Para wartawan, blogger serta kumpulan rakyat prihatin hari ini menyertai satu perarakan spontan menyokong kebebasan media, walaupun sebelum ini ia dibatalkan atas alasan keselamatan dan mengganggu lalulintas.
Perarakan tersebut - Berjalan untuk Kebebasan Akhbar - berlangsungnya selepas selesai majlis antara pihak media dan Menteri Undang-undang, Datuk Zaid Ibrahim pagi tadi.
Majlis itu anjuran Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ), Pakatan Penulis untuk Kebebasan Media (WAMI), Benar and All-Blogs.
Kira-kira 150 orang menyertai perarakan sepanjang kurang dari satu kilometer - dari Kelab Wartawan Kebangsaan (NPC) di Jalan Tangsi ke Dataran Merdeka dekat situ.
Mereka berkumpul menyanyikan lagu Negaraku, melaungkan slogan dan mengambil gambar. Kelihatan 15 polis anggota polis mengawal keadaan.
Kira-kira jam 11:40 pagi, ASP Chan Teck Paing yang mewakili OCPD Dang Wangi memberikan masa sehingga jam 12 kepada orang ramai beredar daripada Dataran Merdeka.
Menurut beliau, perhimpunan yang melebihi lima orang, tidak boleh diadakan di di tempat awam. Perhimpunan itu berakhir tanpa sebarang insiden.
Pada mulanya, kumpulan reform media- Benar - merancang untuk mengadakan perarakan dari Dataran Merdeka kepada NPC sebagai tanda perpaduan wartawan dalam memperjuangkan kebebasan media.
Bagaimanapun, Jumaat lalu, Benar mengambil keputusan untuk membatalkan rancangan tersebut, kerana tidak dibenarkan oleh pihak polis atas alasan ia boleh mengganggu kelancaran lalulintas di kawasan tersebut.
Benar berkata, beberapa wartawan dan editor juga bimbang perarakan itu boleh dianggap sebagai satu perhimpunan haram.
Sebelum itu, dalam ucapannya, Zaid berjanji untuk memberikan komitmennya untuk terus bekerjasama dan mendengar pandangan dan wartawan.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa perkara itu bukan di bawah bidangkuasanya. Terdapat empat kementerian lagi yang terlibat dengan akta-akta yang dituntut dihapuskan oleh wartawan, katanya hari ini.
"Saya bukannya orang yang tepat untuk bercakap tentang soal ini, dalam program yang akan datang, saya mencadangkan supaya menteri yang tepat dapat dipanggil untuk menjelaskan keadaan. Saya datang hanya untuk mendengar pandangan," katanya.
Dalam ucapannya, Zaid menekankan perlunya wartawan membuat penglibatan betul dengan menteri yang terlibat dan bersatu menuntut apa yang dimahukan.
Tuntutan itu lagi, katanya, perlu turut menawarkan suatu penyelesaian dan mekanisme baru yang perlu dipakai.
Beliau mengkritik wartawan yang berkata "kami mahu sesuatu" tetapi di majlis itu, katanya: "Saya tidak melihat 'kami' yang dikatakan itu. Lihatlah kepada diri anda sendiri, ada berapa ketua editor yang hadir? Saya hanya nampak seorang saja."
Zaid juga tidak mahu mengulas lanjut berhubung tuntutan penubuhan jawatankuasa pilihan di peringkat parlimen untuk kebebasan undang-undang media.
"Saya tak boleh komen pada apa yang tidak saya baca dan halusi. Kemukakan cadangan anda dahulu," katanya.
Zaid bagaimanapun menyokong cadangan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar supaya permit penerbitan akhbar hanya perlu dipohon sekali sahaja dan tidak perlu membuat pembaharuan setiap tahun.
"Jika Syed Hamid mengemukakan cadangannya kepada kabinet, saya akan sokong," katanya sambil kedengaran beberapa orang membuat bunyi "boo".
Penulis blog Haris Ibrahim dan Ahiruddin Atan atau lebih dikenali sebagai Rocky Bru, turut hadir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan