Baru-baru ini ada seorang sahabat mengadu kepada saya apabila dia menghadapi suatu masalah. Dia menceritakan bahawa kadangkala dia dalam dilema apabila berlaku sesuatu perselisihan, pihak mana yang hendak disebelahinya.
Katanya, isterinya agak sensitif dan mudah merajuk. Manakala ibunya pula kadangkala jenis yang berterus terang. Kalau dia tidak suka akan sesuatu, maka dia akan sebut. Maka nak dijadikan cerita, suatu hari si ibu menyebut bahawa dia hendak pulang ke kampung bersamanya (anak lelakinya-sahabat saya). Namun begitu, dia mengatakan dia bimbang jika kereta yang akan dinaiki bersama itu penuh, kerana yang akan ikut sama adalah ayah kamu dan adik lelaki kamu.
Sahabat saya menceritakan lagi, perkara ini disebut di depan isterinya. Apalagi, selepas itu, isterinya merajuk kerana seolah-olah ibu mertuanya tidak mahu dia bersama dalam kereta tersebut. Sahabat saya cuba menjelaskan kepada isterinya bahawa, dia yakin kereta itu muat untuk dinaiki bersama olehnya, isterinya, ibu ayahnya dan adik lelakinya. Mungkin ibunya tak yakin kereta itu muat untuk dinaiki semua orang. Dia juga cuba menenangkan isterinya agar sabar dengan karenah ibunya. Maklumlah satunya orang tua. Yang kedua jenis direct.
Ternyata, isterinya kecil hati dengan sikap ibu mertuanya. Sahabat saya menceritakan lagi, dia ibarat ditelan mati mak, diluah mati bapa. Mahu disebut perkara itu di depan ibunya, bimbang ibunya pula berkecil hati. Diterangkan sikap ibunya kepada isterinya pula, seolah-olah isterinya tak dapat menerima. Dia buntu. Mana satu yang hendak didahulukan. Dia sangat mengerti kisah Alqamah ; sahabat Nabi saw yang mengutamakan isterinya berbanding ibunya. Akhirnya, Alqamah hampir sahaja meninggal dunia tanpa sempat melafazkan 2 kalimah syahadah.
Masalahnya, dalam hal ini, dia bukan nak mengutamakan isterinya. Tetapi dia keberatan nak menyebut di depan ibunya bahawa, apa yang dikatakan oleh ibunya tidak tepat. Kereta masih muat untuk dinaiki bersama. Bimbang ibunya salah faham, dan menuduhnya melebihkan isteri berbanding ibu sendiri! Pada mulanya saya juga buntu bila berdepan dengan situasi seumpama ini. Cuma saya berpesan padanya, hati ibu perlu dijaga dan hati isteri juga perlu dibela. Masalahnya, ketelusan dan keberanian untuk berkata yang benar dengan penjelasan yang sehikmah mungkin kepada ibunya, itu yang sangat diperlukan. Pada waktu yang sama, isteri juga perlu ditenangkan agar jangan cepat terasa dengan gelagat ibu mertua. Asasnya, kasih sayang yang terbina itu lahir dari keikhlasan hati masing-masing. Lainlah kalau ibu mertua selalu menyindir menantu dan menantu juga memulangkan paku buah keras.
Akhirnya, saya mendoakan agar dia dapat menghadapi situasi ini dengan tenang, tabah dan sabar. Barulah boleh jadi suami dan anak mithali. Kita tidak boleh lari dari masalah, kerana kita perlu berdepan dengan masalah. Tinggal lagi, bagaimana cara kita menangani masalah tersebut. Buat pembaca budiman, adakah idea lain yang boleh kita sarankan kepada sahabat saya ini? Isteri dan ibu ; antara 2 dilema!
23 November 2007, 13 Zulqaedah 1428,
7.20 pagi, Malaysia Timur.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan