Jumaat, 2 Mei 2008

Pengerusi Naza Motor meninggal dunia


WASHINGTON: Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Naza, Tan Sri S M Nasimuddin S M Amin meninggal dunia akibat barah paru-paru pada pagi Khamis di Los Angeles, California.

Nasimuddin, 53 yang juga Ketua Pegawai Eksekutif konglomerat itu, menerima rawatan penyakit barah di sebuah hospital swasta di Long Beach sejak Januari tahun ini, kata Konsul Malaysia Ahmad Asmawi melalui perbualan telefon dari Los Angeles.

Ahmad berkata isteri Nasimuddin, Puan Sri Zaleha Ismail dan anak-anak mereka berada di sisi Allahyarham ketika beliau menghembuskan nafas terakhirnya pada kira-kira jam 9 pagi waktu tempatan.

Persatuan Islam Malaysia Amerika Utara akan menguruskan penghantaran jenazah beliau ke Malaysia dan mengadakan solat jenazah di Pusat Islam.

Jenazah Allahyarham akan diterbangkan ke Malaysia dengan pesawat Penerbangan Malaysia MH 94 pada jam 1.40 pagi Sabtu. - Bernama

KUALA LUMPUR: Pemergian pengasas dan pengerusi Kumpulan Naza, Tan Sri S M Nasimuddin S M Amin yang meninggal dunia di Los Angeles, Amerika Syarikat, pagi Khamis lalu akibat barah paru-paru, disifatkan sebagai kehilangan besar kepada negara.

Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz, berkata negara kehilangan seorang tokoh perniagaan Melayu yang sangat berjaya dan harus menjadi contoh kepada semua.

"Saya kenal rapat beliau dan memahami semangat inovasi dan pandangan jauh Allahyarham. Beliau nampak peluang dan berusaha gigih merealisasikannya.

"Saya sangat sedih dan mengucapkan sedalam-dalam takziah kepada Puan Sri Zaleha Ismail dan keluarga," katanya.

Nasimuddin, 53, dipilih sebagai Tokoh Automotif Terbaik 2006 dan anugerah Tokoh Kereta 2002 berikutan pencapaiannya yang begitu menyerlah dalam industri kenderaan bermotor Malaysia.

Sementara itu, Pengarah Urusan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua), Datuk Syed Hafiz Syed Abu Bakar menyifatkan SM Nasimuddin sebagai seorang perintis dan usahawan yang paling berjaya dan ini terbukti dari kejayaan beliau menjadikan Kumpulan Naza sebagai sebuah kumpulan automotif disegani di Malaysia dan luar negara. - Bernama

PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan pengasas dan pengerusi Kumpulan Naza, Tan Sri S M Nasimuddin S M Amin yang meninggal dunia semalam sebagai contoh kejayaan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Beliau berkata, Nasimuddin mempunyai pendekatan yang luar biasa bagi mengembangkan perniagaannya, bermula dengan hanya menjual kereta yang diimport dari luar negara, kemudian mara untuk mengadakan kerjasama dengan syarikat luar negara bagi mengeluarkan kereta tempatan dengan jenamanya sendiri.

“Dia membuktikan bahawa DEB mampu menjayakan Bumiputera kalau mereka menggunakan peluang itu dengan cara yang baik.

"Kalau semua yang dapat kemudahan yang sama seperti beliau berbuat demikian hari ini, kita mungkin mencapai lebih daripada matlamat DEB itu sendiri,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata beliau turut berbangga dengan kejayaan Allahyarham apabila syarikat itu turut menceburi bidang-bidang lain yang tidak diperuntukkan hak-hak istimewa oleh kerajaan, termasuklah industri pengeluaran motosikal dan bidang perhotelan.

Turut menyifatkan beliau sebagai ’usahawan sebenar’, Mahathir berkata, Allahyarham tidak pernah meninggi diri, sebaliknya sentiasa berbaik-baik dengan semua orang, termasuk pekerjanya sendiri. - Bernama

Ulasan : Bila sampai waktu dan ketikanya, panggilan Allah menjemput jua. Biarpun seseorang manusia berada di kemuncak kekayaan dan kemasyhuran, dia tidak dapat lari dari kematian. Terima kasih kerana memberikan ruang kepada anak tempatan bekerja dalam bidang automatif. Siapa tidak kenal Naza Ria, Naza Citra, Naza Sutera dan lain-lain lagi jenama Naza. Moga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya.

Tiada ulasan:

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude