Jumaat, 7 Disember 2007

Macam-macam ragam 14

KORAT – Temasya Sukan SEA Edisi Ke-24 dibuka secara rasmi di sini semalam dengan dianggap paling istimewa dalam sejarah enam kali Thailand menjadi tuan rumah kerana temasya dwi-tahunan terbesar di rantau Asia Tenggara itu kali ini dilangsungkan hampir serentak dengan sambutan Keputeraan Raja Thai Ke-80.

Malah pemilihan Wilayah Nakhon Ratchasima sebagai gelanggang Sukan SEA kali ini khusus dibuat untuk memeriahkan lagi sambutan hari kelahiran Raja Bhumibol Adulyadej, raja paling lama memerintah di dunia.

Bagaimanapun acara pembukaan rasmi Sukan SEA semalam tidak disempurnakan Raja Bhumipol sendiri sebaliknya diambialih oleh Putera Mahkota Maha Vajiralongkorn yang mewakili bapanya yang uzur dan agak keletihan kerana menghadiri aturcara padat sempena sambutan hari lahirnya sejak kelmarin.

Dengan bertemakan ‘Semangat, Setiakawan dan Perayaan’ serta maskot kucing ‘maeo si sawat’, acara pembukaan tetap berlangsung meriah dan penuh warna-warni apabila Stadium Utama Keputeraan Raja Thai Ke-80 yang boleh memuatkan 40,000 orang mula penuh sesak seawal pukul 4 petang (3 petang waktu Malaysia) lagi.

Acara bermula pukul 6.15 petang waktu tempatan dengan persembahan yang bertajuk ‘The Journey of SEA Games to Korat’ mula membuka tirai diikuti empat lagi persembahan kebudayaan menarik yang membabitkan 8,793 pelajar daripada 35 institusi pendidikan di Korat ini.

Antara persembahan tersebut ialah menyanjung pemerintahan Raja Bhumibol, pengkisahan tentang legenda tempat bersejarah Phu Mai Ruin dan pembukaan awal bandar Korat.

Selepas itu 11 kontinjen negara yang mengambil bahagian pada temasya kali ini mula berarak masuk dengan didahului Brunei Darussalam.

Kontinjen Malaysia yang tampil segak berpakaian ‘Harimau Malaya’ masuk sebagai kontinjen kelima selepas Brunei, Kemboja, Indonesia dan Laos sebelum diikuti Myanmar, Filipina, Singapura, Timor Leste, Vietnam dan akhir sekali tuan rumah, Thailand.

Mengetuai kontinjen negara ialah pembawa bendera, Roslinda Samsu dari sukan lompat berpagar wanita negara dan ketua kontinjen, Datuk Zainal Abidin Ahmad.

Ulasan : Target 64 pingat emas oleh Malaysia harap boleh dicapai. Jangan bazirkan wang rakyat yang telah dikeluarkan untuk menampung kos anda. Biar jiwa dan minda untuk menang sehebat pakaian yang cantik itu.


OMAHA, Nebraska 6 Dis. – Tindakan seorang pemuda melepaskan tembakan rambang menggunakan sepucuk raifal di sebuah pusat membeli belah yang sibuk, telah meragut lapan nyawa dan lima cedera termasuk dua parah.

Kejadian yang berlaku semalam menyaksikan orang ramai yang sibuk membeli belah lari bertempiaran sambil terjerit-jerit manakala sesetengah bersembunyi di bilik persalinan.

Penembak kemudiannya membunuh diri sendiri setelah meninggal nota bertulis: ‘‘Kini saya jadi terkenal”.

Para saksi memberitahu, lelaki terbabit melepaskan tembakan rambang ke arah orang ramai dari balkoni tingkat tiga gedung Von Maur menggunakan raifal tempur SKS yang ditemui di tempat kejadian.

“Diri saya menggeletar. Saya tidak tahu apa yang hendak dilakukan, jadi saya turut lari seperti orang lain,” kata Kevin Kleine, 29, yang sedang membeli-belah dengan anak perempuannya yang berusia empat tahun.

Katanya, dia bersembunyi bersama-sama lima yang lain di dalam bilik persalinan.

Polis menemui mangsa pertama di tingkat dua dan beberapa orang yang lain berhampiran dengan pusat khidmat pelanggan di tingkat tiga.

Penembak terbabit dikenal pasti sebagai Robert A. Hawkins, 19, ditemui mati di tingkat tiga akibat tembakan sendiri.

Ketua Polis Omaha, Thomas Warren berkata, tembakan dilepaskan secara rambang tetapi tidak menyatakan motif serangan.

Ulasan : Inilah bahana negara yang mudah didapati senjata. Banyak nayawa tak berdosa menjadi mangsa.


MAJID Majidi merupakan tokoh perfileman Iran yang berjaya menarik perhatian dunia melalui filem-filem arahannya yang bertemakan kemanusiaan seperti Baduk yang diterbitkan pada tahun 1992, Childen of Heaven (1997) dan The Color of Paradise (1999).

Filem-filem itu telah mengangkat nama pengarah berusia 48 tahun itu sebagai pejuang kemanusiaan menerusi medium perfileman.

Children of Heaven misalnya, memaparkan tentang keperitan hidup seorang kanak-kanak yang tinggal bersama keluarganya di sebuah kawasan penempatan miskin di utara Iran.

Filem yang banyak memaparkan sosio budaya masyarakat di sana itu telah memenangi anugerah Filem Terbaik pada Festival Filem Antarabangsa Montreal, Kanada selain dicalonkan pada Anugerah Oscar di Amerika Syarikat.

Majid yang dilahirkan di Teheran pada 1959 juga tidak terkecuali menerapkan nilai-nilai pengajaran bersandarkan puisi-puisi lama, hadis dan al-Quran dalam filem-filem arahannya.

Beliau sebenarnya begitu mementingkan soal-soal penerapan tema dan mesej filem yang bersandarkan kepada unsur-unsur keislaman.

Malah, Majid menyeru supaya lebih ramai pembikin filem dari negara-negara Islam menerbitkan filem-filem yang sedemikian.

Jelasnya, penghasilan lebih banyak filem-filem berunsurkan kemanusiaan dan keislaman mampu mengekang propaganda Barat yang banyak diterapkan menerusi filem-filem dari Hollywood.

“Selama ini, Barat menggambarkan bahawa merekalah penyelamat dunia. Tetapi pada masa sama, mereka menghentam dunia Islam dengan pelbagai propaganda melalui filem.

“Malah, Barat juga menggunakan filem-filem terutamanya dari Hollywood untuk menghina dunia Islam termasuklah mencela Nabi Muhamad melalui karikatur dan sebagainya.

“Semua itu ada unsur mahu menjatuhkan imej Islam di mata dunia,” katanya pada ceramah anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) di Hulu Klang, Selangor, baru-baru ini.

Ceramah itu diadakan ketika kunjungan Majid ke ibu negara kerana menghadiri Festival Filem Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIFF 2007) baru-baru ini.

Ceramah yang dikendalikan oleh pensyarah Universiti Sains Malaysia, Dr. Wan Zawawi itu turut disertai oleh pengamal filem dari Rusia, Marat Saifuddin Nov.

Pada majlis itu, Majid turut menyeru agar para pembikin filem tidak lagi menghasilkan filem-filem yang tidak membawa makna daripada segi jalan cerita dan tidak menyumbang kepada nilai moral serta kemanusiaan.

“Berilah peluang kepada para pembikin filem yang mampu menerapkan nilai-nilai kemasyarakatan dalam karya-karya mereka. Mereka inilah yang mampu menyumbang sesuatu yang bermakna kepada para penonton,” ujarnya.

Menurut Majid, dalam hal itu, beliau menggunakan pendekatan dengan mendalami sesebuah isu yang hendak diketengahkan sebelum menerapkannya dalam sesebuah filem arahannya.

Katanya, inisiatif itu penting supaya setiap filem-filem arahannya mempunyai ‘jiwa’ dan dekat untuk dihayati oleh para penonton.

“Sebagai contoh, saya sendiri mendiami lorong-lorong rumah yang dipaparkan dalam filem Children of Heaven.

“Saya juga telah pergi ke utara Iran untuk mendekati golongan kanak-kanak buta yang tinggal di kawasan pendalaman.

“Saya cuba menyelami pengalaman kanak-kanak buta di sana yang takut mendengar bunyi arus sungai di mana ia sesuatu yang unik dan tidak diketahui oleh dunia luar,” katanya yang menggunakan jurubahasa Inggeris dalam ceramahnya itu.

Ulasan : Walaupun datang dari negara Syiah, apa yang penting mesej yang disampaikan oleh beliau melalui filemnya yang hebat. Saya telah menonton dan ternyata filemnya amat berkesan. Jangan biarkan filem seperti Gubra dan Sepet mendominasi industri perfileman negara.

KUALA LUMPUR 6 Dis. – Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan hari ini mendedahkan tindakan puak pelampau Hindu Rights Action Force (Hindraf) sudah sampai ke tahap mengancam keselamatan negara kerana terdapat bukti pertubuhan itu berusaha mendapatkan sokongan dan bantuan pengganas antarabangsa.

Musa dalam satu kenyataan di sini tidak menyatakan nama kumpulan pengganas yang mempunyai kaitan dengan Hindraf yang digerakkan oleh lima peguam dan seorang eksekutif kanan syarikat swasta.

Bagaimanapun, semalam Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail ada mengaitkan kumpulan pelampau itu dengan Pemberontak Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dari Sri Lanka.

Kenyataan Abdul Gani itu dibuat di Mahkamah Sesyen Shah Alam ketika beliau berhujah supaya mahkamah tidak membenarkan lima penyokong Hindraf dijamin atas alasan tertuduh terbabit berpotensi mengadakan perhimpunan haram dan mengaitkan mereka dengan LTTE.

Tetapi, selepas mendapat bantahan keras daripada peguam-peguam tertuduh terlibat, hujah Abdul Gani mengenai kaitan mereka dengan LTTE itu dipadamkan daripada rekod mahkamah.

Dalam kenyataannya, Musa pula menyifatkan situasi yang dicetuskan oleh kumpulan pelampau itu sejak kebelakangan ini sangat membimbangkan dan pihak polis memandang serius perkembangan terbaru itu.

Sehubungan itu, beliau memberi amaran bahawa polis akan bertindak tegas terhadap Hindraf.

“Sejak 28 Julai lalu, pemantauan polis mendapati Hindraf bergiat aktif menyemai sentimen perkauman di kalangan orang India dengan membangkitkan kebencian dan penentangan terhadap kerajaan yang berpotensi mencetuskan perbalahan kaum di negara ini.

“Sejak akhir-akhir ini terdapat tanda-tanda Hindraf sedang berusaha mendapatkan sokongan dan bantuan daripada kumpulan pengganas.

“Pihak polis memandang berat perkembangan ini dan tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas bagi memastikan ketenteraman awam dan keselamatan negara terus terpelihara,” katanya.

Ulasan : Benar pihak polis perlu bertegas, cuma tangani mereka secara bijak. HINDRAF perlu sedar perlakuan mereka bakal mengundang huru-hara di samping dimanipulasi oleh pemerintah untuk sentimen perkauman dan Barisan Alternatif perlu berhati-hati dengan kenyataan yang boleh memakan diri

PUTRAJAYA 6 Dis. – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Badan Pencegah Rasuah (BPR) mengambil inisiatif menubuhkan Sekretariat Pencegahan Rasuah di institusi-institusi pengajian tinggi (IPT) bertujuan mendidik warganya supaya membenci rasuah.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed berkata, sekretariat membabitkan 20 IPT di seluruh negara itu berperanan menyediakan garis panduan, mengeluarkan risalah serta mengadakan pelbagai program berkaitan pencegahan rasuah.

Beliau berkata, usaha tersebut amat perlu kerana ancaman rasuah di IPT bukan sahaja melibatkan pelajar malah pensyarah serta kakitangan di bahagian pengurusan.

‘‘Golongan ini perlu ditegah daripada rasuah dan caranya ialah meningkatkan kesedaran dan benteng yang kukuh untuk mengelakkan diri daripada ancaman rasuah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan penubuhan sekretariat tersebut di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah BPR, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan.

Mustapa berkata, ancaman rasuah yang kerap berlaku di universiti bukan sahaja membabitkan pembelian barangan malah penyalahgunaan kuasa.

Beliau berkata, penubuhan sekretariat itu juga selari dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan modal insan yang berketerampilan, cemerlang dalam akademik serta berakhlak mulia.

‘‘Saya yakin masyarakat akan lebih sedar dan mengubah persepsi mereka terhadap BPR iaitu badan ini bukan musuh tetapi rakan untuk sama-sama mencegah rasuah di negara ini,” katanya.

Ulasan : Rasuah di IPT kini juga semakin hebat. Moga langkah penubuhan sekretariat BPR di IPT mampu membongkar penyelewengan yang sekian lama berlaku.

JOHOR BAHRU 6 Dis. – Banjir di Johor semakin serius dengan mangsa yang ditempatkan di pusat-pusat pemindahan sementara meningkat kepada 2,466 orang sehingga petang ini berbanding 982 orang semalam.

Hujan lebat sejak semalam dan reda sekali sekali diramalkan berterusan sehingga esok memaksa kesemua mangsa banjir daripada 628 keluarga itu ditempatkan di kawasan yang lebih selamat.

Sementara itu Jabatan Meteorologi mengekalkan amaran tahap merah untuk Johor dan Pahang sebagai langkah berjaga-jaga kemungkinan bencana yang lebih besar di kedua-dua negeri itu.

Timbalan Ketua Pengarah (Ramalan) jabatan tersebut, Che Gayah Ismail berkata, taburan hujan di kedua-dua negeri itu sejak semalam secara puratanya 6 hingga 129 milimeter (mm).

Beliau berkata, kawasan-kawasan yang menerima taburan hujan tertinggi di Johor ialah Segamat 129 mm, Senai (111.8mm), Kluang (110 mm), Batu Pahat (41.4 mm) dan Mersing 39 mm.

Daerah Segamat adalah paling teruk terjejas akibat banjir di Johor dengan 1,076 mangsa daripada 244 keluarga yang tinggal di tiga mukim-Chaah, Labis dan Segamat, dipindahkan ke 16 pusat penempatan sementara sejak semalam.

Antara kampung yang terjejas teruk ialah Kampung Lenek, Kampung Tenang, Sekijang, Kampung Jaya, Kampung Usaha Jaya, Gelang Chincin, Kampung Sungai Gatom, Kampung Paya Merah dan Kampung Lembah Bakti.

Tempat-tempat lain yang turut dilanda banjir ialah Kampung Melayu Raya, Kampung Sedeng, Kampung Paya Pulai, Pekan Air Panas dan Kampung Sawah Baru.

Selain Segamat, daerah Johor Bahru mencatatkan jumlah mangsa banjir yang kedua teramai dengan 1,014 orang daripada 248 keluarga dipindahkan.

Ulasan : Takziah buat semua mangsa. Harapnya dapat redha dan tabah. Pihak berkuasa perlu mengambil segala langkah persediaan menghadapi musim banjir. Buat Johor, ini banjir besar kali kedua tahun ini.

KUALA LUMPUR 6 Dis. – Malaysia merupakan satu-satunya negara di Asia yang majoriti rakyat meyakini proses pilihan raya yang diamalkan dalam sistem demokrasinya dan rakyat percaya pemerintahan kerajaan adalah mengikut kehendak mereka.

Menurut tinjauan pendapat Voice of the People yang dijalankan di peringkat antarabangsa baru-baru ini, 69 peratus rakyat negara ini berpandangan positif terhadap kerajaan Malaysia.

Kaji selidik yang dikendalikan oleh agensi penyelidikan TNS dan Gallup International yang didaftarkan di Zurich itu melaporkan Ireland mendahului senarai itu dengan 73 peratus rakyat republik itu meyakini pemerintahan kerajaannya diikuti Ghana dan Switzerland masing-masing dengan 72 peratus dan 66 peratus.

Kaji selidik tersebut juga mendapati 90 peratus rakyat Bosnia-Herzegovina tidak meyakini kerajaan mereka, Cameroon dan Ukraine (83), Rusia (80) manakala Amerika Syarikat, Korea Selatan dan Croatia masing-masing mencatatkan 75 peratus rakyat tidak percaya terhadap kerajaan negara masing-masing.

Bagi soalan sama ada proses pilihan raya di negara masing-masing bebas dan adil, Malaysia mencatatkan keyakinan rakyat sebanyak 74 peratus, Singapura (68), Indonesia (58), India dan Korea Selatan (55), Hong Kong (51), Jepun (50), Filipina (22) dan Pakistan sebanyak 16 peratus.

Mengenai soalan adakah negara diperintah mengikut kehendak rakyat, Malaysia mencatatkan 69 peratus warganya berpandangan sedemikian, manakala Hong Kong (57), India (55), Singapura (47), Filipina (42), Indonesia (37), Jepun (29) dan Thailand (26). Hanya 19 peratus rakyat Korea dan Pakistan percaya negara mereka diperintah mengikut kehendak rakyat.

Kaji selidik itu melibatkan 60,000 orang yang diwawancara di 56 negara dengan pandangan serta tanggapan mereka mewakili lebih daripada 1.4 bilion penduduk dunia.

Kajian yang dilakukan antara 2 Julai hingga 5 Ogos tahun ini menyoal selidik secara bersemuka 1,250 penduduk bandar di Semenanjung Malaysia.

Ulasan : 1,250 orang responden dari 25 juta rakyat Malaysia belum mampu mewakili pandangan keseluruhan rakyat tentang ketelusan sistem pilihanraya. Mungkin hasil kajian ini juga boleh dipertikai.

KUALA LUMPUR 6 Dis. - Kerajaan menolak cadangan seorang wakil rakyat pembangkang supaya diwujud sebuah jawatankuasa pilihan khas kehakiman bagi membincang pelantikan hakim.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, jika cadangan itu dilaksanakan, kebebasan sistem kehakiman negara dalam perkara itu dikhuatiri terjejas.

‘‘Saya tidak bersetuju dengan cadangan itu kerana kita harus beri kebebasan kepada mereka untuk menentukan siapa yang hendak dipilih,” katanya menggulung perbahasan usul mengenai Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Integriti di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau mengulas cadangan Datuk Kamarudin Jaafar (Pas-Tumpat) supaya penubuhan jawatankuasa pilihan khas yang dianggotai oleh wakil rakyat kerajaan dan pembangkang, diperluas termasuk dalam bidang pertahanan, hubungan luar dan kehakiman.

Kamarudin berkata, penubuhan jawatankuasa pilihan khas kehakiman membolehkan pelantikan seseorang hakim dibincangkan supaya integriti sistem kehakiman di negara ini dapat ditingkatkan.

Ketika ditemui di Lobi Parlimen kemudian, Mohamed Nazri menjelaskan, cadangan itu tidak boleh diterima kerana sistem kehakiman perlu bebas daripada sebarang campur tangan.

Beliau berkata, jika cadangan itu dilaksanakan, setiap hakim akan bersikap baik kepada semua Ahli Parlimen kerana tahu pelantikan mereka bergantung kepada cadangan wakil rakyat.

‘‘Bila ini berlaku, maka hakim akan membuat keputusan berdasarkan kepada kecenderungan wakil rakyat. Maka itu, cadangan tersebut tidak boleh diterima,” katanya.

Ulasan : Jangan ditolak terus cadangan ini. Tentu ada sebab kenapa wakil PAS menyebut perkara ini. Menteri Datuk Seri Nazri Aziz perlu lebih terbuka.



Tiada ulasan:

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude