Rabu, 16 April 2008

‘Jangan tunggu sampai nasi jadi bubur’

KUALA LUMPUR 15 April – Peralihan kuasa di antara Presiden dan Timbalan Presiden UMNO perlu berlaku pada masa yang tepat dan jangan menunggu sampai ke tahap ‘nasi sudah menjadi bubur’.

Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Rafidah Aziz berkata, pada masa yang sama pergerakan itu mahu proses peralihan antara Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak berlaku dengan tertib dan berhemah bagi memastikan parti tidak berpecah belah.

Beliau turut menegaskan, dalam melaksanakan peralihan kuasa itu, perlu dipastikan tidak berlaku perkara yang akan menyebabkan UMNO lebih lemah daripada yang sepatutnya.

Sehubungan itu, beliau berharap Presiden dan Timbalan Presiden berbincang secara mendalam dari hati ke hati supaya proses peralihan kuasa berlaku pada masa yang tepat.

“Janganlah pula peralihan kuasa ini dijalankan sehingga keadaan seperti ‘nasi sudah menjadi bubur’.

“Peralihan itu hendaklah dilaksanakan pada masa yang sesuai pada pandangan mereka berdua, juga sesuai daripada kaca mata Datuk Najib sendiri,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Pergerakan Wanita di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Abdullah semalam, bahawa beliau akan berunding dengan timbalannya berkaitan hal-hal peralihan kuasa.

Rafidah berharap ahli-ahli parti tidak memaksa Najib mengambil alih kerajaan dengan segera tanpa memberi peluang kepada Abdullah membetulkan keadaan dan menstabilkan parti.

Bagaimanapun katanya, sekiranya dibiarkan terlalu banyak komen dan teka-teki berhubung peralihan kuasa itu, maka parti tidak akan stabil.

Justeru, tegas Rafidah, kestabilan parti hendaklah dijamin sebelum peralihan kuasa dibuat.

“Wanita juga mahu peralihan kuasa difokuskan kepada Presiden sahaja kerana apabila ia berlaku, maka ada Presiden baru. Sudah tentu akan ada Perdana Menteri yang baru.

“Terpulanglah kepada Perdana Menteri baru ini untuk melantik sesiapa yang beliau fikir layak menjadi Timbalan Perdana Menteri,” katanya.

Rafidah berkata, adalah tidak wajar bagi ahli-ahli parti untuk menunjukkan kepada Perdana Menteri baru tentang siapa yang patut menjadi Timbalan beliau.

Kata beliau, ia adalah hak penuh Perdana Menteri untuk memutuskannya.

“Selagi ada Presiden parti (Abdullah), kita beri sokongan sepenuhnya. Kita tidak mahu UMNO kucar-kacir,” katanya.

Menjawab soalan bagaimana peralihan kuasa boleh dibuat secara berhemah, Rafidah berkata, ia dibuat bukan berdasarkan desakan atau tekanan daripada mana-mana pihak.

Ketika ditanya kemungkinan peralihan itu berlaku dalam keadaan yang tidak aman, beliau berkata, sebab itulah Abdullah dan Najib perlu berbincang secara bijaksana dari hati ke hati untuk memilih tarikh yang tepat.

“Hanya mereka berdua yang tahu bila masa yang sesuai dan tepat,’’ katanya.

Rafidah juga berkata, ahli-ahli UMNO dari peringkat tertinggi sehingga ke akar umbi tidak boleh lepas tangan dalam memikul tanggungjawab kekalahan parti itu pada pilihan raya umum lalu.

Katanya, hasil post-mortem yang dijalankan oleh Wanita UMNO telah mengenal pasti pelbagai faktor yang menjadi punca kekalahan dan ia perlu ditanggung oleh semua ahli parti.

Bagaimanapun, katanya, apa yang penting ialah memulih dan merawat parti untuk menjadi lebih baik daripada sebelum ini.

“Kita jangan bincangkan kelemahan parti di luar kerana tiada hasil yang baik daripadanya. Pihak yang bertepuk tangan tentunya pembangkang dan penentang kita,” jelasnya.

Ulasan : UMNO semakin hilang arah. Ditelan mati mak, diluah mati bapa.

Tiada ulasan:

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude