Jumaat, 3 Ogos 2007

SIKAP DAN PERANAN UMAT ISLAM MENGHADAPI CABARAN SEMASA - PART 2


5. MAHKAMAH SYARIAH

5.1 Kemelut Mahkamah Syariah berlarutan sejak dahulu kala, semenjak ia disingkirkan oleh pemerintahan lnggeris. Ia diletakkan di peringkat yang paling rendah sekali. lnilah “harga” yang terpaksa kita bayar bila negara kita dijajah atau dipengaruhi oleh kuasa asing.

5.2 Selepas kita merdeka, Mahkamah Syariah terus dibayangi oleh Mahkamah Sivil. Hakim Mahkamah Sivil terus menerus mempertikai bidangkuasa Mahkamah Syariah walaupun bidangkuasanya sudah jelas disebutkan dalam undang-undang. Keadaan berubah (bertambah baik) bila pindaan Perlernbagaan dilakukan pada Jun 1988, dengan wujudnya Perkara 121 (1A) yang baru. [1] Pun begitu, masih ada lagi kes-kes yang terus difailkan di Mahkamah Sivil, walaupun sepatutnya kes-kes tersebut difailkan di Mahkamah Syariah.[2]

5.3 Dalam pada itu, ada juga kes-kes tertentu di mana Mahkamah Syariah sendiri telah menolak kes yang difailkan dihadapannya. dengan pelbagai alasan. [3]

5.4 Mengambil kira latar belakang seperti yang disebutkan di perenggan 6.2 di atas, tidak hairanlah ada pihak yang terus mempertikai / mempersoal / meremehkan bidangkuasa Mahkamah Syariah. Di antara contoh terkini adalah kes-kes seperti berikut :-
(a) Kaliammal Sinnasamy v Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Pengarah Hospital Besar Kuala Lumpur dan Kerajaan Malaysia (KL High Court Originating Summons No. RI-24-1-2-2005) [kes Moorthy]; [4]
(b) Shamala a/p Sathiyaseelan v. Dr Jeyaganesh a/l Mugurajah [2004] 5 AMR 75;
(c) Kamariah binti Ali & 3 Ors v Kerajaan Negeri Kelantan & Ors [2004] 4 AMR 529.

5.5 Kita faham jika pihak yang mempersoalkan bidangkuasa Mahkamah Syariah ini terdiri di kalangan orang bukan Islam. Malangnya, ada orang Melayu sendiri (termasuk di kalangan peguam yang beragama Islam) yang mempersoalkan status Mahkamah Syariah, lalu mencadangkan agar Perkara 121 (IA) Perlembagaan Persekutuan dimansuhkan, agar status quo dikembalikan seperti dulu di mana Mahkamah Sivil terus mendominasi dan membayangi Mahkamah Syariah. [5]

5.6 Apa yang wajar kita lakukan ialah, terus memperkasa dan mempertahankan Mahkamab Syariah di seluruh negara. Usaha selama ini yang diterajui oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) untuk meningkatkan prestasi Mahkamah Syariah menerusi pelbagai program (teori dan amali) mesti diteruskan / ditingkaikan, dan diberi sokongan padu oleh scmua pihak, terutamanya oleh Kerajaan Negeri. [6]

5.7 Selain itu, apa yang perlu kita lakukan ialah menyebarkan maklumat dan pengetahuan selengkapnya kepada seluruh rakyat. secara terancang dan berterusan (bukan sekali sekala mengikut musim) agar mereka faham mengapa perundangan Islam dan bidangkuasa Mahkamah Syariah perlu dipertahankan. Hanya dengan maklumat yang lengkap, barulah umat Islam dapat membezakan antara yang betul dengan yang tidak, siapa yang boleh dipercayai dan diterima serta siapa yang sewajarnya ditolak.

6. INSTITUSI KEHAKIMAN (SIVIL)

6.1 Institusi kehakiman negara memasuki zaman gerhana mulai akhir tahun 80-an apabila Perkara 121 (1) dipinda ekoran beberapa kes di mana badan eksekutif “kalah” di mahkamah, antaranya kes Public Prosecutor v Dato Yap Peng [1987] 2 MLJ 311. Dalam kes itu, Mahkamah Agong memutuskan (menerusi penghakiman majoriti) hahawa seksyen 418A Kanun Acara Jenayah adalab satu “pencabu1an” oleh badan eksekutif dan perundangan kepada badan kehakiman. [7]

6.2 Sebagai tindak balas, Perkara 121(1) Perlembagaan Persekutuan telah dipinda. Jika sebelumnya (pada Hari Merdeka. bila Perlembagaan mula diperkenalkan kepada rakyat negara ini) peruntukan itu berbunyi “Kuasa kehakiman bagi Persekutuan adalah terletak kepada....[8], akibat pindaan itu perkataan-perkataan keramat itu telah dimansuhkan, digantikan dengan perkataan yang tidak lagi bermaya “Maka hendaklah ada dua Mahkamah Tinggi ...”

6.3 Ini berbeza dengan ‘kuasa pemerintah” yang masih kekal disebutkan dalam Perkara 39, dan “kuasa perundangan” terus kekal disebutkan dalam Perkara 44. Dengan lain perkataan, doktrin pengasingan kuasa [9] tulen (di mana kuasa kerajaan dibahagikan kepada 3 organ berasingan perundangan, eksekutif dan kehakiman) tidak lagi wujud di negara ini. Ibarat neraca, ia sudah senget, tidak lagi seimbang.


6.4 Keadaan menjadi lebih gawat lagi selepas itu apabila Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas [10] dan dua Hakim Mahkamah Agong dipecat dan jawatan mereka. Akibat kejadian ini, hubungan antara Majlis Peguam (yang mewakili keseluruhan badan profesion guaman) dan badan kehakiman menjadi kurang selesa (kadangkala tegang), dan ini turut mewarnai senario perundangan negara.

6.5 Persepsi negative sebahagian besar rakyat kepada Institusi Kehakiman memuncak lagi di akhir tahun 90-an, selepas Timbalan Perdana Menteri ; Datuk Seri Anwar Ibrahim disingkirkan dari jawatannya serta dihadapkan ke mahkamah.

6.6 Persoalannya apakah senario badan kehakiman negara akan berubah di masa depan yang terdekat ini? Sukar bagi kita membuat ramalan. Masa akan menentukan segala-galanya. Kebelakangan ini ada cadangan diutarakan oleh pelbagai pihak, termasuklah oleh Majlis Peguam, untuk menyemak semula kes Tun Salleh Abas [11] serta mengkaji semula Perkara 121 (1) Perlembagaan Persekutuan. Secara rasmi, saranan rnenyemak semula pemecatan Tun Salleh telah ditolak oleh Jemaah Menteri kecuali (mengikut Menteri berkenaan) ada “keterangan baru” yang dapat dikemukakan. Di antara alasan penolakan cadangan semakan ini ialah prinsip “kemuktamadan” (finality) prosiding. [12]

6.7 Suatu perkara yang menarik dalam sejarah badan kehakiman negara adalah penubuhan Mahkamah Khas yang diberi kuasa membicarakan kes melibatkan salah laku Raja dan Sultan. [13]

6.8 Persoalannya kini ialah jika kerajaan boleh begitu cepat sekali menubuhkan Mahkamah Khas bagi menangani isu Raja, kenapakah setelah sekian lama cadangan penubuhan sebuah Mahkamah Keluarga Khas dikemukakan oleh pelbagai pihak, ia masih lagi belum terjawab atau terlaksana?

6.9 Jika ditubuhkan, Mahkamah Keluarga Khas [14] (menerusi panel hakimnya yang terdiri dan mereka yang arif dalam perundangan sivil dan syariah) boleh mendengar dan memutuskan semua pertikaian keluarga melibatkan plaintif dan defendan yang berlainan agama. Sekiranya suatu mahkamah seperti itu dapat diwujudkan, tidak akan timbul lagi peristiwa cabar mencabar seperti yang berlaku dalam kes Kaliammal atau Shamala di atas tadi. Mahkamah itu akan sekali gus menyelesaikan masalah “conflict of jurisdiction” (pertikaian bidangkuasa) yang telah sekian lama berlarutan. [15]


6.l0 Sebagai salah satu rumusannya nanti, Simposium ini mungkin mahu rnencadangkan kepada Kerajaan agar ditubuhkan segera satu Jawatankuasa Kerja di peringkat pusat bagi tujuan mengkaji (menyemak) kembali cadangan penubuhan Mahkamah Keluarga Khas ini. [16]


7. MEMPERKASA JABATAN KERAJAAN / AGENSI AWAM

7.1 Selain pihak berkuasa tempatan (PBT) [17] dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) [18] salah satu Jabatan Kerajaan atau agensi awam yang perlu diperkasa dan direkayasa (re-engineer) ialah jabatan yang selama ini bertanggungjawab rnengenai penguatkuasaan / penyiasatan dan pendakwaan syariah di negeri. [19]

7.2 Sebagai susulan kepada tindakan kerajaan memisahkan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri dan Jabatan lain akhir tahun 80-an, usaha segera wajar dilaksanakan bagi memantapkan kdudukan (menyelaraskan kuasa) Ketua Pendakwa Syarie negeri. Kita perlu ingat bahawa dasar menentukan undang-undang, dan undang-undang menentukan amalan. Struktur dan organisasi institusi pendakwaan syarie negeri, hendaklah mempamerkan apa yang dihajatkan oleh undang-undang negara.

7.3 Pada 30 Ogos 2003 lalu, Ketua Hakim Syarie (merangkap Ketua Pengarah) Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Datuk Syeikh Ghazali Abdul Rahman, pernah mengulangi gesaan awalnya agar bahagian pendakwaan syariah diasingkan dari Jabatan Agama Islam negeri untuk memberi bahagian itu “kebebasan membuat keputusan berhubung pendakwaan sekaligus mendaulatkan undang-undang jenayah syariah di negara ini.”

7.4 Menurut beliau, status quo yang ada sekarang adalah tidak betul. Peranan bahagian pendakwaan ini kini “secara praktiknya agak terbatas dan tidak menepati ruh keadilan dalam pelaksanaan undang-undang jenayah. Ini kerana, ia diletakkan dengan bahagian penguatkuasa dan di bawah kawalan Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri.” Beliau menegaskan bahawa Bahagian Pendakwaan, yang diketuai Ketua Pendakwa Syarie, adalah pihak berkuasa utama dalam menentukan sama ada suatu kes yang sedang atau telah selesai disiasat itu, wajar diteruskan ke peringat pendakwaan ataupun sebaliknya.

7.5 Kerajaan telah pun dapat memperbetulkan struktur institusi kehakirnan syariah negeri sejak dua dekad lalu. Soalnya, bila pula giliran institusi pendakwaan syariah?

7.6 Di bawah Enakmen Tatacara Jenayah (versi terkini yang berkuatkuasa di semua negeri), seksyen 181 meletakkan Ketua Pendakwa Syarie pada suatu kedudukan yang tinggi - “Ketua Pendakwa Syarie hendaklah mempunyai kawalan dan arahan ke atas segala pendakwaan dan prosiding jenayah di bawah Enakmen ini”

7.7 Kuasanya ditegaskan pula dalam seksyen 103(1) – “Pada mana-mana peringkat apa-apa perbicaraan, sebelum penghakiman diberikan, Pendakwa boleh, jika difikirkan patut, memberitahu Mahkamah bahawa dia tidak bercadang untuk mendakwa tertuduh selanjutnya atas pertuduhan itu ...”

7.8 Dengan bahasa mudah, apa yang dimaksudkan di sini ialah, bila berdepan dengan soal apakah sudah sampai masanya seorang suspek itu diheret ke mahkamah untuk menghadapi prosiding jenayah syariah, soal itu hanya boleh diputuskan oleh Ketua Pendakwa Syarie sahaja, bukan oleh orang lain (misalnya oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri. Dan andainya seorang suspek itu, telah diheret ke mahkamah sebagai orang kena tuduh (OKT) dan telah mula dibicarakan, Ketua Pendakwa Syarie boleh, jika dia mahu, memaklumkan mahkamah, bahawa dia tidak berhajat meneruskan prosiding jenayah tersebut. [20]

7.9 Bagi prosiding jenayah di mahkamah sivil, keputusan mutakhir hendak mendakwa seorang suspek itu terserah kepada Pendakwa Raya, setelah siasatan dijalankan oleh PDRM atau mana-mana agensi siasatan yang lain selesai. Bagi prosiding jenayah di Mahkamah Syariah, keputusan mutakhir sedemikian itu (mengikut undang-undang) terserah kepada Ketua Pendakwa Syarie, setelah siasatan selesai dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan dan Penyiasatan. Hirarki yang wujud di dua dunia (sivil dan syariab) ini hendaklah juga sama.

7.10 Saranan untuk memantapkan institusi pendakwaan syarie negeri ini perlu diberi pertimbangan serius oleh pihak atasan. Saranan ini dibuat setelah mengambil iktibar pengalaman pahit pasukan pendakwa dalam beberapa kes sensasi di Mahkamah Tinggi (sivil) kebelakangan ini. Dalam kes-kes berprofail tinggi itu, pasukan pendakwaan telah kecundang (beberapa kali) apabila kes dibuang oleh mahkamah, disebabkan mereka gagal mengemukakan kes prima facie di penghujung kes pendakwaan.

7.11 Usaha memantapkan dan memperkasakan institusi pendakwaan syariah di negeri tidak berhenti dengan penyusunun semula struktur organisasi sahaja. Usaha awal itu hendaklah juga disusuli dengan program bina insan (bina upaya) yang terancang dan berterusan. Satu blueprint latihan sepanjang tahun hendaklah disediakan sebelum tahun baru menjelang. Manakala, penggubalan kandungan program berkenaan (teori dan amali) perlu dibincangkan bersama dengan pakar-pakar berkenaan sebelum ia dilancarkan.


[1] Lihat kes Mohamed Habibullah bin Mahnood v Faridah bt. Dato Talib [1992] 2 MLJ 793.
[2] Misalnya kes G. Rethinasamy v Majis Agama Islam Pulau Pinang & Anor. [1993] 2 CLJ 605.
[3] Kes Jumaaton & Raja Delila Iwn Raja Hizaruddin, keputusan Mahkamah Rayuan Syariah Wilayah Persekutuan pada 8 Julai 1998.
[4] Kes ini menyebabkan 9 Menteri bukan Islam menyerahkan satu Memorandum bantahan kepada Perdana Menteri. Pada 20 Januari 2006, Perdana Menteri menegaskan “Tiada pindaan kepada Perkara 121(lA)
[5] Laporan prosiding Parliamentary RoundtabIe on Article 121 yang berlangsung pada 5 Januari 2006. Mesvuarat itu dihadiri oleh 12 orang peserta, mewakili beberapa pertubuhan tertentu, iaitu Wong Kim Kong (MCCBCHS), Dato’ Vaithilingarn (Hindusangam), Salbiah Ahniad (kolumnis & peguam), Malik Imtiaz (HAKAM), Ramdas Tikamdas (Bar Council), Tan Sri Abu Talib Othman (SUHAKAM), Lim Kit Siang (Ketua Pembangkang), M.Kula Sekaran - Roundtable chairman, Zaid lbrahim (Kota Bharu), Lim Guan Eng (DAP), Hacharan Singh (Interfaith). Chow Heng Soon (Buddhist).
[6] Tidak semua negeri yang serius mewujudkan blueprint tahunan program latihan bagi pegawai kehakiman mereka.
[7] Lihat Kevin & Yeo, Constitutional Law in Malaysia & Singapore. 1991, MLJ, ms 247
[8] Dalam versi Inggerisnya “Judicial power of the Federation shall be vested...”
[9] Doktrin ini diilhamkan oleb Dicey di England pada akhir kurun ke 19 yang lalu. Doktrin pengasingan kuasa diamalkan sepenuhnya di Amerika Syarikat.
[10] Tun Salleh menjadi ketua jabatan saya (ketika beliau menyandang jawatan Peguamcara Negara semasa saya berkhidmat di Jabatan Peguam Nigara (1970-1975).
[11] Tan Sri Azmi Kamaruddin, bekas Hakim Persekutuan, berpendapat tidak ada sebab satu semakan tidak boleh diadakan. Lihat artikel “Azmi: No reason not to review judicial crisis”, akhbar The Sun, 10 Oktober 2006.
[12] Hujah sebaliknya pula ialah bahawa “finality” tidak sewajarnya menutup pintu keadilan : lihat pendapat Tan Sri Azmi dalam nota kaki 12 di atas
[13] Lihat Perkara 182 Perlembagaan Persekutuan, dimasukkan oleh Akta Perlembagaan (Pindaan) 1993 (Akta A848). Lihat juga kes Faridah Begum bt Abdullah lwn Sultan Haji Ahmad Shah [1996] 2 AMR 1498.
[14] Atau apa sahaja nama lain yang difikirkan sesuai oleh Kerajaan.
[15] Sila baca Pawancheek Marican & Zainur Zakaria “Conversion to Islam: Which Court, civil or syariah, has jurisdiction?”. Rencana ini boleh dibaca di laman web http://www.muafakat.net.my
[16] Sebelum ini ada berita mengatakan isu penubuhan Mahkamah Keluarga Khas telah diberi perhatian oleh Kementerian Pembangunan Keluarga dan Masyarakat; malangnya, hingga kini tidak kedengaran apa-apa perkembangan baru.
[17] Kini sudah kedengara gesaan agar PBT di seluruh negara dirombak semula; ada juga cadangan agar PBT dijadikan Jabatan Kerajaan Pusat. Sila baca rencana mutakhir “Ubah merit lapuk dalam PBT” oleh Sahiful Bahri Saidin, Utusan Malaysia, 23 Oktober 2006.
[18] Lihat kes terkini kes suspek Suresh Kunasekartin yang mati dalam lokap polis Bukit Sentosa, Serendah, Selangor, seperti yang dilaporkan oleh NST, 29/10/2006.
[19] Lihat berita terkiri mengena pengalaman sepasang suami isteri warga Amerika (beragama Kristian) di Langkawi Kedah, ekoran tindakan pegawai Jabatan Agama Islam Kedah pada 2 pagi 14 Oktober 2006, seperti dilaporkan oleh The Star, 28 Oktober 2006’ di bawah tajuk berita “Couple in khalwat raid may drop second home plan”. Exco Agama Kedah Prof Datuk Wira Dr Othman Ishak dipetik sebagai berkata beliau akan menyiasat perkara tu. Menteri Besar Kedah berkata beliau tidak pernah diberi makium tentang kes tersebut.
[20] Ingat kembali tindakan Pendakwa Raya (Peguam Negara Tan Sri Mokhtar Abdullah) menarik balik prosiding jenayah (yang pada mulanya telah dibuat olehnya sendiri) terhadap seorang Ketua Menteri negeri. Lapan bulan berlalu antara tarikh pendakwaan dimulakan dengan tarikh pendakwaan ditarik balik. Alasan beliau menarik balik pendakwaan ialah “ada maklumat baru”.

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

salam...nk mntk pndgn.
pd pndpt saudara, pe cbrn2 yg mhkmh syariah pelu tangani hari ni?

Tanpa Nama berkata...

Bagi saya -perlu disegerakan kes-kes tertunggak, membela hak wanita, ibu tunggal yang kurang pembelaan sewajarnya dan bertindak tegas terhadap jenayah yang patut dikenakan hukum hudud di dalam Islam

Tanpa Nama berkata...

kenapa perk2 ni dianggap sbgai cabaran?
adakah sukar untuk mengaplikasiknnya?
pe lg cabaran lain yg harus mahkamah syariah tangani bagi mningkatkn lagi mrtbt n dihormati ramai org trutamanya org islam sndiri?

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude