Selasa, 20 November 2007

Macam-macam ragam 4

PUTRAJAYA 19 Nov. – Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman bersedia melepaskan jawatannya jika terbukti SPR melakukan penipuan dalam pilihan raya sebelum ini.

Bagaimanapun, katanya, perkara itu perlu dibuktikan di mahkamah dan bukan berdasarkan kepada tuduhan-tuduhan liar yang hanya memberikan imej buruk kepada SPR.

Beliau yang terlibat mengendalikan enam pilihan raya umum sebelum ini berkata, belum pernah ada satu pihak pun yang datang kepadanya dan membawa bukti berlaku penipuan dalam pilihan raya kecil atau umum.

‘‘Kalau mahkamah menyatakan ada penipuan dalam pilihan raya sebelum ini dan SPR bertanggungjawab, saya akan melepaskan jawatan, begitu juga dengan panel SPR yang lain.

‘‘Jangan pukul SPR tanpa bukti, jangan memperkecilkan SPR. Ada orang yang sebelum ini dalam kerajaan tetapi apabila masuk pembangkang, semua tak kena... masa dia (dalam kerajaan) semua kena. Kenapa tak pinda masa dalam kerajaan? Saya telah melalui semua ini,” katanya.

Rashid berkata demikian selepas menerima laporan akhir berhubung pemerhatian ke atas tiga pilihan raya kecil tahun ini iaitu di Batu Talam (28 Januari), Machap (12 April) dan Ijok (28 April) daripada Malaysians For Free and Fair Elections (Mafrel) yang diwakili oleh pengerusinya, Abd. Malek Hussin.

Menurut Rashid, beliau amat sedih dengan pihak tertentu yang menuduh SPR melakukan penipuan namun tidak ada bukti yang diberikan.

‘‘Mereka bagi imej yang amat buruk kepada luar negara... ada tipu tapi tipu apa? Anda bercakap dengan orang yang mempunyai pengalaman, kalau ada penipuan dan disebabkan oleh SPR, tunjukkan di mahkamah.

‘‘Mereka tak boleh pergi ke jalan (demonstrasi jalanan) dan melaungkan slogan bagi tahu SPR menipu dan seolah-olah kerajaan yang ada sekarang ini tidak sah,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, semua perkara berkenaan dilakukan berdasarkan kepada perasaan curiga sedangkan SPR sentiasa telus serta adil mengikut kerangka undang-undang yang ditetapkan ke atas badan itu.

Ditanya mengenai tarikh persaraannya pada 31 Disember ini, Rashid memberitahu, beliau tidak mengetahui sama ada jawatannya akan disambung atau tidak dan belum menerima sebarang notis mengenainya.

Mengenai undi pos, beliau memberitahu, ejen setiap calon bertanding akan dibenarkan untuk diletakkan di kem-kem tentera dan balai polis bagi memantau proses pembuangan undi.

Malah, katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak membantah cadangan berkenaan.

Mengenai pilihan raya umum ke-12, Rashid enggan mengulas lanjut namun memberitahu ia akan diadakan tidak lama lagi.

‘‘Tak payah tanya apa yang saya cakap dengan Perdana Menteri, selalunya beliau telefon tanya saya dah makan ke? SPR hanya menentukan tarikh pilihan raya selepas Parlimen dibubarkan,” katanya.

Ulasan : Harapnya Pengerusi SPR selepas ini awas dengan kenyataannya. PM pun tidak tahu pilihanraya bila, dia tahu dulu!


ISLAMABAD 19 Nov. – Mahkamah Agung Pakistan yang dianggotai para hakim pilihan Presiden Pervez Musharraf hari ini menolak lima petisyen utama yang mencabar kemenangan beliau dalam pemilihan Presiden pada Oktober lalu.

Peguam Negara, Malik Mohammad Qayyum ketika mengumumkan keputusan itu memberitahu, satu petisyen lagi akan didengar pada Khamis ini.

“Terdapat lima petisyen dan semuanya telah ditolak.

“Hanya tinggal satu lagi yang akan didengar pada Khamis ini,” kata Malik.

Pervez yang mengisytiharkan perintah darurat pada 3 November lalu telah menyatakan, beliau akan meletakkan jawatan sebagai ketua tentera dan mengangkat sumpah sebagai Presiden awam sebaik sahaja mahkamah mengesahkan kemenangan beliau.

Parti Rakyat Pakistan (PPP) pimpinan bekas Perdana Menteri, Benazir Bhutto sebelum itu mengumumkan, mereka telah menarik balik petisyen mereka dalam kes itu atas alasan mereka tidak mengiktiraf mahkamah yang mengangkat sumpah di bawah perintah darurat.

Bekas Ketua Hakim, Iftikhar Muhammad Chaudhry dan kebanyakan hakim lain enggan mengangkat sumpah di bawah perintah tersebut.

Pembangkang mendakwa Pervez mengisytiharkan perintah darurat kerana khuatir keputusan mahkamah tidak akan memihak kepada beliau.

Sementara itu ketika tekanan makin meningkat untuk negara ini kembali ke landasan demokrasi, Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 8 Januari ini sebagai tarikh pilihan raya. Bagaimanapun tidak ada tanda menunjukkan Presiden merancang untuk menarik balik perintah darurat sebelum pengundian itu.

Dalam kenyataan pertamanya sejak pertemuan dengan Timbalan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), John Negroponte, Pervez berjanji pilihan raya itu nanti adil tetapi beliau turut mempertahankan perintah darurat yang menyaksikan ribuan penentang beliau dipenjarakan, para hakim dipecat dan media disekat.

“Saya mengambil keputusan ini demi kepentingan Pakistan,” kata Pervez dalam satu majlis lewat semalam untuk merasmikan pembukaan sebuah jambatan di bandar pelabuhan Karachi.

Menurut Presiden, beliau boleh mengambil jalan lebih mudah dengan mengundurkan diri.


Ulasan : Ternyata Presiden Pakistan dalam kritikal. Semua rakyat menentang beliau termasuk sekutu utamanya Amerika Syarikat.



KOTA KINABALU 19 Nov. – Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Ramli Yusuff dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menyalahgunakan kedudukannya dengan menggunakan sebuah pesawat milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk meninjau tanah milik syarikatnya di negeri ini.

Ramli, 55, yang kelihatan tenang sepanjang prosiding itu mengaku tidak bersalah selepas tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Duncan Sikodol.

Mengikut pertuduhan, Ramli didakwa menggunakan jawatannya untuk satu suapan dengan mengeluarkan arahan untuk menggunakan kemudahan kapal terbang milik PDRM jenis Cessna Caravan CE 208-9M-PSQ pada 15 Jun 2007 kira-kira pukul 7.50 pagi.

Pesawat itu diarahkan membawa bersama dua orang awam iaitu Datuk Muhammad Yassin dan Khalid Mohammad bagi meninjau tanah Lot PT 2003110300 dan Lot 2003110332 di Ulu Tungku, Lahad Datu.

Tinjauan dari udara itu mempunyai kaitan dengan perniagaan syarikat Kinsajaya Sdn. Bhd. yang mana Ramli mempunyai kepentingan di dalamnya.

Ini merupakan dakwaan keempat dihadapi oleh Ramli dalam siri pertuduhan salah guna kuasa dan tidak mengisytiharkan harta.

Ulasan : Moga kes seumpama ini menjadi iktibar kepada semua penjawat awam. Gaji yang tinggi belum tentu menjamin bebas rasuah jika tiada integiriti.


MELAKA 19 Nov. – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, jabatan kerajaan di peringkat nasional, negeri dan daerah telah diarah berada dalam keadaan siap sedia untuk menghadapi kemungkinan berlakunya banjir besar.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, beliau pasti semua jabatan kerajaan telah menerima arahan itu dan tahu apa yang perlu dilakukan sekiranya berlaku banjir.

‘‘Apa yang penting ialah kita bersiap sedia menghadapi apa sahaja kemungkinan bersabit dengan cuaca dan hujan lebat yang akan turun pada waktu terdekat.

‘‘Kita mahu jika ia (banjir) berlaku tidak ada daerah yang tidak bersedia dan membuat persediaan,’’ katanya di sini hari ini.

Najib berkata, beberapa tindakan seperti menyediakan kawasan tadahan air juga telah dilakukan bagi mengelak berlaku kejadian tersebut.


Ulasan : Diharap pihak berkuasa yang berkenaan bersungguh-sungguh menjalankan persiapan dalam menghadapi banjir. Jangan hanya berikan jaminan tanpa tindakan.


KUALA LUMPUR 19 Nov. – Peniaga kedai runcit di sekitar Lembah Klang kehabisan stok tepung gandum biasa yang dijual secara timbang ekoran bekalan terhad.

Kekurangan bekalan tersebut dipercayai berpunca daripada sikap pengguna yang lebih gemar membeli tepung timbang daripada tepung yang dibungkus.

Seorang peniaga yang dikenali sebagai Ali berkata, orang ramai lebih gemar membeli tepung biasa itu secara pukal untuk disimpan kerana bimbang bekalannya akan kehabisan.

Tambahnya, tepung gandum yang belum dibungkus itu pula dijual mengikut harga siling.

Berikutan kekurangan bekalan tepung di pasaran, para pengguna juga khuatir ia akan menyumbang kepada kenaikan harga barang makanan berasaskan tepung.

‘‘Bekalan tepung gandum masih boleh didapati tetapi pada kadar yang tidak menentu.

‘‘Secara umumnya bekalan tepung peket sekilogram masih boleh didapati, cuma tepung yang belum dibungkus semakin berkurangan akibat permintaan yang tinggi,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Hanya tepung biasa yang dikawal dijual pada harga RM1.35 sekilogram manakala harga tepung yang diperkaya tidak dikawal.

Ulasan : Harga tepung pula semakin tidak terkawal. KPDN HEP perlu mengambil langkah tegas mengawal harga tepung demi kepentingan rakyat yang semakin terbeban.


KOTA BHARU 19 Nov. – Pas dan pakatan pembangkang kini bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum pada bila-bila masa walaupun parti itu mendakwa ada usaha untuk memastikan pembangkang berada dalam keadaan agak lemah.

Naib Presidennya, Datuk Husam Musa berkata, soal agihan kerusi bagi memastikan peluang kemenangan lebih baik kini sudah mencapai tahap 95 peratus manakala manifesto akan dimuktamadkan esok sebelum dicetak.

Beliau bagaimanapun enggan menjelaskan butiran terperinci mengenai agihan kerusi dan sama ada manifesto itu akan digunakan untuk semua negeri atau akan ada manifesto berasingan bagi negeri tertentu.

Namun, Husam menafikan pembangkang kini terdesak dan cuba mengheret institusi raja bagi membolehkan pilihan raya lebih awal diadakan dengan penglibatan bersama lebih 60 pertubuhan dalam perhimpunan baru-baru ini.

‘‘Ini bukan soal mahu pilihan raya awal atau lambat. Di negara lain seperti Bangladesh, kerajaan tetapkan atau umumkan tarikh beberapa bulan lebih awal.

‘‘Dengan sendirinya semua pihak dapat bersiap dan tidak teragak-agak menghadapi pilihan raya,” ujar beliau.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas menghadiri perasmian Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) Dewan Undangan Negeri Kelantan ke-11 di Kota Darulnaim di sini hari ini yang disempurnakan oleh Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra.

Husam menyatakan demikian ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa pembangkang kini dalam keadaan terdesak untuk menghadapi pilihan raya umum dengan sanggup mengaitkan institusi beraja dalam perhimpunan haram.

Perdana Menteri dilapor berkata, melalui cara itu, pembangkang berharap pilihan raya umum dipercepatkan sedangkan yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin sendiri menegaskan baginda tidak memberikan perkenan kepada mana-mana pihak yang terlibat dalam perhimpunan itu.

Menurut Husam, terserah kepada kerajaan sama ada mahu melaksanakan pilihan raya lebih awal atau tidak kerana ia terpaksa juga dilalui oleh parti-parti pembangkang.

Katanya, usaha Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menyerahkan memorandum adalah untuk membolehkan Yang di-Pertuan Agong dengan kedudukannya dalam perlembagaan negara, mendengar rungutan rakyat.

‘‘Seperti imam, kalau suami isteri bergaduh, beliau dirujuk untuk mendengar masalah berbangkit. Tak bolehlah dikatakan kita nak heret imam dalam pergeseran rumah tangga,” ujarnya.

Beliau percaya, ‘teori pendulum’ akan memihak kepada pembangkang dalam pilihan raya kali ini dengan merujuk kepada contoh pilihan raya umum 1964 ketika parti kerajaan menang besar tetapi merudum dalam pilihan raya umum 1969.

‘‘Selepas menang besar, kerajaan dalam keadaan agak selesa sehingga masalah rakyat terabai. Apa yang dilakukan lebih banyak bercakap dan ciri-ciri itu hampir ada sekarang,” ujarnya.

Ulasan : Pihak pembangkang(PAS,PKR dan DAP) akan ada peluang memenangi kerusi jika pemerintah kini tidak dapat menjamin kebajikan dan memenuhi harapan rakyat. Kita tunggu dan lihat PRU ke-12 nanti.


KUALA LUMPUR 19 Nov. – Kerajaan tidak mahu negara berada dalam keadaan yang tidak bersedia menghadapi pelaksanaan harga sebenar minyak dan gas di peringkat domestik, sama paras dengan pasaran global.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, persediaan itu perlu dilakukan mulai dari sekarang bagi menghadapi keadaan sekiranya simpanan minyak negara terus berkurangan dan sistem subsidi sedia ada tidak lagi mampu bertahan.

Malaysia tidak boleh alpa dengan status pengeluar minyak sekarang, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Muzakarah Penasihat Kewangan Islam KLIFF 2007 kedua, di sini hari ini.

Sebagai contoh, katanya, Indonesia sebuah negara anggota OPEC (Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum) yang pernah menjadi antara pengeksport minyak terbesar, kini adalah pengimport bersih minyak.

(Harga minyak mentah global hari ini meningkat sebanyak AS$0.95 (RM3.21) kepada AS$94.79 (RM320.54) setong di pasaran hadapan New York.)

Jadi, Malaysia perlu bersedia untuk menghadapi masa depan dan jangan fikir sebagai sebuah negara pengeluar minyak, Malaysia tidak perlu menaikkan harga minyak, katanya, sambil menyatakan sistem subsidi hari ini tidak lagi berdaya maju, tak berdaya tahan dan tidak boleh tahan.

“Adakah kita nak biarkan sahaja sampai masa itu datang dan kita tidak bersedia. Atau pun, kita membentuk satu sistem yang lebih berdaya maju, lebih berdaya tahan dan lebih menyerupai sistem di dunia,” katanya.

Menurut Awang Adek, Malaysia merupakan satu-satunya negara yang memberi subsidi sejumlah RM35 bilion, walaupun harga minyak di luar semakin melambung naik.

“Di dunia ini, tidak ada (negara yang memberi) subsidi sebanyak itu. Kita sahaja sudah (memberi subsidi) hampir RM40 bilion, kalau diambil kira harga minyak yang akan naik lagi,” katanya.

Awang Adek berkata, masyarakat sudah boleh menerima bahawa subsidi yang besar tidak boleh diteruskan kerana akan memberi kesan negatif kepada negara.

Petronas telah mengeluarkan subsidi hampir RM50 bilion untuk gas sahaja dalam masa 10 tahun lalu.

“Hari ini kita boleh bertahan kerana Petronas dapat bagi dividen. Tapi kita tahu hasil minyak dan gas ini tidak meningkat. Kita kena cari dan nak jumpa satu-satu (tempat yang mempunyai minyak) itu lambat. Tetapi permintaan penggunaan semakin meningkat,” katanya.

Ulasan : Benra, Malaysia kena bersedia tetapi buat masa kini selagi kita menjadi pengeluar minyak jangan diabaikan kemaslhatan rakyat. Harga minyak dijangka naik tahun depan membuatkan rakyat semakin gelisah.

UPSR: Kikis budaya kejar ‘A’

SETIAP tahun kita mendengar keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) semakin meningkat. Malah ada pemimpin negeri tertentu berbangga kononnya negeri mereka mendapat keputusan cemerlang selama beberapa tahun berturut-turut.

Lantaran itu, ada pula kenyataan yang menyeru semua guru di negara ini agar mencontohi guru-guru negeri yang cemerlang itu.

Lebih gelojoh lagi, seorang menteri besar dengan rasa bangganya mengisytiharkan keputusan UPSR bagi negerinya sebelum keputusan rasmi dibuat oleh Kementerian Pelajaran.

Bagi negeri-negeri yang pencapaian mereka kurang baik maka pegawai-pegawai pelajaran di peringkat negeri akan melenting lalu menyalahkan pegawai- pegawai di peringkat daerah.

Pegawai-pegawai di peringkat daerah pula akan menjadikan guru-guru besar dalam daerah mereka sebagai sasaran untuk melepaskan kemarahan mereka.

Akhirnya, apabila di sekolah pula, guru besar akan memarahi guru-guru yang mengajar tahun enam. Ini merupakan satu senario yang berlaku setiap tahun.

Sebagai seorang guru, saya berasa agak hairan dengan fenomena ini. Kecemerlangan dan kehebatan sesebuah sekolah itu diukur hanya dengan keputusan UPSR. Lucu juga melihat tindakan sesetengah pihak yang seolah-olah hilang pertimbangan hanya kerana keputusan UPSR.

UPSR hanyalah satu ujian dan bukannya peperiksaan. Tindakan menyalahkan guru hanya menyebabkan guru-guru berada dalam keadaan tertekan. Sudahlah beban kerja guru semakin meningkat dari sehari ke sehari, guru pula hendak dipersalahkan.

Setiap kali pihak sekolah mengambil keputusan UPSR, satu pekeliling Kementerian Pelajaran disertakan bersama keputusan. Antara kandungan pekeliling tersebut ialah melarang dibuat perbandingan keputusan antara negeri dengan negeri, daerah dengan daerah dan sekolah dengan sekolah.

Antara tujuan pekeliling tersebut adalah untuk mengelakkan guru-guru daripada tertekan dalam menjalankan tugas. Tambahan pula, setiap negeri, daerah dan jenis sekolah mempunyai latar belakang yang berbeza.

Malangnya, pekeliling tersebut tidak dipatuhi. Tidak salah membuat perbandingan jika bertujuan untuk meningkatkan prestasi dan bukannya untuk memalukan guru besar dalam mesyuarat.

Akibatnya, tidak tahan dimalukan, guru besar bertindak memarahi guru-guru bila pulang ke sekolah. Akhirnya, yang menjadi mangsa adalah guru-guru.

Dikerah

Saya juga mencadangkan agar format keputusan UPSR juga ditukar. Kita tidak mahu lagi anak-anak kita dikerah untuk mengumpul sebanyak mungkin ‘A’ dalam UPSR.

Kita juga tidak mahu Jabatan Pelajaran dan Pejabat Pelajaran Daerah menilai kehebatan sesebuah sekolah berdasarkan jumlah pelajar yang mendapat 5A dan peratus kelulusan.

Hentikan amalan meminta pihak sekolah membuat pelbagai analisis keputusan. Memadailah dengan analisis yang dikeluarkan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia.

Ada baiknya jika format keputusan itu diubah suai sedikit sepertimana yang digunakan di peringkat pengajian tinggi.

Mungkin penggunaan mata gred terkumpul, Purata Nilai Gred dan sebagainya boleh menggantikan format sekarang asalkan keputusan mestilah berdasarkan angka dan bukannya abjad seperti sekarang. Contohnya, 3.85.

Julat markah bagi sesuatu gred boleh diperhalusi. Contohnya 95-100 A, 90-94 A- dan sebagainya. Dengan itu keputusan pencapaian murid juga akan lebih berkualiti dan bermakna berbanding sekarang.

Suatu perubahan besar yang perlu dilakukan oleh Kementerian Pelajaran adalah jangan lagi membuat pengumuman rasmi tentang keputusan UPSR.

Tidak perlu menyenaraikan negeri terbaik, sekolah terbaik dan murid terbaik seperti yang telah dinyatakan dalam Surat Pekeliling KPPM/7 bertarikh 10 November 2004.

Kita patut membetulkan salah tanggap ibu bapa dan masyarakat terhadap UPSR. Budaya mengejar bilangan A perlu dihapuskan.

Kita tidak mahu melahirkan pelajar yang hanya cemerlang akademik tetapi mengabaikan aspek lain yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Seperkara lagi adalah syarat untuk masuk ke sekolah berasrama penuh juga perlu digantikan. Tidak perlu lagi syarat mendapat 5A untuk layak.

Mungkin jika sistem di atas dilaksanakan, mereka yang mendapat purata nilai gred tertentu layak memohon dan perlu menduduki ujian tertentu sebelum memasuki sekolah berasrama penuh.

Menjadi harapan besar bagi golongan guru agar cadangan ini mendapat pertimbangan yang sewajarnya daripada Kementerian Pelajaran.

Pandangan guru perlu diutamakan dalam melaksanakan sesuatu perubahan kerana guru adalah orang yang paling mengetahui senario sebenar di sekolah berbanding dengan pegawai dan pakar pendidikan.

– GURU UPSR,

Ipoh.

Ulasan : Kes yang berlaku kepada Subashini yang membunuh diri kerana gagal mendapt 4A sedangkan dia hanya memperoleh 4B harus dijadikan iktibar. Moga orientasi peperiksaan dalam akdemik negara kita dapat diubah.


Tiada ulasan:

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude