Khamis, 6 Disember 2007

Bayaran Pendakwah

RASULLULAH bersabda: Ulama adalah pewaris nabi. Hadis ini menjelaskan hierarki ulama dalam masyarakat. Mereka yang dikurniakan kelebihan dari segi ilmu Islam berperanan menegakkan yang makruf dan mencegah yang mungkar.

Masyarakat Islam umumnya meletakkan kedudukan yang tinggi kepada para ulama sesuai dengan keilmuan mereka.

Wartawan, MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan juru foto, ASMARUDDIN JAMALUDDIN menemu bual pensyarah Kuliah Undang-undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Md. Hashim Yahya bagi mengupas persoalan ini.

UTUSAN MALAYSIA: Apakah tugas para ulama secara umumnya?

MD. HASHIM: Secara umumnya, tugas ulama adalah sama dengan tugas setiap Muslim iaitu berdakwah menegakkan yang makruf dan mencegah yang mungkar. Ini dijelaskan menerusi firman Allah: Dan hendaklah ada di antara kamu golongan yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar, dan merekalah orang-orang yang berjaya. (Ali-Imran: 104)

Cuma barangkali disebabkan mereka ini diberikan tugas khusus sama ada sebagai ustaz, guru agama yang dilihat lebih arif dalam bidang agama berbanding orang awam, tugas mereka lebih berat.

Bagaimanapun, orang awam tidak boleh lepas tangan begitu sahaja dan membiarkan hanya pihak berkuasa melakukan tanggungjawab tersebut. Apabila kita mengaku Islam, setiap kita bertanggungjawab dalam mencegah kemungkaran mengikut kemampuan kita.

Ini dijelaskan menerusi hadis Rasulullah: Barang siapa di antara kamu melihat kemungkaran, maka hendaklah ia mengubah dengan tangannya. Jika ia tidak berkuasa, hendaklah ia mengubah dengan lidahnya. Jika tidak juga berkuasa, hendaklah ia mengubah dengan hatinya. Dan yang demikian itu (mengubah dengan hati) adalah selemah-lemah iman. (Riwayat Muslim)

Apakah definisi perbuatan yang mungkar itu?

Sebahagian besar umat Islam mendefinisi perbuatan mungkar ialah perbuatan yang ditegah oleh syarak. Namun, saya suka menegaskan yang perbuatan meninggalkan suruhan Allah juga adalah mungkar. Malah, perlanggaran undang-undang takzir (kecil) seperti peraturan lalu lintas yang ditetapkan oleh kerajaan untuk kemaslahatan umum juga digolongkan dalam perbuatan mungkar.

Contohnya, dalam zaman Jahiliah, golongan Musyrikin berpegang kepada prinsip menolong saudara mereka sama ada melakukan zalim atau dizalimi.

Rasulullah kemudiannya mengguna pakai kaedah tersebut dan apabila ditanya oleh para sahabat bagaimana kita membantu orang melakukan zalim. Baginda bersabda: kita membantu orang yang membuat zalim itu dengan mencegah mereka daripada melakukannya.

Ini menunjukkan betapa indahnya Islam dalam meletakkan panduan serta contoh membina masyarakat yang berakhlak.

Jika setiap kita menjalankan tugas ini, insya-Allah gejala-gejala sosial yang berlaku hari ini dapat dikurangkan.

Masalah masyarakat Melayu ialah tidak mahu menegur kemungkaran kerana bimbang mengguris hati kawan-kawan. Bagaimana mengubah persepsi ini?

Pertamanya, kita perlu ingat yang suruhan kepada `mengajak yang makruf dan mencegah yang mungkar’ ini perlu dilakukan serentak. Kita tidak boleh hanya menyuruh berbuat kebaikan sahaja dan membiarkan maksiat serta kemungkaran berlaku di depan mata.

Ini termasuklah dalam kalangan kawan atau sahabat sekalipun. Jika tidak menegur kemungkaran yang dilakukan itu, kita juga terlibat sama dan berdosa.

Sebab itu ada hadis yang menyebut, di akhirat kelak, orang yang melakukan kemungkaran itu akan ‘menarik kain baju’ kita dan menyalahkan kita kenapa tidak menegur perbuatannya yang tidak elok semasa di dunia dulu.

Kewajipan ini memang berat tetapi mulia. Ia memerlukan kekuatan dan keberanian jiwa untuk menegur golongan yang melakukan maksiat. Dalam hal ini kita boleh mengambil pendekatan yang disarankan iaitu dakwah secara berhikmah. Maksud hikmah di sini bukan lembut tetapi meletakkan sesuatu mengikut keadaan dan tempat.

Kalau kita menasihati anak yang degil dan keras kepala, pendekatan berhikmah mungkin dengan merotan atau memukul. Bagi anak yang mudah dilentur, pendekatan berhikmah memadai dengan cara menegur dan memberi nasihat sahaja.

Masih ada masyarakat yang beranggapan golongan ulama ini tidak perlu mendapat bayaran dalam kerja dakwah kerana tugas itu adalah ikhlas. Apa pandangan Datuk?

Memang pada dasarnya, ulama yang menjalankan tugas mengembangkan Islam menjalankannya secara ikhlas. Sesuai dengan kedudukan mereka sebagai pewaris Nabi. Para Nabi sejak Nabi Adam sehinggalah Rasulullah s.a.w menegaskan kepada umat manusia bahawa mereka menegakkan agama semata-mata kerana Allah dan tidak mengharapkan upah.

Namun, berdasarkan perkembangan semasa, tidak menjadi kesalahan bagi ulama atau pendakwah diberi sedikit ganjaran sebagai menghargai penat lelah mereka menyampaikan ajaran Allah kepada masyarakat. Ini kerana ada ketikanya, pendakwah terpaksa meluangkan masa berjam-jam untuk ke sesuatu destinasi untuk berceramah dan menyampaikan ilmu.

Apabila jaraknya jauh, maka ada keperluan untuk pendakwah memandu kenderaan masing-masing. Oleh itu, usaha murni ini perlu dihormati dan dihargai oleh masyarakat. Seterusnya membuat penilaian yang wajar terhadap penat lelah pendakwah tersebut.

Memang dulu ada fatwa yang mengatakan haram guru al-Quran mengambil upah mengajar tetapi akibat perubahan zaman, mengajar agama kini menjadi kerjaya atau mata pencarian. Justeru, fatwa mutakhir ini mengharuskan guru al-Quran mengambil upah.

Malah, umumnya masyarakat hari ini terpukau dengan kebendaan. Pada mereka, barang yang mahal tentu lebih berkualiti. Tanggapan mereka, pendakwah yang menaiki kenderaan tentulah lebih berkualiti daripada yang motosikal atau basikal.

Ada juga yang mempersoalkan kononnya pendakwah meletak harga persis penyanyi. Pada mereka, pendakwah tidak boleh bermewah kerana mereka sepatutnya perlu zuhud. Benarkah pandangan begini?

Pertamanya, saya tidak setuju dengan tindakan sebilangan pendakwah yang meletak harga untuk menjemput mereka. Bagaimanapun, saya berpendapat jumlah yang terlibat adalah amat kecil dan ia adalah kes-kes terpencil. Jadi, tidak wajar untuk menghukum semua pendakwah mata duitan.

Perbuatan sedemikian boleh menjatuhkan martabat dan imej pendakwah. Soal mendapat ganjaran banyak atau sedikit itu adalah ketentuan Allah. Adakalanya ia untuk menguji pendakwah berkenaan.

Cumanya, masyarakat perlu menilai secara berpatutan khidmat pendakwah tersebut. Jangan sampai pendakwah dinilai terlalu rendah. Ini kerana mereka membantu membawa masyarakat ke jalan yang benar bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat.

Tentang bab zuhud ini ada dua pengertian. Pengertian yang biasa difahami ialah meninggalkan kemewahan dunia. Sebenarnya, yang penting zuhud bukanlah meninggalkan dunia tetapi hati kita tidak terikat dengan keduniaan.

Imam al-Ghazali dalam kitab Mizan al-Amal menyimpulkan bukanlah zuhud itu orang yang tidak berharta tetapi orang yang zahid itu adalah orang yang hatinya tidak dikongkong oleh hartanya. Maknanya, kalau hidupnya agak mewah ia tidak menganggu amal ibadatnya. Hartanya yang banyak tidak menjadikannya bakhil untuk menderma atau bersedekah.

Begitu juga kalau kita melihat kepada zaman khalifah seperti Abu Bakar dan juga Uthman Affan. Mereka ini adalah jutawan tetapi bersedia menggunakan harta untuk jalan Allah.

Yang penting jaga pantang larang agama dan mengambil kesenangan dunia secara halal. Ini tidak dilarang oleh agama.

Apa pula nasihat Datuk kepada golongan pendakwah di negara kita?

Pertama, kita perlu bersyukur kerana negara kita mempunyai ramai ulama lulusan pelbagai universiti tempatan dan luar negara. Mereka kini menjalankan tugas mengajar agama kepada masyarakat melalui kuliah-kuliah dan juga pengajian berkitab. Ini penting supaya institusi masjid dan surau tidak hanya menjadi tempat solat. Sebaliknya diimarahkan dengan pelbagai aktiviti yang bermanfaat.

Bagaimanapun, saya agak sedih kerana ada segelintir pendakwah yang tidak mantap ilmu Islamnya. Mereka banyak bergantung kepada kepetahan bercakap yang dikurniakan Allah. Ini menyebabkan adakalanya mereka mengeluarkan pandangan yang mengelirukan.

Pendakwah mesti mempunyai pengetahuan yang mantap, sentiasa menambah ilmu melalui pembacaan dan sebagainya. Selain itu perlu sentiasa mengikuti fatwa-fatwa baru agar mempunyai pengetahuan terkini.



Tiada ulasan:

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude