Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang masih memberikan kita ruang untuk meneruskan kehidupan di dunia ini sebagai khalifahNya. Kita masih diberi kesempatan untuk menghirup udaraNya, berjalan di atas bumiNya dan melaksanakan tugas sebagaimana biasa.
Salam dan selawat ke atas Rasul Junjungan ; Nabi Muhammad saw yang telah bersusah payah menyampaikan Islam kepada seluruh umat manusia. Dengan asbab usaha baginda, maka syukur kepada Allah, kita dikurniakan nikmat Iman dan Islam ; 2 nikmat yang terbesar dalam kehidupan seorang insan. Dan syukur kepada Allah, kerana ada di antara kita dipilih untuk meneruskan mata rantai perjuangan Islam.
Pernah saya sebutkan bahawa untuk menegakkan agama Allah di akhir zaman, bukan mudah. Apatah lagi ia menuntut pengorbanan yang besar. Korban harta, korban tenaga, korban masa bahkan mungkin akan sampai tahap korban jiwa. Dan ternyata, pengorbanan yang ikhlas sebahagian besar dari pejuang kebenaran dan keadilan, akhirnya terbalas dengan kemenangan besar Barisan Rakyat / Barisan Alternatif. Siapa sangka Ir. Nizar Jamaluddin boleh dipilih menjadi Menteri Besar Perak, sedangkan PAS hanya mendapat 6 kerusi, berbanding PKR-7 kerusi dan DAP-19 kerusi. Siapa sangka Tan Sri Khalid Ibrahim yang kalah dalam pilihanraya kecil di Ijok pada 2007 di tangan Cikgu Parthiban, tiba-tiba menang di Parlimen Bandar Tun Razak dan di Dun Ijok, lalu diangkat menjadi Menteri Besar Selangor. Dan siapa sangka Lim Guan Eng yang sebelum ini terlepas 2 kali pilihanraya (1999 dan 2004), pernah dipenjarakan, tiba-tiba diangkat menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang. Begitu juga apa yang berlaku di Kedah. Ustaz Azizan Abdul Razak yang selama ini berdepan dengan pelbagai cabaran dalam Sidang Dun Kedah, tiba-tiba dianugerahkan oleh Allah, jawatan Menteri Besar! Dan sudah tentu yang sangat kita syukuri apabila rakyat Kelantan masih terus setia dalam acuan pembangunan menurut Islam dan bukannya pembangunan duniawi semata-mata, sebagaimana yang dianjurkan oleh BN. Tidak lupa juga kepada apa yang berlaku di Wilayah Persekutuan, apabila Barisan Rakyat / Barisan Alternatif memenangi 10 kerusi Parlimen dari 12 kerusi kesemuanya.
Dan bagi pihak BN, tumbangnya nama-nama besar seperti Datuk Seri Shahrizat Jalil, Datuk Seri Zainuddin Maidin, Datuk Seri Abdul Azim Zabidi, Datuk Seri Abdul Aziz Shamsuddin, Tan Sri Koh Tsu Koon, Datuk Seri Samy Vellu dan ramai lagi, membuktikan betapa hebatnya kuasa rakyat. Siapa sangka Datuk Seri Khir Toyo sebelum pilihanraya adalah MB Selangor, kini merupakan ketua pembangkang. Siapa sangka Datuk Seri Tajol Rosli sebelum pilihanraya adalah MB Perak, kini merupakan ketua pembangkang. Dan siapa sangka Datuk Seri Mahadzir Khalid sebelum pilihanraya adalah MB Kedah, kini merupakan ketua pembangkang. Itulah ketentuan Allah. Allah berhak untuk mengurniakan takhta dan kerajaan kepada sesiapa yang Dia kehendaki, dan Dia juga berhak untuk mencabut takhta dan kerajaan daripada sesiapa yang Dia kehendaki. Dialah Allah yang memuliakan sesiapa yang Dia kehendaki dan Dialah juga Allah yang menghina sesiapa yang Dia kehendaki. Kalau kita pernah ingat statement bekas Menteri Penerangan (Zam), bahawa dia akan memastikan lawannya bukan setakat kalah, bahkan hilang wang deposit. Ternyata Allah itu Maha Kuasa, bukan lawannya kalah dan hilang wang deposit, sebaliknya dia yang kalah bahkan hilang jawatan sebagai YB dan sebagai Menteri. Begitu juga dengan bekas MB Selangor (Khir Toyo) yang dengan angkuh menghadiahkan sebatang penyapu kepada Yang Dipertua Majlis Perbandaran yang mengutip hasil paling sedikit, kini dengan takdir Allah, dia pula “ disapu” oleh rakyat Selangor dari jawatan Menteri Besar. Dan ternyata pilihanraya kali ini, kita menyaksikan pelbagai faktor kekalahan besar BN. Di antaranya ialah :
1) Isu harga minyak yang menekan rakyat (Naik 57 sen dalam tempoh 4 tahun pemerintahan Pak Lah).
2) Isu harga barangan harian yang semakin tinggi. (Setin susu kini mencecah harga hampir RM 2.20, sedangkan dulu hanya RM 1.30).
3) Pemilihan calon yang salah. Tidak dekat dengan rakyat dan merupakan orang luar.
4) Penetapan nama calon di saat akhir yang menampakkan kelemahan BN.(Kalau dulu tidak pernah berlaku).
5) Pemimpin BN dan UMNO yang kadangkala bersifat angkuh seperti Khairy Jamaluddin ( kenapa senyap sekarang dan di mana dia kini?).(Dengan mudah menidakkan tiada langsung pembangunan di Kelantan di bawah pimpinan PAS).
6) Media yang berat sebelah dan terlalu agresif menghentam pembangkang, mengundang rasa simpati di kalangan pengundi.
7) Pihak SPR yang berat sebelah dan tindakan saat akhir membatalkan penggunaan dakwat yang telah dibeli dengan kos RM 2 juta, memuncakkan kemarahan rakyat.
8) Silent majoriti yang bersuara melalui kertas undi disebabkan faktor-faktor di atas.
9) Peralihan pengundi untuk mendapatkan sumber maklumat alternatif dari suratkhabar dan televisyen arus perdana kepada laman web dan blog.
10) Kesedaran pengundi muda dalam menilai sesuatu berita dan inginkan perubahan.
11) Peralihan mood pengundi Cina dan India kepada Barisan Rakyat / Barisan Alternatif disebabkan banyak isu mereka tidak dijuarai oleh MCA, Gerakan dan MIC.
12) Undi protes dari ahli UMNO kerana banyak berlaku cah keting, krisis dalaman dan pimpinan atasan yang tidak memahami isi hati akar umbi.
13) Isu semasa yang melibatkan rasuah, kronisme, jenayah yang semakin meningkat serta sogokan hiburan yang keterlaluan di media massa.
14) Manipulasi jentera kerajaan yang sangat jelas sewaktu kempen pilihanraya menyebabkan pengundi semakin meluat.
15) Allah memakbulkan doa mereka yang dizalimi seperti tahanan ISA, mereka yang dibelasah sewaktu perhimpunan BERSIH dan HINDRAF.
16) Keikhlasan pimpinan Barisan Rakyat / Barisan Alternatif dalam memperjuangkan isu dan hak rakyat.
17) Munajat rakyat Kelantan di Stadium Kota Bharu pada Khamis malam Jumaat, 6 Mac, jam 3.00 pagi, yang dihadiri hampir 100,000 orang
Justeru, bagi saya Insya Allah, jika Barisan Rakyat / Barisan Alternatif dapat memberikan khidmat terbaik untuk rakyat, Insya Allah tidak mustahil, PRU ke-13 akan menyaksikan pertukaran tampuk pemerintahan dari BN kepada BA. Dengan kekuatan barisan pembangkang di Parlimen seramai 82 orang (kebanyakan tokoh-tokoh hebat yang mampu berbahas dengan hujah dan fakta seperti YB Saifuddin Nasution, YB Jeff Ooi, YB Mahfuz Omar) yang akan berdepan dengan 140 ahli parlimen BN, akan menyaksikan untuk meminda sesuatu rang undang-undang yang baru bukan tugas mudah buat BN. Buat PKR-PAS-DAP, mantapkan kerjasama anda. Bermuafakatlah di atas satu titik persamaan ; Ke Arah Malaysia Baru yang menjaga kebajikan rakyat, dan bersih dari rasuah serta kronisme. Bertolak-ansurlah di atas segala perbezaan yang ada. Kerana tujuan utama anda semua berada di dalam landskap politik Malaysia, adalah kerana untuk memperjuangkan kebenaran dan keadilan.
Buat BN, renung-renungkanlah mengapa anda ditolak oleh rakyat sehingga menyebabkan tsunami politik berlaku, yang akhirnya mencatatkan sejarah baru dalam politik tanahair. Teori snowball itu tidak mustahil akan terus melenyapkan negeri-negeri pimpinan BN pada PRU ke-13 akan datang.
Yang penting, kekayaan negara dapat dinikmati sama adil oleh segenap lapisan masyarakat berbilang kaum. Buat UMNO tidak perlu memainkan sentimen Melayu, kerana selama 50 tahun, anda tidak menunaikan amanah sebaik mungkin untuk membela bangsa Melayu Islam. DEB boleh terus dilaksanakan dengan syarat, segala ruang yang memungkinkan untuk rasuah dan kronisme perlu dibendung. Marilah kita berdoa kepada Allah, agar bumi Malaysia ini sentiasa di bawah naunganNya dengan dipimpin oleh mereka yang adil dan mengutamakan kepentingan rakyat. Kepada pengundi, syabas di atas perubahan yang anda pilih. Kini, BN tidak boleh lagi mendabik dada, hanya mereka yang pandai memerintah. Buat Barisan Rakyat / Barisan Alternatif, buktikan kemampuan anda sebagai pentadbir / pengurus / pemerintah yang cekap, bijak, mesra rakyat dan memahami keperluan rakyat.
Landskap politik Malaysia kini kembali ceria setelah berubah dari kongkongan satu pihak semata-mata selama ini. Adakah Datuk Seri Anwar Ibrahim diizinkan Allah menjadi Perdana Menteri melalui pakatan BA ini, setelah dikhabarkan ada wakil rakyat BN yang akan ‘menyeberang’ (sumber Malaysiakini)? Wallahu a’lam. Mudah-mudahan selepas ini, kita mendoakan agar Malaysia terus diberkati oleh Allah. Amin.
9.20 pagi, Malaysia Timur
18 Mac 2008, 10 Rabi’ul Awwal 1429 Hijrah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan