PUTRAJAYA 14 April – Kementerian Luar tidak menghalang kedatangan pengurus dan pemain kelab bola sepak Chelsea yang merupakan warga Israel ke negara ini, kata Menterinya, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.
Menurut beliau, pihak kementerian tidak melihatnya sesuatu yang salah walaupun Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik atau perdagangan dengan Israel.
“Kami tidak menghalang sesiapa untuk datang ke Malaysia dan dalam kes ini, walaupun kita tiada hubungan diplomatik dengan Israel atau perdagangan secara terus dengan negara itu, kami tiada bantahan terhadap lawatan mereka.
“Kami tidak melihatnya sebagai sesuatu yang salah dan tidak wajar untuk campurkan antara politik dan sukan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat 15 pemimpin politik dan perniagaan dari Australia dan New Zealand di pejabatnya di sini hari ini.
Chelsea - dengan Pengurusnya, Avram Grant dan pemain pertahanan, Tal Ben Haim merupakan warga Israel – dijangka beraksi di Malaysia Julai ini sebagai sebahagian jelajah musim panas kelab itu di Asia.
Kali terakhir atlet Israel dibenarkan memasuki Malaysia adalah ketika kejohanan kriket Trofi Majlis Kriket Antarabangsa (ICC) pada 1997, yang mendapat bantahan di Kuala Lumpur.
Kelab dari barat London itu dijangka menentang pasukan Liga Super China, Guangzhou Pharmaceutical pada 23 Julai dan pilihan Malaysia di Kuala Lumpur pada 29 Julai ini.
Pada hujung bulan lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan perlu mengkaji dulu keadaan sebelum membenarkan mereka datang ke Malaysia.
Bagaimanapun, kata Najib, pada masa sama agak malang jika bidang sukan dipengaruhi politik.
Rais berkata, walaupun ia bukan tugas Wisma Putra untuk menyatakan siapa yang boleh dan tidak boleh memasuki negara, tetapi beliau berpendapat, kedua-duanya boleh datang ke Malaysia.
“Sebenarnya terpulang kepada Jabatan Imigresen untuk memutuskan sekiranya kita boleh benarkan mereka masuk,” katanya.
Ulasan : Membenarkan warga Israel yang telah menindas dan membunuh rakyat Palestin, hanya menambahkan lagi sakit hati umat Islam Palestin. Apatah lagi kita merupakan bekas Pengerusi OIC. Kerajaan wajar mengkaji dari setiap sudut sebelum membenarkan warga Israel ini datang ke negara kita, apatah lagi kita tidak pernah mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel. Saya yakin, bantahan akan timbul dan mendesak mereka tidak dibenarkan masuk ke dalam negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan