SEPAKAT: Abdullah bersalam dengan Presiden PBS, Datuk Joseph Pairin Kitingan sambil diperhatikan Musa (tiga dari kanan); Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee (empat dari kiri); Presiden PBRS, Tan Sri Joseph Kurup (tiga dari kiri) dan Pengerusi MIC Sabah, Datuk V Jotty (kiri) selepas Majlis Kesyukuran dan Makan Malam Kerajaan Negeri Sabah Bersama Perdana Menteri di Kota Kinabalu, malam tadi.
Kerajaan mahu pastikan segala janji kepada rakyat dikotakan sepenuhnya: PM
KOTA KINABALU: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kerajaan akan melaksanakan perubahan dan pembaharuan seperti dikehendaki rakyat menerusi mandat yang diberi kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum lalu.
Perdana Menteri berkata, perubahan yang sudah dimulakan seperti ke atas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan aspek berkaitan pembasmian rasuah akan diteruskan, selain tuntutan untuk meningkatkan integriti sistem kehakiman serta perundangan.
"Kini adalah masanya untuk pelaksanaan secara berkesan dan ini perubahan yang dimahukan rakyat. Kali ini, kita mahu memastikan segala janji kepada rakyat dikotakan sepenuhnya," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan perjumpaan tertutup dengan pemimpin semua parti komponen BN Sabah di sini, semalam. Hadir sama, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.
Abdullah yang juga Pengerusi BN berkata, beliau menyedari wujud kesalahan, kesilapan serta kekurangannya sebagai ketua parti, terutama dari segi pelaksanaan manifesto empat tahun lalu hingga mendorong prestasi kurang cemerlang BN pada pilihan raya umum 8 Mac lalu.
Bagaimanapun, tegasnya, beliau tidak akan sesekali lari daripada tanggungjawabnya dan ruang perbincangan sentiasa terbuka.
Katanya, sepanjang empat tahun pertama menjadi Perdana Menteri, banyak perkara yang perlu dibereskan dan beliau terpaksa memberi perhatian kepada perkara lain seperti ekonomi dan meyakinkan pelabur untuk datang ke Malaysia kerana negara akan menghadapi masalah lebih besar jika pertumbuhan ekonomi tidak bergerak di landasan sewajarnya.
"Semua pihak perlu memahami hakikat kejayaan dalam bidang ekonomi akan membolehkan kita menambah nilai terhadap kekayaan yang wujud sebelum saya mengambil alih tampuk pemerintahan.
"Saya perlu kaitkan beberapa perkara yang berlaku sebelum waktu saya (menjadi Perdana Menteri)... rakyat mahu saya buat perubahan dan beri perhatian untuk meningkatkan integriti sistem kehakiman, maka saya jelaskan mengapa jadi begini.
"Sama juga dengan kebebasan bersuara dan ketelusan... ini yang rakyat mahukan kerana mereka berpendapat tidak menikmati kebebasan ini pada zaman pemerintahan dulu.
"Semua ini adalah tuntutan berterusan dan saya katakan sekarang, kita akan beri keutamaan untuk melaksanakan program besar yang memanfaatkan rakyat.
"Saya pernah cakap semua ini tetapi mungkin dulu orang tak berapa beri perhatian berbanding sekarang," katanya.
Pada sidang media itu, Perdana Menteri turut mengulangi penjelasannya mengapa beliau tidak boleh berundur sekarang.
"Saya akan bersara juga satu hari nanti dan saya tidak mahu berkuasa lebih lama daripada yang sepatutnya, tetapi ada perkara yang perlu saya lakukan sekarang.
"Saya tidak boleh berundur ketika parti berada dalam keadaan seperti sekarang dan saya juga tidak boleh berundur ketika kita mempunyai banyak perancangan untuk dilaksanakan.
"(Timbalan Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Razak sebagai pengganti saya kelak memahami keadaan ini... dia memahami saya lebih daripada anda memahami saya," katanya.
Pada majlis kesyukuran BN Sabah malam tadi pula, Abdullah berkata fungsi wakil rakyat di negeri ini akan diperkasakan menerusi pelbagai bantuan bagi memastikan segala gerak kerja dapat dilaksanakan secara berkesan dan memanfaatkan rakyat.
"Kita harap semua kemudahan itu akan disalurkan secepat mungkin supaya rakyat mendapat nikmatnya dalam kadar segera.
"Saya juga amat berterima kasih dengan kesabaran dan keikhlasan pemimpin Umno dan BN Sabah yang melahirkan pandangan masing-masing. Apa yang disampaikan itu penting bagi memenuhi tuntutan rakyat.
"Saya percaya jika kita sama-sama ikhlas, kejayaan yang diharap akan menjadi kenyataan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan