Ahad, 4 November 2007

Rokok dan Mudaratnya


JENUH rasanya mendengar kempen mengajak orang berhenti merokok, tetapi kerajaan dan pengamal perubatan tetap gigih berusaha walaupun hasilnya sangat perlahan.

Kata pakar, menyedarkan perokok memerlukan banyak kesabaran kerana mereka sebenarnya hilang rasional atau kewarasan ketika merokok.

Tidak mengapalah jika tidak sayang pada diri sendiri, tetapi pada masa sama mereka turut mendedahkan anak dan isteri yang dikategorikan sebagai perokok sekunder kepada bahaya asap rokok.

Mungkin kesan ke atas kesihatan anak isteri yang tidak begitu jelas membuatkan perokok sengaja 'tutup mata' atau sememangnya tidak sedar mengenai perkara ini.

Jika tidak tahu, suka diingatkan sekali lagi bahawa perokok sekunder (iaitu individu yang tidak merokok tetapi turut terdedah kepada asap rokok) mempunyai risiko kesihatan sama seperti perokok, terutama untuk mendapat kanser tekak dan paru-paru.

Asap rokok juga akan memburukkan keadaan anak yang menghidap asma.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan, satu daripada 10 kematian di seluruh dunia berpunca daripada penyakit berkaitan rokok dan menyebabkan empat juta kematian. Jika amalan ini berterusan, kadarnya akan meningkat kepada satu kematian bagi setiap enam penduduk dunia.

Jumlah perokok di negara kita dianggarkan mencecah lima juta orang pada 2003 dan pengambilan rokok per kapita di kalangan orang dewasa meningkat ke 69 peratus (antara 1985 hingga 2000) berbanding hanya 57 peratus pada 1970 hingga 1985.

Lebih penting, tabiat merokok menjadi punca 25 peratus kematian yang bukan disebabkan kemalangan di negara kita.

Ia termasuk kematian akibat barah mulut, penyakit jantung dan strok. Tidak kiralah apa jenis rokok yang anda hisap — sama ada rokok komersial, rokok daun, paip atau cerut — semuanya memberikan kesan sama.

Namun, rokok komersial yang ditambah ammonia dan pelbagai bahan kimia lain lebih 'enak' rasanya, selain mempercepatkan kesan nikotin pada otak.

Jika anda pernah bercadang berhenti merokok, sekarang adalah masa terbaik. Bagi yang tidak terlintas untuk berhenti, inilah saatnya untuk menimbangkan semula keputusan anda itu. Mengapa? Ada banyak sebab dan manfaat untuk anda berbuat demikian.

Anda boleh memanfaatkan Program Berhenti Merokok (CSCSP) anjuran bersama Persatuan Doktor Pergigian Malaysia (MDA) dan Persatuan Farmaseutikal Malaysia dengan sokongan Pfizer Consumer Healthcare, Kementerian Kesihatan serta Pusat Racun Kebangsaan Universiti Sains Malaysia — yang direka khusus untuk golongan perokok seperti anda!

Menurut Pengerusi program CSCSP, Dr How Kim Chuan, rokok menjadi punca kepada tiga masalah iaitu estetika, sosial dan kesihatan.

Asap rokok yang sampai ke dalam rongga mulut akan menyebabkan gigi menjadi kuning dan mencacatkan penampilan seseorang.

Bagi yang tidak peka dan jarang berjumpa doktor gigi, tar daripada asap rokok akan berkumpul di celah dan hujung gigi. Ini sebabnya kebanyakan gigi perokok mempunyai garis berwarna coklat yang sukar dihilangkan.

Kebanyakan perokok mempunyai bau nafas yang kurang menyenangkan dan ia menjadi pencetus kepada masalah sosial.

Kajian di Amerika Syarikat menunjukkan, perokok juga berdepan risiko kehilangan gigi lebih awal berbanding individu yang tidak merokok.

Hampir 45 peratus perokok yang berumur 65 tahun ke atas rongak berbanding hanya 10 peratus di kalangan bukan perokok.

"Asap rokok mengurangkan aliran darah ke gusi, iaitu tulang yang membentuk dan menyokong struktur mulut. Ini bermakna bekalan nutrien ke organ dalam mulut juga berkurang.

"Akibatnya, perokok mudah mendapat masalah gusi dan lesi pra kanser seperti leukoplakia (tompok putih tebal) atau eritroplasia (tompok merah dan tebal) pada lidah, pipi, gusi, lantai mulut atau lelangit.

"Bagaimanapun, jika tabiat merokok diteruskan, lesi ini boleh berubah menjadi kanser. Masalah gusi juga biasanya lambat sembuh di kalangan perokok. Bahkan, jangka hayat perokok juga lebih pendek 14 tahun berbanding orang yang tidak merokok," katanya.

Ketua Penyelaras CSCSP, Profesor Madya Dr Mohamad Haniki Nik Mohamed, berkata program ini dirangka khusus untuk meningkatkan kemahiran kaunseling pengamal perubatan untuk membantu pengguna tembakau berhenti merokok.

Alasannya mudah, untuk mengelakkan anak bangsa merosakkan diri sendiri kerana rokok menyebabkan 10,000 kematian rakyat Malaysia.

Tahun lalu saja, sebanyak 37.4 peratus orang dewasa di negara ini dilaporkan pernah merokok dalam sepanjang hidup mereka dan 22.7 peratus masih merokok. Yang membimbangkan ialah umur permulaan mencuba rokok. Walaupun secara purata kebanyakannya mula merokok ketika berumur 15 tahun, ada yang bermula seawal masuk darjah satu!

Lebih parah ialah peningkatan jumlah perokok di kalangan remaja perempuan, sedangkan insiden merokok di kalangan remaja lelaki menunjukkan pengurangan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Katanya, peningkatan ini disebabkan pengaruh iklan dan persekitaran. Ramai remaja perempuan percaya, jika merokok mereka kelihatan hebat dan mudah diterima kelompok yang difikirkan bersesuaian dengan jiwanya.

"Selain itu, mereka mungkin terpengaruh apabila melihat wanita dewasa yang berjaya dan merokok. Ia secara tidak langsung memberitahu remaja ini bahawa merokok adalah satu gaya tanpa menyedari ia lebih banyak membawa keburukan," katanya.

Sebagai kesinambungan kempen Tak Nak, program ini mengamalkan pendekatan 5A iaitu Ask (tanya), Advise (nasihat), Assess (periksa), Assist (bantu) dan Arrange follow-up (buat temu janji susulan) supaya matlamat berhenti merokok dapat dicapai.

Kajian juga menunjukkan hanya 15 peratus rakyat negara ini mendapatkan pemeriksaan gigi setiap tahun.

Jika anda perokok dan tergolong dalam kumpulan 85 peratus yang tidak menjalani pemeriksaan gigi, sekarang adalah masa terbaik untuk memulakan penjagaan kesihatan mulut.

Jika bukan untuk diri sendiri, sekurang-kurangnya lakukanlah ia demi kesejahteraan isteri dan anak.

Kajian kesuburan mendapati bapa perokok boleh menyebabkan anaknya kurang subur, terutama anak lelaki.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut, anda boleh hubungi sekretariat MDA di talian 03-2059 1532 atau layari laman web www.mda.org. my.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

hi, apa kata buat font tu bercolor putih dah kalau background hitam, TQ :)

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude