KUALA LUMPUR 5 Mac – Para pemimpin UMNO menyokong tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membatalkan penggunaan dakwat kekal di kuku pada pilihan raya umum kali ini jika ia bertujuan mempermudah proses pembuangan undi, Sabtu ini.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad berkata, penggunaan bahan itu sebenarnya akan mewujudkan banyak masalah apabila para pengundi menolak peraturan baru tersebut pada hari pembuangan undi.
‘‘Mengikut peraturan yang dicadangkan oleh SPR, seseorang pengundi diberi pilihan sama ada mencalit dakwat di kuku dan jika tidak mahu, mereka perlu menandatangani borang yang ditetapkan.
‘‘Bagaimanapun, pengundi juga berhak menolak untuk tidak menandatangani borang itu dan akhirnya kertas undi diberi juga. Inilah yang mengelirukan orang,’’ katanya.
Semalam, SPR membatalkan cadangan penggunaan dakwat kekal di kuku yang hendak dilaksanakan pada hari pembuangan undi 8 Mac ini.
Pengerusinya, Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman berkata, ia ekoran laporan keselamatan yang diterima SPR mendedahkan terdapat pihak tertentu di negara ini telah membeli dakwat itu dari luar negara.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein turut melihat keputusan SPR itu sebagai munasabah.
‘‘SPR merupakan satu badan bebas. Sekiranya tindakan ini dapat menghalang kemunculan dakwat yang mencurigakan dan boleh menggugat ketelusan pilihan raya, maka kami Pemuda tidak ada masalah dengan keputusan itu,’’ katanya.
Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib pula percaya SPR bertindak demikian selepas menyedari terdapat cubaan untuk menggagalkan pelaksanaannya semasa proses pengundian Sabtu ini.
‘‘Apa yang membimbangkan, sekiranya dilaksanakan juga sedangkan semua dakwat yang telah dibeli dari luar negara itu sudah diedarkan serta digunakan, ia boleh mencetuskan kekacauan pada hari pengundian kelak,’’ ujarnya.
Ketua Puteri UMNO, Datuk Noraini Ahmad turut menyambut baik keputusan SPR itu kerana bimbang berlaku penipuan sekiranya cadangan itu diteruskan.
Bagaimanapun beliau berkata, penerangan mengenainya perlu diberikan kerana bimbang akan diambil kesempatan oleh pihak tertentu untuk menimbulkan suasana tidak diingini.
Setiausaha Kerja UMNO, Brig. Jen. (B) Datuk Husainay Hashim berkata, pembatalan cadangan penggunaan dakwat kuku tidak perlu dipertikaikan kerana dibuat demi menjamin kelancaran proses pengundian.
Selain itu, katanya, keselamatan awam turut menjadi fokus utama pada hari berkenaan apabila berkemungkinan orang yang hendak mengundi tidak dapat mengundi disebabkan kukunya telah diletakkan dakwat tersebut.
Ketua Biro Undang-Undang Wanita UMNO, Datuk Kamelia Ibrahim berkata, dakwat itu digunakan sebagai ‘senjata’ oleh pihak tertentu untuk menghalang pengundi berdaftar menunaikan tanggungjawab mereka.
‘‘Semua calon yang bertanding mempunyai strategi untuk menang tetapi bukan dengan cara menganiaya orang lain termasuk membeli dakwat yang sama dari luar negara untuk dicalitkan di kuku pengundi,’’ katanya.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo berpendapat, proses pembuangan undi sebelum ini lebih sesuai digunakan daripada menggunakan tanda dakwat kekal di kuku.
‘‘Lebih baik kita mengadakan pilihan raya seperti biasa jika penggunaan dakwat ini bakal menimbulkan masalah dan mengancam keselamatan negara,’’ katanya.
Ulasan : Mengapa arahan ini dibuat di saat akhir di kala persetujuan bersama dengan semua parti politik telah dicapai sebelum PRU dulu? Mengapa dakwat bernilai RM 1 juta telah dibeli dahulu jika perkara (penipuan dakwat) dijangka akan berlaku ? Atau ini mungkin konspirasi untuk terus memudahkan pemerintah menang dengan lebih mudah? Buat semua yang ikhlas ingin menegakkan agama Allah di bumiNya ini, marilah bersama-sama kita berpuasa sunat sebagaimana yang telah dianjurkan, pada hari ini(Khamis) dan bangun bermunajat dan qiyamullail pada malam ini(malam Jumaat) memohon kepada Allah agar digagalkan segala perancangan jahat yang telah diatur. Moga Kelantan tetap kekal sebagai benteng terakhir Islam di negara kita. Allah al-Samad(Ya Allah, hanya Engkaulah tempat mohon segala hajat). Berilah kami kekuatan seumpama tentera Badar seramai 313 orang yang serba kekurangan dalam menentang 1000 tentera Quraisy yang lengkap bersenjata. Kami tiada daya dan kekuatan melainkan dengan izinMu Ya Allah. Segalanya dikuasai oleh mereka-media massa, suratkhabar, radio, tv dan lain-lain. Kami hanya ada Engkau Ya Allah-makbulkanlah doa kami. Amin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan