Isnin, 5 Mei 2008

Pertahan kedaulatan - Kongres Permuafakatan Melayu tubuh sekretariat tetap


JOHOR BAHRU 4 Mei – Kongres Permuafakatan Melayu yang berakhir di sini hari ini sebulat suara bersetuju menubuhkan sekretariat tetap dikenali Majlis Muafakat Melayu Malaysia (MMMM) bagi memantau, mempertahankan dan melaksanakan semua tuntutan berkaitan kedaulatan Melayu.

Ketua Satu Gabungan Penulis Nasional (Gapena), Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Ismail Hussein berkata, sekretariat itu akan ditubuhkan dalam tempoh terdekat dengan penglibatan jawatankuasa terdiri daripada badan bukan kerajaan (NGO) Melayu.

“Harus difahami, jika kerajaan tidak mengendahkan dan mengambil kira serta tidak melaksanakan satu pun pandangan kongres ini, ia seolah-olah kerajaan menolak suara akar umbi,” katanya.

Menurut Ismail, meskipun sekretariat itu tidak mempunyai kuasa eksekutif, ia akan membina saluran untuk menyampaikan mesej kepada kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

“Pada prinsipnya kita akan jadikan MMMM sebagai tempat rujukan dan wadah rasmi bagi menggerakkan apa juga resolusi yang telah kita persetujui dalam kongres yang berlangsung selama tiga hari,” ujar Ismail pada sidang akhbar selepas mengumumkan resolusi yang dicapai pada Kongres Permuafakatan Melayu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini.

Katanya: “Keputusan menubuhkan MMMM dibuat setelah mengambil kira suara-suara daripada sebahagian 2,100 peserta yang mewakili 200 NGO yang menyertai kongres ini.

“Mereka mahu MMMM berfungsi sebagai sebuah sekretariat. Penubuhan badan ini merupakan sebahagian daripada ikrar yang terkandung dalam resolusi kongres.”

Resolusi Kongres Permuafakatan Melayu yang mengandungi pelbagai tuntutan bagi mempertahankan kedudukan Melayu diserahkan kepada Sultan Johor, Sultan Iskandar, dalam satu majlis ringkas di Istana Bukit Serene di sini petang ini.

Ia mengandungi tuntutan yang merangkumi aspek perlembagaan, politik, ekonomi, agama Islam, bahasa Melayu, pendidikan, sosial dan budaya termasuk syor menubuhkan MMMM.

Ismail yang juga Pengerusi Kongres Permuafakatan Melayu yakin semua resolusi yang dimaktubkan dalam kongres itu akan dijadikan pegangan masyarakat Melayu dan diguna pakai oleh kerajaan.

“Walaupun kongres bertemakan ‘Kedaulatan Melayu Paksi Kewujudan Bangsa’ ini digerakkan oleh NGO Melayu yang terdiri daripada para budayawan, ilmuwan, teknokrat, ahli perniagaan, usahawan, peniaga kecil dan orang ramai, kami yakin suara-suara kami yang mewakili peringkat akar umbi akan didengari oleh kerajaan,’’ katanya.

Menurut beliau, keyakinan itu diperkukuhkan dengan pengalaman beberapa kongres yang pernah diadakan sebelum ini apabila kerajaan mengambil kira pandangan yang dicadangkan dalam kongres-kongres itu untuk membantu melaksanakan agenda perjuangan bangsa dan agama.

Beliau memberikan contoh, menerusi Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu yang diadakan pada tahun 1956, kerajaan bersetuju menubuhkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Ditanya bagaimana Kongres Permuafakatan Melayu dapat menyuarakan kepentingan Melayu di Pulau Pinang yang kini dipimpin oleh kerajaan bukan Melayu, beliau berkata, pihaknya akan menggunakan cara terbaik untuk menyampaikan tuntutan Melayu.

“Jika mereka ingin menjadi pemimpin yang baik, mereka perlu menjaga kepentingan semua (kaum) dengan sebaik mungkin,” ujar Ismail.


Hanya Islam yang dapat angkat martabat Melayu - Presiden PAS

Wan Nordin Wan Yaacob
Sun | May 04, 08 | 12:13:22 pm MYT

KUALA LUMPUR, 4 Mei (Hrkh) - PAS yakin bahawa martabat, keutuhan dan jatidiri bangsa Melayu hanya dapat diselamatkan melalui Islam, kata Presidennya, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang.

"Hanya apabila orang-orang Melayu kembali dan berpegang teguh kepada Islam, maka ketika itu barulah bangsa ini dapat memperolehi keselamatan di dunia dan juga di akhirat.

"Sebarang usaha samada sengaja ataupun tidak untuk meninggal atau meminggirkan Islam akan mengakibatkan bangsa ini tidak selamat di dunia, apalagi di akhirat," katanya dalam satu kenyataan rasmi parti hari ini.

Masalah umat Melayu selama ini berpunca dari tindakan mereka meninggalkan kewajiban meletakkan Islam dilandas yang sebenar, katanya.

Malah kedudukkan Islam sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan pun tidak dihargai, ujarnya.

PAS merasakan masalah umat Melayu berpunca dari sikap Umno yang telah meneruskan pembelengguan terhadap Islam yang diamalakan oleh penjajah British.

"Umno menerima kuasa dengan menambahkan lagi ikatan-ikatan yang sebenarnya telah menyekat taraf dan kedudukan Islam dan mengelirukan bangsa Melayu.

"Tindakan ini telah merosakkan pemikiran orang Melayu sehingga menjadikan mereka seolah bertuhankan Umno. Malah orang Melayu sehingga beranggapan yang Umno lah segala-galanya, yang memberikan rezeki dan memajukan mereka," tegasnya.

Umno lah yang sesungguhnya telah menghakis beberapa ciri-ciri tamaddun Islam yang sedia terbentuk dalam masyarakat Melayu sebelum ini, katanya.

"Di antaranya ciri ilmu, dimana Umno lah yang bertanggungjawab menghapuskan penggunaan dan penagajaran tulisan Jawi di sekolah-sekolah, mengawal pengajian agama di masjid-masijd termasuklah khutbah-khutbah Jumaat, semata-mata untuk kepentingan politik mereka yang telah mengakibatkan kefahaman agama orang Meayu semakin longgar dan lemah," katanya.

Bagi PAS sekiranya agenda pemuafakatan dan penyatuan umat Melayu mahu dilangsungkan, maka ianya mestilah mengambil kira dan menceduk dari model yang telah dibentuk dengan jayanya oleh junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w.

Ujarnya, Rasulullah s.a.w telah berjaya menyatukan kabilah-kabliah Arab di zamannya dengan Islam dan bukannya melalui nasionalisam atau semangat kebangsaan Arab.

PAS percaya orang Melayu akan dapat diangkat martabat mereka kiranya mereka serius menjadikan Islam sebagai pegangan, dasar dan matlamat hidup, katanya.

Ulasan : Bagi saya, benarlah kata pepatah bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Dan tambahan lagi, bulat Melayu kerana Islam dan bukan kerana sifat assabiyyah semata-mata.

Tiada ulasan:

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude