Kita berasa kesal terhadap tindakan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang mewakili kerajaan pada majlis sambutan ulang tahun hari jadi Ratu Elizabeth II di kediaman Pesuruhjaya Tinggi British semalam.
Pada waktu dan ketika ini umat Islam masih lagi terluka dengan kebiadapan Kerajaan Britain yang memberikan pengiktirafan dan Darjah Kesatria yang membawa gelaran SIR kepada Salman Rushdie, pengarang buku The Satanic Verses (Surah-surah Syaitan) yang menghina Rasulullah dan aqidah umat Islam.
Seharusnya Kerajaan Malaysia yang memimpin negara-negara OIC memboikot majlis ini dan menghantar surat bantahan serta membawa isu ini ke parlimen, namun apa yang kita harapkan adalah sebaliknya. Mereka turut sama meraikan ulang tahun hari jadi Ratu Elizabeth II, yang mengiktiraf peranan Salman The Devil dalam memperlekehkan Islam.
Atas nama diplomasi dan ahli KOMANWEL, beliau masih boleh bergelak ketawa dan makan bersama dengan Pesuruhjaya Tinggi British tanpa sedikit pun membangkitkan isu Salman The Devil ini. Peluang tersebut tidak digunakan bagi menzahirkan rasa tidak puas hati umat Islam Malaysia dan seluruh dunia yang terhina dengan pengiktirafan Kerajaan Britain kepada Salman The Devil.
Oleh itu, kita mengesa agar Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, selaku Perdana Menteri merangkap Pengerusi OIC mengambil tindakan yang serius dalam hal ini dan menegur tindakan Kerajaan Britain.
Kita sudah hampir 50 tahun merdeka. Seharusnya pada usia yang sebegini kita sudah mampu untuk berdiri sendiri dan tidak lagi tunduk pada tekanan kuasa-kuasa besar barat seperti Britain. Negara kita perlu ada pendirian yang kukuh dan martabat negara harus terus dijaga tanpa mengkesampingkan akidah dan maruah umat Islam.
Kita mahu agar pemerintah kita membuktikan bahawa mereka berani ke depan untuk memberikan tekanan agar Kerajaan British menarik semula pengiktirafan yang diberikan pada Salman The Devil. Inilah masanya untuk mereka membuktikan perjuangan mereka terhadap masa depan Islam.
Beliau dalam Perhimpunan Agung UMNO sebelum ini pernah menjulang keris Sangsaka bangsa sebagai amaran kepada orang bukan Melayu agar tidak mencabar UMNO dalam isu hak keistimewaan Melayu. Kini kita melihat, beliau hanya mampu menjulangkan pisau dan garfu sahaja di hadapan Pesuruhjaya Tinggi British yang mengiktiraf Salman The Devil dalam menghina umat Islam.
Jelas semangat Tok Janggut, Datuk Bahaman, Tok Gajah, dan Datuk Maharaja Lela yang bangkit menentang British kerana mempertahankan tanahair dan akidah Islam, tidak diwarisi oleh pemimpin masa kini.
Demi Allah dan RasulNya, akan merugilah mereka-mereka yang memegang periuk nasi mereka dengan erat tanpa sedikit pun menghiraukan 'kelaparan' umat dalam mempertahankan akidah dan maruah Islam.
20 Jun 2007, 5 Jamadil Akhir 1428,
2.43 petang, Malaysia Timur
Tiada ulasan:
Catat Ulasan