Sabtu, 5 April 2008

'Kapal Umno hampir tenggelam'-Ku Li


Sedutan ucapan Tengku Razaleigh Hamzah di mesyuarat khas perwakilan bahagian Gua Musang yang bermula pagi ini bagi menilai sikap ahli akar umbi selepas ketewasan Umno dalam pilihanraya umum ke-12:


Sampai saat ini, setelah hampir sebulan Umno dan BN mengalami ‘malapetaka’ politik yang dahsyat itu, tidak ada apa-apa tindakan yang diambil oleh pucuk pimpinan parti untuk membincangkan sebab-sebab mengapa ‘malapetaka’ itu berlaku pada Umno dan BN.

Tidak ada usaha untuk mengajak para perwakilan Umno dari semua peringkat–peringkat bahagian dan cawangan – untuk mengadakan proses muhasabah secara terbuka, secara kritis tetapi tenang.

Matang dan rasional, tidak beremosi, dari hati ke hati sesama anggota parti sendiri, membincangkan ‘masalah rumah’ sendiri ini, dan mencari jalan yang baik dan benar dengan tujuan untuk memperbaiki diri dan menghindari berlakunya kejadian yang lebih buruk lagi baik sekarang mahu pun dalam Pilihan Raya Umum akan datang.

Kita mendengar bermacam-macam reaksi, pandangan dan keluhan, kritik dan tuduh-menuduh dari orang-orang perseorangan Umno, yang paling banyak ialah dari beberapa orang pemimpin dan menteri Umno.

Ada yang mengatakan bahawa kita sebenarnya tidak kalah, kita masih menang; ada yang berkata, "BN akan bangkit semula untuk menebus kekalahannya"; ada yang menyalahkan orang Melayu yang memilih parti lain, dan berkata orang Melayu itu "tidak mengenang jasa" (tidak tahu saya ‘jasa siapa dan apa’); ada yang menyalahkan generasi muda Melayu kerana kononnya mereka "tidak faham perjuangan Umno" atau kerana mereka tidak mendapat berita, maklumat dan cerita yang sebenar tentang kerajaan, Umno dan BN yang disiarkan dalam surat khabar arus perdana, tetapi membacanya dari blog-blog ‘anti kerajaan’ dan ‘anti Umno’ dalam Internet.

Jadi, nampaknya, kita masih mengekalkan fiil dan budaya lama, fiil tidak mahu memeriksa kesalahan dan kelemahan kita secara kolektif, secara rasional, bijak dan cerdik.

Kita mencari kesalahan orang lain, kesalahan pengundi, kesalahan parti lawan.

Para pemimpin parti – walaupun tidak semuanya – cuba menutup suara rakyat akar umbi Umno, tidak mahu mendengar pandangan dan kritikan dan teguran mereka.

Kita pergi ke sana ke mari menyebarkan propaganda dan dongeng bahawa parti akan rosak jikalau ahli akar umbi Umno tidak menyerahkan segala masalah yang dihadapi oleh Umno sekarang kepada pucuk pimpinan untuk ditangani dengan sebaik-baiknya – mereka diseru supaya memberikan kepercayaan kepada pucuk pimpinan.

Apakah mereka tidak sedar bahawa yang menjadi punca besar kelemahan Umno yang membawa kepada malapetaka yang tersebut itu bukan rakyat akar umbi Umno tetapi ialah kelemahan kepimpinan Umno, ini termasuk para menteri Umno, yang setengah-setengahnya tidak mempunyai rekod peribadi, moral dan budaya yang baik.

Merekalah yang tidak mahu Umno berubah; merekalah yang mahu kepimpinan Umno yang ada dikekalkan, jangan digantikan, jangan ditandingi.

Masalah Umno bukan masalah beberapa orang yang berkepentingan sahaja, tetapi masalah bersama semua ahli Umno.

Umno bukan kelab golongan elit, golongan hartawan dan peniaga, kelab ‘eksklusif’. Umno ialah parti politik kebangsaan Melayu.

Tugasnya bukan untuk menjaga periuk nasi anggota atasannya tetapi untuk memperjuang, menegakkan, dan memperkukuh tiga tiang kekuatan bangsa Melayu, yang saya sebut tiang Alif, Ba, Ta: Alif bererti Agama, Ba bererti Bahasa, Budaya dan Bangsa, dan Ta bererti ‘Tanah Air’.

Apabila Umno tidak lagi mempedulikan perjuangan Alif, Ba, Ta ini, yang merupakan perjuangan Melayu yang asas, yang fundamental, alamat Umno akan kehilangan pedoman dan petunjuk daripada Allah dan akan ditinggalkan oleh bangsa Melayu.

Masalah kita sekarang ialah, bagaimanakah anggota Umno sebahagian besarnya tidak akan lari meninggalkan kapal yang sedang rosak dan bila-bila masa boleh tenggelam kerana nakhodanya lemah, dan seringkali meninggalkan kemudi atau menyerahkannya kepada anak-anak kapalnya.

(Tiga Perubahan Besar Yang Harus Berlaku dalam Umno)

Anggaplah masalah yang kita hadapi itu sebagai darurat Umno. Untuk menangani sesuatu darurat kita perlu bertindak segera sebelum darurat itu merebak dan merosakkan seluruh asas tamadun dan perjuangan Umno yang telah dibina sejak tahun 1946.

Kita perlu mengadakan sidang muhasabah dengan segera, melibatkan perwakilan Umno yang selama ini menjadi nadi dan tenaga raksasa dalam kelangsungan hidup Umno selama 60 tahun, untuk membincangkan kelemahan dan kesalahan Umno selama ini dan memikirkan visi baru Umno untuk menghadapi masa depan yang lebih mencabar.

Rakyat hari ini tidak sama lagi dengan rakyat 40 atau 30 tahun yang lepas. Harapan mereka tidak sama lagi dengan harapan ibu bapa atau nenek mereka. Umno perlu terus relevan dengan cita-cita, harapan dan tuntutan mereka.

Saya hendak menyentuh tiga perkara pokok yang saya anggap menjadi punca kelemahan Umno, terutama mulai tahun 1980-an sehingga akhirnya menyebabkan Umno (dan BN) nyaris-nyaris terlungkup dalam pilihanraya umum ke-12.

Ini bermula apabila Perlembagaan Umno dipinda dengan memasukkan peraturan baru yang menetapkan syarat bahawa anggota parti yang hendak menandingi jawatan Presiden hendaklah mendapat pencalonan sebanyak 30% daripada bahagian Umno. Ini bererti calon itu perlu mendapat pencalonan daripada 58 bahagian daripada jumlah 191 bahagian Umno.

Tujuannya kononnya ialah untuk mengelak supaya tidak sembarangan anggota parti sahaja, sesuka hatinya dan secara bermain-main akan mengemukakan dirinya sebagai calon Presiden atau jawatan-jawatan lain.

Saya tidak fikir anggota Umno yang tahu diri dan berbudaya dengan sesuka hati sahaja akan mencabar presiden Umno, lebih-lebih lagi jikalau Presiden itu diketahui oleh semua anggota parti sebagai pemimpin yang baik, cekap, bijak, adil, bersih dan tegas.

Sebelum kuota itu diperkenalkan Umno pernah juga mengenakan peraturan, iaitu calon hendaklah mendapat pencalonan daripada dua bahagian sahaja. Ini ‘peraturan’ yang munasabah dan tidak terlalu ‘undemocratic’.

Parti yang wujud dalam negara yang mengamalkan sistem demokrasi tetapi tidak mengamalkan demokrasi dalam partinya sendiri, bagi saya, ini adalah amalan yang bercanggah dan luar biasa.

Parti yang tidak mengamalkan demokrasi bererti parti itu menyekat atau tidak menggalakkan tumbuhnya kecekapan dan kreativiti dalam parti itu; anggotanya tidak dibenarkan bersuara untuk menegur pimpinan parti, atau untuk memilih pemimpin yang lebih baik.

Orang tidak dibenarkan dan selalunya disekat malah digertak supaya jangan menentang atau menandingi pemimpin-pemimpin parti.

Akibatnya parti menjadi beku. Pembaharuan dan kemajuan parti bantut. Kita lebih seronok mempercayai bahawa parti tidak menghadapi apa-apa masalah, parti kita kuat, anggota parti bersatu, dan pelbagai persepsi diri sendiri yang diciptakan secara emosi dan retorik.

Orang lebih taat kepada pemimpin daripada kepada parti dan perjuangan parti. Rasuah politik akan dan memang sedang berlaku dalam parti sebagai cara untuk membeli undi atau untuk mengekalkan kedudukan pemimpin yang lemah. Maka lahirlah banyak ‘pak turut’ dan ‘tukang ampu’ dalam parti yang secara tidak bermoral dan berprinsip akan sentiasa memuji dan membela pemimpin walaupun mereka tahu pemimpin itu lemah.

Inilah keadaan yang berlaku dalam Umno hingga sekarang. Setiap kali menjelang pemilihan parti, ada sahaja orang dan puak yang menyeru anggota parti supaya jawatan Presiden parti, atau Timbalan Presiden, ketua Wanita, atau ketua Pemuda tidak ditandingi.

Sebenarnya mereka tidak berhak berbuat demikian. Memilih pemimpin parti dari peringkat Presiden hingga ke peringkat pemimpin akar umbi adalah hak anggota parti.

Jadi, untuk menyelamatkan Umno dan menjadikannya parti politik kebangsaan Melayu ini terus relevan, cekap, kuat dan maju sepanjang zaman, demokrasi hendaklah dikembalikan dalam Umno. Saya mengesyorkan dua perubahan: Pertama, kuota yang ada itu dihapuskan dan kedua, parti hendaklah mengawal kerajaan.

Ahli Umno yang memegang jawatan kerajaan tidak boleh lebih berkuasa dari parti. Partilah yang seharusnya mengawal, memantau dan menilai prestasi mereka. Jika mereka menjalankan dasar yang bertentangan dengan dasar parti, mereka boleh dipersoalkan oleh Majlis Tertinggi Umno.

Logik cadangan ini mudah dan jelas: Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan menteri-menteri dari Umno tidak akan memegang jawatan itu sekiranya mereka tidak lebih dahulu dipilih oleh perwakilan Umno sebagai Presiden dan Timbalan Presiden parti dan oleh rakyat sebagai ahli Parlimen.

Kalau Perdana Menteri yang juga Presiden Umno menggubal dan melaksanakan dasar yang boleh menjahanamkan bahasa Melayu dan agama Islam, maka dia mesti ditegur dan didisiplinkan oleh parti. Umno perlu mewujudkan mekanisme yang sesuai dan cekap untuk melaksanakan sistem ‘parti mengawal kerajaan’ ini.

Kedua, dasar dan visi Umno hendaklah merentas sempadan kaum, dan tidak dilihat sebagai parti untuk dan bagi pihak orang Melayu sahaja.

Dasar dan visi Umno yang asal, iaitu yang berasaskan perjuangan Alif, Ba, Ta, seperti yang saya sebutkan tadi, tetap dipertahankan tetapi dalam soal untuk memajukan keadaan hidup ekonomi, sosial, pendidikan dan sebagainya untuk rakyat, Umno hendaklah memprojekkan dirinya sebagai parti untuk kepentingan semua rakyat tidak kira kaum.

Kita mahu Umno menjadi parti supraetnik, parti nasional, yang adil kepada rakyat tanpa mengira kaum tetapi tetap mempertahankan ‘visi tradisionalnya’: iaitu, mempertahankan tanah air (negara ini) daripada penjajahan politik, ekonomi, ideologi dan budaya orang asing atau kuasa asing, mempertahankan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara yang faedahnya ialah untuk negara, bukan untuk mana-mana kaum, dan mempertahankan Islam sebagai agama Persekutuan.
Dasar dan perjuangan parti UMNO ini tidak menjejaskan hak dan kepentingan kaum lain.

Imej Umno selama beberapa tahun ke belakangan ini dapat kita bahagikan kepada tiga jenis: Pertama, imejnya kepada orang Melayu ialah: Umno tidak lagi memperjuangkan hak-hak yang menjadi warisan bangsa Melayu sejak dahulu kala.

Umno dilihat sebagai parti yang tidak lagi mempedulikan bahasa Melayu, budaya Melayu dan ekonomi rakyat Melayu yang miskin.
Ini memarahkan orang Melayu. Di samping ini orang Melayu juga mula risau dan khuatir melihat kurangnya komitmen Umno untuk mempertahankan martabat dan kedaulatan institusi Raja-raja Melayu. Institusi Raja-raja Melayu ialah institusi yang tertua di Tanah Melayu dengan usianya melebihi 700 tahun dan institusi inilah yang menjadi salah satu penyelamat tamadun Melayu walaupun kita dicabar oleh tiga kuasa Barat, iaitu Portugis, Belanda dan British.

Negeri Melayu dan kedaulatan Melayu kekal sampai sekarang kerana adanya institusi ini sebagai penyelamat bangsa. Imej kedua ialah imej UMNO di mata orang bukan Melayu, iaitu: mereka menganggap Umno ialah parti untuk kepentingan orang Melayu, tidak untuk kepentingan kaum lain; Umno dianggotai oleh orang Melayu yang ‘fanatik Melayu’, suka menjulang keris apabila memarahkan kaum lain, entah apalah sebabnya.

Imej Umno yang ketiga ialah imejnya sebagai parti yang menggalakkan rasuah politik atau parti ‘orang kaya’ di atas dan parti orang miskin di bawah, parti yang korup, parti yang berkeliaran dengan buaya-buaya darat dan yu-yu laut yang tidak segan silu menyapu dan menelan segala projek dan kontrak kerajaan dan hak rakyat miskin tidak kira kaum.

Imej ini dibenci oleh semua kaum, tidak sahaja orang Melayu tetapi juga oleh kaum bukan Melayu.

Umno mesti mengubah atau kalau perlu membersihkan ketiga-tiga imej yang buruk itu. Umno mesti dipercayai bukan sahaja oleh orang Melayu tetapi juga oleh orang bukan Melayu.

Dalam pilihanraya umum ke-12, kita lihat ada orang dari kaum India dan kaum Cina, misalnya, mengibarkan dan menjunjung bendera PAS, dan mereka mengundi calon PAS di kawasan kuat Umno. Mengapa?

Apakah kerana mereka sudah dipukau atau diislamkan oleh orang PAS? Tidak.

Mereka berbuat demikian kerana mereka percaya bahawa PAS, berdasarkan prinsip Islam, lebih adil daripada Umno terhadap kaum bukan Islam.

Mereka berkata orang PAS takut kepada Tuhan; jadi mereka takut hendak bercakap bohong atau melakukan dosa kepada makhluk Allah, tidak kira bangsa dan agama. Mereka berkata, Tok Guru Nik Aziz jauh lebih baik, bersih dan amanah daripada kebanyakan pemimpin Umno Kelantan.

Inilah cabaran yang dihadapi oleh Umno hari ini. Umno terpaksa menjadi parti yang boleh dipercayai oleh semua kaum.

Umno terpaksa menyaingi parti baru seperti PKR yang dilihat oleh semua kaum – termasuk orang Melayu generasi baru – sebagai parti yang dasarnya ialah keadilan kepada semua rakyat berdasarkan keadaan dan keperluan asas mereka.

Ulasan : Ahli UMNO perlu merenung apa yang dinyatakan oleh Ku Li

Tiada ulasan:

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude