DALAM surah al-Quraisy, Allah s.w.t. menempelak orang Quraisy yang lupa diri lantas menentang Allah dan rasul-Nya serta tidak selesa dengan peraturan hidup Allah.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: Kerana kebiasaan aman tenteram kaum Quraisy (penduduk Mekah) (iaitu) kebiasaan aman tenteram perjalanan mereka (menjalankan perniagaan) pada musim sejuk (ke negeri
Maka hendaklah mereka menyembah Tuhan yang menguasai rumah (Kaabah) ini, Tuhan yang memberi mereka penghidupan, menyelamatkan mereka dari kelaparan, dan mengamankan mereka dari ketakutan. (Surah al-Quraisy).
Mereka lupa apabila terselamat daripada dua perkara asas kehidupan iaitu bencana kelaparan walaupun bentuk muka bumi mereka kering-kontang dan mereka terselamat daripada diancam serangan musuh walaupun mereka tidak mempunyai pasukan tentera yang digeruni.
Keistimewaan ini mereka peroleh kerana rahmat Allah meletakkan mereka mendiami penempatan berhampiran dengan Kaabah yang mempunyai kedudukan di mata dunia ketika itu.
Ayat di atas menekankan dua isu penting demi kebahagiaan hidup. Pertama perlunya keamanan dan ketenteraman dan yang kedua, jauhi daripada kebuluran dan sebaliknya mudah mendapat makanan.
Kedua-dua perkara ini perlu bergerak seiring. Apa gunanya makanan yang banyak tetapi hidup dihimpit ketakutan. Makanan yang lazat pun nescaya tidak akan menyelerakan. Begitu juga makanan yang sedikit dan sukar diperoleh akan menggugat keamanan masyarakat kerana akan berlaku rompakan, kecurian, penipuan dan sebagainya.
Demi pentingnya dua isu ini, Nabi Ibrahim a.s. pernah berdoa kepada Allah s.w.t. agar dianugerahkan keamanan dan cukup makan kepada tanah Mekah. Firman Allah: Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah (negeri Mekah) ini, negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya.” (Surah al-Baqarah ayat 126)
Negara kita cintai ini juga tidak terkecuali daripada memakai formula kebahagiaan hidup ini iaitu perlu aman dan tidak berlaku kebuluran. Kita sebagai rakyat perlu prihatin dalam kedua-dua isu yang ditekankan dalam al-Quran.
Tidak kira sama ada kita tergolong dalam kategori orang kaya atau miskin, berpangkat atau tidak kerana jika berlaku kepincangan dalam sesuatu perkara, sengsaranya akan dirasai semua.
Sebagai rakyat yang prihatin, soal keamanan negara perlu dipelihara sepanjang masa. Untuk itu, ditubuhkan beberapa agensi barisan hadapan untuk memastikan keamanan terjaga dan keadilan terbela.
Mereka yang menganggotai barisan hadapan ini mesti tidak terlibat dalam perkara-perkara yang mengundang keresahan rakyat. Masalah rasuah, ketidaktelusan, salah guna kuasa, pecah amanah, kerenah maksiat dan mungkar serta anti undang-undang dan Perlembagaan, sepatutnya langsung tidak terkait dengan institusi-institusi ini.
Isu kedua yang ditegaskan al-Quran ialah makanan yang mencukupi. Hari ini kita sedang menghadapi isu kenaikan harga barangan keperluan harian dengan kadar yang agak meresahkan.
Mungkin sebahagian kita tidak berapa terasa kerana Allah melimpah-ruahkan rezekinya kepada kita. Tetapi bayangkan penduduk kampung yang tidak terlibat dalam kenaikan gaji seperti penjawat awam sebelum ini, tentunya bebanan mereka bertambah.
Kita perlu bertindak menyelamatkan umat daripada ancaman ketakutan dan kebuluran dengan melakukan perkara-perkara berikut.
Pertama: Kita perlu kekalkan keamanan dan tidak berlaku kebuluran di negara ini dengan menjauhi kekufuran nikmat.
Setiap pihak dalam peringkat individu, keluarga, masyarakat, pemimpin, penjawat awam serta swasta mesti jijik kepada maksiat dan kemungkaran kerana ia adalah lambang kekufuran, sedangkan kekufuran itu akan menghilangkan nikmat keamanan dan mudah mendapat makanan.
Kedua: Elakkan gejala ‘terlalu mewah’ yang melanda golongan elit khususnya yang diberi amanah oleh rakyat sehingga mula ‘lalai dan lupa’ kepada agenda perjuangan memartabatkan umat.
Ketiga: Semua pihak jangan merasa curiga apabila diajak kepada sistem hidup Islam, jangan merasa malu untuk taubat kepada Allah akibat keterlanjuran pada masa lalu. Jangan toleh ke kiri atau ke kanan untuk terus mendekati Allah menerusi ketaatan kita kepada-Nya dan menjauhi larangan-Nya.
* ZAMRI HASHIM ialah Pegawai Hal Ehwal Islam, Jabatan Mufti Perak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan