Sabtu, 3 November 2007

Wawancara bersama Dr Yusuf al-Qardhawi


Kenyataan ini dibuat oleh beliau ketika diwawancara oleh akhbar Mesir 'al-Wafd' pada hari Khamis 27 Julai 2006. Melalui wawancara tersebut, beliau mengalu-alukan pendirian dan sikap yang ditunjukkan oleh bangsa Arab tetapi dalam masa yang sama mengutuk sikap dan pendirian para pemerintah dan penguasa Arab yang mengkritik penentangan yang dilakukan terhadap Israel.



Berikut adalah teks penuh wawancara tersebut:

Soalan: Bagaimanakah keadaan ummat selepas tindakan ganas terhadap Lubnan?

al-Qaradawi: Keadaan ummat kita adalah sebagaimana keadaan sedia ada pada hari ini iaitu dalam keadaan kekeringan dan kehinaan. Hanya satu perkara sahaja yang menunjukkan ummat ini masih hidup dan hati mereka masih mempunyai hubungan dengan kehidupan ialah penentangan yang kita dapat lihat di Palestin dan Lubnan. Selain dari itu, tiada apa-apa yang menggembirakan. Menyerah sahaja terhadap apa yang berlaku telah menjadi darah daging mereka terutama di kalangan para pimpinan kerajaan-kerajaan Arab.


Soalan: Apakah faktor yang menyebabkan ummat Islam mengalami kehinaan sedemikian rupa?

al-Qaradawi: Kerajaan-kerajaan Arab bertindak berdasarkan pegangan mereka terhadap beberapa perkara seolah-olah perkara itu adalah suatu yang tetap kekal, tidak lagi boleh berubah, atau mereka ingin menanamnya ke dalam kepala orang ramai. Antaranya ialah mereka berpegang bahawa Israel mempunyai kekuatan yang tidak mungkin boleh diatasi dan ditentang sama sekali. Oleh itu, kita hendaklah mengelak daripada bertembung dengannya.Dalam keadaan ini, kerajaan-kerajaan Arab menganggap penentangan yang dilakukan oleh HAMAS, Shuhada' al-Aqsa dan Solahuddin di Palestin, serta Hizbullah di Lubnan sebagai tindakan penuh bahaya dan tidak membawa apa-apa faedah serta menjerumuskan mereka ke kancah pertentangan terbuka dengan pihak Israel. Mereka bercakap tentang Israel seolah-olah Israel memiliki kekuatan yang tidak mungkin dikalahkan sebagaimana dikatakan tentang tentera Tatar dahulu. Dikatakan dahulu: "Jika dikatakan kepada anda bahawa Tatar telah kalah, janganlah percaya."Itulah yang berlaku dan dengan sebab kelemahan yang ada pada kita, mereka berjaya mengalahkan kota Baghdad, memusnahkan tamadun Islam di sana dan membunuh sejuta orang Islam. Sehinggalah Allah mengurniakan kepada ummat ini seorang pahlawan beriman iaitu Saifuddin Qutz yang berjaya mengalahkan mereka dan mendustakan kepercayaan tadi. Selepas itu, tentera Tatar tidak lagi berdaya melakukan apa-apa.


Soalan: Apa lagi perkara-perkara yang ingin mereka tanam dalam kepala umat Islam?

al-Qaradawi: Antara perkara yang mereka ingin tanamkan ke dalam kepala umat Islam, tidak kira golongan berpendidikan, para pemerintah mahu pun rakyat ialah bahawa apa sahaja yang diinginkan oleh Amerika pasti akan berlaku, seolah-olah Amerika adalah tuhan alam ini yang tidak boleh dipersoalkan tentang apa yang ia lakukan.Beliau menambah: Umat Islam masih lagi alpa meskipun perancangan jelas yang dipimpin oleh Amerika bagi merubah peta rantau Arab bermula dengan menamakannya sebagai Timur Tengah yang baru. Berdasarkannya, Amerika bertindak sebagaimana seorang tuan bertindak terhadap hambanya, atau sebagaimana seorang pemilik bertindak terhadap barang-barang milikannya. Ganjilnya, kita tidak mampu menentang.Amerika Syarikat mahu rantau ini berubah dengan Israel menjadi satu-satunya kuasa yang mencengkam dan boleh memaksa agar segala kehendaknya terlaksana terhadap semua negara Arab. Sesiapa yang tidak percaya terhadap hakikat ini, dia hendaklah melihat kembali kepada peristiwa-peristiwa yang telah berlaku. Seluruh dunia menyeru agar genjata senjata segera dilakukan, namun Amerika adalah satu-satunya negara yang menentang dengan menyeru agar peluang diberikan bermatlamat untuk merubah hakikat realiti yang sedang berlaku.Bahkan lawatan yang dilakukan oleh Setiausaha Luar Amerika, Condoliza Rice lewat dilakukan bertujuan memberikan peluang kepada Israel untuk menyempurnakan perancangannya untuk memusnahkan semua prasarana kehidupan di Lubnan dengan meruntuhkan rumah-rumah, membunuh orang-orang yang tidak bersalah dan menyebabkan ribuan rakyat kehilangan tempat tinggal. Inilah Amerika sebenarnya. Selagimana ia menjadi pemberi perintah dan larangan kepada negara kita, maka selama itulah kita akan tetap menjadi hambanya yang sentiasa patuh kepada segala perintah dan larangannya!


Soalan: Bagaimana pula sikap pemimpin-pemimpin Arab terhadap krisis ini?

al-Qaradawi: Kerajaan-kerajaan Arab tidak mempu bernafas dan bercakap apa-apa. Jika kerajaan-kerajaan ini berkata kami tidak bersedia untuk menghadapi apa-apa peperangan, maka apa lagi yang boleh kita harapkan daripada mereka? Mereka telah memberikan lampu hijau kepada Israel agar Israel berbuat apa sahaja terhadap kita dan akhirnya menundukkan rantau ini sepenuhnya.Sehingga salah seorang pemimpin Arab pernah berkata: "Kita tidak mampu berhadapan dengan Israel." Seolah-olah mereka berkata kepada Israel:"Benamkanlah kepala kami ke dalam lumpur sebagaimana kamu inginkan! Musnahkanlah rumah-rumah kami! Cabulkanlah kehormatan kami! Bunuhlah kanak-kanak kami! Kami tidak mampu menghadapi kamu!" Adakah wujud di dunia ini seorang berakal yang berkata kepada musuhnya: "Aku tidak mampu menghadapi engkau?!"Seorang manusia yang merdeka akan berkata kepada orang yang mahu membunuhnya: "Aku sanggup menghadapi kematian kerana mempertahankan kehormatanku. " Kehinaan yang kita saksikan pada para pemimpin Arab hari ini adalah bercanggah dengan adat kebiasaan bangsa Arab. Mereka lupa dan melupakan kita kepada bait-bait syair yang kita hafal yang berbicara tentang kemuliaan Arab. Di manakah syair yang diungkapkan oleh al-Mutanabbi:Kemuliaan yang tinggi pasti beriringan dengannya kesakitan. Sehingga ditumpahkan darah di sekitarnya.Di mana pula kata-kata Shawqi:Bagi mencapai kemerdekaan, mesti melalui pintu merah. Kerana diketuk dengan tangan berlumuran darah. Soalan: Apakah penyelesaiannya bagi menghadapi para pemimpin yang hanya mementingkan tampuk kekuasaan mereka?al-Qaradawi: Keadaan pelik ini tidak mungkin akan berterusan. Mungkin ia akan berterusan buat sementara waktu, tetapi ia tidak mungkin berterusan selama-lamanya. Pada waktu ini kita dapati banyak bangsa telah bangkit menentang pemerintah mereka. Para pemimpin Arab juga tidak mungkin akan terus berkuasa selama-lamanya selagi mana mereka tidak berubah. Jika ini juga tidak berlaku, maka logik mengatakan bahawa mana-mana pemimpin tidak akan berkekalan selama-lamanya.Bukti paling jelas ialah negara Kesatuan Soviet yang mencapai puncak kuasa yang tidak pernah dicapai oleh mana-mana negara dan menjadi kuasa dunia kedua terbesar. Namun ia tetap runtuh hasil daripada masalah dalaman yang berlaku. Ia juga sebagaimana firman Allah yang bermaksud: "Jika kamu berpaling, nescaya Allah akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain."


Soalan: Bagaimana pula tentang 'penentangan' (al-muqawamah ) dan sikap rakyat terhadapnya? Apakah hukum syarak terhadap apa yang dilakukan oleh Hizbullah?


al-Qaradawi: Mana-mana negara dan mana-mana bangsa berhak untuk bangkit menentang penjajah. Dan sebagai orang Islam, kita wajib bangkit memberikan bantuan kepada saudara kita seIslam. Jumhur fuqahak Islam berkata mana-mana negeri yang dijajah oleh musuh, penduduknya wajib mempertahankannya dengan segala kemampuan yang ada.Dalam keadaan ini, segala hak individu gugur dan diutamakan hak umum, jihad menjadi fardu ain. Seorang perempuan hendaklah keluar berjihad meskipun tanpa keizinan suaminya, seorang anak meskipun tanpa keizinan bapanya, seorang hamba meskipun tanpa keizinan tuannya, kerana hak umat Islam hendaklah diutamakan daripada hak individu.Jika penduduk negeri itu tidak bertindak, maka jiran mereka hendaklah menyelamatkan mereka, kemudian jiran yang lebih jauh dan jiran yang lebih jauh, sehingga mencakupi ummat keseluruhannya. Sekarang kita semua berkewajipan bangkit mempertahankan Lubnan daripada serangan angkuh Israel yang memusnahkan sebuah negara hanya kerana tiga orang tenteranya yang ditawan. Sebelum itu, seorang Arab pun tidak bergerak demi menyelamatkan hampir 10 ribu tahanan di dalam penjara Israel yang bongkak dan angkuh itu.Peribahasa ada mengatakan: Wahai Firaun! Apakah yang menyebabkan engkau bertindak zalim?" Dia menjawab: "Kerana tak aku temui seorang pun menghalangku! "


Soalan: Apa pandangan anda terhadap apa yang dilakukan oleh rakyat dan bangsa Arab serta kemarahan memuncak yang mereka tunjukkan?


al-Qaradawi: Umat Islam sedang berada dalam keadaan yang boleh diratapi. Satu-satunya perkara yang menyeksakan saya ialah kemarahan yang mereka tunjukkan di jalan-jalan raya. Mereka semua kepanasan menahan api kemarahan dan mereka mahu keluar berperang dan berjihad serta membalas dendam terhadap para pembunuh. Tetapi malangnya, mereka tidak mempunyai jalan untuk merealisasikan cita-cita mereka untuk berjihad.


Soalan: Apakah masalah yang menghalang umat Islam di negara-negara Arab untuk melaksanakan jihad?


al-Qaradawi: Masalah mereka ialah kerana mereka tidak mempunyai kebebasan. Jika benar negara kita mempunyai kebebasan, nescaya jutaan umat Islam bersedia untuk berjihad dan memberikan bantuan kepada semua bentuk penentangan di seluruh negara Arab dan Islam.



Soalan: Ada orang berkata 'penentangan' rakyat Lubnan adalah penentangan Syiah sedangkan majoriti kita adalah terdiri daripada ahlis sunnah?


al-Qaradawi: Penentangan adalah perkara paling mulia yang dimiliki oleh umat ini, sama ada di Palestin atau Lubnan. Meskipun ia dilakukan oleh puak Syiah, namun ia tidak menjejaskan penentangan yang dilakukan oleh rakyat Lubnan itu, selagi mana merekalah yang mengangkat senjata dan mengambil tanggungjawab untuk membersihkan bumi Islam daripada kekotoran Israel. Sebelum ini mereka pernah menang, mengalahkan Yahudi dan yang hanya masih tinggal ialah Kebun Shib'a yang mereka akan bebaskan tidak lama lagi, insya Allah.Saya tidak membezakan antara Syiah dan Sunnah, meskipun Syiah berbeza dengan kita dalam beberapa perkara cabang. Mereka tetap terdiri daripada ahli La ilaha illallah. Mereka mempunyai persamaan dengan kita dalam banyak perkara-perkara prinsip. Mereka bersama-sama dengan kita dalam lingkungan umat Islam, sebahagian yang tidak terpisah daripadanya.Namun saya mempunyai kata-kata nasihat yang ingin saya sampaikan kepada mereka. Saya tidak bersetuju dan mengutuk sikap fanatik yang ditunjukkan oleh Syiah di Iraq. Saya menyeru agar mereka meninggalkan tindakan keganasan yang mereka lakukan terhadap saudara-saudara mereka dari kalangan ahlis sunnah. Mereka hendaklah menghalang daripada berlaku penyembelihan yang sedang berlaku, kerana ia hanya akan memberikan keuntungan kepada penjajah Amerika dan regim Zionis.



Soalan: Apakah yang menjadikan anda kagum terhadap 'penentangan' Lubnan pada masa lalu?

al-Qaradawi: Antara kebanggaan yang lakukan oleh penentangan Lubnan ialah buat pertama kalinya mereka berjaya menawan tentera Israel sedangkan sebelum ini Israellah yang menawan kita. Di dalam penjara-penjara Israel terdapat ribuan tawanan kita sedangkan tidak seorang pun yang kita tawan daripada mereka.Oleh itu, Israel menjadi gila setelah tenteranya ditawan, sedangkan sebelum ini hanya Israel yang boleh menawan, membunuh dan memusnahkan. Seolah-olah hanya tentera mereka adalah manusia sedangkan tentera kita bukan manusia. Penentangan Lubnan itu telah memberikan pengajaran yang menyakitkan kepada regim Israel dan membalas dendam demi mempertahankan kehormatan kita seluruhnya.Beliau seterusnya menambah: Antara kebanggaan yang dilakukan oleh 'penentangan' Lubnan juga ialah kemampuannya untuk melancarkan roketnya hingga ke dalam kawasan Israel sehingga menyebabkan mereka lari bertempiaran mencari tempat perlindungan. Buat pertama kali, Israel mengaku kehilangan nyawa dan berlaku kecederaan hasil daripada pengeboman yang dilakukan oleh Hizbullah terhadap beberapa bandar di Israel sehingga menyebabkan kerugian yang ditaksirkan berjuta-juta dolar.Hanya orang yang tahu sahaja menyedari betapa besarnya kerugian yang dialami oleh Israel kerana ia berlaku pada masa kebiasaannya Israel dikunjungi oleh ramai pelancong yang memberikan keuntungan jutaan dolar kepada mereka. Tetapi kini, para pelancong tidak lagi berani datang ke sana. Manakala kemalangan jiwa dan kecederaan yang berlaku pada pihak kita, maka kita mengatakan sebagaimana dikatakan oleh Rasulullah saw ketika Perang Uhud: "Orang-orang yang terbunuh di kalangan mereka di dalam neraka, tetapi orang-orang yang terbunuh di kalangan kita di dalam syurga."Kita berperang demi memperoleh dua ganjaran iaitu sama ada kemenangan atau mati syahid. Sebagaimana firman Allah swt yang bermaksud: "Jika kamu merasa sakit, mereka juga merasa sakit sebagaimana kamu merasainya, tetapi kamu berharap kepada Allah sedangkan mereka tidak."'Penentangan' Lubnan berjaya menyebabkan kerugian besar kepada tentera terkuat yang di belakangnya terdapat Amerika dan sekalipun Israel berperang menggunakan senjata canggih Amerika, di samping sokongan Amerika dari sudut politik, ekonomi, ketenteraan dan senjata veto, tetapi Hizbullah berperang dengan kekuatan keimanan.


Soalan: Adakah anda melihat ada bibit-bibit kebaikan selepas umat Islam memperlihatkan kemarahan mereka terhadap tindakan serangan yang dilakukan oleh Israel?


al-Qaradawi: Dalam tempoh terdekat masih belum kelihatan bibit-bibit kebaikan itu. Namun dalam jangka masa panjang, berbekalkan kekuatan dalaman yang ada pada kita, kita dapati banyak terdapat bibit-bibit kebaikan itu. Umat Islam memiliki banyak perkara yang tidak boleh dipandang mudah. Dari sudut bilangan, mereka mencapai angka satu setengah bilion. Dari sudut ekonomi, mereka memiliki minyak di samping bumi mereka adalah bumi yang mempunyai pelbagai jenis kekayaan. Mereka juga mempunyai pantai, lautan dan lembah yang indah.Di samping itu, kita juga memiliki kekuatan ruh terhadap risalah terakhir yang diturunkan Allah. Kita juga memiliki al-Quran, dokumen ilahi yang tidak dimiliki oleh orang lain. Di samping itu, kita juga memiliki kekuatan tamadun. Kita adalah kawasan tamadun-tamadun kuno bertapak, tamadun Firaun di Mesir, tamadun Babylon di Iraq dan tamadun Parsi di Iran. Amerika pula hanya mempunyai umurnya yang berjumlah 2 ribu tahun sahaja. Kita juga merupakan tempat lahirnya semua risalah langit.


Soalan terakhir: Adakah semua ini sudah memadai bagi kita mencapai kemenangan dalam menghadapi segala perancangan musuh?


al-Qaradawi: Kita berkeyakinan bahawa kita berada di atas kebenaran sedangkan musuh kita berada di atas kebatilan. Sekalipun kebenaran itu menghadapi beberapa rintangan, tetapi ia pasti akan menang akhirnya. Lihatlah kepada sejarah! Golongan Salib telah datang ke Palestin dan mereka mendirikan tembok serta benteng, namun Allah swt menghantar beberapa orang pahlawan bagi orang-orang Islam yang dapat mengalahkan mereka dengan teruk.Hari-hari pasti akan bertukar ganti. Dalam kehidupan ini pasti sentiasa berlaku sunnah 'pertukaran ganti' itu. Zaman terdapat dua hari. Satu hari bagi mereka, dan satu hari bagi kita, insya Allah. Ya Allah! Perlihatkanlah pada mereka bagi suatu hari (yang memenangkan kami terhadap mereka) dan goncangkanlah mereka. Ya Allah! Tolonglah penentangan yang gagah berani di Palestin, Lubnan dan setiap negara umat Islam."


Tiada ulasan:

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude