MUAR, 5 April – Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, anggota parti perlu berani menyatakan perkara benar dan tidak hanya menyatakan sesuatu semata-mata untuk menyedapkan hati pemimpin, sedangkan ia adalah satu pembohongan.
Beliau berkata kalau terdapat sebarang kelemahan dalam parti, mereka harus terima dengan hati terbuka dan bersedia mengatasinya, bukan sekadar mendengar atau berdiam diri sahaja.
“Kalau ada kelemahan kita kena akui, tak boleh hanya dengar dan menyatakan semuanya baik sedangkan ia adalah satu pembohongan. Lebih baik beritahu yang benar, cakap yang betul walaupun ia pahit untuk ditelan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis kesyukuran kemenangan calon-calon Barisan Nasional (BN) bagi kawasan Parlimen Pagoh pada pilihan raya umum lepas yang dihadiri kira-kira 3,000 jentera BN.
Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, zaman telah berubah dan UMNO perlu berani melakukan perubahan tanpa mengorbankan prinsip perjuangan asal parti jika mahu terus relevan pada masa depan.
Terdahulu, beliau berkata, UMNO Johor yang bermesyuarat pagi ini bersetuju dengan cadangan penubuhan sebuah institut khas mengkaji dan menyelami perasaan pengundi sebagai usaha mengekalkan parti itu sebagai tunjang BN di negeri ini.
Beliau berkata, institut itu hendaklah dianggotai oleh pakar-pakar tertentu yang perlu digerakkan segera serta menjadi rangka pelan induk pengukuhan UMNO Johor yang akhirnya boleh membantu UMNO di negeri-negeri lain mengembalikan kekuatannya.
Berucap pada majlis itu, Muhyiddin berkata, inisiatif itu perlu dimulakan supaya kuasa kerajaan BN yang masih ada tidak hilang selepas pilihan raya umum akan datang.
“Saya takut kalau tidak dibuat sesuatu, kita terus leka berada dalam zon selesa, masih tidak sedar adanya tsunami politik di luar sana, kita akan hilang kuasa,” katanya.
UMNO tidak akan berubah walaupun bertukar pimpinan
MACHANG 5 April - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan usaha pemimpin UMNO menukar kepimpinan parti dan negara tidak akan mampu mengubah keadaan politik semasa.
Malah, tegas beliau, usaha berkenaan juga tidak akan membawa kebaikan kepada UMNO sendiri selagi parti berkenaan menolak perjuangan Islam yang berlandaskan kepada al Quran dan Sunah.
Menurut beliau, UMNO akan berkubur selagi parti berkenaan terus menyempitkan asas perjuangan mereka hanya berlandaskan kepada ideologi kebangsaan.
"Politik Islam bukan pandai-pandai Pas yang buat tetapi ia adalah peraturan hidup yang turun dari langit sama seperti kitaran alam semulajadi, hujan, angin dan udara.
"Politik bukan setakat buat jalan dan rumah tetapi bagaimana caranya kita nak tumpangnya untuk jamin kebahagiaan kita kelak di Padang Mahsyar dan Akhirat.
"Syurga, neraka, padang mahsyar dan akhirat adalah benda yang pasti dan tiada fahaman lain di dunia ini (fahaman kebangsaan) kecuali Islam sahaja yang boleh membawa kita kepadanya. Bolehkah kebangsaan membantu semasa dihisab di padang mahsyar," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata demikian ketika ditanya mengenai usaha Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah untuk 'merawat' UMNO dengan mencabar kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Presiden UMNO.
Mengenai kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang meminta Pas jangan memasang angan-angan tinggi untuk menunjangi Pakatan Rakyat bagi merealisasikan impian penubuhan sebuah negara Islam, Nik Abdul Aziz secara ringkas menjawab bahawa beliau tidak boleh mencampurinya.
Katanya, ini kerana ia berkaitan dengan masalah teknikal antara pakatan berkenaan.
"Masalah itu saya tidak boleh campur, ia masalah teknikal saya hanya boleh jawab cakap masalah dasar sahaja. Saya tidak akan campur dan begitu juga orang lain tidak boleh campur," katanya.
"Saya pun tak tahu secara mendalam mengenainya (Pakatan Rakyat) kerana ia masih belum dimuktamadkan lagi.
"Apa yang jadi bising sekarang ialah kerana akhbar dan akhbar juga kita tidak boleh percaya sangat kerana ia adalah akhbar UMNO," katanya.
Ulasan : Tan Sri Muhyiddin Yassin semakin lantang bersuara. Apakah ada agenda di sebalik semua itu? Dan kenyataan Tuan Guru Nik Aziz adalah jelas-selagi mana UMNO tidak mengubah dasar dan prinsipnya, maka selagi itulah UMNO sukar untuk berubah!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan