PUTRAJAYA 27 Feb. – Pengundi-pengundi pos dijadualkan membuang undi pada bila-bila masa mulai esok, sebaik sahaja menerima kertas undi pos daripada pegawai pengurus pilihan raya di seluruh negara.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Kamaruzaman Mohd. Noor berkata, tarikh mengundi akan ditentukan oleh pegawai pilihan raya, polis dan tentera berdasarkan kesesuaian masing-masing.
‘‘Untuk proses pengundian pula, SPR tidak terbabit kerana pegawai pilihan raya, polis dan tentera sendiri yang akan menentukan tarikhnya, dan ia boleh dilakukan mengikut kehendak mereka.
‘‘Apa yang kami mahu, semua kertas undi pos berkenaan perlu kembali semula kepada SPR sebelum 5 petang 8 Mac ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Seramai 221,085 pengundi pos layak untuk mengundi pada pilihan raya kali ini.
Daripada jumlah itu, 135,882 orang adalah anggota tentera dan pasangan mereka; 83,794 anggota polis termasuk Pasukan Gerak Am dan pasangan, serta 1,609 orang kakitangan kedutaan dan pelajar sepenuh masa di luar negara.
Kamaruzaman berkata, apabila kertas undi polis sudah dikeluarkan, wakil kurier dari tentera dan polis perlu hadir untuk mengambil kertas undi pos itu dan menghantarnya ke kem-kem tentera serta ibu pejabat polis kontinjen negeri dan daerah.
Katanya, buat pertama kali, SPR akan membenarkan ejen calon yang bertanding hadir untuk menyaksikan proses tersebut dilakukan.
Beliau berkata, sebelum ini, hanya pegawai pengurus atau pegawai SPR dibenarkan menyaksikan urusan pengundian pos dijalankan di pusat pembuangan undi kem-kem tentera dan polis.
Kamaruzaman berkata, bagi pengundi di luar negara, undi pos akan dihantar melalui Wisma Putra.
Jelas beliau, kertas undi tersebut perlu tiba semula di pejabat pegawai pengurus pilihan raya sebelum pukul 5 petang pada hari pengundian 8 Mac ini.
Beliau menambah, kegagalan menepati waktu yang ditetapkan akan menyebabkan undi-undi pos itu ditolak.
Ulasan : Diharapkan para pengundi pos dapat menunaikan tanggungjawab dengan bijak. Keraguan tentang undi pos masih ada. Moga penyelewengan yang berlaku selama ini tidak akan berulang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan