Sabtu, 15 Mac 2008

Pengajaran buat UMNO !


ANTARA asas politik ialah memenangi hati rakyat. Justeru, kerja baik pulih, perubahan serta pembetulan mesti disegerakan dan difokus kepada Umno selaku tunjang kerajaan Barisan Nasional (BN) yang menaungi seluruh rakyat.

Pelbagai analisis diutarakan selepas keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac lalu yang memberi isyarat keras bahawa kepemimpinan parti komponen BN gagal memenangi hati hampir separuh daripada 10 juta pengundi.

Berikutan itu, pentadbiran kerajaan negeri di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor berpindah ke tangan parti pembangkang yang bergabung secara tidak rasmi melalui pakatan pembangkang.

Apakah yang harus dilakukan oleh Umno sekarang? Apakah Umno rela melihat kepingan domino pakatan pembangkang terus jatuh menimpa Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang dan Terengganu?

Apakah Umno berasakan sama seperti kebimbangan Asia Tenggara terhadap teori domino disebabkan kebangkitan komunis Vietnam Utara di Indochina pada era awal 1980-an?

Umno ada masa kira-kira empat tahun untuk melakukan penyusunan semula struktur partinya. 'Do or die' � demikian tahap seriusnya kejatuhan yang dialami Umno sekarang. Jangan beranggapan Umno dulu pun pernah jatuh dan bingkas pantas untuk melakukan lonjakan semula.

Jangan samakan kes dulu dengan parah yang dialami 8 Mac lalu. Dalam beberapa peristiwa besar Umno, krisis hanya berlaku pada peringkat pucuk pimpinan dan sekumpulan penyokong bersama ahli. Tetapi sekarang Umno berdepan dengan penolakan bukan saja pemimpin peringkat bahagian, cawangan dan ahli malah rakyat serta pengundi peringkat akar umbi.

Jangan lagi bersikap ambil mudah, selesa, lalai dan mensabotaj. Keempat-empat sikap inilah yang dipaparkan oleh kebanyakan jentera pilihan raya BN sehingga menjerumuskan mereka ke jurang kekalahan.

Perkara serta-merta yang mesti dilakukan oleh Umno ialah kenal pasti kelemahan dan gembleng semula kekuatan Umno. Cari punca penolakan pengundi. Juga, nilaikan prestasi parti pembangkang � kelemahan dan kekuatannya. Kemudian susun dan laksanakan program memenangi hati rakyat. Pada masa sama, patahkan segala kekuatan pembangkang dan serlahkan kelemahan mereka.

Empat tahun bukan tempoh yang lama. Selepas parah dalam pilihan raya lalu, Umno berdepan gelombang parah kedua apabila berlaku pemilihan bahagian dan pucuk pimpinan Majlis Tertinggi (MT) tidak lama lagi.

Parah berganda pasti menyukarkan Umno berdiri dan melakukan pemulihan kemudian merancang semula sebelum melaksana. Jadi, antara tugas berat Umno dalam masa terdekat ini ialah memastikan pemilihan kali ini hanya menyebabkan impak atau luka minimum.

Pemimpin Umno perlu insaf dan kembali ke pangkal jalan perjuangan asal. Umno bukan batu loncatan untuk mencari kekayaan dan pangkat. Pemimpin Umno segenap peringkat perlu kembali ke akar umbi.

Mereka perlu mengimarahkan semula masjid yang menjadi forum paling penting akar umbi. Lobi, bistro, coffee house, spa dan karaoke mesti dilupakan. Akar umbi kali ini benar-benar menggunakan kuasa undi mereka untuk menyatakan protes mereka termasuk kerana ahli dan pemimpin Umno tidak mengimarahkan masjid. Protes serupa tidak harus berulang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 selewat-lewatnya pada 2012.

Justeru, Umno perlu memanfaatkan platform masjid. Pemimpin Umno perlu kembali ke akar umbi untuk memenangi semula hati mereka. Akui kesilapan dan memohon maaf kemudian bertekad untuk melakukan pembetulan. Akar umbi pasti menerima hakikat ini dan pasti menjulang semula kepemimpinan Umno.

Bersikap lebih mesra, merendah diri, prihatin dan cakna, tinggal dalam kawasan mahupun mendengar semua rungutan dan menangani masalah akar umbi akan membibitkan semula kasih sayang serta meningkatkan lagi sokongan mereka kepada Umno.

Pada masa sama, DAP, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) turut melalui 'tempoh kepayahan' kerana diberi mandat mentadbir empat negeri. Cuma Pas mungkin ada kelebihan kerana pengalaman mentadbir Kelantan masuk empat penggal dan satu penggal di Terengganu. Jadi modul urusan pentadbiran itu boleh dibawa ke Kedah.

Oleh itu, urusan yang lebih mudah di Kedah sudah pasti tidak banyak menjejaskan kerja kempen parti itu di seluruh negara untuk terus berusaha menolak jatuh domino Pas ke negeri lain. Inilah ancaman besar Umno.

DAP mungkin perlu bekerja keras kerana kali pertama mentadbir negeri. Apakah dasar 'Malaysian Malaysia' diterima penduduk Pulau Pinang? Apakah sikap 'Robin Hood' pada Lim Guan Eng yang membatalkan saman orang ramai dengan pihak berkuasa tempatan akan memberi laba atau bahana kepada politiknya?

Dalam ghairah dan terkejut menjadi Ketua Menteri, beliau pasti melakukan banyak 'try and error' yang akan memberi kesan buruk kepada DAP. Justeru, DAP bukan urusan Umno tetapi kerja berat buat sekutunya � MCA dan Gerakan. Tetapi sebagai tonggak BN, Umno perlu memantau perkembangan ketiga-tiganya.

Malah, selaku ketua BN, Umno perlu mengajak rakan 13 komponen lain menyelaraskan tindakan dan memperkukuhkan parti masing-masing. Hasil 'post-mortem' perlu dikongsi dan diambil tindakan bersama.

PKR pula menjadi wadah pengundi Melayu dan India meluahkan protes kepada kerajaan. Parti itu mendapat perhatian pengundi muda yang kritis dan belum matang, tetapi mudah dipengaruhi. Antara yang tidak relevennya Umno ialah tidak menggunakan alam siber sepenuhnya untuk berkempen, melaksanakan perang saraf mahupun melakukan serangan balas.

Golongan muda yang lebih menghampiri alam siber akhirnya dimusnahkan kewarasan dan pendirian mereka dengan dakyah siber melalui internet dan khidmat pesanan ringkas (SMS). Apa yang tidak ada dalam internet mengenai serangan pembunuhan karakter pemimpin Umno dan BN? Ini tidak dilakukan oleh Umno pun yang mengekalkan sikap 'tenang dan bersopan'!

Sebagai elemen komunikasi berkuasa tinggi, propaganda dan dakyah melalui internet boleh mengubah corak pemikiran seseorang.

Inilah yang berlaku kepada pengundi khususnya yang muda di Lembah Klang dan komuniti masyarakat yang sangat terdedah kepada akses ke alam siber, sehingga tumpasnya majoriti calon BN di Kuala Lumpur dan Selangor tempoh hari.

Justeru, Umno perlu melakukan perkara sama dalam internet mulai sekarang dan impak maksimum perang saraf itu akan dirasakan pada masa akan datang. Namun, Umno dan BN perlu menyelaraskan propaganda. Kerja dibahagi mengikut keutamaan dan pengkhususan supaya impaknya padu dan tidak bertindih.

Umno perlu diremajakan semula dan lebih relevan. Parti itu perlu melakukan revolusi minda dan strategi dalam kepemimpinan mahupun gerakan perang saraf. Kaedah kempen perlu ditukar kerana stereotaip dan antik sejak zaman dulu.

Jentera pilihan raya perlu digerakkan sepanjang masa sekurang-kurangnya pada skala kecil. Ini bagi mengimbangi kesan kempen tukang pembangkang sepenuh masa yang dilakukan di seluruh negara.

Umno selaku peneraju kerajaan juga akan berdepan dengan barisan pembangkang yang kuat di Parlimen. Jadi, cara menyusun barisan penyokong kerajaan juga perlu bijak dan penuh taktikal. Wakil DAP, PKR dan Pas yang rata-rata profesional atau bijak bercakap memerlukan sekumpulan penyokong kerajaan yang juga bijak, petah, ada kerja rumah (home-work) serta berwibawa.

Sebagai forum terbuka, hujah dalam Parlimen juga boleh dimanipulasikan pembangkang sekali gus memberi gambaran ketidakupayaan BN yang menguasai majoriti mudah dalam rumah demokrasi itu.

Jelas, terlalu banyak perkara perlu dilakukan oleh Umno dalam masa persiapan yang singkat sebelum menghadapi Pilihan Raya Umum 2012. Di sini, kebijaksanaan kepemimpinan adalah dituntut supaya tindakan dilakukan secara fokus, ada keutamaan dan pengkhususan serta berterusan.

Umno sesungguhnya berdepan pembangkang yang ghairah mengembangkan pengaruh selepas kemenangan Sabtu lalu. Jadi, kembali kepada asas politik iaitu bersatu dalam parti dan memenangi hati rakyat.


Tiada ulasan:

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude