Isnin, 2 Jun 2008

Pengakuan Ezam Mohd Nor

Dalam wawancara selama hampir dua jam dengan Malaysiakini semalam, antara soalan utama yang dikemukakan kepada bekas ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Ezam Mohd Nor ialah kisah sebenar yang membawa beliau kembali semula ke pangkuan Umno.

Untuk berkongsi sepenuhnya dengan para pembaca, di bawah ini kita siarkan jawapan Ezam penuh terhadap soalan tersebut.

Saya berterima kasih pada soalan tersebut, sebab itu soalan penting kerana ada perbezaan yang besar di antara cakap-cakap dan pertemuan-pertemuan saya dengan pemimpin Umno sebelum pilihanraya baru-baru ini, pilihanraya 2004 dan sebelum itu, dengan keputusan saya kali ini.

Saya mengakui dalam 2004 khususnya, ialah kita bermula dengan 1999 lagi, setelah saya ditahan di bawah ISA dan semasa saya di Kamunting, tidak ada usaha untuk menarik saya balik ke Umno, tiada ada usaha yang bersungguh-sungguh. Tetapi selepas itu dipisahkan dengan rakan-rakan di penjara Kajang dan sendirian, masa itu ada usaha untuk cuba mengajak saya untuk meninggalkan perjuangan PKR, memimpin Pemuda PKR untuk masuk Umno.

Saya tolak masa itu kerana prinsip saya, saya tidak akan deal (berbincang) dan bertolak ansur dalam keadaan saya dalam penjara. Bagi saya, apapun, kena keluar saya (dari penjara). Saya bebas dalam 2003, dan selepas itu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menjadi menteri. Beliau berbeza dengan (Tun) Dr Mahathir (Mohamad). Kalau Dr Mahathir, approach (pendekatannya) adalah menekan. Lagi kuat anda lawan, lagi kuat dia tekan, masukkan dalam penjara. Tapi pendekatan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menarik. Sebab itu apabila pilihanraya 2004 ada usaha untuk menarik saya dan rakan-rakan lain untuk kembali ke Umno.

Dan usaha tersebut, saya lihat satu peluang pada masa itu, untuk deal (berbincang) untuk mendapatkan kebebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekurang-kurangnya membebaskan beliau untuk mendapatkan rawatan. Kalau tak bebas sepenuhnya pun tetapi untuk mendapatkan rawatan. Pada masa itu, keadaan Datuk Seri Anwar adalah kritial. Setelah bincang dengan beberapa teman-teman senior dan kawan-kawan lama Anwar sendiri, yang non-partisan dan sebagainya, maka mereka merasakan keutamaan harus untuk menyelamatkan Anwar Ibrahim.

Sebab itu kita melangkah untuk membuat keputusan untuk memulakan perbincangan dengan pemimpin Umno. Antara pemimpin tertinggi yang kita temui termasuk Datuk Seri Mohd Khir Toyo, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, Datuk Aziz Shamsuddin - antara pemimpin besar Umno. Dan semua ini saya lakukan dalam pengetahuan Datuk Seri Anwar.

Dalam pertemuan kedua bersama Datuk Sri Dr Mohd Khir Toyo, Datuk Seri Anwar sendiri yang minta supaya saya membawa bersama dua pemimpin PKR untuk berbincang - Mereka adalah Datuk Kamarul Bahrin dan seorang lagi Hajah Rahmah Othman. Kita berempat, seorang lagi Johari Abdul. Kita berempat berjumpa dengan Datuk seri Dr Mohd Khir Toyo dan saya yang mengetuai perbincangan tersebut. Ini atas keputusan Datuk Seri Anwar. Kata OK macam mana, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo nak berbincang - 2004 sebelum pilihanraya umum - Anwar kata Ok tapi bawa tiga orang, biar ada saksi. Nanti orang kata apa-apa (pula) kat you.

Memang saya yang deal, sepatutnya, Tan Sri Khalil Yaakob, ketika itu setiausaha agung (Umno) hadir (sama) dalam pertemuan yang kedua itu tapi tak hadir, jadi Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo sahaja, di rumah Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo. Jadi, line (hujah) saya ialah sebarang deal atau usaha untuk bincang mestilah dimulakan dengan membebaskan Datuk Seri Anwar. Itu saya firm (tegas), mesti dimulakan dengan membebaskan Anwar Ibrahim, sekurang-kurangnya untuk mendapatkan rawatan. Dan saudara boleh tanya Datuk Kamarul, Johari Abdul dan Rahmah Othman. Saya sengaja sebut nama kerana semua ini saksi.

Apabila Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo tidak boleh komit yang itu, kita back out. Dia kata you masuk (Umno) dulu dan (kemudian) bincang tentang Anwar. Tapi you kena masuk dulu, you kena bertanding... saya kata no,no, kita tolak kerana tidak minat dengan apa yang kami akan dapat. Fokus kita adalah jelas.

Lepas itu berjumpa dengan Datuk Aziz Samsuddin, bersama dengan sebelas atau dua belas kawan-kawan, Ruslan Kassim dan teman-teman lain. Begitu juga. Dia cakap-cakap, akhirnya dia minta kita masuk (Umno) tapi saya kata apa pun sama juga, mesti bebaskan Datuk Seri Anwar. Jadi (bila) dia tidak boleh komit, saya keluar. Saya tamatkan di situ.

Selepas saya tamatkan, kawan-kawan teruskan dan sebab tu mereka masuk (umno) sebelum pilihanraya. Bagi saya itu keputusan masing-masing dan saya faham ketika itu mereka sudah dalam keadaan susah, tertekan dan sebagainya, masalah kewangan, peribadi dan sebagainya. Mungkin mereka perlukan wang dan saya tidak dapat halang sebab saya pun dalam keadaan yang tidak senang. Kita dah berjuang lama, ini saya faham. Sebab itu saya masih berkawan dengan mereka hingga hari ini. Bagi saya itu bukanlan an act of betrayal (berpaling tadah) walaupun saya tidak bersama (mereka) sebab saya punyai bottom line iaitu bebaskan Datuk Seri Anwar. Selain dari itu, saya tidak akan terima.

Selepas pilihanraya, keadaan Datuk Seri Anwar semakin teruk. Semakin kritikal selepas pilihanraya (di mana) Barisan Nasional (BN) menang besar. Datin Seri Wan Azizah jumpa saya minta supaya diusahakan untuk rawatan. Buka pintu balik (perbincangan), bukan untuk bertanding atau bukan untuk masuk Umno tetapi untuk Datuk Seri Anwar. Kita cuba pelbagai-bagai. Saya jumpa sendiri Datin Paduka Rahmah Othman yang baik dengan Abdullah sebab dia Team B dulu, tapi simpati dengan kita. Saya jumpa dia, kita hantar rombongan jumpa mufti-mufti, kita jumpa beberapal lagi pemimpin Umno yang lain yang dekat dengan perdana menteri.

Tetapi mesej tak sampai, hinggalah satu hari, seorang wartawan asing memberitahu saya, jika hendak (mesej) sampai kepada PM, dapatkan (bantuan) Khairy (Jamaluddin). Saya jumpa Datin Seri Wan Azizah dan tanya macam mana. Ini pandangan mereka, mungkin kita boleh cuba. Saya tidak kenal Khairy. Ini penting untuk rekod, sebab (ada) tuduhan (yang mengaitkan) saya dengan Khairy. Ini kisah benar. Saya tidak kenal Khairy tapi ada cadangan untuk saya cari Khairy sebab dia dapat sampaikan mesej dengan cepat kepada perdana menteri. Sejurus selepas pilihanraya, dekat-dekat dengan tarikh Anwar bebas, September 2004, jadi mungkin Mei atau Jun.

Saya cari Khairy melalui kontak di London, melalui kawan-kawan, akhirnya saya dapat jumpa Khairy. Di situlah bermulanya hubungan saya dengan Khairy. Masa itu dia belum (jadi) naib ketua pemuda. Dan saya bagi tahu dia kebimbangan kita tentang keadaan kesihatan Datuk Seri Anwar dan mintalah sampai kepada perdana menteri. Selepas dua pertemuan, Khairy aturkan pertemuan antara Datuk Seri Abdullah dengan Datin Seri Wan Azizah di pejabat perdana menteri.

Saya hadir tapi saya tidak masuk ke dalam. Saya biar Datin Seri Wan Azizah berjumpa dengan Datuk Seri Abdullah. Saya tidak tahu secara terperinci (apa yang dibincangkan), tapi pada asasnya ialah untuk kesihatan, perubatan dan minta Anwar dikeluarkan dari penjara duduk di hospital, sebab (masa itu) dia berulang, kerana tidak ada pihak berkuasa yang berani benarkan Anwar duduk di hospital.

Masa itu juga Pak Lah ambil telefon, hubungi menteri kesihatan dan arahkan, masa itu petang dah, keluarkan Anwar Ibrahim on the spot dan lepas tu kita minta rawatan keluar negara , PakLah tak komited, dia kata dia akan tengok. Dan ketiganya, Datin Seri Wan Azizah minta Pak Lah adil dalam penghakiman (kes rayuan Datuk Seri Anwar di Mahkamah Persekutuan), jangan campur seperti Dr Mahathir. Pak Lah beri komitmen, dia tak akan campur, Masa itu tengah (perbicaraan), dah hujung-hujung (di peringkat penghakiman dibuat).

Mengikut kata Datin Seri Wan Azizah, Pak Lah kata OK, katanya, dia seorang pemimpin Islam, itulah yang beliau (Wan Azizah) beritahu saya, Pak Lah kata: "saya komited, saya pemimpin Islam, takkan saya nak buat macam tu".

Selepas Datuk Seri Anwar ke hospital, saya masih lagi jumpa Khairy sebab target saya masih lagi nak dapatkan rawatan ke luar negara. Khairy mencuba, hingga pada suatu ketika, dah ada keputusan pun untuk mendapatkan rawatan di luar negara tapi bukan di Jerman tapi di Singapura.

Pada mulanya, Datin Seri Wan Azizah tidak setuju. (Kemudian) jumpa Anwar dan beliau kata OK ke Singapura. Jadi saya (pun) sampaikan pada Khairy. Tiba-tiba Jabatan Peguam Negara nasihatkan jangan, walaupun menurut Khairy, Pak Lah telah bersetuju. Kata peguam negara ianya bertentangan dengan peruntukan undang-undang. Perkara tu habis di situ, tak jadi, walaupun sebenarnya telah ada keputusan dari perdana menteri.

Selepas beberapa ketika, mahkamah tetapkan tarikh untuk keputusan (rayuan) di Mahkamah Persekutuan. Jadi kita tangguh dulu perbincangan untuk rawatan (Anwar) di luar negara dan kita tunggu keputusan. Kalau keputusan bebaskan (Anwar) oklah. Kalau tidak bebas, kita sambung (perbincangan). Tapi bila keputusan (Anwar) bebas, sebagai tanda hormat, saya bagi tahu Khairy (Anwar) bebas, dan Khairy bertanya apa lagi yang boleh dibantu. Saya tanya Datuk Seri Anwar dan beliau minta pasport sebab dia nak terbang cepat. Itulah yang diminta oleh Datuk Seri Anwar dan saya sampaikan kepada Khairy dan dia sampaikan kepada bapa (mentuanya). Malam tu juga Khairy datang dan esoknya saya uruskan pasport Datuk Seri Anwar. Itulah peristiwa yang berlaku bila Khairy datang ke rumah Datuk Seri Anwar pada malam itu. Ini yang sebenarnya berlaku.

Sebab itu saya hendak tekankan di sini (ialah) keseluruhan proses ini hanya membabit dan memfokuskan kepada soalan untuk menyelamatkan Datuk Seri Anwar. Tidak ada deal (masuk Umno) seperti yang dituduh terhadap saya. Saya sebenarnya expect (harap) Datuk Seri Anwar dan Datin Paduka Wan Azizah untuk menyatakan perkara ini, sekurang-kurangnya untuk membela saya bila orang (mengaitkan) saya dengan Khairy kerana mereka tahu perkara yang sebenar. Seluruh proses yang saya deal dengan Khairy, dengan Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo dan semua proses ini bukan untuk saya, malah saya menolak semua tawaran lain, hanya semata-mata - dan saya tidak berganjak dengan permintaan saya - untuk membebaskan Anwar Ibrahim. Jadi itu ceritanya.

Selepas itu, Datuk Seri Anwar bebas, tidak ada lagi deal, Khairy pun saya tak jumpa dah. Khairy pun takut nak jumpa saya kerana dia telah dikritik hebat kerana datang ke rumah Anwar... (setakat itulah) hubungan kami. Kadang-kadang terjumpa di lapangan terbang (tapi) tidak ada hubungan, tidak ada perjumpaan selepas itu.

Selepas setahun Anwar bebas, saya ada masalah dengan Keadilan dan sebab itu saya dah mula jauhkan diri pada 2006. Saya dan tubuhkan Gerak. Saya tidak ada deal sehinggalah sebelum pilihanraya 2008, datang lagi kawan-kawan dalam Umno dan sebagainya untuk meminta saya bertanding tapi bukan (pemimpin) peringkat senior, tapi di peringkat negeri dan bahagian, yang minta saya timbang bertanding dan balik semula ke Umno dan itupun saya tolak. Kawan-kawan (dari PAS) juga memang secara ikhlas mahu saya tanding di kerusi selamat di Kelantan.

Pada masa itu, kita tidak tahu yang (kawasan-kawasan lain) juga selamat. Itupun saya tolak kerana fokus saya sekarang ini, berbalik kepada persoalan reform. Walaupun fokus awal saya tidak pada reform kerana nak selamatkan Datuk Seri Anwar yang kritikal dan sakit. Bila dia keluar, kita tidak cerita dah bab kemanusian, kerana semua sudah bebas, jadi saya fokus kepada reform.

Pada 2008 ada usaha untuk menarik saya supaya bertanding tapi saya tidak bertanding kerana saya tidak nampak ada reform dalam Umno untuk saya kembali kepada Umno. Sebab itu saya tolak tawaran (bertanding) dalam pilihanraya umum lepas. Saya ingin meneruskan usaha dalam Geraka kerana saya merasakan usaha reform penting atau peranan lebih baik dapat saya mainkan dalam sivil society, dalam Gerak.

Selepas pilihanraya yang tsunami baru-baru ini, ada usaha yang dilakukan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang bagi saya merupakan satu langkah signifikan untuk reform, tentang badan kehakiman, tentang rasuah. Jadi, selepas itu ada beberapa pegawai beliau dan pimpinan Umno minta pandangan saya dan saya nyatakan saya amat setuju dengan reform ini dan ini bagi saya fundamental dan signifikan dan saya yakin ini sebenarnya membuka ruang kepada proses reform dalam negara.

Selepas itu, mereka aturkan saya berjumpa dengan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, saya rasa hampir sebulan yang lalu. Bagi saya, kalau nak dikatakan deal, itulah deal yang pertama yang masuk Umno. Saya nak katakana bezanya, deal yang dulu-dulu tu bukan masuk Umno, tetapi adalah deal untuk bebaskan Datuk Seri Anwar

Dan saya mahu berbicara dan berbincang kerana saya yakin ada ruang untuk reform yang dibawa oleh Datuk Seri Abdullah dalam BPR dan badan kehakiman. Setelah berjumpa beliau selama dua jam, saya yakin bahawa beliau memang komited tentang usaha reform tersebut dan beliau mempelawa saya untuk bersama-sama dalam Umno.

Setelah saya mengambil masa seminggu untuk berbincang dengan keluarga dan kawan-kawan, akhirnya, saya membuat keputusan untuk masuk Umno. Itu keseluruhan prosesnya.

Saya sebut nama-nama di atas tadi, - Datuk Kamarul dan Johari dan Rahman - kerana mereka masih dalam PKR. Mereka tidak ikut saya (masuk) dalam Umno. Jadi mereka seharusnya tampil dan menyatakan apakah perkara i(pelbagai tuduhan terhadap Ezam) tu benar. Jika mereka benar-benar ikhlas dan jujur, seharusnya mereka memberitahu memang segala tuduhan terhadap saya, tuduhan tawaran dan imbuhan, dan sebagainya, semuanya itu adalah fitnah. Saya ada bukti, termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datin Seri Wan Azizah sendiri (bahawa) proses saya deal dengan Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo dan Khairy, semuanya dalam pengetahuan Datuk Seri Anwar dan semuanya fokus untuk membebaskan beliau.

Ulasan : Kini Ezam menjelaskan rentetan dan kronologi peristiwa yang mendorongnya untuk masuk UMNO. Kita tidak sukar untuk menelaah situasi selepas ini. Adakah mungkin Datuk Seri Anwar juga akan menyertai UMNO demi mengekang kemaraan Datuk Seri Najib yang masih dipertahankan oleh Tun Dr Mahathir sebagai pengganti Pak Lah yang terbaik? In politic, everything can happens.



Perarakan spontan kebebasan media


Para wartawan, blogger serta kumpulan rakyat prihatin hari ini menyertai satu perarakan spontan menyokong kebebasan media, walaupun sebelum ini ia dibatalkan atas alasan keselamatan dan mengganggu lalulintas.

Perarakan tersebut - Berjalan untuk Kebebasan Akhbar - berlangsungnya selepas selesai majlis antara pihak media dan Menteri Undang-undang, Datuk Zaid Ibrahim pagi tadi.

Majlis itu anjuran Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ), Pakatan Penulis untuk Kebebasan Media (WAMI), Benar and All-Blogs.

Kira-kira 150 orang menyertai perarakan sepanjang kurang dari satu kilometer - dari Kelab Wartawan Kebangsaan (NPC) di Jalan Tangsi ke Dataran Merdeka dekat situ.

Mereka berkumpul menyanyikan lagu Negaraku, melaungkan slogan dan mengambil gambar. Kelihatan 15 polis anggota polis mengawal keadaan.

Kira-kira jam 11:40 pagi, ASP Chan Teck Paing yang mewakili OCPD Dang Wangi memberikan masa sehingga jam 12 kepada orang ramai beredar daripada Dataran Merdeka.

Menurut beliau, perhimpunan yang melebihi lima orang, tidak boleh diadakan di di tempat awam. Perhimpunan itu berakhir tanpa sebarang insiden.

Pada mulanya, kumpulan reform media- Benar - merancang untuk mengadakan perarakan dari Dataran Merdeka kepada NPC sebagai tanda perpaduan wartawan dalam memperjuangkan kebebasan media.

Bagaimanapun, Jumaat lalu, Benar mengambil keputusan untuk membatalkan rancangan tersebut, kerana tidak dibenarkan oleh pihak polis atas alasan ia boleh mengganggu kelancaran lalulintas di kawasan tersebut.

Benar berkata, beberapa wartawan dan editor juga bimbang perarakan itu boleh dianggap sebagai satu perhimpunan haram.

Sebelum itu, dalam ucapannya, Zaid berjanji untuk memberikan komitmennya untuk terus bekerjasama dan mendengar pandangan dan wartawan.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa perkara itu bukan di bawah bidangkuasanya. Terdapat empat kementerian lagi yang terlibat dengan akta-akta yang dituntut dihapuskan oleh wartawan, katanya hari ini.

"Saya bukannya orang yang tepat untuk bercakap tentang soal ini, dalam program yang akan datang, saya mencadangkan supaya menteri yang tepat dapat dipanggil untuk menjelaskan keadaan. Saya datang hanya untuk mendengar pandangan," katanya.

Dalam ucapannya, Zaid menekankan perlunya wartawan membuat penglibatan betul dengan menteri yang terlibat dan bersatu menuntut apa yang dimahukan.

Tuntutan itu lagi, katanya, perlu turut menawarkan suatu penyelesaian dan mekanisme baru yang perlu dipakai.

Beliau mengkritik wartawan yang berkata "kami mahu sesuatu" tetapi di majlis itu, katanya: "Saya tidak melihat 'kami' yang dikatakan itu. Lihatlah kepada diri anda sendiri, ada berapa ketua editor yang hadir? Saya hanya nampak seorang saja."

Zaid juga tidak mahu mengulas lanjut berhubung tuntutan penubuhan jawatankuasa pilihan di peringkat parlimen untuk kebebasan undang-undang media.

"Saya tak boleh komen pada apa yang tidak saya baca dan halusi. Kemukakan cadangan anda dahulu," katanya.

Zaid bagaimanapun menyokong cadangan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar supaya permit penerbitan akhbar hanya perlu dipohon sekali sahaja dan tidak perlu membuat pembaharuan setiap tahun.

"Jika Syed Hamid mengemukakan cadangannya kepada kabinet, saya akan sokong," katanya sambil kedengaran beberapa orang membuat bunyi "boo".

Penulis blog Haris Ibrahim dan Ahiruddin Atan atau lebih dikenali sebagai Rocky Bru, turut hadir.

Ulasan : Pengamal media tidak kira arus perdana atau alternatif menuntut kebebasan yang lebih telus dalam menyampaikan berita. Diharap ia mendapat perhatian kementerian berkenaan.

Ahad, 1 Jun 2008

Biar miskin harta jangan miskin jiwa


Ramai orang tidak dapat membezakan antara keseronokan dengan kebahagiaan atau ketenangan jiwa. Atau mungkin mereka tidak pernah menikmati kebahagiaan, sekalipun seringkali mengecapi keseronokan. Begitu ramai penghibur yang bertaraf lima bintang yang berjaya menjadikan ribuan peminatnya bersorakan gembira apabila melihat pertunjukannya, tetapi dia sendiri tidak bahagia. Maka tidak hairanlah jika ramai artis ternama terlibat dengan dadah dan hidup dalam tekanan. Sesungguhnya keseronokan bukan semestinya kebahagiaan atau ketenangan jiwa. Sesiapa yang kita lihat Allah tidak merezekikan kepadanya keseronokan atau kegembiraan tertentu, bukanlah bererti Allah tidak memberikan kepadanya ketenangan jiwa. Maha luas kurniaan Allah, betapa ramai orang yang kurang harta dan rupa, tetapi lebih bahagia daripada yang hartawan dan rupawan.

Bukan semestinya seorang raja, presiden, perdana menteri dan menteri itu lebih bahagia perasaan dan jiwanya dari seorang guru yang tidak dipagari pengawal, tidak dikenali ramai melainkan murid-muridnya yang masih mentah dan terpencil. Entah berapa ramai mereka yang berjawatan besar itu yang jauh lebih serabut perasaan dan jiwa mengenangkan masa depan kedudukan, pengikut dan nasibnya. Lebih daripada keserabutan ribuan manusia yang lain. Mungkin meja makan orang besar itu hebat, layanannya istimewanya, makanannya mahal, tempat tidurnya enak, kenderaannya mewah, sorak-sorai untuknya meriah, tetapi kebahagiaan dan ketenangan jiwa belum tentu muncul di celahan itu semua. Bahkan, berapa ramai manusia dalam dunia ini yang Allah azabkan mereka menerusi harta dan anak pinak mereka. Firman Allah mengenai golongan munafik: (maksudnya) “Oleh itu, janganlah engkau tertarik hati kepada harta benda dan anak-anak mereka, (kerana) sesungguhnya Allah hanya mahu menyeksa mereka dengan harta benda dan anak-anak itu dalam kehidupan dunia” (Surah al-Taubah: ayat 55). Islam bukan memusuhi harta, tanpa harta bukan punca sebenar ketenangan jiwa.

Ramai insan apabila tidak memahami kebesaran Allah menyangka bahawa harta dan kuasa adalah segala-galanya. Lalu dia menganggap sesiapa yang tidak kaya raya dan berkuasa tidak mendapat kurnia kebahagiaan daripada Tuhan. Seakan kurniaan Tuhan itu hanya tertumpu kepada empunya kuasa dan harta. Anggapan ini teramat silap. Ya! Harta dan kuasa boleh menjadi faktor yang membawa ketenangan dan kebahagiaan jiwa ia dikendalikan dengan betul. Namun, jika tidak ia boleh bertukar menjadi punca derita dan sengsara. Entah berapa ramai penguasa atau si kaya yang tidak dapat tidur lena dalam istana mewahnya, ketika si miskin sedang berdengkur menikmati nikmat tidur dalam rumah usangnya. Entah berapa ramai penguasa atau si kaya yang tidak berselera makan di hadapan hidangan mewahnya ketika si miskin dengan begitu enak menikmati sebungkus nasi yang dibalut dengan daun pisang. Maha Agung Allah swt, Dia memberi kurnia nikmatNya dengan pelbagai cara dan tanpa diduga.

Menceritakan

Saya teringatkan satu ceramah Buya Hamka r.h. dalam satu rakaman. Beliau menceritakan bagaimana suatu hari ketika beliau menaiki kenderaan mewah dengan seorang kaya melalui sawah padi, tiba-tiba melihat seorang petani yang berehat dari kepenatan bekerja, sambil isterinya menghidangkan makan tengahari. Walaupun hidangan itu amat biasa sahaja, tetapi dimakan oleh petani tadi dengan penuh selera. Lalu orang kaya yang bersama Buya Hamka berkata: “Buya, saya ada rumah besar dan kenderaan mewah, tetapi tidak pernah berpeluang makan begitu berselera seperti petani itu”. Ya! Demikianlah Allah membahagi-bahagikan nikmat-Nya. Sesiapa yang diberikan makanan yang hebat, belum tentu dapat menikmati keenakan itu di lidahnya. Sesiapa yang diberikan tempat tinggal yang mewah, belum tentu dikurniakan kenikmatan tinggal di dalamnya. Maka, tidak hairan jika ada orang kaya, atau yang berkuasa kurang selera makan. Atau tidak hairanlah jika ada anak si kaya yang lari meninggalkan rumah mewah bapanya. Janganlah pula hairan, jika ada orang miskin yang setiap hari menikmati suapan yang masuk ke dalam mulutnya, dan nyenyak tidurnya. Janganlah pula hairan jika ada perasaan yang lebih mengenang pondok usang dari banglo yang tersergam. Sekali lagi, Islam bukan musuh harta, namun insan hendaklah tahu bersyukur atas segala kurniaan Allah kepadanya. Yang miskin dan yang kaya hendaklah insaf bahawa tujuan daripada makanan dan tempat tinggal yang mewah itu adalah kesedapan dan keselesaan. Bukan semua yang memiliki kemewahan itu pula akan menikmatinya. Juga bukan semua tidak memilikinya, akan terhalang mengecapi kenikmatannya. Maha Besar Allah yang membahagi-bahagikan kurniaan-Nya mengikut kehendak-Nya.

Kadang-kala apabila kita duduk di meja makan bersama orang kaya besar dan orang biasa. Kita lihat si kaya minum air kosong sahaja, ditanya kenapa? Jawabnya, “Saya ada diabetis”. Dia enggan makan kebanyakan lauk yang dihidangkan, katanya, “Saya ada sakit jantung dan darah tinggi”. Sementara ‘yang biasa-biasa di sebelahnya, makan dengan enak tanpa sebarang pantang. Ya, memiliki sesuatu, belum tentu dapat menikmatinya. Untuk minum air kosong dan nasi kosong tidak memerlukan harta yang banyak. Juga air kosong dan nasi kosong biasanya merupakan makanan si miskin yang tidak mampu memiliki. Jika Allah mahu, orang yang berada di tengah kemewahan akan hidup bagaikan si miskin di tengah kefakiran. Sekali lagi, Islam bukan musuh harta, tetapi insan wajib insaf bahawa hanya Allah yang menentukan segala kurniaan. Maka jangan kita sombong atas apa yang kita kelihatan memilikinya, dan janganlah pula kita berdukacita atas apa yang tidak Allah kurniakan kepada kita. Entah berapa banyak nikmat yang telah Allah kurniakan kepada kita, kita tidak menyedarinya. Entah betapa banyak nikmat yang Allah halang orang lain merasainya, kita sangka mereka mengecapinya.

Saya bawakan mukadimah yang panjang ini supaya kita semua insaf bahawa pergantungan sebenar dalam kehidupan ini hanya Allah. Maka, jangan kita menjadi hina jiwa ini di hadapan orang lain hanya kerana melihat kuasa dan harta yang berada di tangannya lalu kita sangka mereka memiliki segala-gala. Jikapun kita kurang harta dan kuasa, janganlah kita miskin jiwa.

Apa yang ingin kita buru daripada kehidupan ini adalah ketenangan jiwa dan kebahagiaan perasaan. Bukan sekadar keseronokan atau kegembiraan yang berakhir dengan tamatnya sesuatu pesta atau sorakan semata. Jika kebahagiaan dan ketenangan yang kita pilih, maka yang dapat memberinya hanyalah Allah. Memiliki harta dan kuasa belum tentu dapat mencapainya. Maka jangan kita mengemis kepada penguasa atau si kaya dalam mencari ketenangan hidup. Merintihlah kepada Allah, hanya Dia yang dapat menganugerahkan kita semua itu. Firman Allah: (maksudnya “Sesiapa yang beramal soleh, sama ada lelaki ataupun perempuan, dalam keadaan dia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkannya dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih daripada apa yang mereka telah kerjakan” (Surah al-Nahl: ayat 97).

Ramai orang yang kita lihat kaya harta, tetapi miskin jiwanya. Kadang-kala mereka mengampu orang lain, sehingga ke peringkat yang memualkan, hanya semata kerana dunia yang diharapkan. Apalah ertinya harta, jika kita miskin jiwa sehingga seakan menjilat orang lain. Harta dan kuasa itu amat diperlukan jika ia menjadikan kita seperti para khalifah yang soleh dan para hartawan yang bersyukur. Anda lihatlah orang-orang politik apabila mengampu ‘tuan mereka’. Semuanya kerana mengharapkan tempiasan kuasa. Bahkan saya pernah berjumpa orang yang menyandang gelaran agama di sebuah negeri memuja ‘penghuni istana negerinya’ seakan memuja seorang nabi yang maksum. Setiap cakapannya disandarkan kepada istana negerinya. Barangkali dia mengharap tambahan ‘gelaran’ di depan namanya. Atau dia tertelan kata-

kata Hang Tuah yang diriwayatkan menyebut: “Hidupku ini hanya untuk menjadi hamba Sultan Melaka semata”. Saya rasa saya pun baik juga dengan istana negeri saya. Tapi tidaklah sampai begitu. Hormati menghormati sesama manusia ada batasannya. Sebab itu, di sebuah majlis saya pernah menegur pihak tertentu yang menyebut: “Dengan izin Allah SWT dan limpah perkenan tuanku jua”. Saya katakan kepada pengerusi majlis: “Saya percaya pihak yang dipuji itupun tidak menyuruh saudara menyebut demikian. Pujian saudara ini menyanggahi hadis Nabi SAW, daripada Ibn ‘Abbas: “Bahawa seorang lelaki berkata kepada Nabi saw: “Apa yang Allah dan engkau kehendaki”. Maka baginda bersabda kepadanya: “Apakah engkau menjadikanku sekutu Allah, bahkan (katakan): apa yang hanya Allah kehendaki” (Riwayat Ahmad, dinilai sahih oleh al-Albani).” Pujian yang seperti inilah yang akhirnya akan meruntuhkan seseorang atau sesebuah institusi. Nabi Saw lebih mulia daripada kita semua. Pun Allah memerintahkan baginda mengistiharkan: (maksudnya): Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah. Jika aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh Allah) yang memberi amaran (bagi orang-

orang yang ingkar) dan membawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman” (Surah al-Anfal: 188).

Memerdekakan

Islam apabila datang kepada manusia, ia memerdekakan jiwa manusia ini dari menjadi hamba sesama manusia, kepada hanya bertuhankan Allah. Inilah yang disebut oleh Rib‘i bin ‘Amir di hadapan Panglima Angkatan Tentera Parsi: “Allah yang membangkitkan kami agar kami mengeluarkan sesiapa yang dikehendaki-Nya dari pengabdian sesama hamba menuju pengabdian kepada Allah, dari kekejaman agama-agama kepada keadilan Islam, dari dunia yang sempit kepada keluasan dunia dan akhirat”. (Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, 7/48, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah). Lihatlah Bilal bin Rabah r.a., walaupun pada masa dirinya masih menjadi hamba sahaya kepada tuannya, tetapi Islam telah berjaya memerdekakan jiwanya. Dia tidak tunduk kepada kehendak tuannya yang sesat. Sekalipun tubuhnya diseksa pada terik mentari, namun jiwa merdeka hanya tunduk pada Ilahi. Malanglah seorang insan, jika tubuhnya merdeka, cukup makan dan minum, tiba-tiba jiwanya itu bersifat hamba kepada manusia sehingga melanggari batasan Allah swt.

Justeru, jika manusia menganggap tangan yang mempunyai kuasa dan harta itulah punca kebahagiaan dan ketenangan maka mereka akan menjadi hamba sesama manusia. Namun, jika mereka yakin, hanya Allah sahaja yang mampu memberi kedamaian, maka jiwa mereka akan merdeka. Sesiapa yang menjadi hamba manusia, dia tidak akan menjadi hamba Allah yang sebenar. Sesiapa yang menjadi hamba Allah yang sebenar, dia tidak akan berjiwa hamba sesama manusia. Sabda Nabi Saw: “Sesiapa yang akhirat itu tujuan utamanya, maka Allah jadikan kekayaannya dalam jiwanya. Allah mudahkan segala urusannya dan dunia akan datang kepadanya dengan hina (iaitu dalam keadaan dirinya mulia). Sesiapa yang menjadikan dunia itu tujuan utamanya, maka Allah akan letakkan kefakirannya antara kedua matanya. Allah cerai beraikan urusannya, dan dunia pula tidak datang kepadanya melainkan dengan apa yang ditakdirkan untuknya (iaitu dalam keadaan dirinya hina)”. (Riwayat al-Tirmizi, dinilai hasan oleh al-Albani). Daripada hadis ini, maka sesiapa yang benar-benar bergantung kepada Allah, jiwanya akan merdeka dan mulia. Juga dunia itu juga akan sampai kepadanya dengan harga dan maruah dirinya tidak tercemar. Sesiapa yang bergantung kepada manusia, mungkin dunia itu akan sampai ke tangannya, tapi dia akan berada dalam kehinaan dan keluh kesah. Kebimbangan yang tidak putus akan sentiasa menjelma antara kedua matanya, kerana pergantungannya lemah. Orang mukmin yang sebenar bergantung kepada Allah, Raja segala raja, Pemilik alam semesta. Sementara yang berjiwa hamba kepada manusia, akan bertawakal kepada raja atau pemimpin yang menunggu hari untuk mati atau ditumbangkan oleh orang lain seperti Raja Nepal.

Islam mengajar kita berjiwa merdeka, sekalipun kita miskin harta, gelaran dan pangkat. Jiwa yang merdeka daripada perhambaan sesama manusia kepada tunduk hanya untuk Allah itulah yang membawa kepada kebahagiaan dan ketenangan yang sebenar. Kita memerlukan para pemimpin, sahabat handai, orang bawahan yang berjiwa merdeka. Kita tidak mahu menjadi berharta dan berkuasa, tetapi menjadi hamba sesama manusia. Pengemis yang miskin harta, lebih mulia daripada si kaya atau penguasa yang miskin jiwa.

Ulasan : Adakalanya dilihat Dr Asri berpihak kepada pemerintah dan menghentam Pakatan Rakyat. Dan adakala sebaliknya. Bagaimanapun saya bersifat objektif, selama mana ada saranan yang baik diketengahkan beliau, saya boleh bersetuju. Artikel di atas boleh dijadikan panduan bersama.


Tiada lagi subsidi minyak - Diberi terus kepada pembeli layak - Mekanisme belum diumum

KOTA KINABALU 31 Mei – Tiada lagi subsidi akan diberikan kepada diesel dan petrol yang dijual di negara ini apabila satu mekanisme baru diperkenalkan oleh kerajaan Ogos ini bagi menangani beban kewangan kerajaan yang semakin meningkat.

Sebaliknya subsidi itu akan diberikan terus kepada pengguna yang layak apabila mereka mengisi bahan api itu di stesen-stesen minyak di seluruh negara.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad berkata, melalui mekanisme itu subsidi diubah daripada di peringkat pengeluaran sekarang ini ke peringkat jualan.

“Jadi minyak yang dibekalkan dan dibawa dari depot ke stesen-stesen minyak bukan minyak yang bersubsidi.

“Maknanya harga minyak di pam ialah harga tanpa subsidi. Apabila pengguna beli baru dia dapat subsidi. Itupun kalau dia layak terima subsidi,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas sesi taklimat program dan aktiviti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Sabah (KPDNHEP) di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah di sini hari ini.

Ketika ini kerajaan membayar subsidi minyak kira-kira RM45 bilion setahun dan angka itu akan terus meningkat ekoran peningkatan harga minyak mentah di pasaran dunia.

Melalui mekanisme itu kata Shahrir, hanya pengguna yang layak sahaja akan diberikan subsidi ketika membeli minyak.

Bagaimanapun katanya, kriteria dan kaedah pemberian subsidi secara terus itu masih belum boleh diumumkan.

Sebelum ini, Shahrir berkata, diesel subsidi kemungkinan besar tidak lagi dijual di stesen minyak apabila penstrukturan semula subsidi bahan bakar negara dilaksanakan tidak lama lagi.

Langkah tersebut merupakan salah satu kaedah untuk memastikan golongan yang berhak sahaja menikmati subsidi diesel.

Menurut Shahrir, mekanisme baru itu juga secara tidak langsung akan dapat mengatasi masalah penyelewengan minyak bersubsidi.

“Sekarang minyak yang dibawa dari depot ke stesen minyak telah disubsidi,” katanya.

Akibatnya, kata beliau, jika lori tangki yang membawa minyak itu diseleweng sudah pasti ia menguntungkan pihak terbabit.

Dengan itu, katanya, mekanisme baru itu pasti dapat mengatasi masalah penyelewengan tersebut kerana subsidi hanya diberi ketika pengguna yang layak membeli bahan bakar terbabit.

Turut hadir pada sesi taklimat program dan aktiviti KPDNHEP Sabah itu ialah Pengarah KPDNHEP Sabah, Jaafar Walad; Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Eric Majimbun; Ahli Parlimen Tawau, Datuk Chua Soon Bui dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Putatan, Datuk Dr. Marcus Mojigoh.

Ulasan : Ini yang kita bimbangkan. Di saat ahli politik terus berpolitik, rakyat bergelut dengan kenaikan harga barang-maka kenyataan sebegini diumumkan. Saya yakin ia kian menambahkan resah rakyat. Bagaimana mekanisme nak mengenalpasti mereka yang layak? Apakah tidak mustahil akan berlaku penipuan dari sudut pendapatan sebenar keluarga demi ingin minyak bersubsidi? Dan bagaimana penguatkuasaan akan dijalankan? Menghilangkan terus subsidi minyak di kala rakyat semakin terbeban mungkin bukan keputusan yang bijak.

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude