PERHIMPUNAN Agung UMNO baharu sahaja tamat minggu lalu. Namun masyarakat awam terutama orang Melayu masih lagi membicarakan tentangnya. Apa yang istimewa bagi perhimpunan kali ini adalah betapa dekatnya ia dengan pilihan raya umum yang sudah mulai terasa kehangatannya.
Bagi pemimpin, pasti sedang merangka jalan untuk menjuarai pilihan raya itu nanti. Dalam masa yang sama, masyarakat umum pula sedang merangka-rangka siapakah pemimpin yang layak memimpin mereka.
Semua orang mempunyai pilihan tersendiri dan pastinya dalam membuat pilihan yang bijak, banyak perkara mesti difikirkan. Apa yang pasti, dalam mencari pemimpin untuk memimpin masyarakat, kita mahukan pemimpin yang ‘benar-benar boleh memimpin’.
Pemimpin boleh diibaratkan sebagai seorang ‘bapa’. Bapa yang bijak dan tahu tanggungjawabnya sahaja yang boleh membawa keluarganya berjaya di dunia mahupun di akhirat. Sama jugalah dengan pemimpin. Jika pemimpin bijak dan arif berkenaan tanggungjawab yang dipikul, maka negara ini dan rakyatnya akan dapat merasai nikmat kejayaan.
Ingatlah bahawa setiap Muslim inginkan kejayaan di dunia serta tidak ingin melepaskan kejayaan di ‘dunia yang satu lagi’.
Pemimpin yang disegani pastinya mempunyai ciri-ciri yang melayakkan dirinya dipandang tinggi dan dicontohi.
Ciri-ciri ini tidaklah beku sifatnya. Namun yang pasti, jika kita berpegang kepada pemimpin yang menabur janji dan wang ringgit semata-mata, maka nikmat kepimpinannya tidak akan lama dirasai. Malah, kesan yang buruk boleh menimpa masyarakat. Oleh itu berpeganglah kepada pemimpin berilmu.
Khalifah Umar ibn Al-Khattab adalah salah seorang pemimpin kaum Muslimin yang terkenal namanya. Kisah bagaimana beliau meronda pada waktu malam demi melihat keadaan rakyat cukup terkenal dan sering disebut-sebut.
Tindakan beliau ini sekurang-kurangnya memberikan tiga kesan utama. Pertama, dengan melihat sendiri keadaan rakyatnya beliau dapat memahami kepayahan dan kesukaran hidup mereka.
Kedua, sukarnya hidup rakyat itu menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena pada pegawai-pegawai yang bertanggungjawab untuk berkhidmat kepada rakyat tersebut. Akhir sekali, kehidupan rakyat itu boleh menjadi satu petunjuk keberkesanan faham-faham dan perancangan yang telah dirancang oleh pemimpin itu sendiri.
Jadi, lihatlah betapa banyaknya faedah amalan meronda yang digemari Khalifah Umar. Secara lumrahnya, sebagai ahli masyarakat kita mahu melihat adanya pemimpin yang sebegini. Namun berapa ramaikah pemimpin yang sedia bersusah payah, berpanas dan berhujan dalam melakukan perkara sedemikian? Jika ada pun, mereka biasanya turun
Malah, ada juga pemimpin yang mempunyai pembantu-pembantu yang bertindak sebagai mata dan telinga mereka. Tugas pembantu adalah untuk melaporkan masalah yang dihadapi rakyat agar masalah tersebut dapat diatasi. Namun, percayalah apa yang dilihat dengan mata sendiri adalah berbeza jika dibandingkan dengan menggunakan mata orang lain.
Oleh itu, para pemimpin dinasihatkan menggunakan mata malahan mata hati sendiri dalam memahami permasalahan rakyat. Banyak yang boleh diperoleh dengan cara ini dan dengan itu banyak juga masalah yang boleh diselesaikan.
Misalan yang mudah, sekali-sekala cubalah menaiki bas awam di bandar mahupun luar bandar. Di sini banyak sekali yang boleh dipelajari. Pemimpin boleh memahami betapa sukarnya rakyat terpaksa berebut-rebut menaiki bas demi mencari rezeki.
Dalam pada itu, jika pemimpin melihat rakyat tempatan terpaksa berebut dengan rakyat asing, yang sebahagian besarnya berada di dalam bas tersebut, maka mungkin pemimpin akan memahami kemarahan dan kegusaran hati rakyat terhadap isu pendatang asing. Akhir sekali, dengan melihat keadaan bas yang daif maka mungkin pemimpin dapat mendengar kekecewaan suara hati rakyat yang berbunyi, “inikah saja yang layak kami terima kerana kemiskinan kami.”
Apabila seorang pemimpin mengambil tempatnya untuk memimpin maka semestinya dia telah menjangkakan bahawa tugas itu tidak mudah sama sekali. Apatah lagi jika tugas tersebut lebih daripada menyediakan kemudahan harta benda kepada mereka yang dipimpin. Ini kerana tugas utama pemimpin adalah membawa insan yang dipimpin menjadi rakyat berguna lagi soleh. Tiada guna harta benda jika insan yang dipimpin jahil segala-galanya.
Ciri-ciri pemimpin mulia begini yang didambakan rakyat. Banyak lagi ciri-ciri mulia yang boleh dicontohi antaranya kepimpinan Rasulullah s.a.w. Kenapa pemimpin kini tidak mahu mencontohi kepimpinan Baginda?
* AZRINA SOBIAN ialah Pegawai Penyelidik, Pusat Ekonomi dan Kajian Sosial, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan