Sabtu, 1 Mac 2008

Bimbing remaja telusuri proses demokrasi negara


TANGGAL 8 Mac ini seluruh rakyat Malaysia yang mendaftar sebagai pengundi bakal menunaikan tanggungjawab mereka dalam pilihan raya umum ke-12.

Proses penamaan calon telah dijalankan dan kini telah bermulanya kempen dengan poster, sepanduk dan bendera terpasang di merata-rata tempat.

Namun dalam kehangatan gelombang kempen pilihan raya yang berlaku, masih kedapatan sesetengah pihak yang tidak mengendahkan perkembangan tersebut. Menariknya, pernah dilaporkan sebelum ini bahawa sebanyak 70 peratus daripada 4.9 juta rakyat Malaysia yang layak mengundi tetapi tidak mendaftarkan diri adalah golongan belia dalam lingkungan usia 21-30 tahun.

Dalam menyoroti perkembangan tersebut membuatkan kita sedikit gusar berkenaan sejauh mana kepedulian generasi muda hari ini terhadap hal ehwal pentadbiran negara.

Maka, timbul persoalan apakah faktor yang menyebabkan kurangnya minat sesetengah remaja untuk mengikuti perkembangan pilihan raya umum di negara kita.

Ada segelintir yang menganggap isu pilihan raya sebagai satu isu yang berat dan tidak ada kena mengena dengan mereka. Golongan sedemikian mungkin hanya menggemari isu-isu santai seperti hiburan, sukan dan sebagainya.

Akhirnya golongan sedemikian mengambil jalan mudah dengan hanya menerima apa yang mampu memuaskan hati mereka dan dapat menyokong apa yang mereka sukai selama ini.

Ada juga yang menanggapi demokrasi sebagai satu utopia yang begitu sukar dicapai kerana dirasakan terlalu ideal dan tidak realistik dalam keadaan negara membangun, apatah lagi dengan masyarakat majmuk. Namun ternyata, setakat ini kita mampu mewujudkan sistem demokrasi yang menurut acuan kita sendiri serta bersesuaian dengan iklim sosial masyarakat setempat.

Kepimpinan Melalui Teladan

Rakyat mendambakan kepimpinan yang beramanah, adil serta bijaksana. Dalam konteks negara Malaysia, pemimpin harus mempunyai upaya untuk mewujudkan kepimpinan teras yang bukan sahaja mampu membangun masyarakatnya yang majmuk tetapi juga mampu menjadi sumber teladan dan contoh kepada orang lain.

Kepimpinan dalam konteks masa kini menuntut kebijaksanaan serta keupayaan yang dinamik untuk mengolah penyelesaian kepada permasalahan globalisasi yang semakin menghimpit umat Islam masa kini. Maka, pengikut atau penyokong bukanlah sekadar memilih pemimpin, tetapi juga membantu untuk melakukan perubahan (islah). Sifat islah adalah sangat perlu dalam merungkai permasalahan umat secara holistik dan profesional.

Menampilkan pemimpin yang diinginkan oleh rakyat bukanlah tugas sehari dua. Ia menuntut banyak proses pembelajaran dan pengalaman. Kepimpinan bukan sekadar mempunyai ijazah dan sarjana, tetapi merangkumi lebih daripada itu.

Ini kerana pengikut yang arif merasakan wibawa kepimpinan amat penting dalam menempatkan diri di gelanggang kepimpinan. Ia merujuk kepada asas keilmuan yang baik, memiliki akhlak contoh, keupayaan menawarkan khidmat yang terbaik dan mampu memikir dan mencari pendekatan terhadap masalah kepimpinan dan kepengikutan dengan bijaksana.

Dalam konteks remaja masa kini, pemimpin harus berusaha mengubati kelesuan respons golongan belia dalam isu-isu masa kini. Mereka harus mengolah cara dan upaya agar remaja lebih kritikal, prihatin serta dapat membina akauntabiliti sendiri dalam menghadapi cabaran semasa.

Kepimpinan umat Islam yang terdiri daripada orang yang mempunyai asas ilmu yang kukuh, daya profesionalisme yang tinggi, upaya strategik yang merintis ke arah kebijaksanaan, keramahan dalam memberi daya kepimpinan akan mampu memikat perhatian orang lain. Sebabnya, pada asasnya isu di kalangan rakyat adalah asas-asas tentang hak untuk hidup dan bekerja, hak untuk diberi khidmat yang saksama dan hak untuk bersuara dalam lingkungan yang dibenarkan.

Kepimpinan umat Islam yang menjadi teras kepimpinan di Malaysia seharusnya mampu mencerminkan wibawa yang lebih jelas supaya syak-wasangka dan konflik dapat dielakkan. Dalam tradisi Islam, kepimpinan adalah amanah yang menuntut nilai-nilai yang Islami menjadi faktor yang dapat diterima.

Peranan Sebagai Pelapis

Remaja perlu menyedari mereka adalah generasi pelapis yang bakal mewarisi pemerintahan negara pada masa hadapan. Maka remaja perlu turut serta dalam proses pilihan raya agar dapat turut memahami pola serta perjalanan politik negara.

Sekiranya remaja melihat terdapatnya ruang untuk peningkatan, maka di sini remaja perlu berperanan merealisasikannya, yakni salah satunya adalah melalui penunaian hak mengundi. Penglibatan remaja melalui aktiviti pengundian merupakan satu cara untuk mempraktikkan hak serta amanah sebagai warganegara dalam memastikan kelangsungan terhadap pembelaan bangsa, agama dan negara.

Di kolej atau di universiti juga telah bermula penerapan demokrasi menerusi kegiatan pilihan raya kampus yang diadakan setiap tahun bagi memilih kepimpinan pelajar. Peluang memimpin perwakilan pelajar membantu mengasah bakat kepimpinan mahasiswa serta membela kepentingan pelajar.

Sistem demokrasi di kampus juga berpotensi menjadi medan latihan untuk golongan mahasiswa dalam mendepani cabaran politik pada skala kecil. Namun pada masa yang sama perlu ada bimbingan, kawalan serta penerusan dalam pengamalan sistem tersebut bagi menjamin kewibawaan memimpin selari dengan kecemerlangan akademik.

Kesimpulan

Sistem demokrasi hadir dengan pelbagai cabaran yang menuntut kepada kebijaksanaan menginterpretasikan tuntutan adab, akhlak dan muamalat ke arah kemaslahatan umat Islam serta seluruh rakyat di negara ini.

Sebaik-baiknya apa yang berlaku dalam proses pilihan raya masa kini dijadikan sebagai satu proses pendidikan buat remaja untuk bekalan masa depan. Perkara yang baik perlu dijadikan tauladan, manakala perkara yang mungkin agak kurang baik pula dijadikan pengajaran serta sempadan.

Ulasan : Wahai remaja dan pemuda yang sedar dengan kepincangan yang ada, bersedialah melakukan perubahan dan mempertahankan kedaulatan agama!

Tiada ulasan:

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude