KANGAR 22 Feb. - Pengumuman senarai penuh calon Barisan Nasional (BN) Perlis bagi Pilihan Raya Umum Ke-12 yang sepatutnya dibuat lewat malam ini terpaksa ditangguhkan lagi sehingga pagi esok.
Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, ini kerana beliau kesuntukan masa untuk mengumumkannya hari ini disebabkan terdapat 'sedikit masalah teknikal'.
"Memang sepatutnya saya umum hari ini tetapi ada sedikit masalah teknikal, jadi saya terpaksa tangguhkan pagi esok yang akan diadakan kira-kira pukul 9 pagi di Dewan 2020 di Kangar," katanya ketika dihubungi semasa dalam perjalanan pulang ke Kangar dari Kuala Lumpur hari ini.
Menteri Besar Perlis itu sebelum ini dilihat beberapa kali bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Putrajaya sejak Selasa lalu bagi memuktamadkan senarai calon BN negeri itu.
Shahidan hari ini juga memberitahu pemberita di Putrajaya bahawa beliau kekal bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-12 bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambun Tulang yang disandangnya sejak 1995.
Pengesahan Shahidan itu sekali gus melenyapkan desas-desus bahawa beliau akan digugurkan atau berpindah ke kerusi Parlimen pada pilihan raya kali ini.
Ditanya apakah masalah teknikal itu, Shahidan berkata: "Ada pihak lain yang telah umumkan dahulu senarai calon di Kuala Lumpur. Saya tak tahu macam mana dia boleh umum. Saya yang sepatutnya umumkan senarai itu sebab saya pengerusi BN negeri."
Shahidan merujuk laporan Bernama di Kuala Lumpur yang memetik sumber mengenai kedudukan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad di Parlimen Kangar dan empat kerusi DUN di bawahnya.
Dalam pada itu, Shahidan berkata, penangguhan dibuat kerana beliau juga perlu berjumpa dengan semua pemimpin dan ahli UMNO negeri terlebih dahulu.
"Saya perlu berjumpa dengan semua ahli UMNO di ketiga-tiga bahagian di Perlis untuk meminta mereka menarik semula peletakan jawatan masing-masing yang dibuat pagi ini.
"Saya perlu jumpa dan bercakap dengan mereka kerana mereka ini orang penting di bahagian masing-masing dan tidak sepatutnya meletak jawatan," katanya.
Shahidan merujuk kepada kira-kira 60 ahli jawatankuasa (AJK) UMNO, sebahagian besarnya dari bahagian Arau yang menyerahkan surat peletakan jawatan dalam parti kepada beliau, Presiden UMNO dan Setiausaha Agung UMNO hari ini.
Peletakan jawatan itu dibuat selepas terdapat spekulasi bahawa Shahidan tidak terpilih sebagai calon pada pilihan raya kali ini yang boleh menyebabkannya kehilangan jawatan Menteri Besar.
Beberapa AJK Bahagian dari Kangar dan Padang Besar turut meletak jawatan. Keputusan itu dibuat kira-kira pukul 4 pagi ini di kediaman rasmi Menteri Besar.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan kumpulan itu, tindakan peletakan jawatan dibuat disebabkan pucuk pimpinan parti gagal memberi perhatian kepada senarai calon yang dicadangkan oleh UMNO bahagian.
Mengikut senarai yang diedarkan kepada pemberita, AJK daripada tiga bahagian berkenaan yang meletak jawatan termasuk Timbalan Ketua UMNO Bahagian Arau, Senator Datuk Ismail Kassim yang juga adik Shahidan; Ketua Puteri Negeri, Rozieana Ahmad; Setiausaha Bahagian, Sehidan Ismail dan AJK Bahagian yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Simpang Empat, Zahari Bakar.
Dalam pada itu tinjauan Utusan Malaysia malam tadi di beberapa lokasi di sekitar Perlis terutama di kawasan DUN Tambun Tulang iaitu kawasan Shahidan bertanding mendapati bendera BN yang sebelum ini dipacak di merata-rata kawasan bertaburan di tepi jalan raya.
Tiang-tiang bendera yang dipacakkan di sepanjang jalan raya pula dipatahkan manakala beberapa bilik gerakan BN dirosakkan dan ditutup.
Tindakan itu dipercayai dilakukan setelah tersebar spekulasi bahawa Shahidan tidak terpilih sebagai calon pada pilihan raya kali ini.
Tanpa mengira siang dan malam, siri bantahan itu berlanjutan hingga hari ini sejak Rabu, hari Idris membuat pengumuman calon-calon.
Bantahan mula kelihatan pada sebelah petang Rabu di depan pejabatnya di Wisma Darul Iman dan berlarutan hingga sebelah malam dalam tempoh beberapa hari ini.
Bantahan di Wisma Darul Iman | |
Tidak berlaku dalam sejarah | |
Pertukaran calon Kemasik |
Ulasan : Yakinlah dengan janji Allah, apabila datang pertolongan dari Allah (dengan syarat kita memenuhi syarat-syaratnya), maka kamu akan lihat berbondong-bondong orang masuk ke dalam Islam-Tafsir Surah al-Nasr. Adakah ini di antara tanda-tandanya?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan