Jumaat, 7 Mac 2008

Ragam Pilihanraya 2008

Rumah pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman hari ini disimbah cat warna merah, dipercayai sebagai membantah keputusannya membatalkan penggunaan dakwat kekal di jari pengundi.

Kejadian itu, dipercayai awal pagi atau tengah malam tadi, diketahui pagi tadi oleh pekerja rumahnya di Jalan Bukit Pantai, Kuala Lumpur.

Abdul Rashid memberitahu Malaysiakini, beliau percaya kejadian itu bermotifkan politik.

Perbuatan menyimbah cat merah bahagian pagar rumahnya di Lorong Bukit Pantai 7, Lembah Pantai itu dipercayai dilakukan tiga lelaki kira-kira pukul 12.30 tengah malam tadi.

Abdul Rashid bagaimanapun hanya menyedari perkara itu pada pukul 7.30 pagi ini ketika beliau menunggu pemandunya untuk keluar menuju ke pejabatnya.

SPR kelmarin membatalkan cadangan penggunaan dakwat kekal, hanya empat hari sebelum pengundian pada Sabtu ini.

Pengumuman mengejutkan itu dibuat pada satu sidang akhbar di yang turut dihadiri ialah Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan.

Beberapa hari sebelumnya, pembangkang menegur SPR yang kelihatan berat hati untuk memperkenalkan penggunaan dakwat tersebut.

Susulannya, beberapa pemimpin utama badan pemantau yang diiktiraf SPR, Malaysians for Free and Fair Elections (Mafrel), termasuk pengerusinya Abd Malek Hussin, menarik diri sebagai pemerhati pada 8 Mac ini.

Sementara itu, Abdul Rashid dilaporkan akan diberi perkhidmatan polis pengiring untuk keselamatannya.

Laporan laman web The Star petang ini menyebut seorang pegawai polis, Muhammad Sabtu berkata, contoh cat tersebut telah dihantar ke jabatan kimia untuk dianalisis.

Laporan itu juga menyebut, tiga lelaki dalam sebuah kereta berwarna gelap dilihat di luar rumah tersebut pada kira-kira jam 12.30 tengah malam.

Seorang lelaki turun bersama tiga tin dan mencurahkan kandungannya di pagar dan dinding. Tin tersebut ditemui di luar rumah tersebut.

Sewaktu ditemui Malaysiakini di rumahnya, Abdul Rashid turut menjawab soalan mengenai pembatalan cadangan tersebut.

Malaysiakini: Adakah Tan Sri tidak sedar tentang undang-undang tersebut?

Abdul Rashid: Kita tahu mengenai keperluan undang-undang tersebut, tetapi kita ingat ia tidaklah begitu buruk dan kita boleh mengatasinya. Tapi nampaknya seperti kami tidak boleh (melaksanakannya). Dan atas nasihat pejabat Peguam Negara, kita memutuskan untuk membatalkannya. Kita mahu menggunakan dakwat itu. Kami memang hendak menggunakannya tetapi batasan perundangan menghalang kami daripada melaksanakan cadangan tersebut.

Bagaimana dengan pindaan undang-undang?

Parlimen yang buat. Sekarang telah terlambat, kerana parlimen sudah dibubarkan.

Tapi cadangan menggunakan dakwat itu diterma Julai lalu...

Ia perlu dibatalkan sekarang.

Adakah rumah Tan Sri disimbah cat kerana ada yang menganggap Tan Sri berat sebelah, dan tempoh perkhidmatan Tan Sri tidak sepatutnya dilanjutkan?

(Dalam nada yang tinggi) Di mana saya berat sebelah? Beritahu saya, macam mana saya berat sebelah?

Ambil contoh isu liputan media. Sesetengah media membantu parti pemerintah dan pengkritik menuding jari ke arah kami. Apa yang kami boleh buat? Ia bukan bawah bidang kuasa kami.

Di mana kami ada kuasa, tugas kami sempurnakan 100 peratus. Di mana kami tidak ada kuasa, jangan tuding jari ke arah kami.

Mereka hendak mengugut saya. Saya tidak fikir ia perlu. Saya tidak seharusnya diugut dengan cara ini. Saya ada tugas yang perlu dilaksanakan dan saya telahpun memberi jaminan bahawa pilihanraya kali ini akan dijalankan secara adil.

Terdapat dakwaan bahawa anggota tentera mengundi dua kali...

Mereka mesti menunjukkan bukti berlakunya penyelewengan. Dan jika mereka ada bukti, failkan petisyen pilihanraya dan biar mahkamah putuskan. Setakat ini, tiada yang tampil memberi bukti konkrit.

Apa yang hendak dibuat dengan dakwat yang telah dibeli itu?

Kita akan menguruskannya selepas pilihanraya umum ini. Pihak urusetia tahu apa nak buat.

Bolehkah dakwat itu digunakan untuk pilihanraya umum akan datang?

Kita mesti menjaga undang-undang terlebih dahulu. Tetapi itu adalah perkara dasar dan terserahlah kepada pembuat dasar. Kerajaan sedar mengenainya dan kita akan lihat apa yang akan berlaku selepas pilihanraya.



Dalam pemantauannya, penyelaras Malaysians for Free and Fair Elections (Mafrel) wilayah utara, BK Ong mendapati semua anggota tentera dan polis dikehendaki mengisi satu borang pengisytiharan berasingan yang mengandungi butiran nama, kad pengenalan dan nombor siri kertas undi, sebelum mereka membuang undi.

Setiap pengundi perlu memasukkan kertas undi dan borang pengisytiharan tersebut ke dalam sampul surat undi pos, sebelum memasukkannya ke dalam beg undi.

Apabila memeriksa sampul surat tersebut, borang pengisytiharan tersebut akan jelas menunjukkan identiti pengundi dan calon yang mereka undi.

"Kerahsiaan undi adalah antara prinsip asasi dalam proses demokrasi. Ia tidak boleh dikompromi," kata Ong.

Mafrel mendapati "pencemaran" proses pengundian itu ketika memantau pengundian undi pos di kem tentera Bukit Gedung di Bayan Lepas dan di ibu pejabat polis daerah Timur Laut di Georgetown.

Buat pertama kali Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) memberi akreditasi kepada Mafrel untuk menjadi pemerhati pilihanraya umum ke-12.

Suruhanjaya tersebut membenarkan 333 sukarelawan Mafrel menjadi pemerhati rasmi di pusat-pusat pengundian kali ini. Akreditasi itu membuahkan hasil apabila sepasukan empat sukarelawan yang diketuai oleh Ong, menemukan insiden tersebut.

"Kita tidak tahu sama ada SPR, pegawai polis atau tentera di belakang pengenalan borang pengisytiharan tersebut. Tetapi isu yang paling penting ialah pengundian dan kerahsiaan undi telah dikompromi. Ia satu kesalahan pilihanraya," tegasnya.



Kekurangan penguatkuasaan undang-undang pilihanraya oleh SPR, telah gagal menjamin kerahsiaan undi seseorang dan mempermainkan proses demokrasi di negara ini, kata Ong.

Timbul kebimbangan

Bawah peruntukan Seksyen 5 Bahagian 11 Akta Kesalahan Pilihanraya 1954, seseorang itu dilarang mendapatkan atau mendedahkan identiti pengundi dan undi mereka, seperti nama, kad pengenalan dan nombor siri kertas undi.

"Jika sabit kesalahan, mereka berdepan dengan hukuman setahun penjara atau didenda sehingga RM3,000, atau kedua-duanya sekali.

Selama ini, sering timbul keraguan mengenai proses pengundian pos untuk anggota polis dan tentera.

Negara ini mempunyai 220,000 undi pos.

Pendedahan Mafrel hari ini nampaknya telah mengesahkan kebimbangan bahawa undi polis telah dimanipulasikan dan kerahsiaannya tidak terjamin.

"Borang pengisytiharan identiti itu menimbulkan kebimbangan di kalangan anggota polis dan tentera yang mahu mengundi calon pilihan mereka," kata Ong.

Di samping itu, proses pengundian bagi anggota tentera dan polis pula dikendalikan sendiri oleh pegawai mereka.

Walaupun pegawai SPR dan ejen yang dilantik mesti mengendalikan proses pengundian, Ong terkejut kerana mereka tidak ada sewaktu pengundian pos berjalan di balai polis dan pangkalan tentera.

"Tidak ada pegawai SPR dan para ejen," dakwanya.


Sistem pilihanraya di Malaysia boleh menjadi "bahan lawak" di peringkat antarabangsa jika kecacatan ketaranya tidak diperbaiki, kata presiden Transparency International-Malaysia (TI-M) Tan Sri Ramon V. Navaratnam.

Dalam kenyataannya hari ini, Ramon berkata beliau mengetahui secara peribadi beberapa kes pengundi muda yang nama mereka dihapuskan daripada daftar pemilih dengan alasan "telah meninggal dunia."

"Sebenarnya, saya sendiri tahu bahawa mereka semua masih hidup!" katanya, mengulas kenyataan pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman di sebuah media asing bulan lalu.

"Jika anda mahu pilihanraya yang bebas dan adil ... anda mesti mempunyai kuasa untuk meratakan padang persaingan," Abdul Rashid dipetik sebagai berkata.

"Tanpa kuasa itu, maka keseluruhan sistem boleh ditertawakan orang," tambahnya.

"Dalam sesuatu pilihanraya anda harus mewujudkan keadaan yang dinamakan pilihan (pengundi) berasaskan maklumat. Itulah prinsipnya.

"Orang ramai mesti tahu siapa yang bertanding, jadi publisiti mesti diberikan kepada semua pihak, bukan hanya sebelah pihak. Dan memang wujud media yang melaporkan sebelah pihak sahaja."

Sambil menyatakan sokongannya pada kenyataan Abdul Rashid itu, Ramon berkata keputusan suruhanjaya membatalkan penggunaan dakwat kekal malangnya hanya menambahkan lagi tanggapan umum bahawa pilihanraya 8 Mac ini sekadar "bahawa ketawa".

"Alasan SPR pula tidak begitu meyakinkan," katanya.

Dakwaan badan pemantau Malaysians for Free and Fair Elections (Mafrel) bahawa wujud nama-nama pemilih yang dibenarkan mengundi beberapa kali (ada dakwaan sebanyak 40 kali) di banyak tempat menjejaskan lagi kewibawaan SPR, kata Ramon.

Beliau menggesa dakwaan-dakwaan ini disiasat segera untuk memulihkan kredibiliti sistem pilihanraya.

Ramon juga menyokong saranan Abdul Rashid agar sistem perundangan disemak untuk mewujudkan peraturan yang sama adil untuk semua calon dan parti bertanding.

TI-M kini memantau perbelanjaan parti-parti bertanding, termasuk kos iklan di media cetak dan elektronik.

Ulasan : Penyelewengan yang terserlah. Kita tetap berdoa agar segala kebatilan yang dirancang akan menemui kegagalan! (Sumber Malaysia Kini)

Tiada ulasan:

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude