Saya merasa terkejut apabila melihat iklan di sebuah stesen televisyen, yang mempromosikan Konsert Gwen Stefani pada 21 Ogos 2007 di Stadium Putra, Bukit Jalil yang ditaja oleh syarikat telekounikasi terkemuka;Maxis. Yang menyedihkan, klip video yang ringkas itu telah menjelaskan peribadi artis tersebut. Dengan gaya tarian yang mengghairahkan, maka saya terbayang mungkin inikah bentuk persembahan yang akan dihidangkan kepada rakyat Malaysia?
Lalu timbul pelbagai soalan dalam benak pemikiran saya. Di antaranya ialah :
1) Pihak manakah yang meluluskan konsert tersebut ?
2) Apa kaitan konsert tersebut dengan usaha kerajaan untuk memupuk semangat patriotisme di kalangan rakyat Malaysia?
3) Bukankah kita telah diingatkan oleh para cendekiawan, bahawa hidangan hiburan yang keterlaluan, boleh mengurangkan keseriusan berfikir di kalangan masyrakat tentang sesuatu isu yang penting?
4) Adakah berbaloi usaha syarikat Maxis melaburkan sejumlah wang semata-mata untuk menganjurkan konsert ini, yang sedikit sebanyak menjejaskan persiapan KEKKWA yang bertungkus lumus mengajak rakyat Malaysia menghayati sejarah para pejuang kemerdekaan terdahulu?
5) Apakah tidak ada acara lain, selain konsert tersebut yang hendak dipaparkan kepada rakyat Malaysia, dalam promosi 50 tahun kemerdekaan Malaysia?
Saya memetik salah satu mesej dalam iklan Petronas (di antara syarikat petroleum negara yang terkemuka di dunia kebanggaan Malaysia) "Dalam usaha kita mengorak langkah menghadapi hari muka, janganlah kita lupa tentang asal-usul kita. Kerana sejarah adalah sebahagian daripada diri kita yang sebenar".
Mari sama-sama kita melakukan introspeksi ke dalam diri. Kalau dulu, para pejuang kemerdekaan sanggup bermandi darah dan bertungkus lumus mengadakan diplomasi berhemah ; bagaimana dengan generasi mutakhir ini? Adakah kita terus leka dengan perkara yag tidak penting di dalam hidup kita, berbanding banyak lagi perkara yang sangat penting. Ibarat sepotong lirik dari sebuah nasyid oleh kumpulan Raihan " Tidak salah untuk berhibur, kerana hiburan itu indah dan dapat menenangkan jiwa. Hanya apabila salah memilihnya, menyebabkan kita bersalah!"
2 Ogos 2007, 18 Rejab 1428,
8.37 pagi, Malaysia Timur
Tiada ulasan:
Catat Ulasan