Isnin, 18 Ogos 2008

Perubahan demi negara tercinta


Sebagaimana yang kita sedia maklum, negara kita akan menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-51, tanggal 31 Ogos 2008 ini. Sesungguhnya, kita amat bersyukur di atas segala nikmat yang telah dikurniakan oleh Allah SWT kepada bumi Malaysia ini. Sehinggakan para sejarawan Hindu terdahulu pernah mengungkapkan Tanah Melayu ketika itu sebagai Suvarnabumi atau bumi emas. Ptolemy ; seorang cendekiawan Barat juga pernah menyatakan bahawa Tanah Melayu ketika itu, ibarat Semenanjung Emas. Bahkan para ulama juga, pernah mengibaratkan bahawa Tanah Melayu, seumpama sepotong tanah dari syurga yang jatuh ke bumi. Semua perumpamaan di atas, tidak lain dan tidak bukan untuk menggambarkan, betapa Tanah Melayu ketika itu, kaya dengan hasil bumi seperti bijih timah dan minyak, menyebabkan ia menjadi tumpuan dan matlamat para penjajah yang sedang membina empayar mereka melalui 3G iaitu Gold, Glory dan Gospel.

Matlamat untuk menyebarkan agama anutan mereka-Kristian serta meraih kekayaan dan melebarkan pengaruh, menyebabkan Portugis, Belanda, Great Bitain bersilih ganti menjajah negara kita. Jepun juga tidak ketinggalan untuk mengukuhkan kekuatannya dengan menakluk negara kita di antara tahun 1942-1945, sebelum negara mereka dibom dengan bom atom oleh Amerika Syarikat dan pakatan bersekutunya. Setelah dicongak, negara kita telah dijajah hampir 443 tahun, berbanding usia kemerdekaan kita yang baru menjangkau 51 tahun. Justeru, sebagai umat Islam dan rakyat di Malaysia, perjuangan untuk memerdekakan negara dalam erti kata yang sebenarnya, perlu diteruskan dan dipertahankan.

Dalam tempoh 51 tahun ini, banyak perubahan yang berlaku samada dari sudut pembangunan fizikal dan pembangunan insan serta, pemerintahan negara. Kalau dahulunya, negara kita tidak memiliki bangunan pencakar langit, kini berpuluh-puluh bangunan pencakar langit terdapat di ibu negara dengan pelbagai reka bentuk yang hebat dan menarik.

Kalau dahulunya, kadar literasi ataupun buta huruf di kalangan rakyat begitu tinggi, kini, hampir kebanyakan anak-anak di peringkat tadika dan pra sekolah boleh membaca, mengira dan menulis. Walaupun begitu, masih terdapat keciciran yang tinggi di kalangan pelajar bumiputera dan Melayu Islam khususnya, terutamanya selepas SPM.

Begitu juga dengan pemerintahan negara yang telah melalui era 5 orang Perdana Menteri dengan pendekatan masing-masing. Oleh kerana itu, perjuangan utama para pemimpin negara dan umat Islam khususnya ialah mengisi kemerdekaan dengan sebaik-baiknya. Jasa dan pengorbanan pejuang-pejuang kemerdekaan terdahulu seperti Tok Janggut, Haji Abdul Rahman Limbung, Datuk Bahaman, Mat Kilau, Rosli Dhobi, Tok Sagor, Leftenan Adnan dan sebagainya, perlu dikenang dalam kotak pemikiran kita semua.

Begitu juga dalam usaha untuk mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu pada awal 30-an dan 40-an, maka jasa-jasa insan yang pernah melakar nama dalam lipatan sejarah tanahair, tidak patut dilupakan, seperti Burhanudin Hilmi dan Ibrahim Yaacob, tanpa menafikan peranan penting Bapa Kemerdekaan Malaysia ; Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj.


Sesungguhnya perjuangan untuk mendapatkan kemerdekaan negara ketika itu, melahirkan contoh yang hidup, para pemimpin umat yang sanggup menggadaikan nyawa demi kedaulatan agama, bangsa dan tanahair.

Para pemimpin yang disebutkan tadi juga, sanggup untuk mengutamakan kepentingan umat melebihi kepentingan dirinya sendiri, demi memastikan nikmat kemerdekaan sebuah negara dari dijajah dapat dinikmati bersama.

Kita tidak menafikan rundingan dan diplomasi itu perlu dalam menyelesaikan sesuatu isu dan masalah yang timbul, namun begitu jika agama dan maruah bangsa diinjak-injak oleh penjajah, adakah kita masih lagi berlembut ? Justeru, tidak hairanlah para pejuang yang disebutkan namanya tadi, sanggup mengorbankan dirinya dan berjuang sehingga titisan darah terakhir demi agama, bangsa dan tanahair. Ini sejajar dengan firman Allah di dalam surah al-Saff, ayat 14 :

” Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu penolong-penolong (agama) Allah, sebagaimana ketika Isa berkata kepada Hawariyyun(pendokongnya)” Siapakah yang akan membantuku dalam menegakkan agama Allah?”. Maka jawab golongan Hawariyyun ” Kamilah yang akan menjadi penolong-penolong (agama) Allah”.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Kini, dalam proses mengisi kemerdekaan yang telah masuk tahun ke-51, kita berdepan dengan pelbagai cabaran. Di antaranya ialah :

a) Generasi muda Islam yang tidak menghayati erti kemerdekaan sebenarnya. Bagi mereka, apa yang telah tersedia kini, merupakan nikmat kemewahan yang perlu dikecapi dengan sepuas-puasnya, tanpa perlu memikirkan peluh keringat dan titisan darah para pejuang kemerdekaan. Banyak gaya hidup mereka berkiblatkan Barat. Fesyen pakaian yang mengghairahkan, seks bebas, arak, berhibur tanpa batasan di kelab malam dan judi, seolah-olah telah sebati dengan segelintir remaja Muslim kini. Benarlah kata-kata Yusof Islam ” Tamadun Barat seumpama kapal yang sedang tenggelam, sedangkan pada waktu yang sama, umat Islam berebut-rebut, membeli tiket untuk menaikinya.” Dan oleh kerana masa muda tidak dimanfaatkan dengan baik, bahkan hiburan yang melampau sebagai pengisian hidup, maka kehidupan generasi muda Islam dapat diumpamakan seperti pepatah Arab ” Air yang tidak mengalir akan merosakkannya, dan pemuda yang kaku dan jumud (banyak masa yang terluang dan tidak dimanfaatkan dengan baik) akan membunuhnya (merugikannya).


b) Perjuangan untuk mengisi kemerdekaan dan mempertahankan kemerdekaan sebenarnya lebih payah berbanding perjuangan untuk mendapatkan kemerdekaan. Oleh itu, pimpinan negara kini kadangkala tidak menunjukkan contoh yang terbaik buat rakyat. Di kala rakyat disuruh berjimat cermat, para pemimpin masih bernafsu besar seperti isu Mercedes di Terengganu. Di kala Perdana Menteri menekankan soal pembangunan insan, program hiburan yang begitu banyak seperti Akademi Fantasia, Gangstarz, Rythm of The Champion, Malaysian Idol terus disogokkan kepada rakyat. Seolah-olahnya ia bertujuan untuk mengikis jatidiri umat dari berjiwa besar dan berpandangan jauh dan kritis, kepada berjiwa lemah dan dikuasai oleh hawa nafsu. Dan ia juga sebenarnya melambangkan bagaimana, di kala tangan kanan gigih membina tamadun umat agar kembali disegani , ada tangan kiri yang meruntuhkan ketamadunan tersebut. Begitu juga, di kala Islam Hadhari diperkenalkan sebagai teras pentadbiran negara, banyak pelaksanaan yang dibuat tidak berdasarkan 10 prinsip yang cantik di atas kertas. Iman dan taqwa umat Islam terus merudum dengan isteri beberapa pimpinan negara yang Muslim masih tidak menutup aurat, menjadi bukti Islam Hadhari hanya slogan tanpa praktik semata-mata. Pembangunan fizikal negara yang tidak menghiraukan lagi alam sekitar, akhirnya menyebabkan tanah runtuh dan banjir kilat semakin menjadi-jadi. Kedaulatan negara juga semakin terancam, dengan kehilangan Pulau Batu Putih akibat kealpaan pimpinan negara yang sibuk dengan perjuangan untuk memenuhkan tembolok sendiri.

c) Pimpinan negara kini seolah-olah tidak berupaya untuk menjaga kebajikan rakyat keseluruhannya. Kenaikan minyak yang mendadak dan peratus kenaikan yang tinggi, akhirnya menyebabkan inflasi negara melambung. Rakyat miskin dan golongan pertengahan terpaksa menanggung beban kenaikan harga barang. Sedangkan pada waktu yang sama, terdapat pimpinan negara yang terus mengamalkan gaya hidup mewah. Slogan kepimpinan melalui teladan tidak lagi dihayati. Perjuangan para pejuang kemerdekaan terdahulu, tidak lagi menjadi inspirasi untuk membangunkan negara ke arah yang lebih baik.


Oleh yang demikian, negara memerlukan pimpinan yang sentiasa mengutamakan keadilan dan kebenaran. Pimpinan yang sanggup menjadi khadam rakyat dan bukan tuan rakyat. Pimpinan yang mementingkan integriti dari mementingkan diri sendiri. Pimpinan yang sentiasa mengajak dan mendorong rakyatnya ke arah kebaikan dan berusaha meminimumkan anasir-anasir jahat yang boleh merosakkan jatidiri umat. Pimpinan yang berjuang untuk kemaslahatan ummah khususnya dan rakyat Malaysia umumnya, dan bukan yang berjuang untuk kepentingan dan kekayaan dirinya. Pimpinan yang tidak merampas hak rakyat, demi kepentingan golongan tertentu yang mempunyai hubungan baik dengannya.

Dalam keadaan ketidakstabilan politik kini, negara dan umat memerlukan pimpinan yang cekap menguruskan negara dengan pendekatan yang berhemah dan mengutamakan kebajikan rakyat. Bukannya pimpinan yang lambat dan kurang tepat mengambil keputusan, yang akhirnya menyebabkan rakyat terbeban.

Yakinlah dengan usia negara kita yang telah merdeka hampir 51 tahun, kita perlu sama-sama menggerakkan perubahan ini. Selamat tinggal kepada segala ketidakbijakan pimpinan dalam mengurus dan mentadbir negara. Kita mengharapkan dan mengimpikan agar pimpinan yang sentiasa berkobar semangatnya dan bijak, serta cekap mengemudi bahtera pemerintahan negara ke arah redha Allah, walaupun terus-menerus difitnah tanpa bukti yang kukuh. Sesungguhnya Allah bersama pihak yang benar dan segala kebatilan akan terbongkar.
Dan ingatlah ketika Nabi SAW sewaktu dimikrajkan ke langit, antara golongan yang Nabi SAW berjumpa ialah seorang lelaki yang sedang membawa kayu api di belakangnya. Dia terus menambahkan kayu api di belakangnya, sehingga dia tidak sanggup lagi berjalan. Kata Jibril a.s. ” Inilah orang yang mempunyai sekian banyak amanah dan tanggungjawab, tetapi satupun, tidak ditunaikan dengan baik”.

Justeru, kita tidak mahu orang yang menjadi pimpinan kita sebegini. Jawatannya banyak, pangkatnya besar dan kekayaannya hebat, tetapi rakyat marhaen terus dilupakan. Ingatlah kepimpinan adalah amanah dan tanggungjawab. Amanah bukanlah suatu kemuliaan dan kebanggaan, yang akhirnya menyebabkan pimpinan itu terus dalam kealpaan. Nabi saw bersabda ”Apabila amanah itu dipersiakan, tunggulah saat kehancuran”. Para sahabat bertanya ” Bagaimana amanah itu dipersiakan?” Nabi bersabda ” Apabila amanah itu diberikan kepada orang yang tidak layak”, maka tunggulah saat kehancuran(Hari Kiamat)”. Dan juga di dalam hadith yang lain, Nabi saw menyebutkan ” Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin bertanggungjawab dengan apa yang dipimpinnya”.

Renungilah dialog isteri Khalifah Umar Abdul Aziz ketika dia menyatakan ” Wahai kekandaku, tidak bolehkah kita bermewah sedikit kerana kita kini, orang yang paling tinggi kedudukannya di dalam negara ”. Lalu dengan tegas, Khalifah Umar Abdul Aziz menjawab ” Aku memberimu 2 pilihan ; samada kamu mahu terus bersamaku dalam keadaan senang atau susah, atau keluar dari rumah ini dengan segala harta benda yang engkau cintai!” Lalu isterinya berkata ” Kalau itulah jawapanmu, wahai kekandaku, aku sanggup susah senang bersamamu, kerana aku tidak pernah berjumpa lelaki sehebatmu”.

Selamat menyambut kemerdekaan negara ke-51, dengan azam dan tekad untuk melakukan perubahan demi negara yang tercinta.


18 Ogos 2008, 16 Sya’ban 1429 Hijrah,
8.12 pagi, Malaysia Timur

Tiada ulasan:

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude