Jumaat, 23 November 2007

Macam-macam ragam 7

DHAKA 22 Nov. – Kebimbangan terhadap wabak penyakit dan kebuluran meningkat di Bangladesh ketika pegawai agensi bantuan berhempas pulas membantu mangsa yang ketiadaan air dan makanan secukupnya sejak seminggu.

Keutamaan sekarang adalah menyediakan makanan cukup untuk membolehkan para penduduk berkenaan, boleh terus hidup, kata para pekerja bantuan.

Pada masa yang sama, pihak kerajaan bersumpah untuk berusaha membekalkan makanan kepada lebih dua juta mangsa yang hidup melarat akibat dilanda Taufan Sidr pada 15 November lalu yang meragut lebih 3,100 nyawa.

Penasihat Kerajaan bagi Pengurusan Makanan dan Bencana, Tapan Chowdhoury berkata, kerajaan akan mengedarkan 15 kilogram beras setiap bulan bagi setiap 2.5 juta orang yang kebanyakannya ditempatkan di kem sementara mulai 1 Disember ini.

Tambahnya, program itu akan dijalankan selama sekurang-kurangnya 4 bulan.

Pengarah badan amal Save the Children, Kelly Stevenson menyatakan bahawa anggaran 50 hingga 90 peratus hasil tanaman padi negara itu musnah akibat Taufan Sidr dan meletakkan tiga juta penduduk dalam keadaan masalah bekalan makan selama enam bulan.

Kerajaan berjanji akan menghulurkan bantuan sebanyak AS$390 juta (RM1.3 bilion) dan sebanyak AS$250 juta (RM844 juta) daripadanya datang dari bantuan yang diberikan Bank Dunia.

Ulasan : Ujian terus menimpa Bangladesh khususnya umat Islam. Bantuan perlu disalurkan segera oleh negara-negara kaya. Pada waktu yang sama, NGO Islam perlu ke depan dalam misi kemanusiaan di kala misionari Kristian begitu rakus mencari mangsa untuk didakyah dengan dakyah mereka.

ISLAMABAD 22 Nov. – Mahkamah Agung Pakistan yang dianggotai hakim pilihan Presiden Pervez Musharraf, hari ini menolak petisyen terakhir yang mencabar kemenangan beliau dalam pemilihan Presiden bulan lepas.

Keputusan itu sekali gus membuka laluan kepada Pervez untuk meletakkan jawatan sebagai ketua turus tentera dan mengangkat sumpah sebagai Presiden awam yang dijangka seawal Sabtu ini.

Mahkamah Agung yang diketuai oleh Ketua Hakim Abdul Hameed Dogar mengambil masa tidak sampai sejam untuk mencapai keputusan tersebut.

Penolakan itu memang sudah dijangka selepas Pervez menyingkirkan para hakim yang berpendirian bebas daripada kerusi Mahkamah Agung.

Ini bermakna tiada halangan lagi untuk Suruhanjaya Pilihan Raya Pakistan mengesahkan Pervez sebagai pemenang pemilihan Presiden 6 Oktober lalu bagi menduduki satu lagi penggal lima tahun.

Petisyen terakhir yang dipertimbangkan oleh mahkamah hari ini dikemukakan oleh seorang bakal calon, Zahoor Mehdi yang dihalang oleh Suruhanjaya Pilihan Raya daripada bertanding.

Zahoor mempertikaikan keputusan suruhanjaya itu tetapi mahkamah memutuskan kertas pencalonannya tidak sah.

Ulasan : Pakistan terus bergolak. Pertembungan antara Pervez Musharraf dan pihak pembangkang semakin hangat. Moga keadilan akan tertegak dan kebajikan rakyat terbela.

BUKIT MERTAJAM 21 Nov. – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berjaya membongkar kegiatan sebuah syarikat memproses minuman dalam tin yang menggunakan logo halal palsu.

Kegiatan tersebut dikesan selepas sepasukan anggota penguat kuasa KPDNHEP melakukan serbuan ke atas sebuah kilang memproses minuman di Taman Selamat, Jalan Alma di sini hari ini.

Sebanyak 12 anggota KPDNHEP terlibat dalam serbuan kira-kira pukul 10.30 pagi itu dengan dibantu oleh anggota penguat kuasa dari Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Dalam serbuan itu, sebanyak 200,000 tin minuman pelbagai perisa jenama Keika disita bernilai kira-kira RM200,000.

Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDNHEP, M. Guna Selan berkata, serbuan tersebut dilakukan selepas pihaknya mendapat aduan daripada Jakim bahawa syarikat pengeluar minuman berkenaan menggunakan logo halal tanpa kebenaran.

Ulasan : Masalah yang rumit diselesaikan ialah penggunaan logo halal palsu. Pengusaha industri makanan dan minuman sanggup menipu demi mengaut keuntungan berlipat kali ganda. Penguatkuasaan seumpama ini perlu digiatkan.

KUALA KANGSAR 22 Nov. – Tanah runtuh di Kilometer 64, Jalan Taiping-Kuala Kangsar di sini pagi ini telah menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk di kedua-dua arah Lebuh Raya Utara-Selatan.

Lokasi kejadian itu yang betul-betul bersebelahan dengan lebuh raya berkenaan iaitu di KM231.6 telah memaksa satu lorong lebuh raya tersebut ke arah selatan ditutup untuk kerja-kerja pembersihan.

Jalan Taiping-Kuala Kangsar turut ditutup untuk semua kenderaan akibat kejadian itu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, seorang pemandu lori pasir nyaris maut apabila lori yang dipandunya diheret timbunan tanah runtuh di jalan itu.

Mangsa, Tay Hock Kee, 56, berjaya menyelamatkan diri walaupun lorinya terbalik akibat runtuhan tanah yang menumbangkan beberapa batang pokok.

Hock Kee ketika ditemui pemberita di sini hari ini berkata, ketika kejadian, dia dalam perjalanan untuk menghantar pasir dari Trong ke kilang simen YTL yang terletak hanya dua kilometer dari tempat kejadian.

‘‘Kejadian itu berlaku dengan pantas dan amat memeranjatkan saya. Tiba-tiba saja saya rasa lori bergerak ke kanan jalan raya dan apabila saya menoleh ke belakang, tanah dan pokok sudah menghempap lori.

‘‘Bagaimanapun, nasib saya baik kerana tanah runtuh itu hanya menimbus bahagian belakang lori dan saya dapat keluar dengan selamat,” katanya yang hanya cedera ringan di kaki.

Menurut Hock Kee, kejadian itu berlaku dalam sekelip mata dan dia langsung tidak menyedari kejadian tanah runtuh tersebut.

Katanya, nyawanya juga masih panjang kerana selepas lorinya terbalik di lorong bertentangan, mujur tidak ada sebarang kenderaan lain melalui jalan itu.

‘‘Sebuah lori lain yang berada di belakang juga sempat membrek selepas melihat lori saya tertimbus dengan tanah runtuh.

‘‘Nasib baik lori itu tidak terus terseret ke lebuh raya, kalau tidak saya tidak tahu apa akan berlaku kerana kenderaan memang banyak pada masa itu,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak, Datuk Ir. Wong Wai Ching berkata, kejadian tanah runtuh itu mungkin disebabkan oleh dua buah kolam ikan di atas bukit itu pecah.

Katanya, tinjauan awal JKR mendapati air dari kolam ikan tersebut telah melimpah keluar dan menyebabkan tanah menjadi lembap dan mudah runtuh.‘‘Kita belum dapat pastikan sama ada limpahan berkenaan adalah punca sebenar kejadian tanah runtuh ini.‘‘Siasatan lanjut akan dijalankan bagi mencari punca kejadian,” katanya.

Ulasan : Diharap pihak bertanggungjawab diheret ke muka keadilan. Bagaimana kolam ikan boleh dibina di atas bukit? Bukankah telah diingatkan bukit sebagai pasak bumi. Sebarang kegiatan menghakisnya akan menyebabkan tanah runtuh.

THE HAGUE, Belanda 22 Nov. – Malaysia memulakan pusingan kedua hujah lisan kes tuntutan bertindih Pulau Batu Putih dengan menegaskan bahawa Singapura gagal membuktikan, jauh sekali mengemukakan sebarang dokumen, bahawa pulau tersebut milik republik itu.

Malah, Malaysia berhujah, kelewatan Singapura membuat tuntutan ke atas dua bentuk maritim iaitu Middle Rocks dan South Ledge (13 tahun selepas tuntutan Pulau Batu Putih) menunjukkan republik itu tidak mempunyai hak ke atas ketiga-tiga pulau berkenaan.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail menarik perhatian Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di sini hari ini mengenai dakwaan Singapura bahawa Malaysia bukan pemilik asal Pulau Batu Putih.

Berhubung isu itu, beliau mempertikaikan dakwaan Singapura bahawa pulau tersebut menjadi milik British pada tahun 1847 hingga 1851 kerana ketika British datang ke situ, ia adalah terra nullius (tiada pemilik).

Menurut Abdul Gani, Singapura tidak dapat mengemukakan sebarang bukti bahawa Pulau Batu Putih ketika itu adalah terra nullius.

“Singapura tidak membuktikan kesnya, sebaliknya kes republik itu berdasarkan kepada kesimpulan mereka bahawa Pulau Batu Putih adalah terra nullius,” hujah beliau di hadapan Naib Presiden ICJ, Hakim Awn Shawkat Al-Khasawneh serta 15 hakim lain termasuk dua hakim ad hoc yang dilantik oleh Malaysia dan Singapura.

Ulasan : Perebutan Pulau Batu Putih masih berlangsung di Mahkamah Keadilan Antarabangsa di Belanda. Andaikata, benar ia milik Malaysia, kita mendoakan kemenangan dalam proses perundangan ini berpihak kepada kita.

SUNGAI PETANI 22 Nov. – Sebanyak tiga juta daripada 26 juta penduduk di negara ini mengalami gangguan mental, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek.

Beliau berkata, kerajaan bimbang dengan masalah tersebut apatah lagi Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2006 mendapati kes gangguan mental meningkat hampir 6 peratus berbanding kajian sama yang dijalankan 10 tahun lalu.

Menurutnya, daripada tiga juta penduduk yang mengalami gangguan mental, sebanyak 20.3 peratus kes didapati membabitkan kanak-kanak dan remaja berusia bawah 16 tahun.

‘‘Antara faktor tekanan jiwa di kalangan remaja adalah kerana gagal mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan, tekanan daripada keluarga dan sekolah serta tiada sokongan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hari Kesihatan Mental Sedunia Peringkat Kebangsaan 2007 anjuran Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kesihatan Negeri Kedah di sini hari ini.

Soi Lek menjelaskan, terdapat murid sekolah tertekan kerana tidak mendapat semua A dalam peperiksaan dan kemudiannya mereka dihina.

‘‘Ada yang kata mereka bodoh serta tidak berguna untuk hidup, jadi mereka mengambil jalan mudah untuk menyelesaikan masalah dengan membunuh diri,’’ katanya.

Beliau berkata, daripada jumlah itu juga, sebanyak 11.2 peratus adalah pesakit di kalangan orang dewasa dan 19.5 peratus di kalangan warga emas yang berusia melebihi 70 tahun.

‘‘Masalah kesihatan mental tidak boleh dipandang ringan kerana ia memberi kesan kepada masyarakat dan negara.

‘‘Kos perubatan untuk pesakit mental semakin tinggi manakala pesakit pula sering tidak mendapatkan rawatan awal kerana percayakan bomoh,” jelasnya.

Ulasan : Pesanan seorang alim-banyakkan membaca al-Qur'an untuk mengelakkan penyakit nyanyuk dan mental. Andainya ditakdirkan seseorang mempunyai masalah mental, ahli keluarga perlu redha. Tetapi jika yang normal bermasalah mental, ini yang agak membahayakan. Dunia kini banyak tekanan dan menyebabkan fikiran kita hampir sahaja menjadi tidak waras.

KUALA LUMPUR 22 Nov. – Kerajaan terpaksa membayar pampasan berjumlah RM380 juta kepada syarikat konsesi lebuh raya jika kadar tol tidak dinaikkan pada tahun hadapan, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu.

Beliau berkata, sebanyak lapan syarikat konsesi lebuh raya dijadualkan menaikkan kadar tol masing-masing pada 1 Januari 2008, sementara sebuah lagi pada 1 Oktober 2008.

‘‘Kementerian Kerja Raya menganggarkan pampasan sebanyak RM380 juta perlu disediakan bagi tahun 2008 sekiranya kenaikan kadar tol tidak dilaksanakan,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2008 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat hari ini.

Samy Vellu berkata, pampasan RM75 juta lagi diperuntukkan kepada pengendali lebuh raya LITRAK di Kuala Lumpur ekoran pengurangan kadar tol daripada RM2.20 kepada RM1.60 yang telah diluluskan tahun ini.

Katanya, cadangan pembangkang supaya kerajaan mengambil alih pengurusan lebuh-lebuh raya di seluruh negara tidak boleh dilakukan kerana ia bakal membebankan dari segi kewangan kerana kerajaan terpaksa membayar sejumlah pampasan.

Malah, katanya, cadangan Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) supaya Petronas mengambil alih semua lebuh raya di negara ini juga tidak dapat dilaksanakan kerana syarikat minyak negara itu perlu membelanjakan kira-kira RM300 bilion jika hendak berbuat demikian.

Sehubungan itu, katanya, pihak kementerian sedang mencari langkah-langkah alternatif bagi memastikan kadar tol yang dikenakan tidak membebankan rakyat.

‘‘Saya sudah ada rancangan bagaimana mengurangkan beban pengguna. Kita sudah menghantar tiga cadangan kepada Jemaah Menteri untuk dipertimbangkan,” katanya.

Menurut Samy Vellu, dalam menaikkan kadar tol, kerajaan sentiasa memberi perhatian kepada masalah yang bakal dihadapi oleh rakyat.

Mengenai tanggungjawab sosial yang telah dimainkan oleh syarikat konsesi seperti yang dibangkitkan parti pembangkang, beliau berkata, ia dapat dilihat berdasarkan sumbangan yang diberikan oleh syarikat seperti Projek Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) berjumlah RM1 bilion untuk melebarkan jalan daripada empat kepada enam lorong demi keselesaan pengguna.

Sumbangan sosial syarikat itu juga, katanya, boleh dilihat berdasarkan peruntukan sebanyak RM100 juta setahun untuk membaiki dan melebarkan jalan selain membayar gaji pekerja mereka.

Ulasan : Inilah alasan yang sama setiap kali tol dinaikkan. Kenapa ia berlaku? Tolonglah rakyat di bawah semakin terbeban dengan kenaikan harga barang. Kini tol pula dijangka naik bermula seawal tahun depan. Wahai Menteri Kerja Raya, tolonglah ringankan itu rakyat punya beban!

MELAKA 22 Nov. – Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata hari ini, tindakan penganjur perhimpunan haram semata-mata untuk mewujudkan demonstrasi jalanan yang tidak baik untuk ekonomi negara.

Beliau berkata, ada ‘tujuan tertentu’ pihak penganjur perhimpunan berkenaan selepas kali pertama dilakukan pada 10 November lepas.

“Pada saya, (perhimpunan haram) ini akan menggugat bukan saja keselamatan, tetapi juga ekonomi negara. Kalau nak menunjukkan negara hura-hara, ini tak betul,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau mengulas perhimpunan Hindu Rights Action Force (Hindraf) yang dirancang diadakan depan pejabat Suruhanjaya Tinggi Britain, Kuala Lumpur, Ahad ini.

“Saya nasihat orang ramai jangan terlibat dengan perhimpunan ini, kita akan ambil tindakan tegas,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat yang diterima, perhimpunan Ahad ini menyentuh perasaan kaum lain yang boleh menimbulkan pergaduhan kaum dan difahamkan kumpulan kongsi gelap akan digunakan.

Musa juga berkata, bahawa kanak-kanak ditegah untuk menyertai perhimpunan itu dan ibu bapa boleh didakwa sekiranya mereka menyertai perhimpunan berkenaan.

Ulasan : Kita tidak begitu pasti tujuan HINDRAF berhimpun. Apapun jika ia perhimpunan aman, mungkin pihak berkuasa boleh menilai kembali. Seperti himpuan BERSIH, ia berlangsung dengan aman kerana pesertanya berdisiplin tinggi.

KUALA LUMPUR 22 Nov. – Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap pegawai imigresen yang membenarkan warga asing memasuki negara ini dengan sekadar ‘angkat tangan’ di pintu masuk utama.

Setiausaha Parlimen Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Abdul Rahman Ibrahim berkata, kemasukan setiap warga asing terutama dari negara jiran perlu melalui beberapa prosedur yang telah ditetapkan oleh undang-undang.

Beliau yang menafikan pintu masuk Malaysia mudah dibolosi dengan kaedah ‘angkat tangan’ itu, berkata, pihaknya memandang serius perkara berkenaan.

‘‘Adalah tidak benar pintu masuk negara mudah dibolosi. Kemungkinan berlaku insiden ‘angkat tangan’ terhadap pegawai imigresen untuk melepasi pemeriksaan. Bagaimanapun kita akan meneliti perkara ini,’’ katanya.

Abdul Rahman berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Wan Adnan Wan Mamat (BN-Indera Mahkota) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Menjawab soalan tambahan M. Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat), beliau berkata, kerajaan tidak mudah meluluskan status Pemastautin Tetap (PR) kepada seseorang yang memohonnya tanpa penelitian yang rapi.

Ulasan : Pegawai yang bertanggungjawab perlu dikenakan tindakan jika ia penyebab utama negara dibolosi. Jangan tersilau dengan duit rasuah yang tidak sebarapa berbanding hukuman yang akan dijatuhkan jika ditangkap.

KUALA LUMPUR 22 Nov. – Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu menafikan dakwaan pihak tertentu bahawa kos pembinaan Istana Negara baru di Jalan Duta di sini telah meningkat kepada RM1 bilion.

Beliau sebaliknya menjelaskan, kos pembinaan Istana Negara baru itu yang telah diluluskan oleh Jemaah Menteri dan Kementerian Kewangan ialah RM650 juta.

Katanya, kos itu mengambil kira pembinaan beberapa komponen termasuk bangunan istana, rumah kuarters, sistem keselamatan, kerja-kerja tanah dan beberapa item baru bagi melengkapkan Istana Negara itu sebagai tempat bersemayam seorang raja.

‘‘Kita juga akan membina sebuah flat khas dengan semua keperluan dan kemudahan yang sesuai diberikan kepada seorang raja kerana kita mahu Yang di-Pertuan Agong bersemayam di istana,” katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2008 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Samy Vellu, anggaran awal pembinaan Istana Negara baru yang diluluskan sebelum ini hanya mengambil kira pembinaan bangunan istana, tidak termasuk kerja-kerja tanah, pembinaan jalan, simpang bertingkat, tempat meletak kereta bawah tanah dan kemudahan lain.

Beliau berkata, kerajaan tidak mahu masalah seperti kawasan meletak kereta terhad yang berlaku di Istana Negara sekarang terus berlaku di Istana Negara baru kelak.

‘‘Selain itu, sistem keselamatan dan rumah kuarters untuk pengawal keselamatan turut dibina dalam kawasan istana baru. Bukan kita tambah harga, tetapi komponen yang ada dalam kawasan istana yang bertambah,’’ katanya.

Menyentuh isu kebocoran bangunan milik kerajaan yang dibangkitkan oleh Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur), Samy Vellu berkata, kerajaan memberi jaminan bahawa harga pembinaan Istana Negara baru itu adalah seperti yang diluluskan, tidak boleh lebih tetapi boleh dikurangkan.

‘‘Tentang masalah bocor, ia boleh diselesaikan. Ini kerana, ada juga rumah 20 tahun tidak bocor, tetapi masuk tahun ke-21 ia bocor. Ada juga rumah 21 hari pun sudah bocor, ada juga rumah 50 tahun pun tidak bocor.

‘‘Jadi, pembinaan Istana Negara baru ini telah mengambil kira semua teknologi yang ada,” katanya.

Istana Negara baru di Jalan Duta dibina di atas tapak seluas 96.52 hektar dan dijangka siap menjelang 2009. Ia akan menggantikan Istana Negara di Jalan Syed Putra di sini yang digunakan sejak 1928.

Kumpulan Seni Reka Sdn. Bhd. dilantik sebagai arkitek manakala Maya Maju Sdn. Bhd. ialah kontraktor pembinaan istana baru tersebut yang berasaskan seni bina Islam dan Melayu.

Pembinaan Istana Negara baru yang lengkap itu membabitkan tempat bersemayam Yang di-Pertuan Agong, dewan bankuet, Balairong Seri, rumah pasukan keselamatan, kandang kuda, tempat meletak kereta bawah tanah serta jalan dan infrastruktur-infrastruktur asas lain.

Ulasan : Kami sebagai rakyat tidak menghalang Istana baru untuk YDPA. Cuma Kementerian yang bertanggungjawab perlu meminimumkan kos sedapat mungkin agar tidak berlaku penyelewengan dari sudut tender kepada kontraktor.

Tiada ulasan:

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude