa memberitahu keluarganya selepas setahun memeluk Islam.

Ujarnya, seperti yang dijangka kesemua ahli keluarganya termasuk ibu bapanya menentang keras tindakannya itu hingga beliau terpaksa berhadapan dengan cabaran itu secara berseorangan.

''Alhamdulillah Allah telah memberi kekuatan kepada saya untuk menghadapi cabaran tersebut, cuma apa yang saya mahu timbulkan di sini ialah mengenai penentangan hebat daripada keluarga saya walaupun saya telah menganut Islam selama setahun.

''Persoalannya bagaimana pula dengan mereka yang memeluk Islam dalam tempoh sehari atau seminggu dan mereka terpaksa memberitahu keluarga dalam tempoh terdekat.


''Adakah dalam tempoh ini mereka mempunyai satu kekuatan yang mampu menahan tentangan daripada keluarga masing-masing? Saya tidak fikir mereka mampu menghadapinya,'' ujarnya.

Beliau berkata, hakikatnya, kebanyakan keluarga bukan Islam di negara ini tidak mahu anak-anak mereka memeluk agama suci itu.

''Kita perlu akui sifat prejudis yang tinggi pada keluarga bukan Islam terhadap anak-anak yang memeluk Islam di Malaysia. Kita tidak boleh menafikan fakta ini,'' katanya lagi.

Katanya, beliau bercakap berdasarkan pengalaman dan sehubungan itu Macma tidak mahu peraturan itu menyekat hasrat orang bukan Islam menganut Islam.

''Macma bimbang jika peraturan ini dikuatkuasakan ia akan lebih membebankan mereka dan akhirnya mereka kembali ke agama asal,'' tambahnya.

Ketika diberitahu tujuannya adalah untuk mengelakkan perkara berbangkit, beliau berkata, perkara itu tidak seharusnya timbul kerana saudara baru mempunyai dokumen-dokumen sebagai bukti keislamannya.

''Jika tidak ada dokumen mayat mereka akan diserahkan kepada keluarga asal untuk diuruskan seperti kes Nyonya Tahir. Janganlah disebabkan timbul satu dua kes, kerajaan terburu-buru memperkenalkan peraturan ini,'' tambahnya.

Dalam pada itu, beliau kesal dengan tindakan kerajaan yang tidak merujuk dengan mana-nama persatuan seperti Macma sebelum memperkenalkan apa jua peraturan berkaitan saudara baru.

Ulasan : Saya bersetuju dengan pandangan mereka kerana mereka lebih memahami situasi sebenar. Benar, ada muallaf yang tidak mendapat halangan sewaktu menyatakan keislaman mereka, tetapi majoritinya mendapat tentangan keluarga sehingga ada yang diugut bunuh. Justeru, kerajaan perlu berbincang dengan pertubuhan di atas sebelum melaksanakan cadangan mewajibkan pengisytiharan keislaman di kalangan muallaf kepada ahli keluarga mereka.

Tiada ulasan:

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude