Rabu, 24 Oktober 2007

Salam Ceria Buat Semua

Alhamdulillah, setelah hampir 10 hari bercuti, kini saya kembali bertugas. Blog pun terabai hampir 10 hari. Apapun, berdasarkan koleksi yang ada, saya akan publishkan beberapa kertas kerja yang saya rasa penting untuk tatapan bersama, khususnya dalam konteks perkembangan dakwah dan latihan di Bumi Kenyalang.
Sepanjang cuti raya yang lepas, saya sekeluarga sempat balik ke Kelantan dan Negeri Sembilan. Di Kelantan, kami disambut dengan banner yang digantung oleh kerajaan negeri Kelantan "Kepulanganmu Kebanggaan Kami". Sememangnya, ramai anak Kelantan di perantauan. Di bumi Borneo ini sahaja diberitakan hampir 50, 000 anak Kelantan.
Saya teringat kata-kata MB Kelantan sewaktu Majlis Hari Raya Kerajaan Negeri dengan Anak Kelantan di perantauan " Mempertahankan kerajaan Islam di Kelantan adalah wajib. Apatah lagi ia adalah satu-satunya kerajaan Islam di Asia Tenggara". Bagi anak-anak Kelantan di perantauan, menjelang pilihanraya umum kelak, baliklah menunaikan kewajipan mengundi. Kata MB Kelantan lagi " Kalahnya Kerajaan Islam di Kelantan disebabkan kita tidak mengundi, maka hukumnya berdosa!"
Bagi saya-ini peringatan tegas dari beliau. Tambahan pula dalam situasi mutakhir ini, banyak isu yang timbul. Antara yang terbaru - pendakwaan kepada 10 orang pegawai dan penolong pegawai dari beberapa kementerian kerana isu rasuah dan pembelian yang tidak munasabah serta salah urus dana awam. Klip video VK Lingam yang masih tidak selesai, pembunuh Nurin yang masih belum dapat ditangkap dll. Bagi yang berada di Semenanjung pula, Himpunan 100,000 Rakyat di bawah anjuran BERSIH sebuah NGO pada 10 November di Dataran Merdeka. Moga tuntutan ke arah pilihanraya yang adil, telus dan bersih dapat direalisasikan!
Saya menerima komen dari seorang pembaca tentang istilah flight space participant yang digunakan untuk Dr. Syeikh Muszaphar Shukor dalam laman web NASA. Katanya jangan pandang rendah kepada kemampuan anak bangsa sendiri dan saya khilaf dalam memahami istilah tersebut. Terima kasih di atas teguran tersebut. Saya secara peribadi memang berbangga dengan Dr. Syeikh Muszapar selaku orang Islam pertama yang berpuasa dan menyambut Aidilfitri di angkasa. Namun begitu, yang saya persoalkan ialah ketelusan pihak pemerintah dalam menjelaskan fakta yang sebenar berkaitan istilah tersebut. Saya tertarik dengan ulasan oleh Datuk Shahir Samad(Pengerusi PAC-PUBLIC ACCOUNT COMITTEE), bahawa Kerajaan perlu menimbang untuk menghantar angkasawan kedua (yang terkini kita mendapat tawaran dari Rusia untuk menghantar angkasawan kedua pada 2010 atau 2011) kerana kos yang sangat tinggi berbanding banyak projek pembangunan lain yang perlu diutamakan.
Apapun secara kesimpulan, kita bersyukur Dr. Syeikh Muszaphar selamat sampai ke bumi. Moga penyelidikan yang telah beliau lakukan dapat dimanfaatkan untuk kepentingan perkembangan sains dan teknologi di negara kita. Akhir kalam, masuk hari ke-12 Syawal, saya yakin ramai di antara kita yang mendapat jemputan rumah terbuka. Janganlah sampai kita mencuaikan pula puasa sunat Syawal selama 6 hari. Yang lebih penting, moga kita dapat istiqamah dengan amalan yang telah kita lakukan pada bulan Ramadhan yang lepas. Memetik kata-kata seorang ulama " Andainya amalan selepas Ramadhan adalah sama atau lebih teruk daripada Ramadhan yang lepas, bermakna kita tidak mendapat pengampunan Allah dengan sebenarnya". Moga ruh Ramadhan dapat kita pertahankan sebagai motivasi diri sehingga kita bertemu Ramadhan akan datang, Insya Allah.
24 Oktober 2007, 12 Syawal 1428,
11.39 pagi, Malaysia Timur.

Tiada ulasan:

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude