Oleh MOHD. ARIF ATAN
MELIHATKAN situasi pergolakan politik tanah air mutakhir ini ada baiknya kita 'belajar' daripada peringatan dan panduan yang terkandung dalam khazanah kesusasteraan tinggalan generasi terdahulu.
Sejarah Melayu, Hikayat Raja Pasai, Hikayat Merong Mahawangsa, Hikayat Malim Dewa, Hikayat Anggun Cik Tunggal dan Bustan al-Salatin adalah antara beberapa buah teks Melayu tradisional yang banyak mengungkapkan pemikiran berhubung masyarakat dengan pemimpinnya.
Secara keseluruhannya, apa yang ditonjolkan oleh teks-teks Melayu lama ini ialah sesebuah kerajaan itu boleh runtuh apabila pemimpinnya membelakangkan prinsip keadilan, sebaliknya pemimpin yang adil dan baik budi pekertinya akan disenangi oleh rakyat.
Sejarah Melayu misalnya ada menceritakan bagaimana Sultan Mahmud Shah kehilangan kuasa dan takhtanya lantaran termakan fitnah oleh Kitul, Laksamana Khoja Hassan dan Raja Mendeliar, kononnya Bendahara Seri Maharaja hendak menderhaka. Tanpa soal siasat seluruh ahli keluarga Bendahara Seri Maharaja kecuali Tun Fatimah dihukum bunuh.
Selain itu, kisah peminangan Puteri Gunung Ledang serta penculikan Tun Teja dari Pahang juga adalah gambaran sikap Sultan Mahmud yang terlalu mengikut rasa hati tanpa peduli akan hal ehwal rakyatnya lagi.
Kegemilangan Melaka sebagai sebuah empayar kerajaan Melayu yang hebat hinggakan rajanya menjadi menantu kepada kerajaan Majapahit dan China akhirnya lenyap begitu sahaja gara-gara kegagalan Sultan Mahmud membendung nafsunya.
Hawa nafsu pemimpin yang akhirnya meruntuhkan kerajaannya juga dapat kita teladani daripada Hikayat Raja Pasai.Kerajaan Pasai yang gah jatuh ke tangan Majapahit akibat keperibadian pemimpinnya yang buruk. Sultan Ahmad yang mahu memperisterikan kedua-dua puteri kandungnya sendiri sanggup membunuh puteranya sendiri Tun Berahim Bapa yang menentang kehendak nafsunya itu. Puteranya yang seorang lagi iaitu Tun Abdul Jalil juga dibunuh kerana anaknya yang tampan itu disukai oleh Galoh Gemerencang walhal Sultan Ahmad sendiri juga menyukai puteri dari Majapahit itu.
Kekejaman Raja Bersiung yang zalim meminum darah rakyatnya seperti yang tercatat dalam Hikayat Merong Mahawangsa menjadi punca kepada kehilangan takhtanya. Ada sarjana menyifatkan meminum darah itu lebih kepada perlambangan atau metafora penindasan pemimpin terhadap rakyatnya. Itulah sebabnya hanya pemimpin yang adil dan menjaga kebajikan serta keselamatan rakyatnya akan disayangi.
Tingginya budi pekerti pemimpin seperti yang digariskan dalam Hikayat Anggun Cik Tunggal menjadikannya amat disayangi oleh rakyat. Di dalam Hikayat Malim Dewa pula, rakyat siap dijemput ke istana untuk berkenalan mesra dengan bakal raja iaitu Tuanku Malim Dewa. Malah, Hikayat Merong Mahawangsa juga ada menyebut tentang pemerintahan Sultan Muazzam yang tinggi budi pekertinya, adil dan bijaksana.
Jelas, sahsiah pemimpin yang baik membolehkan kepimpinannya diterima sebulat suara oleh rakyat. Orang Melayu juga tidak akan bangkit memberontak tanpa sebab jika pemimpinnya adil dan bertanggungjawab. Tidak hairanlah apabila seseorang pemimpin itu diibaratkan seperti payung yang melindungi rakyat daripada panas dan hujan seperti yang terkandung dalam Bustan al-Salatin.
Oleh itu, tidakkah para pemimpin sekarang dapat menjadikan rakaman sejarah kepimpinan melalui beberapa teks sastera lama berkenaan sebagai iktibar untuk masa depan bangsa dan tanah air ini kelak?
Ulasan : Pemilihan UMNO yang berlangsung kini, tidak menjadi iktibarkah buat para pimpinan UMNO yang dicemari dengan rasuah(politik wang)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan