Oleh Lokman Ismail
Imam atau tok imam adalah merujuk kepada individu yang mengetuai urusan berkaitan agama Islam. Tok imam dilantik oleh pihak berkuasa agama bagi satu kawasan kampung, mukim, atau taman perumahan yang mempunyai sebuah masjid rasmi untuk menunaikan fardu Jumaat.
Masjid, surau dan madrasah yang tidak digunakan untuk menunaikan fardu Jumaat biasanya tidak berada di bawah pentadbiran pejabat agama. Jadi, tok imam dilantik sendiri oleh ahli jemaah masjid untuk menjalankan tugas secara sukarela.
Dengan kata lain, tugas tok imam bukan calang-calang tugas yang hanya terhad dalam lingkungan masjid saja.
Sebab itu di sesetengah negara, jawatan tok imam memerlukan seseorang memiliki kelulusan peringkat pengajian tinggi setaraf dengan jawatan pegawai kerajaan lain. Mereka adalah pegawai kerajaan yang mendapat hak dan layanan seperti penjawat awam lain.
Namun, di negara kita hanya imam di masjid ‘besar’ atau masjid negeri dan daerah saja yang mensyaratkan jawatan tok imam dipegang oleh penjawat berkelulusan sijil, diploma atau ijazah iktisas dalam bidang pengajian Islam. Jawatan itu termasuk dalam senarai perkhidmatan awam kerajaan.
Tugas tok imam tidak lagi sekadar mengimami sembahyang, tetapi turut melibatkan semua hal yang relevan dengan kedudukannya.
Tok imam wajar mengetahui persekitaran kawasan yang dipertanggungjawabkan kepadanya. Ini bagi memudahkan tok imam mengetahui soal perkembangan aktiviti agama, tahap penghayatan amalan beragama di kalangan penduduk tempatan, taraf sosial dan masalah lain yang berkaitan.
Kedudukan istimewa tok imam di mata orang ramai harus dipergunakan untuk usaha ke arah kebaikan. Sekiranya imam tidak memainkan peranan aktif dalam masyarakat, bermakna tidak dimanfaatkan kedudukan yang baik itu.
Sekarang ini didapati banyak masjid atau surau dalam keadaan daif dan tidak terurus. Tok iman perlu lebih berperanan untuk menjadikan keadaan masjid lebih selesa untuk dikunjungi tetamu Allah.
Berdasarkan kepada peri pentingnya peranan tok imam, adalah wajar jawatan itu dimasukkan dalam senarai perkhidmatan awam kerajaan. Ini bagi menarik lebih ramai calon yang mempunyai kelulusan lebih tinggi dalam bidang agama dan kemahiran dalam bidang lain boleh dimanfaatkan dalam tugas berkaitan.
Perkara ini perlu diberi perhatian memandangkan rata-rata tok imam yang berkhidmat sekarang telah lanjut usia. Mereka tidak lagi mampu melaksanakan tanggungjawab yang berat ini. Kesihatan sering terganggu dan pergerakan agak terbatas.
1 ulasan:
Nice Blog...
salam
kantor-online.blogspot.com
Catat Ulasan